• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,190,315 orang
  • Tetamu Online

Ibadah Korban sebagai tanda bersyukur

Muhammad Adib bin Haji Hassan

Ibadah korban adalah satu ibadah sunah yang pernah dilaksanakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ia satu syiar dalam Islam ketika menjelangnya Aidiladha dan mengambil ibrah peristiwa yang besar sempena pengorbanan agung yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya Nabi Ismail AS.

Dalam ibadah ini mempunyai falsafah khusus yang perlu kita mengambilnya sebagai satu hikmah dan pengajaran yang besar ketika melaksanakannya. Selain ganjaran pahala yang begitu besar dianugerahkan Allah kepada kita, ia menjadi penerapan nilai insan untuk mengingati mereka daripada golongan fakir miskin dengan memberi sedekah. Tambahan pula ketika pandemik Covid-19 ini ramai yang terjejas terutama membabitkan keperluan makanan.

Baginda Nabi bersabda yang bermaksud: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korban kamu. Sesungguhnya ia mengampunkan kamu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan. Katakanlah, Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). Lalu seorang sahabat bernama Imran berkata, Ya Rasulullah, adakah amalan ini khusus untuk kamu dan ahli keluargamu atau untuk umat Islam seluruhnya? Baginda menjawab, bahkan ia untuk seluruh umat Islam.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)

Di antara dalil lain di dalam al-Quran yang bermaksud dalam Surah al-Hajj ayat 36, Allah berfirman: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

Signifikannya terhadap ibadah tersebut perlu dilihat dengan begitu jauh berdasarkan apa yang disabda baginda SAW. Ramai hari ini masyarakat hanya melihat ibadah korban ini hanya untuk segelintir orang ‘kayangan’ atau orang berada. Namun hakikatnya perlu dibudayakan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kayangan atau marhaen.

Bayangkan jika kita hendak pergi bercuti bersama keluarga sudah pasti pelbagai cara dan kaedah kita perlu berusaha untuk mendapatkan sejumlah wang bagi mencapai sasaran. Memang puas pergi bercuti tambahan pula menggembirakan ahli keluarga.

Tetapi ibadah korban yang setahun sekali berlalu pergi begitu sahaja tanpa kita mengambil manfaat yang besar daripada hikmah pensyariatannya. Mari sedetik kita bermuhasabah, saban tahun kalendar atau takwim tahunan hanya terpaku di dinding.

Pernahkah kita melihat dan merancang hari-hari kebesaran Islam muncul dengan perancangan untuk menambah ganjaran pahala? Pasti ramai yang melihat hanya untuk pergi bercuti atau membiarkan hari-hari berlalu begitu sahaja.

Jika kita perhatikan budaya bangsa Arab yang begitu meraikan ibadah korban melebihi sambutan Aidilfitri. Kebanyakan mereka mengatakan Aidilfitri adalah hari untuk kita bergembira setelah berusaha merebut ganjaran pahala yang besar ketika Ramadan manakala Aidiladha hari untuk melaksanakan korban dan menyucikan dosa kecil yang mungkin kita pernah lakukan.

Begitu juga beberapa rakyat Bangladesh yang bekerja di Malaysia rata-ratanya yang sudah berkahwin pasti melaksanakan ibadah korban walaupun berjauhan daripada keluarga.

Di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sudah menganjurkan Ibadah Korban dan Akikah sejak 13 tahun lalu sebagai satu program tahunan universiti. Program ini sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan kakitangan universiti.

Rekod tertinggi pernah dicapai oleh UniMAP adalah pada tahun ini (2021) dengan penyertaan sembilan ekor lembu (63 bahagian) dan 16 ekor kambing secara potongan gaji. Inisiatif Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UniMAP yang diambil ini bagi menggalakkan warga universiti melaksanakan ibadah korban.

Rekod peserta yang sentiasa konsisten menyertai ibadah ini menerusi potongan gaji adalah dalam kalangan staf gred N19 sejak 2008 sehingga sekarang. Sifirnya mudah daripada beliau “Daripada dihabiskan duit pada perkara yang sia-sia lebih baik dilaksanakan ibadah korban.”

Indahnya kaedah dalam Islam telah memudahkan urusan dengan cara potongan gaji. Marilah kita renung sejenak dengan mengutamakan ingatan Allah yang bermaksud : “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Tidakkah Allah SWT berjanji untuk menambah nikmat rezeki untuk hamba-Nya yang bersyukur. Sudah pasti mereka yang yakin telah merasainya ketika melaksanakan ibadah korban.

Kadangkala sering kita menangguh dan mengeluh, serba serbi tidak mencukupi untuk perbelanjaan seharian. Yakin dan percayalah bahawasanya rezeki itu akan sentiasa memihak kepada kita dan ketenangan itu akan sentiasa mendampingi kita.

Pasti ada sebab baginda Nabi SAW memberatkan ibadah korban ini. Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat dan di antaranya firman Allah SWT dalam Surah al-Kautsar yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah (korban) sebagai tanda bersyukur.”

Hakikatnya ibadah korban perlu dilihat bukan sekadar pengajaran tetapi hikmah yang terhidang di depan mata. Boleh sahaja kita menyimpan duit untuk bercuti tetapi letakkanlah bersama bahagian untuk ibadah korban.

Jika tidak dilaksanakan di Malaysia sekali pun, lakasanakanlah di luar negara dengan jumlah yang lebih murah. Namun demikian, berhati-hatilah bimbang ada yang mengambil kesempatan.

Selepas ini kita akan memasuki tahun baharu 1443 Hijrah, berazamlah untuk membuat potongan gaji terhadap pensyariatan ibadah korban yang hebat ini supaya mendapat manfaat sama ada di dunia mahupun akhirat. Rugi rasanya jika masih lagi bersikap menangguh.

Dengan potongan sebulan hampir RM60 selama 12 bulan kita sudah mampu melaksanakan satu sunah yang teragung dan terhebat yang telah dibuat oleh Nabi Ibrahim AS dan Rasulullah SAW.

Marilah sama-sama kita bersyukur dengan berkongsi kesyukuran dengan mereka yang memerlukan kerana itulah ia dinamakan ibadah korban. Wallahu a’lam bisshawab.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: