Wakaf peluang umat peroleh pahala berterusan

Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif

Perkataan wakaf dalam konteks bahasa Melayu sering dikaitkan dengan pondok yang digunakan untuk berhenti sejenak bagi tujuan berehat atau menunggu sesuatu. Ia biasanya berada di tepi jalan atau di tanah perkuburan.

Keberadaan wakaf dalam bentuk ini menunjukkan inisiatif bagi menyediakan kemudahan yang dimanfaatkan secara bersama.

Dalam konteks agama, wakaf ialah sebarang harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta berkenaan daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah (hadiah) dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

Secara amnya, wakaf terbahagi kepada dua, iaitu wakaf khas dan am. Wakaf khas adalah pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid dan sekolah agama, manakala wakaf am, pewakaf mewakafkan harta untuk kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan khusus.

Tujuan kebajikan itu dikenal pasti dari semasa ke semasa oleh jawatankuasa pemegang amanah seperti majlis agama Islam negeri yang diamanahkan untuk menguruskan wakaf am.

Dalam Islam, wakaf antara instrumen sumbangan, selain zakat dan sedekah. Dari aspek hukum, zakat ialah kewajipan, manakala wakaf dan sedekah hukumnya sunat.

Zakat dikeluarkan bagi tujuan pembersihan harta, sedangkan wakaf pula dilakukan menerusi harta disayangi dan bernilai.

Dalam konteks amalan sunat ini, wakaf memberikan ruang kepada kita untuk meletakkan harta disayangi tersebut kekal memberi manfaat kepada pemiliknya menerusi ganjaran pahala yang diraih sama ada ketika hidup atau selepas mati.

Sabda Nabi SAW: “Apabila mati seorang manusia, terputus daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya”. (Hadis riwayat Muslim).

Al-Khatib al-Syarbini berkata, ulama mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis berkenaan bermaksud wakaf.

Imam al-Rafi’i menegaskan pahala wakaf berterusan mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir seperti wakaf.

Jika diperhalusi daripada perbincangan itu, wakaf sebenarnya peluang untuk kita memastikan harta kesayangan yang dimiliki itu akan memberi manfaat kepada kita selamanya.

Ini dapat dijelaskan lagi menerusi kisah dalam hadis Anas Malik RA, diceritakan bahawa Abu Talhah ialah seorang sahabat Ansar memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’.

Apabila Allah SWT menurunkan ayat: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya,” (Ali Imran: 92), Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara harta yang paling saya sayangi adalah kebun Bairuha’. Harta itu saya sedekahkan (wakaf) untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)” (al-Bukhari).

Tindakan yang dilakukan Abu Talhah ini adalah gambaran jelas bagaimana harta kesayangan beliau diabadikan dengan cara berwakaf. Ia dilakukan dengan penuh ketakwaan dan semata-mata mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Sumbangan wakaf Abu Talhah ini menjadikan harta kesayangan berkenaan kekal abadi menjadi miliknya menerusi manfaat pahala yang sentiasa mengalir kepadanya.

Dalam kita mencari rezeki, terdapat simpanan atau aset tertentu yang dirasakan sangat bermakna serta disayangi.

Rasa sayang terhadap harta itu boleh diterjemahkan dengan cara memastikan manfaatnya dapat kita nikmati selama-lamanya secara berwakaf.

Hakikat pemilikan sesuatu harta adalah bergantung kepada sejauh harta berkenaan dapat dimanfaatkan pemiliknya. Jika kita memiliki sesuatu harta, namun tidak pernah dapat merasai manfaat daripadanya, maka ia seperti orang lain yang tidak memiliki sebarang harta.