• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,078 orang
  • Kandungan Blog

Menuju fasa terakhir dunia

Muhammad Saufi Hassan

Selangkah demi selangkah, tanpa kita sedar atau tidak, semakin hampir kita dengan pengakhiran kita iaitu ajal dan semakin hampir juga dengan pengakhiran dunia iaitu kiamat.

Umpama untaian kata yang sering berlegar dalam masyarakat Melayu, ‘setiap yang bermula pasti ada akhirnya’, setiap yang bernyawa pasti akan mati dan begitu juga dengan dunia ini.

Dunia ini akan tiba masanya menemui titik noktahnya apabila diizinkan oleh Allah SWT dan apabila sampai janji Yang Maha Esa tentang hari kebangkitan.

Jika ditelusuri kembali tanda-tanda kecil kiamat, ulama sependapat bahawa hampir kesemuanya sudah berlaku dan hanya berbaki beberapa tanda kecil saja sebelum menanti tanda besar kiamat.

Sebenarnya, terdapat lima fasa sebelum episod kiamat itu menjelma dan kini, kita hidup pada fasa keempat sebelum tibanya fasa akhir.

Ia sejajar dengan hadis Junjungan Mulia, Rasulullah SAW: “Akan datang kepada kalian masa kenabian dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Yang Maha Esa berkehendak menghapusnya.

“Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa raja diktator (pemaksa) dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, Baginda diam.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Untuk memberi kefahaman yang lebih mudah, fasa pertama adalah ketika Rasulullah SAW diutuskan iaitu fasa pemerintahan kenabian dan fasa itu sudah berlalu lebih 1,400 tahun sejak kewafatan Baginda SAW.

Sedar atau tidak, Baginda SAW sudah meninggalkan kita lebih 1,400 tahun yang lalu dan ia satu tempoh masa yang cukup panjang.

Selepas itu, fasa kedua adalah ketika era pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu terdiri daripada empat khalifah bermula daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA.

Tempoh pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin adalah sekitar 30 tahun dan berakhirnya pemerintahan berkenaan dengan memasuki fasa ketiga.

Pada fasa ketiga adalah pemerintahan ‘Mulkan Adhon’ iaitu pemerintahan yang menggunakan sistem monarki ataupun pewarisan takhta menerusi adik beradik, anak beranak dan sanak saudaranya.

Kaedah pemerintahan ini sudah kita saksikan selepas daripada era Khulafa’ Ar-Rasyidin dengan beberapa pemerintahan Islam secara monarki.

Tempoh pemerintahan ini berlaku dengan kemunculan Khalifah Umaiyyah (661-750M), selepas itu diganti oleh Khalifah Abbasiyah (750-1517M) dan akhirnya diganti oleh Khalifah Uthmaniyah (1299-1922).

Ketiga-tiga sistem pemerintahan berkenaan menggunapakai sistem pewarisan ketua kerajaan dan ia sejajar dengan hadis Nabi SAW yang menerangkan dengan kerajaan ‘Mulkan Adhon’.

Membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan, pemerintah pertama Kerajaan Umaiyyah adalah Saidina Muawiyah Abi Suffian RA dan sebelum kewafatan Muawiyah, beliau mewariskan kepada anaknya iaitu Yazid Muawiyah.

Memasuki fasa keempat, umat Islam akan diperintah sistem kerajaan yang zalim dan fasa ini dikenali sebagai ‘Jabriya’ dalam tempoh yang tidak diketahui.

Selepas itu, fasa kelima atau fasa akhir akan kembali kepada pemerintahan sistem kenabian atau ‘Minhajin Nubuwwah’ dengan kemunculan Imam Mahdi dan selepas itu akan berlakunya peristiwa kiamat.

1. Zaman Nubuwwah –  zaman kenabian. Dimulai dari zaman Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah kepada baginda Nabi Muhammad. 

2. Zaman Khilafah yang memimpin mengikut cara Nabi Muhammad. Pada zaman ini kepemimpinan dipegang oleh sahabat-sahabat Nabi SAW iaitu, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Mereka memimpin selama hampir 30 tahun. 

3. Zaman Mulkan Adhon – Bermulanya kerajaan Bani Umaiyah kemudian Bani Abbasiyyah dan berakhir dengan kerajaan Bani Uthmaniyyah di Turki yang runtuh pada tanggal 3 Mac 1924. 

4. Zaman Jabriya  – Bermaksud zaman kepimpinan yang zalim. Apabila runtuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah maka lahirlah kepemimpinan dunia secara paksaan seperti penjajahan ke atas negara-negara di dunia oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Jepun secara paksaan ketenteraan.

 Melihat kepada garis masa berkenaan, maka sudah jelaslah bahawa kita kini hidup dalam zaman yang penghujung di antara yang penghujung sementara menanti fasa kelima akan bermula dengan keizinan Allah SWT.

Inilah masanya untuk kita kembali bermuhasabah tentang apakah sudah cukup bekal yang ingin dibawa sekiranya fasa kelima itu berlaku yang akan memperlihatkan pelbagai tragedi fitnah termasuk keluarnya Dajal al-Masih.

Nabi SAW memberikan petunjuk jelas berhubung perjalanan manusia di muka bumi ini dan pastinya akan sampai suatu masa kita akan melihat setiap perkara yang sudah diingatkan oleh Baginda SAW.

Jika ditelusuri semula, setiap yang sudah berlaku dan akan berlaku sebenarnya sudah disabdakan oleh Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun yang lalu sebagai panduan kepada umatnya dan peringatan.

Penulis ingin mengingatkan kepada diri dan pembaca untuk bertaubat dan kembali kepada keredaan Allah SWT dalam menghadapi gelombang akhir zaman yang semakin dahsyat.

Menjiwai al-Quran sebagai pegangan hidup

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

ALHAMDULILLAH, kita telah pun berada pada minggu terakhir Ramadan. Begitu pantas masa berlalu untuk kita masuk ke fasa terakhir Ramadan. Bulan yang diturunkan kitab suci teragung, al-Quran. Majoriti ulama bersepakat bahawa ayat yang terawal diwahyukan kepada Rasulullah SAW adalah pada 17 Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah: ayat 185: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi semua manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dan yang salah.”

