• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,205,001 orang
  • Tetamu Online

Punca bunuh diri

Mohd Noor Ikhram Husin

MASIH ramai memberi persepsi salah bahawa penyakit mental berpunca daripada kelemahan iman atau kurang amalan dan didikan beragama terhadap individu berkenaan. Sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac tahun lalu hingga 20 Mei lalu membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan serta tingkah laku bunuh diri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara punca dikenal pasti adalah hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan bantuan.

Stigma keluarga, masyarakat begini akhirnya menjadi faktor penolakan pesakit mental untuk mendapatkan rawatan daripada profesional. Kemudian mengakibatkan penurunan prestasi kerja, kefungsian harian hingga menimbulkan perasaan antisosial. Lebih parah berlaku pula peningkatan kecenderungan untuk membunuh diri.

Salah tanggapan terhadap rawatan melalui kaunseling dan psikiatri sebagai antiagama juga suatu stigma salah. Bahkan banyak rawatan terapi psikologi kini yang menggunakan pelbagai kaedah atau teknik psikologi kerohanian melalui jalan ilmu akidah, fiqah dan tasawuf yang berpandukan al-Quran, hadis serta ulama. Ia terbukti berjaya membantu proses penyembuhan.

Dikatakan wad psikiatri pertama di dunia diwujudkan oleh al-Razi (865–925 Masihi) ketika menjadi ketua di Hospital Baghdad. Beliau juga penulis buku al-Mansuri dan al-Tibb al-Ruhani dengan memulakan rawatan psikoterapi dan ubatan untuk penyakit mental.

Faktor persekitaranhttps://7d262c1b0aeaa0bc726c73f106c118f3.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Saya sendiri dalam puluhan kes melaksanakan khidmat sesi kaunseling kepada klien yang berlatarbelakangkan agama, tenaga pengajar kelas agama yang berhadapan isu kesihatan mental. Ada pada mulanya berasakan berpunca daripada gangguan. Itu tidak dinafikan. Gangguan yang dirasakan sebenarnya lahir daripada sikap rasa berdosa, bersalah dan dendam. Secara psikologi, orang yang berbuat dosa akan rasa gelisah dan cemas selama rasa berdosa itu melekat dalam dirinya.

Terdapat pesakit yang dibesarkan dalam keluarga atau persekitaran memfokus kepada agama turut mengalami penyakit mental dengan keinginan membunuh diri. Ia diakibatkan perasaan bersalah apabila berasakan ‘orang beragama’ tidak boleh melakukan salah. Sedangkan Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Sebagai manusia, kita adalah makhluk yang sangat daif lagi lemah.

Allah SWT berfirman: “Dan manusia diciptakan (bersifat) lemah.” (Surah an-Nisa’ ayat 28)

Selepas penerokaan dalam sesi kaunseling, kebanyakan kes disebabkan trauma masa lampau seperti kematian insan tersayang, isu hubngan interpersonal, bahkan gangguan seksual pada zaman kanak-kanak boleh menjadi antara sebab berlaku kemurungan dalam diri.

Selain itu, faktor seperti kurang sokongan masyarakat, bebanan kewangan akibat pandemik Covid-19, penyalahgunaan dadah, kerinduan terhadap rumah ibadat, ketagihan alkohol dan sebagainya boleh menyumbang kepada stres dan mendorong perasaan murung berlaku.

Faktor genetik

Mengapa jika pesakit diabetes kronik, penyakit jantung, penyakit kanser yang semua maklum boleh membunuh, kita bersungguh hadirkan simpati? Tetapi, kenapa tiada empati kepada pesakit mental yang juga boleh menyebabkan mereka terbunuh? Contohnya, penyakit kronik atau kanser boleh berlaku kepada sesiapa saja walaupun dengan penjagaan kesihatan disebabkan faktor genetik.

Jika individu itu mempunyai pasangan kembar, 40 hingga 50 peratus kemungknan untuk menghadapi penyakit mental yang sama. Begitu juga jika ibu, adik-beradik yang mengalami depresi, risiko menghadapi kemurungan meningkat kepada tiga kali ganda. Penyakit mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja atas sebab genetik, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial walaupun kita berfikiran positif.

Penyakit kronik diabetes selepas rawatan boleh berulang setelah stabil mendapat rawatan. Begitu juga penyakit mental boleh kembali berlaku selepas menjalani rawatan. Sebagaimana penyakit kronik diabetes memerlukan sokongan orang di sekeliling, pesakit mental juga memerlukan sokongan moral orang sekeliling.

Oleh itu, penyakit kronik seperti diabetes, jantung, kanser bukan kerana lemahnya iman seseorang. Sebagaimana penyakit mental juga bukan tanda lemahnya iman seseorang.

Kita bantu mereka?

Pelbagai hasil penyelidikan membuktikan peluang pemulihan amat tinggi bagi pesakit mental yang berkecenderungan melakukan amalan kerohanian bersandarkan sumber agama melalui bimbingan asatizah bertauliah. Kemudian dipadankan dengan bimbingan kaunselor berdaftar dalam menguruskan emosi melalui terapi tertentu.

Anda mungkin boleh menjadi pendengar yang baik sekiranya mereka berkongsi masalah atau emosi tanpa menilainya. Jika pesakit ada menyatakan untuk membunuh diri, anda boleh menasihati mereka untuk merujuk kepada kaunselor berdaftar atau pihak bertauliah yang terdiri daripada pegawai psikologi (kaunseling dan klinikal), pakar perubatan kesihatan awam dan pakar psikiatri. Perkhidmatan ini mudah diperoleh di jabatan, agensi kerajaan dan swasta.

Kesimpulan

Penyakit mental berlaku dengan pelbagai faktor kehidupan seseorang. Pesakit yang cenderung amalan agama juga tidak terkecuali kerana penyakit mental tidak mengenal sesiapa. Berikan sokongan kepada pesakit untuk meneruskan amalan kerohanian daripada asatizah bertauliah dan mendapatkan rawatan psikoterapi daripada profesional supaya rawatan berjalan seiring. Hentikan stigma bahawa pesakit mental disebabkan lemah iman kerana penyakit mental adalah penyakit.

Reaksi pertama dan bahasa badan adalah penting kepada seseorang yang menyatakan berdepan dengan isu penyakit mental. Jangan menghukum mereka. Sampaikan kepada mereka bahawa anda bersedia di sisi. Tidak perlu takut kerana anda hanya perlu bantu mereka dirujuk kepada yang ahli. Pamerkan tindakan sedia untuk mendengar, juga kesediaan untuk membantu.

Sentiasa berikan mereka harapan religious comforting. Harapan keagamaan menyedarkan manusia bahawa agama bukan bersifat menghukum antara syurga atau neraka semata-mata, sehingga tidak mempedulikan isu psikologi manusia.