• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,190,315 orang
  • Tetamu Online

Ujian pengorbanan, ketakwaan

Dr Taqwa Zabidi

Ibadah korban dan pengorbanan adalah dua perkara berbeza, tetapi membawa semangat dan nilai yang sama. Sejarah kisah Nabi Ibrahim AS yang direkodkan dalam al-Quran melalui Surah al-Saffat menunjukkan betapa pengorbanan seorang bapa mentaati perintah Allah untuk menyembelih anaknya dan pengorbanan seorang anak, iaitu Nabi Ismail AS reda untuk disembelih diganjari nikmat yang besar.

Pengorbanan ini menjadi syiar Islam yang agung dan ikutan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Rentetan daripada peristiwa ini, ibadah korban dilaksanakan saban tahun dalam laungan takbir memuji kebesaran Allah di Aidiladha.

Perkataan ‘aid’ dalam Bahasa Arab itu sendiri membawa maksud berulang-ulang. Apakah rasional ia disyariatkan berlaku secara berulang-ulang? Masakan ia hanya sambutan biasa jika Allah telah menetapkannya berlaku setiap tahun.

Ternyata, ibadah korban bukan sekadar membayar bahagian daging korban, menyembelih dan melapah. Malah lebih daripada itu, Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Hajj, ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu…”

Nas al-Quran ini menunjukkan di sebalik pensyariatan korban, ada tujuan yang besar yang Allah tetapkan iaitu untuk membentuk sifat ikhlas dan bertakwa. Allah SWT tidak sekali-kali memandang kepada segala bentuk material tetapi aspek spiritual melalui sifat ketaqwaan merupakan objektif paling utama yang perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Ini kerana sifat ini akan mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT dan mengetepikan kepentingan peribadi yang merupakan habuan dunia semata-mata.

Sebagai contoh apabila seseorang ingin melaksanakan ibadah korban, beliau perlu mengeluarkan sejumlah bayaran yang berpatutan dengan kadar semasa. Bagi seorang pengembala, ibadah korban menuntut dia mengorbankan haiwan ternakan yang sihat dan cukup syarat. Ibadah ini dilakukan atas kerelaan tanpa paksaan oleh sesiapa pun.

Di sinilah terbitnya keikhlasan dalam mengorbankan harta yang ada demi mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Bukan mudah untuk kita mengorbankan harta yang bernilai demi memenuhi kepentingan pihak lain.

Ibadah tahunan ini umpama latihan intensif untuk menguatkan diri dalam menghadapi kehidupan seharian. Kekuatan hubungan hati seseorang dengan Allah menjadikan dirinya yakin dan beriman dengan pertolongan dan lindungan Allah.

Dia tidak sekali-kali tunduk pada nafsu dan tipu daya dunia, tidak lokek membelanjakan hartanya untuk keperluan insan yang memerlukan dan tidak juga lemah tersungkur apabila ditimpa kesusahan. Ini kerana dia tahu hidupnya hanya untuk Allah, harta, masa dan dirinya adalah pinjaman daripada Allah serta hanya pada Tuhan sahajalah tempat dia bergantung.

Begitulah kaitan antara pengorbanan dan ketakwaan sehingga disebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 197 bahawa takwa itu merupakan sebaik-baik bekalan di akhirat kelak.

Pengorbanan yang hakiki ialah apabila seseorang itu meletakkan keredaan Allah mengatasi kepentingan diri. Tidakkah kita sedar bahawa ujian wabak Covid-19 sangat banyak menuntut kita untuk berkorban sedaya apa pun untuk kebaikan dan kemaslahatan semua?

Ia umpama medan yang sangat besar untuk kita buktikan keikhlasan dan ketakwaan diri kepada Allah SWT. Sungguh, wabak ini adalah penyakit dan berkorban tidak secara langsung menyembuhkan penyakit! Tetapi pandemik ini adalah salah satu dugaan yang Allah turunkan untuk menguji hamba-hamba-Nya.

Perhatikan baik-baik potongan ayat-ayat al-Quran berikut: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah al-Ankabut: 2)

“…dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan…” (Surah al-Anbiya’: 35)

“Dan sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu…” (Surah Ali Imran: 186)

Selepas Allah memberi jalan untuk melatih diri meningkatkan ketakwaan melalui pelbagai cara termasuk berkorban, Allah datangkan ujian untuk mengenal pasti tahap keimanan dan ketakwaan. Maka di sinilah ruang dan peluang yang perlu kita gunakan untuk menunjukkan ketakwaan kita kepada Allah.

Pandemik ini bukan sahaja menguji tahap kesihatan manusia tetapi ia juga menguji tahap kesediaan kita memanfaatkan diri dan harta benda demi kemaslahatan bersama.

Berkorban meliputi pelbagai aspek. Orang yang mempunyai harta berkorban duit dan aset, orang yang mempunyai kuasa berkorban masa, orang yang mempunyai kepakaran berkorban jiwa dan orang yang mempunyai kudrat berkorban tulang empat kerat.

Mungkin terdapat antara kita yang berasa lelah dek kerana pengorbanan mereka selama ini masih belum menampakkan tanda-tanda kemenangan. Namun, jangan sesekali kita lemah semangat dan berpaling daripada perjuangan menentang wabak ini.

Kita harus mengambil inti pati daripada ayat terakhir Surah Ali Imran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

Ayat ini memberi empat tip penting kawalan kendiri untuk berjaya menghadapi dugaan iaitu pertama, bersabar, memperkukuhkan kesabaran, membuat persediaan dan bertakwa kepada Allah.

Dua tip pertama menekankan aspek kesabaran. Ia meliputi sabar menghadapi dugaan dan juga sabar dalam terus-menerus membuat kebaikan. Jangan sesekali berputus asa. Namun kesabaran sahaja tidak mencukupi tanpa persediaan.

Kenal pasti keperluan dan strategi menghadapi wabak ini dan akhir sekali tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, iaitu dengan penuh rasa pengharapan kepada-Nya.

Punca Allah menurunkan bencana atas manusia

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.

Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:

Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.

Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.

Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.

Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

Apabila suami terlalu mentaati isteri.

Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.

Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.

Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.

Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.

Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.

Apabila ramai lelaki memakai sutera.

Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.

Apabila wanita mula bermain alat muzik