Penawar, keberkatan dan rahmat yang terkandung di dalam al-Quran bagi orang yang beriman tidak dapat disangkal lagi. Allah SWT berfirman: “Kemudian makanlah daripada segala jenis buah-buahan (yang engkau suka) serta turutlah jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu.” (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) berlainan warnanya yang mengandungi penawar bagi manusia (daripda pelbagai penyakit). Sesungguhnya yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan pemurahnya Allah) bagi orang yang mahu berfikir.” (Surah an-Nahl ayat 69)

Dalam kuliah ilmu As-Syeikh as-Sha’rawi al-Misry pernah mengungkapkan perbezaan di antara al-Quran dan kitab yang turun sebelumnya. Antaranya ialah:Kitab sebelumnya telah hilang ketulenannya, manakala al-Quran hingga kini dan akan datang sekalipun, masih kekal keasliannya. Hal ini diterangkan oleh al-Quran sendiri dalam Surah al-Hijr, ayat 9: “Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-zikr (al-Quran) dan Kami jualah yang menjaganya (daripada terpesong).”Al-Quran ditujukan kepada seluruh alam dan umat manusia manakala kitab terdahulu hanya untuk golongan atau umat tertentu. Allah SWT berfirman dalam Surah ali Imran ayat 183: “Itulah keterangan yang jelas untuk semua manusia, sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang yang bertakwa.”Al-Quran merumuskan ajaran akidah dan keesaan Allah SWT dalam kitab terdahulu serta mengukuhkan kebenaran ajaran sebenar yang asalnya terdapat di dalam kitab terdahulu.Semua kitab terdahulu menggunakan bahasa kaum masing-masing yang kini sudah pupus sejak ribuan tahun dahulu, manakala al-Quran menggunakan bahasa Arab yang mempunyai nilai sastera dan retorik tiada tandingannya. Bahasa ini digunakan hingga kini oleh jutaan umat Islam di dunia ini sama ada Arab atau bukan Arab di pelbagai peringkat pengajian dan dalam kalangan masyarakat awam.

Justeru, tidak disangkal lagi bahawa al-Quran akan menjadi pembela kepada mereka yang mengamalkannya di sepanjang hidupnya. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk sentiasa membaca al-Quran dan menghayatinya kerana amalan ini bakal menjadi syafaat kepada pembacanya pada akhirat kelak. Hadis daripada Abu Umamah RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafaat (pertolongan) kepada orang yang membacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut bekas Pensyarah Universiti Malaya, Dr Mohd Fauzi Deraman, menyatakan al-Quran kitab suci istimewa yang suruhan dan larangan Allah bukan saja disampaikan dengan ayat secara terus, tetapi ada juga yang disampaikan melalui kiasan atau perumpamaan seperti kisah Nabi Musa, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Selain itu, beliau juga menjelaskan tentang wujudnya makhluk atau perkara ghaib iaitu sesuatu yang manusia tidak nampak dengan mata, tetapi umat Islam wajib mempercayainya. Antaranya perihal syurga, neraka, malaikat, iblis, syaitan, jin, dosa, pahala dan sebagainya. Kita wajib mempercayainya tanpa sebarang alasan dan syak wasangka sebagai bukti keimanan kepada Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 2: “Itulah kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang kesempurnaannya, ia menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa.”

Bak kata pepatah Melayu, ‘tak kenal, maka tak cinta.’ Antara fakta menarik tentang al-Quran yang perlu kita ketahui, antaranya ialah:Jumlah ayat di dalam al-Quran ialah 6,236 (menurut Ibnu Abbas RA)Jumlah juzuk al-Quran adalah 30 juzukJumlah surah di dalam al-Quran adalah 114Jumlah ayat Basmalah dalam al-Quran adalah 114Surah yang mempunyai dua Basmalah di dalamnya ialah surah an-NamlSurah yang tidak dimulakan dengan Basmalah ialah surah at-TaubahSurah pertama di dalam al-Quran ialah surah al-FatihahSurah terakhir di dalam al-Quran ialah surah an-NasWahyu pertama yang diturunkan adalah awal Surah al-‘AlaqSurah lengkap pertama yang diturunkan ialah Surah al-MuddatthirWahyu terakhir yang diturunkan adalah ayat 281 Surah al-BaqarahSurah lengkap terakhir yang diturunkan ialah Surah an-Nasr (mengikut Ibnu Abbas RA)Surah terpanjang dalam al-Quran ialah Surah al-BaqarahSurah terpendek dalam al-Quran ialah Surah al-KautharAyat terpanjang dalam al-Quran adalah ayat 282 Surah al-BaqarahAyat terpendek dalam al-Quran adalah ayat 1 Surah al-Fajr /Surah al-‘AsrAyat sajadah dalam al-Quran ada 14 ayatSurah yang mempunyai dua ayat sajadah ialah Surah al-HajSurah pertama yang mengandungi ayat sajadah ialah ialah Surah al-A’rafSurah terakhir yang mengandungi ayat sajadah ialah surah al-‘AlaqSurah yang terletak di pertengahan al-Quran ialah Surah al-KahfiBilangan muka surat al-Quran ialah 604 muka suratTajuk surah al-Quran majoriti daripada kata nama (110 nama) manakala dua daripada huruf (Sod dan Qaf), dua lagi daripada kata kerja (fussilat dan ‘Abasa).

Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat beberapa kaum dengan kitab ini (al-Quran) serta menurunkan darjat kaum yang lain dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini jelas membuktikan bahawa membaca al-Quran dengan hati yang tenang dapat mengubah perilaku seseorang daripada tidak baik kepada yang lebih baik. Baginda Rasullulah SAW pernah bersabda: “Sebaik- baik manusia adalah yang membaca dan mempelajari al-Quran serta mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kelebihan membaca al-Quran juga dapat difahami melalui hadis Nabi saw yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang Alif, Lam, Mim itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, hadis Aisyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mahir dengan bacaan al-Quran maka dia bersama para malaikat yang mulia dan taat. Sedangkan orang yang membaca al-Quran dan ia berasa susah dalam bacaannya (tidak lancar), tetapi ia sentiasa berusaha maka dia mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kelepasan daripada api neraka berkat Ramadan

Dr Mohd Khafidz Soroni

ANTARA keistimewaan besar Ramadan ialah Allah SWT melepaskan dalam bulan ini ramai orang daripada api neraka. Selain kerana keluasan rahmat Allah SWT, ia mungkin disebabkan ibadah puasa yang mereka laksanakan dengan benar-benar ikhlas itu diterima oleh-Nya, di samping amal soleh lain dilakukan pada bulan mulia.

Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ada bagi Allah Azza Wajalla ketika setiap waktu berbuka orang yang dibebaskan (daripada api neraka) dan demikian berlaku pada setiap malam.” (Riwayat Ibn Majah dengan sanad hasan)

Hadis yang semakna turut diriwayatkan daripada Abu Umamah RA (Riwayat Ahmad dengan sanad hasan) dan juga Abu Hurairah RA (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Baihaqi). Semua hadis ini jelas menunjukkan terdapat orang yang dilepaskan daripada api neraka pada setiap malam Ramadan.

Namun, tidak dinyatakan dalam hadis berkenaan jumlahnya secara jelas.

Bagaimanapun, terdapat dalam beberapa hadis daif yang menyebut bilangan orang yang dilepaskan itu. Satu daripadanya menyebut bilangannya setiap hari ialah satu juta orang manakala hadis yang lain menyebut bilangannya setiap hari ialah 60,000 orang. Oleh kerana perkara ini hanya berkaitan at-targhib wat tarhib (galakan dan ancaman), maka hadis daif seperti ini boleh sahaja digunakan. Tidak menjadi kesalahan sebenarnya bagi penceramah atau pendakwah untuk menyebut dengan lafaz tamridh (ketidak pastian) mana-mana bilangan itu bagi memberi galakan kepada masyarakat untuk giat beramal ibadah.

Bahkan, tokoh ‘ilal hadis tersohor, al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif pernah menjadikan satu daripadanya sebagai penjelasan lanjut kepada hadis yang berbunyi: “Ia (Ramadan) adalah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan daripada api neraka.” Meskipun hadis daif ini dikatakan bercanggah dengan dalil yang menunjukkan ‘seluruh Ramadan itu adalah rahmat, keampunan dan kebebasan daripada api neraka’, namun al-Hafiz Ibn Rajab melihat matan hadis berkenaan boleh dijelaskan dengan tafsiran yang munasabah dan tidak bercanggah.

Dalam mengulas frasa hadis: “akhirnya, kelepasan daripada api neraka”, Ibn Rajab berkata: “Adapun akhir bulan, maka akan dilepaskan daripada api neraka orang yang dirantai oleh dosanya dan patut masuk ke neraka kerana melakukan dosa besar. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas RA: ‘Ada bagi Allah pada setiap malam daripada Ramadan ketika waktu berbuka satu juta orang yang dilepaskan daripada api neraka, yang setiap mereka patut masuk ke neraka. Apabila tiba malam terakhir Ramadan pula, Allah akan melepaskan pada hari itu sebanyak bilangan yang Dia telah bebaskan dari awal hinggalah akhir bulan’. Ia dikeluarkan oleh Salamah bin Syabib dan lain-lain.”

Menurut takhrij al-Hafiz al-Munziri dalam at-Targhib wa at-Tarhib: “Ia diriwayatkan oleh Abu as-Syaikh Ibn Hayyan dalam kitab at-Thawab dan al-Baihaqi serta tiada pada sanadnya perawi yang disepakati sebagai daif.”

Apa yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Rajab ialah walaupun setiap hari Ramadan terdapat orang yang dilepaskan daripada api neraka, namun bilangan mereka berlipat kali ganda ramainya pada akhir Ramadan sesuai dengan frasa: “akhirnya, kelepasan daripada api neraka.” Walaupun status hadis Ibn Abbas RA itu daif, namun praktis Ibn Rajab menunjukkan hadis daif boleh digunakan sebagai penjelasan kepada hadis yang sedang dibicarakan.

Pada riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman pula disebutkan bahawa pada setiap malam Ramadan seramai 60,000 orang yang dilepaskan daripada api neraka. Apabila tiba hari Aidilfitri pula jumlah itu digandakan sebanyak 30 kali ganda. Namun, pada sanad hadis terdapat perawi yang dipertikaikan kredibilitinya iaitu Nasyib bin Amr as-Syaibani.

Al-Hafiz al-Munziri yang melihat Imam al-Baihaqi merekodkan dalam sanadnya bahawa perawi tersebut dinilai sebagai thiqah, kuat berpuasa dan berqiyam, maka beliau mengulas: “Ia adalah hadis hasan, tiada halangan dengannya pada situasi mutaba’at (sokongan). Pada sanadnya terdapat Nasyib bin Amr as-Syaibani yang dikatakan thiqah, namun ad-Daraqutni mengkritiknya.”

Penulis berpendapat, tidak salah bagi penceramah atau pendakwah yang tidak ahli dalam seni hadis untuk bertaklid dengan penilaian al-Hafiz al-Munziri ini. Walaupun al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan dalam Lisan al-Mizan, ia tambahan munkar (yakni riwayat perawi daif menyalahi riwayat perawi thiqah), tetapi dalam Mukhtasar al-Targhib wa al-Tarhib hasil susunannya, beliau masih tetap memuatkan hadis ini dan tidak membuangnya kerana beliau tahu fungsinya sebagai at-targhib wat tarhib sahaja!

Kejar ibadah akhir Ramadhan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Sebagaimana kebiasaan setiap tahun menjelang akhir Ramadan, orang ramai sibuk melakukan persiapan menyambut ketibaan hari raya. Para peniaga sama ada di bazar Aidilfitri atau platform dalam talian melancarkan pelbagai promosi menarik minat pembeli bagi memastikan produk masing-masing laris dijual.

