• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,347,400 orang
  • Kandungan Blog

Gurauan melampau ketika ziarah kubur patut dihentikan

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

BERGURAU tidak salah. Namun jika gurauan tersebut berlebih-lebihan, ia boleh menjadi sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Apatah lagi bergurau secara melampau di tanah perkuburan.

Baru-baru ini tular mengenai gurauan melampau yang dibuat oleh segelintir umat Islam ketika menziarahi kubur dan ada juga yang tidak menghormati tanah perkuburan Islam itu dengan membuat rakaman video secara melampau untuk ‘content’ demi meraih tontonan ramai.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan dengan segera, menurut Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan.

Menurut beliau, matlamat utama dalam amalan menziarahi kubur adalah supaya dapat memberikan keinsafan dan menambahkan keimanan kepada pelakunya.

USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI

USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI

“Bukan sebaliknya iaitu ziarah kuburan menjadi bahan lawak jenaka tidak bermoral dan tidak beretika sebegini.

“Jika duduk dan memakai sepatu yang mewah di kuburan pun sudah ditegah dan dilarang, apatah lagi membuat lawak jenaka, kebiadaban serta perbuatan-perbuatan yang tidak beretika dan bermoral, lagilah ia ditegah dan dilarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Jelasnya, apabila lawak dan melawak dibiasakan dalam masyarakat, natijahnya semua tempat mereka mahu melawak.

Menjelaskan mengenai amalan ziarah kubur, Mohammad Baihaqi berkata ia merupakan sebuah sunnah agung yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW berdasarkan kepada fadilat dan kelebihannya yang banyak.

“Anjuran amalan ini disebutkan dalam banyak hadis, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

“Ziarahlah kalian akan kuburan kerana sesungguhnya ia mengingatkan kalian kepada (hari) kiamat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan An-Nasa’i)

GURAUAN melampau ketika menziarahi kubur hendaklah dihentikan serta-merta.

GURAUAN melampau ketika menziarahi kubur hendaklah dihentikan serta-merta.

Menurutnya lagi, dalam satu hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau menjelaskan Nabi Muhammad SAW telah menziarahi kubur ibunya dan baginda menangis.

“Maka sekalian sahabat yang berada di sisi baginda turut menangis. Kemudian Baginda SAW bersabda:

“Aku memohon supaya DIA (ALLAH) membenarkan aku melawat kubur ibuku. Maka DIA mengizinkannya. Maka ziarahilah kuburan, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kita akan kematian.” jelasnya.

Katanya, para ulama ketika menerangkan hadis ini mengatakan bahawa ia menunjukkan dan merangkumkan beberapa perkara penting:

1 – Larangan memohon istighfar kepada mereka yang mati dalam kekufuran.

2 – Keharusan menziarahi kubur ibu bapa yang bukan Muslim.

3 – Menziari kuburan mengingatkan manusia kepada Hari Akhirat dan kematian.

4 – Keharusan menangis ketika menziarahi kubur.

Mohammad Baihaqi menjelaskan, Syeikh Abdullah Al-Ghunaiman menyebut, amalan menziarahi kubur dianjurkan kerana ia akan menjadikan seseorang itu mengingati nasibnya.

“Ini kerana dia akan mati dan menjadi seperti penghuni kubur yang dilawati.

“Oleh sebab itu, dia akan segera bertaubat dan bekerja keras, mengingati mati dan sentiasa mengingati apa yang bakal dia hadapi kelak,” hurainya.

Ulasnya lagi, Ibnu Qayyim menegaskan bahawa antara kelebihan menziarahi kubur adalah ia memberi kebaikan kepada yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

“Ia bermanfaat bagi mereka yang hidup kerana ia mengingatkan tentang kematian dan hari akhirat.

“Buat yang telah meninggal dunia, mereka akan memperolehi doa dan keberkatan daripada mereka yang masih hidup,” katanya.

