Filed under: AlBakriah Inn | Leave a comment »
Syuhada’, insan bertakwa dirindui syurga
Fairuz Noordin
Tiada nilai kehidupan di dunia walaupun dilimpahi kemewahan, dipuja dan dipandang mulia jika apabila tiba saat kematian, mereka terhumban ke dalam neraka. Kehidupan manusia lebih bernilai apabila diberi kemuliaan di sisi Allah SWT sebagai penghuni syurga pada Hari Akhirat kelak. Tetapi, sayangnya ramai manusia dalam keadaan hanyut dan terperangkap dengan tipu daya ketika hidup di dunia seperti mana dijelaskan dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu, satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 1-2)
Menyambung kembali perkongsian mengenai golongan manusia yang dirindui syurga, menerusi slot Mau’izati, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, berkata mereka adalah golongan yang mati syahid dan berusaha melayakkan diri berada dalam kalangan yang syahid.
Tetapkan niat mati syahid
Menurut Rasulullah SAW, jika manusia mempunyai niat untuk mati syahid tetapi menemui ajal di atas katil, maka dia akan beroleh ganjaran sama seperti mereka yang syahid. Namun, realitinya manusia sangat takut untuk mengimpikan syahid malah begitu gerun menghadapi kematian.
Selain itu, manusia yang membaca, menghafal, bertadabbur dan beramal dengan al-Quran akan tergolong dalam kalangan manusia yang akan beroleh ganjaran sangat istimewa ini. Orang Mukmin akan merasai nikmat apabila membaca dan beramal dengan al-Quran kerana ia adalah petunjuk kepada jalan kehidupan. Tanpa panduan dan petunjuk daripada al-Quran, manusia berada dalam kesesatan.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah daripada bapanya, dia menyebut: “Aku duduk dengan Nabi SAW dan mendengar Baginda bersabda: Belajarlah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya dengan mempelajarinya akan beroleh keberkatan dalam hidup kalian, manakala apabila kamu meninggalkannya akan rugilah hidup kalian, orang yang malas tidak akan melaksanakannya. Kemudian Baginda terdiam seketika dan berkata: Belajarlah surah al-Baqarah dan surah al-Imran kerana kedua-duanya adalah bunga yang menjadikan kecantikan kepada diri kamu. Kedua-duanya akan mendatangkan ketenangan kepada kamu, teduhan kepada pembacanya. Pada Hari Kiamat ia akan menjadi seakan-akan awan yang menutupi atau bagaikan sayap burung. Pembaca surah al-Baqarah dan surah al-Imran apabila berjalan pada hari akhirat nanti akan dinaungi dengan awan dan bagaikan sayap burung kerana al-Quran akan mendatangi pembacanya seperti seorang lelaki yang tampan, sambil bertanya: Adakah kamu mengetahui siapakah diriku? Pembaca al-Quran akan menjawab bahawa mereka tidak mengenali siapakah lelaki yang tampan itu. Kemudian lelaki itu berkata: Aku adalah al-Quran yang dahulunya kamu selalu bangun dan menyendiri membacaku. Setiap pedagang akan mendapat keuntungan, al-Quran memberi kerajaan di tangan kanannya dan berkekalan di tangan kirinya. Lalu diletakkan di atas kepala si pembaca al-Quran itu dengan mahkota yang indah di Padang Mahsyar. Kedua orang tuanya akan diberi perhiasan hasil daripada anak-anak mereka yang sering membaca al-Quran. Kemudian semua ahli dunia akan menghormatinya lalu dikatakan kepadanya: Kamu mendapat semua ini kerana anakmu membaca al-Quran dan dikatakan kepada anaknya, bacalah dan naiklah ke syurga dan tempatkanlah mereka di kamar-kamarnya, ia akan sentiasa naik selagi mana dia membaca al-Quran.”
Sentiasa perbaiki akhlak
Golongan ketiga yang sering dirindui syurga ialah mereka yang sentiasa memperbaiki akhlaknya. Akhlak ditunjukkan seharusnya ialah akhlak al-Quran dan mengikut cara Rasulullah SAW berakhlak dengan jasadnya, pasangan, anak, keluarga, sahabat dan cara Baginda bernegara. Akhlak yang perlu dijaga adalah akhlak dalaman dan luaran meliputi pandangan mata daripada melihat perkara haram, tangan tidak menyentuh benda dilarang Allah SWT. Akhlak dalaman dipelihara dengan menjaga hati.
Akhlak juga perlu ada dalam penulisan yang tidak dilakukan sembarangan kerana penulisan tidak berlandaskan maklumat yang betul atau bertujuan menganiaya pihak lain, kesudahannya ialah di dalam neraka dan tiada kerinduan syurga untuk dirinya. Selain itu, orang yang meletakkan cintanya hanya kepada Allah SWT akan dirindui syurga pada Hari Akhirat kelak.
Cinta bukan untuk makhluk tetapi hanya untuk al-Khaliq dan Dialah yang selayaknya untuk dicintai. Semakin meningkat usia orang Mukmin, semakin kuat cintanya kepada Allah SWT dan berkira-kira dengan setiap apa dilakukannya diredai Allah SWT atau tidak. Malah, mereka juga tidak pernah berputus asa dengan dunia dan berusaha mendapatkan cinta Allah SWT. Orang yang meninggalkan pertelingkahan dan perdebatan juga dirindui syurga. Rasulullah SAW menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran. Lebih baik mendiamkan diri ketika dicabar daripada menimbulkan pertengkaran walau berada pada pihak benar.
Ciri manusia yang dirindui syurga, mereka yang mempunyai sifat tawakal tinggi kepada Allah SWT. Elakkan memakan rasuah, menuntut elaun palsu dan menipu kerana sesungguhnya ia akan menghilangkan tawakal kepada Allah SWT. Orang yang suka memberi makan dan berlemah-lembut dengan orang lain serta sanggup bangun sewaktu manusia lain sedang tidur lena juga adalah golongan istimewa yang bakal dirindui syurga di Hari Akhirat kelak.
Filed under: AlBakriah Inn | Leave a comment »
Menginap sambil merasai suasana pengajian di Pondok Pasir Tumboh
Filed under: AlBakriah Inn | 1 Comment »