Lagu hari raya berkumandang dalam pelbagai versi. Sebahagian masyarakat pula sibuk berpolemik tentang tarikh hari raya dan semakin galak berteka-teki, bimbang hari raya mengejut lagi. Tanpa disedari Ramadan semakin berlalu pergi. Hakikatnya, orang mukmin yang benar-benar mendambakan kedatangan Ramadan, merebut peluang dan kesempatan yang masih berbaki untuk melaksanakan amal ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara amalan terbaik yang boleh dilakukan di penghujung Ramadan adalah beriktikaf di masjid. Walaupun iktikaf atau berdiam dalam masjid boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun amat digalakkan di dalam bulan Ramadan terutama di sepuluh malam terakhir.

Iktikaf menurut pandangan syarak bermaksud menetap dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT yang dilakukan oleh seorang Muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan menghalang diri dari syahwat kemaluan.

Rasulullah SAW melazimi amalan beriktikaf sehingga kewafatan baginda untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memohon ganjaran dan keampunan daripada-Nya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA beliau berkata maksudnya: “Adalah baginda SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan sehingga baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.” (Riwayat Muslim)

Amalan beriktikaf ada hikmah besar kerana menghidupkan sunnah Rasulullah SAW serta menjinakkan hati Muslim agar selalu melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Aku telah beriktikaf sejak sepuluh hari awal bulan untuk mendapatkan Lailatulqadar, kemudian aku beriktikaf sepuluh hari yang pertengahan. Kemudian Jibril datang kepadaku dan mengatakan Lailatulqadar terdapat di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Sesiapa yang ingin beriktikaf, maka beriktikaflah (untuk mencari malam tersebut). Maka sahabat pun beriktikaf bersama Baginda.” (Riwayat Muslim)

Kebanyakan masjid di seluruh negara menganjurkan amalan beriktikaf dan qiamullail terutama pada 10 malam terakhir Ramadan bagi memburu Lailatulqadar. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)

Waktu terbaik menunaikan Qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun tidur dan mengambil wuduk, disunatkan terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat lain seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih dan solat sunat witir. Justeru, antara amalan lain boleh dilakukan semasa iktikaf di masjid termasuk membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.

Allah SWT menetapkan syarat tertentu bagi mereka yang beriktikaf di masjid sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka jangan kamu hampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.” Di dalam Surah al-Baqarah ayat 125 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud.”

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala dan kelebihan kepada mereka yang beriktikaf di masjid kerana menjadi antara ibadah yang disyariatkan.

Dalil pensyariatan tersebut berdasarkan hadis daripada Abdullah Ibn Umar beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut pandangan al-Imam al-Nawawi, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah yang sangat dituntut. Beriktikaf disunatkan pada bila-bila masa dan lebih-lebih lagi dituntut dilaksana pada sepuluh hari terakhir Ramadan dengan niat mengikuti sunnah baginda Nabi Muhammad SAW.

Penuhilah ruang waktu beriktikaf dengan amalan qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, bermunajat dan berdoa terutama doa keampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Antara doa yang digalakkan adalah yang ringkas dan padat sebagaimana hadis daripada Aisyah RA bahawa beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan? Baginda bersabda maksudnya, “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam sebuah hadis lain daripada Aisyah RA katanya bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya).” (Riwayat Muslim)

Tahun ini kebanyakan masjid kembali membuka ruang kepada para jemaah beriktikaf selepas lebih 3 tahun pandemik Covid-19 melanda negara. Bahkan masjid utama dan terkemuka di seluruh dunia seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi membenarkan orang ramai beriktikaf dalam bulan Ramadan.

Di Wilayah Persekutuan, masjid-masjid menyediakan pelbagai kemudahan seperti ruangan rehat, juadah iftar dan sahur percuma untuk jemaah yang beriktikaf. Sebahagian masjid mengambil inisiatif menganjurkan program khusus seperti iktikaf perdana bagi menggalakkan orang ramai melipatgandakan amalan pada malam tersebut.

Jadual imam jemputan disusun khas sempena program bagi memimpin ibadah qiamullail. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula menganjurkan Qiamullail Perdana malam ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Pada saat dan ketika umat Islam di bumi Palestin berterusan dikasari regim Zionis Israel sewaktu beribadah di Masjid al-Aqsa dalam bulan Ramadan, kita seharusnya mendoakan keselamatan buat mereka serta bersyukur dan memanfaatkan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya kerana dapat menunaikan ibadah dan beriktikaf di masjid dalam negara tercinta dengan suasana penuh damai dan sejahtera.

Hikmah dirahsiakan malam lebih baik daripada 1,000 bulan

Dr Azri Bhari

MASYARAKAT Islam di seluruh dunia sudah berada di penghujung Ramadan tahun ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi bakal meninggalkan dan berpisah dengan bulan sangat mulia lagi berkat.

Setiap individu dianjurkan meraih peluang meningkatkan amal ibadah ketika di ambang 10 malam terakhir kerana terdapat satu malam istimewa yang disebut lailatulqadar sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran lailatulqadr itu? Lailatulqadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 1-5)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir Ramadan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut.” (Riwayat Ibnu Hibban: no.3436)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari: no.2017)

Terdapat beberapa amalan soleh yang dianjurkan untuk dilakukan dan diperbanyakkan pada 10 malam terakhir Ramadan seperti melaksanakan ibadah qiamullail, tahajud, witir, iktikaf, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Sekiranya di bulan selain Ramadan kurang melaksanakan amalan sunah, maka inilah masa untuk masyarakat Islam bersungguh-sungguh dalam beribadah supaya Allah SWT menggandakan pahala amalan kepada yang berpeluang dan direzkikan mendapatkan lailatulqadr.

Terdapat beberapa tujuan dan hikmah di sebalik kerahsiaan berlaku lailatulqadar kepada masyarakat Islam supaya terus memburu dan mencari malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

Pertama,  menzahirkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT berhak mengatur dan merancang setiap sesuatu tanpa campur tangan sesiapa pun. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu dan perkara yang telah diciptakan termasuklah waktu lailatulqadr.

Ilmu Allah SWT sangat luas dan mustahil dikuasai oleh manusia atau makhluk ciptaan-Nya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 30)

Ayat-ayat di atas membuktikan bahawa ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia amat terbatas. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu perkara sama ada yang nyata mahupun tersembunyi.