NABI MUHAMMAD SAW melarang untuk memakai sepatu yang mewah ketika berada di kubur dan bergurau secara melampau juga tidak patut dilakukan.

NABI MUHAMMAD SAW melarang untuk memakai sepatu yang mewah ketika berada di kubur dan bergurau secara melampau juga tidak patut dilakukan.

Semestinya ada adab-adab dan etika yang perlu dilunaskan ketika menziarahi kubur kerana ia merupakan tempat yang mulia dan bukannya tempat berfoya-foya, menurut Mohammad Baihaqi.

Berikut merupakan beberapa adab dan etika yang digariskan oleh Islam dalam menziarahi kuburan:

1 – Memberi salam kepada ahli kubur dan mendoakan mereka

Nabi Muhammad SAW menganjurkan supaya dibacakan doa yang khusus ketika menziarahi kuburan. Ini adalah kerana penghuni kubur sangat memerlukan doa dari mereka yang masih hidup.

Doa ini direkodkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih Muslim, Buraydah menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengajarkan kepada mereka sebuah doa untuk dibacakan ketika melewati kuburan iaitu:

“Salam sejahtera ke atas kamu penduduk negeri ini (kubur) dalam kalangan orang-orang yang beriman dan orang-orang Islam. Dan kami, insya-Allah akan menuruti kamu. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami dan juga kamu.”

2 – Tidak duduk di atas kubur

Nabi Muhammad SAW melarang kita dengan larangan yang sangat keras daripada duduk di atas kubur atau di tepian batas kuburan. Ini adalah kerana ia tempat yang mulia yang perlu dijaga batasnya.

Imam Muslim merekodkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi bersabda: “Duduk di atas bara api sehingga ia membakar pakaian kamu, lalu ia terbakar sehingga membakar kulit kamu, adalah lebih baik daripada kamu duduk di atas kubur-kubur”. (Hadis Riwayat Muslim)

3 – Tidak memakai sepatu, selipar atau kasut (yang mewah) ketika berjalan di kubur

Memakai sepatu, selipar atau kasut yang mewah ketika menziarahi kubur adalah dilarang berdasarkan hadis yang diriwayatkan Basyir bin Al-Khasasiyyah.

MENZIARAHI kubur matlamat utamanya untuk menginsafkan dan menambahkan keimanan, bukan tempat untuk bergurau senda. Gambar hiasan/Foto Canva

MENZIARAHI kubur matlamat utamanya untuk menginsafkan dan menambahkan keimanan, bukan tempat untuk bergurau senda. Gambar hiasan/Foto Canva

Beliau menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah melihat seorang lelaki berjalan di antara kubur-kubur dengan memakai sepatunya, lantas Rasulullah bersabda:

“Wahai pemilik sepatu, buanglah ia (janganlah dipakai).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Al-Khattabi dalam menerangkan hadis ini berkata bahawa larangan ini disebabkan kebiasaannya pemakaian sepatu atau selipar adalah tanda kemewahan dan kesombongan, sedangkan maksud asal menziarahi kuburan adalah menimbulkan keinsafan, kekhusyukan dan menambahkan keimanan.

Sebagai kesimpulan, Mohammad Baihaqi menjelaskan jika perasaan keinsafan ketika melawat kuburan tidak mampu dihadirkan, janganlah pula kita melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti penghuni kubur atau keluarga mereka yang masih hidup.

“Jagalah akhlak, adab dan etika ketika melewati kubur. Fikirlah perasaan ibu, ayah, anak-anak arwah serta keluarga mereka apabila mereka membaca lawak jenaka dan kebiadapan yang dilakukan di kubur.

“Jika duduk memakai sepatu yang mewah di kubur pun sudah ditegah dan dilarang, apatah lagi membuat lawak jenaka, kebiadaban dan perbuatan-perbuatan yang tidak beretika serta bermoral ketika menziarahi kubur, lagilah ia ditegah dan dilarang,” nasihatnya.

Tinggalkan komen