• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,346,638 orang
  • Kandungan Blog

Banyakkan Zikrullah di bulan Ramadhan

Umat Islam menyambut bulan yang selama ini ditunggu-tunggu, Ramadan. Apabila menyebut Ramadan, selain ibadat puasa wajib dilaksanakan pada siang hari, pastinya umat Islam tidak ketinggalan dengan ibadat berbentuk jama’i yang dilakukan bersama komuniti setempat seperti sahur, iftar, solat Tarawih dan tadarus al-Quran.

Selain itu, budaya bersedekah dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat seperti amalan bertukar-tukar kuih-muih antara jiran tetangga, acara memasak lauk berbuka untuk anak yatim atau usaha menyediakan moreh untuk ahli kariah selepas bertadarus atau apa saja aktiviti bersifat kemasyarakatan tetap dijalankan dengan istiqamah saban tahun ketika berada dalam bulan mulia ini.

Amalan seperti ini sangat dituntut oleh agama dan secara tidak langsung dapat menambahkan kelazatan beribadat dan mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam.

Selain amalan bersifat jama’i, Islam turut tidak terlepas menggalakkan penganutnya melakukan sesuatu amalan secara fardiy atau bersendirian antaranya zikir kepada Allah SWT.

Zikir adalah suatu ibadat yang sunahnya dilakukan secara bersendirian.

Zikir berasal daripada bahasa Arab iaitu zikr yang bermaksud ingat atau sebut, bererti mengingati Allah Jallawa’ala atau menyebut nama-Nya. Ia mempunyai bacaan dan sebutan tertentu yang sebaik-baiknya diambil daripada apa yang terdapat atau warid daripada ayat al-Quran al-Karim atau hadis Nabi SAW yang juga secara umumnya mencakupi doa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan riwayat hadis mengenai perintah dan suruhan agama mengenai zikir. Antaranya ialah firman Allah SWT: “Ingatilah Aku (berzikirlah kepada-Ku), nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu kufur terhadap-Ku.” Al-Baqarah ayat 152

Dalam surah yang lain, firman-Nya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak.” Al-Ahzab ayat 41

Hadis riwayat Abu Musa RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Perumpamaan orang mengingati Tuhannya dan orang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang hidup dan orang yang mati.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Bagi konteks Ramadan, umat Islam dituntut supaya tidak meninggalkan zikir pada setiap hari khususnya bacaan zikir pagi dan petang. Penulis secara peribadi berpandangan ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengambil berat mengenai amalan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat berasakan zikir hanya dilakukan selepas solat atau dalam majlis tertentu seperti yang dibudayakan di sesetengah tempat.

Firman Allah Azzawajalla: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. ” Al-Ahzab ayat 41-42

Dalam firman yang lain: “…dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum ia terbenam.” Surah Taha ayat 130

Sabda Nabi SAW: “Aku duduk bersama satu kaum untuk berzikir kepada Allah Taala dari waktu solat Subuh hingga matahari terbit adalah lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba keturunan Nabi Ismail (iaitu hamba yang paling berharga dan terpilih) dan aku duduk bersama satu kaum berzikir kepada Allah dari waktu solat Asar hingga matahari terbenam lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba.” Hadis Riwayat Abu Dawud

Dalil ini menunjukkan kepentingan berzikir pada waktu pagi dan petang untuk dilakukan setiap hari. Antara kitab yang menghimpunkan mengenai zikir yang lengkap ialah Al-Azkar oleh pengarangnya Imam al-Nawawi dan Hisnu al-Muslim oleh Sheikh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani serta Al-Wabil Al-Sayyib oleh Imam Ibnu al-Qayyim.

Kitab ini boleh dijadikan panduan kerana ia mudah diperoleh dan kandungannya dibahagikan mengikut tajuk tertentu termasuk zikir pagi dan petang.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang terlibat dengan aktiviti usrah, sememangnya mereka terbiasa dengan kitab Al-Ma’thurat karangan Imam Hassan al-Banna yang kandungannya terdiri daripada zikir dan doa untuk diamal pada pagi dan petang.