Kedua,  memastikan manusia kekal fokus dan sentiasa berterusaan dalam keadaan beribadah kepada Allah SWT. Sekiranya tidak diketahui bilakah berlaku lailatulqadar secara spesifik, menjadikan seseorang terus beribadah pada semua malam dan tidak hanya pada malam tertentu sahaja. 

Demikianlah, sikap dan keseriusan orang soleh terdahulu sibuk dengan melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir untuk mendapatkan lailatulqadar.

Istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan perintah Allah adalah suatu tuntutan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku).” (Surah Yunus: 89)

Ketiga,  berpeluang melipatgandakan amalan dan pahala. Sekiranya, lailatulqadr telah diketahui, sudah tentu sikap segelintir individu akan mengabaikan waktu malam yang lain pada Ramadan daripada beribadah.

Justeru itu, Allah SWT telah merahsiakan waktu berlaku lailatulqadar bagi memberi pahala yang berlipat ganda kepada hamba-Nya yang sentiasa berusaha beribadah dan konsisten berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 3)

Keempat,  mencegah dan memelihara manusia daripada melakukan maksiat. Segelintir individu tidak dapat menahan dan mengawal diri daripada melakukan perbuatan maksiat yang boleh merugikan diri sendiri.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Semua anak Adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” (Riwayat Ibn Majah: no.4392)

Betapa bahaya dan malangnya sekiranya seseorang mendapatkan lailatulqadar, namun masih berani bergelumang dengan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Ramadan adalah bulan yang terbaik bagi seseorang hamba yang mahu diampunkan semua dosa. Namun, terdapat segelintir yang cukup rugi apabila memasuki Ramadan, tetapi dosa tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali).” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin.” (Riwayat Ibn Hibban: 907)

Demikianlah, masyarakat Islam perlu bermuhasabah terhadap semua amalan dalam setiap detik kehidupan yang dilalui dan seterusnya bertaubat kepada Allah SWT di atas setiap dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.

Perlu disedari bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Justeru, peluang keemasan yang disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

Rebut 83 tahun beribadat malam al-Qadar

Fadly Samsudin

Kita sudahpun memasuki fasa terakhir bulan Ramadan. Beruntunglah kepada sesiapa yang bersungguh-sungguh memanfaatkan masa dari awal Ramadan sehingga saat ini dengan mempertingkatkan amal ibadat.

Satu kerugian besar buat golongan yang bersungguh-sungguh pada awalnya, namun ‘kecundang’ pada penghujung Ramadan.

Dalam Kitab Muqasyafah al-Qulub, karangan Imam Al-Ghazali, Nabi Muhammad SAW ada menceritakan seorang lelaki bernama Sam’un.

Lelaki berkenaan daripada Bani Israel yang berjihad fisabilillah dengan mengangkat senjata selama seribu bulan. Apabila Nabi menceritakan kepada sahabat, mereka berasa cemburu dan ingin beribadat sepertinya.

Jelas kepada kita, umat terdahulu dikurniakan Allah SWT umur yang panjang serta tubuh badan yang besar dan kuat.

Umat Nabi Muhammad SAW pula usia mereka hanya sekitar 60 hinggga 70 tahun saja. Sepertimana dinyatakan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun. Dan sangat sedikit antara mereka yang melewati itu.”

Jika kita hendak menandingi ibadat umat terdahulu, memang tidak akan terlawan. Sebab itu, bulan Ramadan Allah SWT kurniakan buat umat Nabi Muhammad supaya mereka dapat beribadat, seterusnya berpeluang beramal sama nilainya dengan amalan umat terdahulu.

Bagaimanapun, Nabi berkata separuh umat di dalam syurga kelak adalah datangnya daripada umatnya. Sungguh bertuah kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW

Semua itu dapat dinikmati umat Islam sekiranya mereka benar-benar berusaha mendapatkan ganjaran diberikan pada malam lailatulqadar.

Pada malam itu, sesiapa berpeluang beribadat, ganjarannya seperti beribadat selama 1,000 bulan.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah al-Qadr, ayat 1-4)

Masalah yang membelenggu umat Islam adalah setiap kali tibanya Ramadan mereka tidak bersedia dengan ilmu dan tidak tahu apa yang penting untuk dilakukan. Ada yang meremehkan perkara wajib dalam bulan Ramadan. Contohnya, mereka bersemangat pergi ke masjid untuk melaksanakan solat sunat Tarawih, namun solat wajib mereka abaikan.

Apabila sampai matlamatnya untuk menunaikan solat sunat Tarawih, namun amalan itu tidak disempurnakan dengan sebaiknya. Ramai jemaah apabila tiba saja solat witir, masing-masing meluru keluar dan tidak menyempurnakan solat sunat witir bersama imam.

Seperti biasa berlaku setiap tahun, pada malam akhir-akhir Ramadan kehadiran jemaah mula semakin berkurangan.

Bayangkan, solat fardu Allah SWT akan gandakan pahala sehingga 70 kali ganda. Itu jika dikira bagi seorang yang melaksanakan solat sendirian.

Bagi mereka yang tahu betapa besarnya pahala berjemaah, sudah pasti mereka tidak akan melepaskan peluang itu walaupun sehari.

Apatah lagi sekiranya berpeluang solat pada malam lailatulqadar, ganjarannya seperti beribadat hampir 83 tahun yang usia kita pada akhir zaman ini tidak ramai yang mampu sampai ke tahap itu.

Maka, siapa yang menjaga hari-hari terakhir bulan Ramadan ini dengan ibadat, pasti mereka dapat peluang memperoleh ganjaran pahala seperti yang ditawarkan itu.

Ibnu Umar berkata, “Sesungguhnya seseorang sahabat Rasulullah SAW bermimpi bertemu lailatulqadar dalam tidurnya pada hari terakhir daripada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku melihat mimpimu dan sungguh lailatulqadar itu turun pada tujuh hari terakhir pada bulan Ramadan. Sesiapa yang sengaja mencarinya, carilah pada tujuh hari terakhir pada bulan Ramadan.” (Musnad Ahmad)

Selain itu, umat Islam tidak boleh lepaskan peluang beribadat pada malam 27 Ramadan. Perkara itu berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW daripada Ubai bin Kaab yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama cuba menentukan lailatulqadar dengan cara lain iaitu menggunakan rumusan khusus. Ibnu Abbas berkata, Surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah.

Kata ‘salamun hiya’ (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Bagaimanapun, untuk memastikan kita tidak terlepas beribadat pada malam lailatulqadar, jagalah 10 malam terakhir ini dengan sebaiknya.

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama itu sebenarnya adalah satu kenyataan tidak ada satu dalil yang jelas menunjukkan bila malam itu berlaku.

Bagaimanapun, sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah, malam itu berlaku pada 10 malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah Al-Zuhayli, sebab dirahsiakan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadat pada setiap malam tanpa menumpukan pada malam tertentu saja.

Justeru, pastikan kita jadualkan dengan baik 10 malam terakhir ini supaya ia tidak berlalu begitu saja tanpa dihiasi dengan amal ibadat.

Syukur kita diberi nikmat kejar pahala bulan Ramadhan

CATATAN sejarah Islam menunjukkan antara perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah selepas berhijrah dari Mekah ialah mendirikan masjid. Hal ini menunjukkan kepentingan sebuah institusi yang menjadi tempat utama penyebaran Islam. Semua aktiviti umat Islam tertumpu
di masjid dan ia tidak hanya melibatkan pelaksanaan ibadah khusus sahaja, sebaliknya semua aktiviti umat Islam berpusat di masjid. Oleh itu, masjid perlu sentiasa diimarahkan agar ia menjadi syiar yang menunjukkan kehebatan umat Islam.

Seperti berlaku pada tahun sebelum ini, setiap masjid di negara kita ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan. Tidak seperti bulan lain, jumlah kehadiran jemaah ke masjid pada bulan Ramadan meningkat secara mendadak. Sudah pasti mereka yang datang ke masjid meyakini bahawa Allah SWT sedang membuka pintu rahmat-Nya untuk sesiapa sahaja yang beribadah kepada-Nya.

Kebiasaannya sebelum masuk waktu Subuh, masjid mula dihadiri jemaah yang baru selesai bersahur. Keadaan ini berterusan sehingga lewat malam dengan solat Tarawih, tadarus al-Quran, qiyamullail dan sebagainya. Inilah satu senario hebat berlaku dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya keberkatan Ramadan serta ganjaran yang diberikan Allah SWT benar-benar dapat menarik minat umat Islam yang mampu memahaminya.

Kita perlu menginsafi diri sendiri sama ada kita termasuk dalam kategori orang yang berlumba-lumba mengimarahkan masjid atau sebaliknya. Setiap Muslim perlu mengambil peluang mengimarahkan rumah Allah SWT. Pastikan diri cuba untuk berada di masjid atau surau setiap hari, meskipun hanya seketika. Usah lepaskan peluang untuk menjadi hamba-Nya yang berusaha mengimarahkan masjid terutama pada bulan Ramadan.

Termasuk dalam perkara yang sangat baik sekiranya kita dapat berusaha untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Cubalah pergi ke masjid apatah lagi apabila kita tidak disibukkan urusan makan dan minum pada bulan Ramadan. Bagi yang bekerja, solat fardu Zuhur antara yang boleh diusahakan untuk dilaksana secara berjemaah di masjid. Sesungguhnya pahala besar dijanjikan Allah SWT bagi mereka yang dapat menunaikan solat fardu secara berjemaah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain solat fardu, banyak amal ibadah sunat laing boleh dilakukan secara berjemaah di masjid dalam bulan Ramadan. Antara ibadah sunat hanya terdapat dalam bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawih. Dari sudut bahasa, ‘Tarawih’ bermaksud berehat atau bersenang-senang. Ini bermakna, solat sunat ini merupakan satu ibadah yang dilakukan dengan tertib dan tenang meskipun bilangan rakaatnya banyak.

Oleh itu, ingin disarankan agar para imam tidak tergesa-gesa semasa mengetuai jemaah menunaikan solat Tarawih. Ia perlu dilakukan secara tertib lebih-lebih lagi bagi meraikan situasi para jemaah yang baru sahaja berbuka puasa. Ada juga masjid memanfaatkan masa rehat semasa solat Tarawih dengan sesi tazkirah ringkas. Usaha ini perlu diberi pujian dan dijadikan ikutan agar majlis ilmu tidak dilupa kerana setiap amal ibadah perlu didasari ilmu.

Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka yang berusaha menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” (Hadis riwayat Muslim)

Tadarus al-Quran juga antara ibadah yang banyak diadakan di masjid. Ada yang mengadakannya selepas setiap solat fardu, tidak kurang juga mengadakannya selepas selesai solat sunat Tarawih. Amalan baik ini juga perlu kita sertai agar Ramadan dapat diisi dengan ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT. Setiap daripada kita usah takut dengan kualiti bacaan al-Quran masing-masing kerana dengan tadarus al-Quran, ia menjadi satu platform terbaik untuk memperbaiki mutu bacaan di samping mengambil pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

Dalam soal mengimarahkan masjid, satu perkara yang ingin disentuh ialah berkenaan dengan penglibatan anak-anak kecil dengan aktiviti-aktiviti di masjid. Usaha ibu bapa membawa anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan ibadah merupakan satu usaha yang baik. Anak-anak perlu diberi didikan sejak dari peringkat awal agar hati mereka sentiasa suka melakukan ibadah.

Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau menyatakan: “Rasulullah bangun solat malam dan aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam masa yang sama, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan anak-anak agar tidak membuat bising dan mengganggu para jemaah dalam masjid yang sedang melakukan ibadah. Masyarakat juga perlu menegur anak-anak ini dengan cara terbaik agar mereka tidak merasa tersisih ketika berada di masjid. Sememangnya tabiat kanak-kanak perlu ditangani dengan penuh bijaksana, bukan dengan herdikan dan tengkingan yang memalukan.