Bagaimanapun, kini terdapat buku himpunan zikir seperti ini dijual di pasaran hasil usaha pelbagai ilmuwan tanah air mahupun Indonesia yang motifnya juga sama iaitu memberikan panduan bagi umat Islam mengamalkan agama. Jika diamati dengan mendalam, setiap bacaan zikir pagi dan petang itu mempunyai makna dan fadilat tersendiri.

Menurut Sheikh Majdi bin Abdul Wahab al-Ahmad dalam kitabnya Syarah Hisnu al-Muslim, menjelaskan terdapat tidak kurang 60 manfaat zikir yang semuanya berlandaskan sumber dalil yang jelas.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang membaca ayat al-Kursi, Allah akan melindungi dirinya daripada gangguan syaitan, bagi yang mengucapkan sayyidul istighfar akan dijanjikan pembacanya dengan syurga jika mati pada hari berkenaan dan berselawat ke atas Nabi akan diberikan syafaat oleh Baginda di akhirat kelak.

Jika dirujuk kandungan makna zikir pagi dan petang, secara umumnya ia merujuk kepada puji-pujian kepada Tuhan, zat yang Maha Agung, permohonan kepada Allah supaya dipelihara keimanan dan perlindungan daripada segala kemudaratan, gangguan, azab dan sifat tidak baik yang dibenci Islam, tagihan hamba untuk mendapat kebaikan pada waktu pagi dan petang, pengakuan mengenai kelemahan diri sebagai hamba, penyerahan diri sentiasa kepada Allah SWT dan kebergantungan kepada-Nya tanpa putus asa, rayuan untuk dikurniakan kesihatan tubuh badan, rezeki yang baik, ilmu bermanfaat serta amalan yang diterima oleh Allah.

Rentetan daripada Ramadan ini, diharapkan umat Islam mengambil azam baharu dengan menjaga zikir pagi dan petang, untuk menambah amalan pada bulan mulia ini.

Walaupun hukumnya sunat, amatlah rugi apabila ia ditinggalkan kerana inti pati dalam zikir itu yang mencukupkan keperluan utama dalam hidup seseorang Muslim.

Inilah masa yang paling tepat dan sesuai iaitu ketika berada dalam madrasah Ramadan untuk melatih diri mengamalkan zikir setiap hari supaya dapat membaiki Ramadan lalu dengan penambahan amal soleh baharu dan kelak (pada bulan lain), ia akan terbiasa serta menjadi darah daging. Tidak kiralah sesibuk mana pun seseorang itu, akan diberikan masa untuk diri mengingati Allah SWT.

Gambar Kenangan Halaqah Ilmu 2017 Sesi 1

Gambar Sekitar Daurah Bersama Syeikh Nuruddin al-Banjari Sempena Sambutan Maulidurrasul 1439H

Gambar Kenangan bersama Rombongan IPG Sabah

Gambar kenangan bersama pensyarah n guru pelatih IPG sabah yg kebetulan mengadakan daurah kitab n amali sembelihan selama 2 hari di pondok pasir tumboh.. sempat bergambar brsama YAB Dato MB kelantan yg hadir utk merasmikan ijtima pondok semalam sabtu 14/10….

Gambar Sekitar Perasmian Ijtima Pondok pagi ini

Suasana Solat Jenazah dan Pengkebumian al-Marhum TG Hj Soleh Pasir Tumboh

Solat Subuh berjemaah Gerunkan Yahudi

Oleh Norhayati Paradi

Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya.

Inilah doa rutin Rasulullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat Subuh seperti yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan Subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara, tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya. Mukadimah ini adalah inti pati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi program Islam Itu Indah di IKIMfm, pagi Rabu minggu lalu.

Katanya, tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan sekutu Zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan serta cara hidup mereka yang tumbuh mendarah daging. Hedonisme, hasad dengki, degil, zalim dan segala perbuatan
mazmumah bersarang dalam diri.

Apakah natijah yang bakal terhasil jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah. Mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga? Inilah masa terbaik untuk kita membina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah orang yang hidup pada zamanku (generasiku) kemudian orang selepas mereka kemudian orang selepas mereka.” Tahukah kita antara kualiti yang dimiliki manusia pada waktu itu?

Ganjaran solat Subuh

Antara cirinya, mereka sangat mementingkan waktu Subuh dan solat Subuh. Mereka faham besarnya ganjaran yang bakal Allah SWT berikan pada Hari Kiamat buat mereka yang mengutamakan waktu dan solat Subuh.