Jika dikenang kembali, kita pernah terhalang daripada mengimarahkan masjid dan surau semasa negara dilanda Covid-19. Kita tidak dapat pergi ke masjid dan surau termasuk pada bulan Ramadan. Maka sedarlah kali ini kita terus dikurniakan nikmat untuk meraih pahala berada dalam masjid dan surau melaksanakan ibadah secara berjemaah dengan saudara seagama Islam yang lain. Inilah nikmat kurniaan Allah SWT yang wajib disyukuri oleh seluruh umat Islam.

Sebenarnya terlalu banyak aktiviti dianjurkan oleh pihak masjid sepanjang bulan Ramadan. Usah kita lepaskan peluang yang terbuka luas ini untuk sama-sama menghidupkan masjid sepanjang bulan Ramadan. Mudah-mudahan, hasil daripada tarbiah Ramadan ini akan menjadi titik permulaan untuk mendidik diri agar terus mengimarahkan masjid pada bulan-bulan selepas Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran berkenaan para hamba yang mengimarahkan rumah-Nya iaitu masjid dan surau dengan maksud: “Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Tanda kedatangan Lailatul Qadar

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

LAILATUL Qadar adalah satu malam pada Ramadan. yang keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Perkara ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 – 2)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat itu, ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.

Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara.

Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran.

Kedua, pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai Lailatul Qadar kerana pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Perkara ini sesuai dengan hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari Lailatul Qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh.”

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil daripada sepuluh malam akhir Ramadan.”

Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satu malam pada Ramadan. Ia adalah sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan al-mubarak.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-

  • Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan;
  • Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;
  • Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;
  • Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);
  • Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;
  • Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;
  • Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan
  • Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya;
  • Bagaimanapun berkaitan Lailatul Qadar, ulama sepakat mengatakan bahawa ada beberapa tanda apabila berlakunya malam itu, antaranya:
  • Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah;
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan;
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka; dan
  • Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.
  • Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Perbanyakkan masa di masjid sempena Ramadhan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Saban tahun masjid dan surau di seluruh negara menawarkan pelbagai program menarik untuk meningkatkan kekuatan ruhiyah umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Antara ibadah utama yang hanya ada pada bulan Ramadan adalah solat sunat Tarawih. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, ketetapan dibuat kepada seluruh masjid dan surau agar mendirikan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat supaya dapat merebut sebanyak mungkin ganjaran pahala yang dijanjikan. Walau bagaimanapun ketetapan berkenaan bukanlah suatu perkara yang perlu diperdebatkan sehingga akhirnya ibadah tersebut ditinggalkan. Hakikatnya, ganjaran pahala dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua hamba yang bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan ibadah kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

Bagi mereka yang berpeluang menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, solat tersebut dipimpin oleh imam jemputan yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang merdu dan mengasyikkan pada setiap malam. Kemudahan parkir kenderaan disediakan mengikut kategori bilangan rakaat agar tidak menyukarkan orang lain yang berhajat untuk pulang lebih awal. Hubungan persaudaraan sesama manusia juga mesti sentiasa dipelihara di samping beribadah mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdirrahman Muadz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskan (keburukan). Dan pergauilah manusia dengan akhlak yang mulia” – (Riwayat Al-Tirmizi).

Selain itu, pihak masjid juga menyediakan kemudahan penjagaan anak-anak kecil sementara ibu bapa menunaikan solat sunat Tarawih. Begitu sekali masjid meraikan dan mengalu-ngalukan kedatangan jemaah di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. 

Kebanyakan masjid dan surau menganjurkan aktiviti tadarus al-Quran lazimnya selepas selesai solat sunat Tarawih atau waktu lain yang bersesuaian. Oleh itu, luangkanlah sedikit masa untuk memperbaiki mutu bacaan al-Quran serta menghayati terjemahannya. Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim)

Sebaik-baiknya aktiviti tadarus juga disusuli dengan tadabur al-Quran selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Sod ayat 29 yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.”

Umat Islam perlu bertadabur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran agar petunjuk yang diberikan dapat memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. 

Kegiatan sedekah dan infaq semakin rancak diadakan di masjid dan surau sepanjang Ramadan. Umat Islam amat digalakkan untuk memberikan sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan serta menjauhi sifat meminta-minta. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.” (Riwayat Muslim)

Bagi yang berkemampuan, rebutlah peluang untuk menyertai program infaq atau penajaan berbuka puasa yang diatur atau hulurkanlah derma sekadar kemampuan. Kini, pelbagai cara dan kaedah disediakan oleh pihak masjid dan surau untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan seperti mesin kios dan lain-lain kemudahan dalam talian.

Sebahagian masjid dan surau melaksanakan amalan tradisi menyediakan iftar atau juadah berbuka puasa secara percuma setiap hari kepada ahli kariah yang memerlukan. Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, 70 masjid dan surau terpilih melaksanakan program Iftar Rahmah Ramadan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan. Kurangkanlah budaya mengunjungi bazar Ramadan agar dapat mengelakkan daripada perbelanjaan mengikut hawa nafsu yang akhirnya terjerumus kepada pembaziran. Mengunjungi bazar Ramadan bukan suatu kesalahan dengan niat membantu peniaga dan merancakkan kegiatan ekonomi dalam kalangan rakyat, namun perbelanjaan haruslah dibuat secara berhemah dan mengikut keperluan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Masjid-masjid turut menganjurkan amalan beriktikaf dan qiamullail terutamanya pada 10 malam terakhir bulan Ramadan bagi memburu lailatul qadar. Di dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibn Umar RA beliau berkata maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (Riwayat Al-Bukhari).

Di dalam hadis lain daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.”  (Riwayat Muslim)

Waktu terbaik menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, Taubat, Tasbih dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.

Daripada berterusan berpolemik tentang amalan menziarahi rumah ibadat agama lain, marilah kita merebut peluang untuk menziarahi masjid dan surau dalam kariah masing-masing atau sesekali mengunjungi masjid lain yang berhampiran bagi menghidupkan Ramadan dan menghayati kemanisan beribadah di bulan yang dinanti-nantikan. Utamakanlah aktiviti mengimarahkan masjid dan surau kerana ia tempat terbaik untuk dikunjungi. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi yang mengimarahkan masjid sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.”