Sabda Rasulullah SAW: “Berilah khabar gembira kepada orang yang berjalan ke masjid pada waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Menerusi hadis ini, mereka yang berjihad bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid bakal memperoleh ganjaran daripada Allah SWT iaitu ‘cahaya’ sempurna.

Cahaya itu juga hadir di dunia, pada mereka yang hatinya terpaut kepada masjid. Pada zaman kemungkaran bermaharajalela, maksiat mendominasi dan amanah dipegang oleh mereka yang tiada hak atasnya, kita bukan sekadar keliru, malah buta pada kebenaran kerana kemungkaran sudah menjadi budaya hidup.

Kegelapan sebegini memerlukan cahaya sebagai penunjuk jalan, walaupun jahiliah kedua sedang berleluasa, namun melalui cahaya dikurniakan, dengan izin Allah SWT dapat kita membezakan hak dan yang batil serta tahu tindakan untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus ke jurang maksiat.

Itulah antara kehebatan Subuh yang memberikan cahaya kepada hati kita di dunia dan akhirat. Selain itu, solat Subuh juga boleh menjadi penanda aras kepada kecemerlangan umat.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh.” (Riwayat Ahmad)

Dalam satu kisah yang masyhur, ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, beliau mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau ke rumah sahabatnya lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa’: “Saya tidak melihat Sulaiman ketika solat Subuh? Lalu al-Shifa’ menjawab: Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya. Kemudian Saidina Umar berkata: Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam.”

Begitu teguhnya iman pada zaman itu sehinggakan ucapan takziah akan diberikan kepada sahabat yang tidak bersolat Subuh.

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menulis mengenai seorang penguasa Yahudi berkata, “Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat Subuh berjemaah menyamai atau melebihi umat Islam melaksanakan solat Jumaat.”

Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap Zionis dengan bangun solat Subuh berjemaah. Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Peperangan dalam diri itu diperjelaskan Junjungan Mulia melalui sabda Baginda: “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: Nikmatilah malam yang panjang ini. Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan kedua. Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi, kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas.” (Riwayat Bukahri dan Muslim)

Iktibar kegemilangan zaman Rasulullah

Waktu Subuh juga adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya. Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman paling berjaya iaitu zaman Rasulullah SAW. Baginda sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh. Sabda Baginda: “Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh itulah dua tiupan kemenangan yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuhnya.

Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini.

Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi, namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Pengalaman di Asia Barat, waktu Subuh beku dan kaku. Ini realiti yang sangat menyedihkan.

Di negara kita keadaan sama boleh dilihat. Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu pergi berjoging, bersenam atau membawa anjing mereka berjalan-jalan.

Bayangkan, kerana cinta akan anjing mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan kita yang mengaku cinta akan Allah SWT tidak terdorong untuk bangun pagi.

Realitinya, umat Islam kini semakin lupa apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khatab: “Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?”

Bezanya Puasa Dengan Ibadat Lain

Petikan daripada Bimbingan Mukmin

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

  1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.
  2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

Allah telah berfirman:

“Jika kamu sekalian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).” (Muhammad: 7)

Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawa nafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

Kehebatan amalan zikir

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.

Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.

Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamat­kan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”

Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.

Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.

Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuat­kanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.

“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.

“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”

Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu de­ngan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.

Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontar­kan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka mening­galkan kewajipannya terhadap Allah.

Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Ulama’ berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan
daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.

Hamba Allah terpilih raih Lailatul Qadar

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan yang menjanjikan pembebasan daripada api neraka. Ini seperti dibahagikan Rasulullah pada 10 hari pertama sebagai bulan penuh kerahmatan dan 10 hari pertengahan Ramadan pula sebagai hari pengampunan segala dosa umat manusia. Lebih penting daripada itu, kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersepakat bahawa malam al-Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka berselisih pendapat malam yang ke berapa. Pendapat masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27. (Hadis riwayat Ahmad). Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan. Mereka yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan soleh.

Kelebihan malam al-Qadar tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu pada Ramadan. Fadilat malam itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan kehidupan sehariannya. Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga.

Kata Imam al-Qurtubi, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah dan umatnya.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 80 tahun lebih.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.” Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi Ramadan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal pada kemudian hari.