Ganjaran sedekah Ramadhan berlipat ganda

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Sedekah merupakan satu bentuk amalan berkongsi rezeki dengan orang lain. Salah satu amalan istimewa yang digalakkan oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan berganda pada bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya untuk banyak bersedekah dan membantu orang yang susah dan golongan asnaf. Allah SWT berfirman dalam  surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:  “Wahai orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan untukmu.”

Kehadiran Ramadan yang mulia saban tahun adalah satu anugerah yang sangat agung buat orang yang beriman. Betapa banyaknya keistimewaan yang disediakan pada bulan ini. Pahala dicurahkan, keampunan dan rahmat Allah SWT dibentangkan memenuhi setiap ruang dan waktu sepanjang berpuasa. Seseorang yang berasa bahawa amalannya tidak cukup pada hari biasa, perlu berusaha bersungguh-sungguh mencari ganjaran pahala yang melimpah ruah dengan kedatangan bulan Ramadan terutama melalui sedekah.

Jelas bahawa Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Ketahuilah bahawa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah SWT, sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memberi, Allah mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia dan membenci perbuatan yang buruk.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Dunia itu adalah untuk empat golongan hamba: antaranya hamba yang diberikan rezeki oleh Allah SWT serta kefahaman terhadap ilmu agama. Dia bertakwa kepada Allah SWT dalam menggunakan hartanya dan digunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyedari hak Allah yang ada pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Allah SWT benar-benar memuliakan orang yang bersedekah. Ia menjanjikan balasan yang menakjubkan bagi orang yang gemar bersedekah hingga 700 kali ganda jika di luar Ramadan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261). Ini menunjukkan jika ia dilakukan dalam bulan Ramadan sudah tentu ganjaran berlipat ganda daripada apa yang dijanjikan Allah SWT dalam bulan biasa.

Antara kelebihan bersedekah:

1. Sedekah dapat menghapus dosa. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat at- Tirmidzi).  Dosanya diampunkan oleh Allah SWT dengan asbab bersedekah yang disertai dengan taubat yang bersungguh-sungguh atas dosa yang dilakukan. Bukan bermakna mereka berdosa seperti mengambil rasuah, penyelewengan, pecah amanah, memakan riba, mencuri dan mengambil harta anak yatim, tetapi hendak menyucikan harta yang haram itu dengan bersedekah. Itu amat ditegah oleh SWT sepertimana firman-Nya: “Maka apakah mereka berasa aman daripada azab Allah? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang rugi.” (Surah al A’raf ayat 99)

2. Orang yang bersedekah akan mendapat naungan pada Hari Akhirat. Rasulullah SAW menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang mendapat naungan pada hari yang tiada naungan selain daripada Allah SWT. Salah satu golongan tersebut ialah seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Sedekah memberikan keberkatan pada harta. Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim). Apakah yang dimaksudkan hartanya tidak akan berkurang? Al-Imam An- Nawawi dalam kitab karangannya menjelaskan: “Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan ialah hartanya diberkati dan dihindari daripada bahaya. Ia juga membawa maksud walaupun hartanya secara zahir kelihatan berkurangan tetapi ia ditampung dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda banyaknya.”

 4. Allah melipatgandakan pahala orang yang bersedekah. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang bersedekah, sama ada lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjaranNya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Surah Al Hadid ayat 18)

5.Terdapat pintu syurga yang hanya dapat dimasuki oleh orang yang bersedekah.

“Orang memberikan harta di jalan Allah, maka ia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga: “Wahai hamba Allah, marilah menuju kenikmatan”. Jika ia berasal daripada golongan orang yang suka menunaikan solat, ia akan dipanggil dari pintu solat, manakala yang berasal daripada golongan yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan jika ia berasal daripada golongan yang gemar bersedekah, maka akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Sedekah akan menjadi bukti keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah ialah bukti.” (Hadis Riwayat Muslim). An Nawawi menjelaskan bahawa ia bukti kebenaran imannya. Sedekah dinamakan demikian kerana merupakan bukti daripada kebenaran imannya atau dalam bahasa Arab disebut sebagai sidqu imanihi“.

7. Orang yang bersedekah merasakan dada yang lapang dan hati yang bahagia. Rasulullah SAW memberikan perumpamaan tentang orang yang dermawan dengan orang yang kedekut: “Perumpamaan orang yang kedekut dan bakhil dengan orang yang bersedekah seperti dua orang yang mempunyai baju besi, Orang yang bersedekah, disebabkan sedekahnya ia merasa bajunya lapang dan longgar di kulitnya. Sampai hujung jarinya tidak kelihatan dan baju besinya tidak meninggalkan kesan pada kulitnya. Sedangkan orang yang bakhil, ia merasakan setiap balutan baju besinya ketat mencengkam di kulitnya. Ia berusaha untuk melonggarkannya namun ia tidak dapat melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

8. Pahala sedekah terus berkembang.  Pahala sedekah walaupun hanya sedikit akan terus berkembang pahalanya hingga menjadi besar. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang daripada kamu, sebagaimana kalian mengembangkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji, dapat berkembang hingga sebesar gunung Uhud.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Dalam banyak hadis menyatakan bahawa kedermawanan Rasulullah SAW dikatakan melebihi angin yang berhembus terutama ketika Ramadan. Rasulullah SAW sangat ringan dan cepat dalam memberikan bantuan tanpa banyak berfikir. Kedermawanan baginda memiliki nilai manfaat yang besar dalam sedekah dan bantuan baginda.

Ringkasnya, walaupun tidak terdapat gandaan pahala 70 kali ganda ibadah wajib di luar bulan Ramadan, tetapi janji Allah SWT terhadap ganjarannya tetap banyak hingga 700 kali ganda. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah mencatat setiap amal kebaikan dan amal keburukan.” Kemudian Rasulullah menjelaskan: “Orang yang berniat melakukan kebaikan, namun tidak mengamalkannya, Allah mencatat baginya satu pahala kebaikan sempurna. Orang yang berniat melakukan kebaikan, lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali ganda banyaknya.” (Hadis Riwayat Muslim)