• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,346,894 orang
  • Kandungan Blog

ALLAH ampunkan dosa orang melayani, santuni tetamu

OlehNURULFATIHA MUAH

JIKA di bandar, amalan ziarah-menziarahi tidak serancak seperti di kampung. Adakalanya aktiviti sebegitu seakan tiada langsung di kawasan perumahan tertentu.

Jika ada pun, masing-masing menunggu jemputan rumah terbuka, barulah datang beraya. Namun begitu, bukan semua orang mampu berbuat demikian lantaran memerlukan belanja yang besar untuk melaksanakannya.

Ketahuilah bahawa begitu besarnya ganjaran apabila kita ziarah-menziarahi kerana ia merupakan satu ibadah, bukannya soal adat semata-mata sebagaimana yang ramai sangkakan.

Demikian jelas pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menerusi video bertajuk ‘Ganjaran ALLAH buat yang memuliakan tetamu’ ketika memberikan ceramah di Masjid Kariah Kampung Terusan Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru.

USTAZAH ASMA'

USTAZAH ASMA’

“Ziarah dan melayani tetamu dijamin mendapat syurga ALLAH SWT,” ungkapnya.

Beliau kemudian menceritakan kisah Salman Al-Farisi yang mana sahabat Nabi itu pernah menjadi tetamu Rasulullah SAW.

Ketika itu, Baginda sedang bersandar baring atas bantalnya. Tatkala melihat kehadiran Salman, Rasulullah SAW lantas memberikan bantal tempatnya bersandar lalu berkata: “Wahai Salman, seorang Muslim yang menyerahkan lapik (bantal) kepada tetamu yang hadir bagi memuliakan mereka, maka ALLAH akan mengampunkan dosa mereka.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

“Masya-ALLAH, begitu besar ganjarannya. Sebelum ini, kita hanya ingat hanya dengan bertaubat dan beristighfar sahaja untuk mendapatkan keampunan-NYA.

“Rupanya dengan kita melayani dan menyantuni tetamu, ALLAH akan ampunkan dosa kita,” jelasnya.

Tetamu bawa berkat

Menyambung hujah, ujar Asma’, ada benarnya istilah ‘tetamu bawa berkat’ yang sering diungkapkan oleh masyarakat kita selama ini.

Ternyata ia memang betul kerana tetamu menjadi asbab ALLAH SWT mengampunkan tuan rumah, ungkapnya.

“Mengertilah, tetamu datang menjadi asbab rezeki melimpah-ruah kepada tuan rumah dan bawa keluar benda-benda tidak elok.

“Ia bukanlah bermaksud mereka yang berkunjung itu bawa balik benda buruk dari rumah tuan rumah, tetapi kedatangan mereka sebenarnya membawa kebaikan dan segala keburukan itu dikeluarkan oleh ALLAH dari rumah (tuan rumah) tersebut,” hurainya.

TETAMU datang menjadi asbab rezeki melimpah-ruah kepada tuan rumah dan bawa keluar benda-benda tidak elok dari kediaman kita. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

TETAMU datang menjadi asbab rezeki melimpah-ruah kepada tuan rumah dan bawa keluar benda-benda tidak elok dari kediaman kita. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Mengulas sikap segelintir masyarakat yang gemar menukar dekorasi kediaman mahupun perabot baharu, penceramah itu mengingatkan agar kita melakukan demikian untuk keselesaan tetamu.

“Tiada masalah jika niat begitu, yang salahnya kalau kita beli dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau riak.

“Kadangkala terbit juga rasa bangga dalam diri bila beli sofa baharu misalnya, tetapi cepat-cepatlah beristighfar,” katanya.

Dalam melayani individu yang datang berkunjung, Asma’ menasihatkan agar kita mencontohi sikap Rasulullah SAW.

Walaupun Nabi Muhammad SAW seorang yang mulia, hebat dan merupakan kekasih ALLAH, tetapi apabila bab tetamu, Baginda begitu menjaga dan memuliakan individu yang datang ziarah.

Abu Nuaym meriwayatkan, Sayidina Jarir bin Abdullah datang ke rumah Rasulullah SAW. Ketika itu, rumah Baginda sesak dipenuhi dengan tetamu yang hadir.

Melihat kedatangan Jarir, Rasulullah SAW menoleh ke kiri dan kanan sekiranya masih ada ruang buat Jarir untuk duduk.

Disebabkan tiada ruang, Baginda SAW telah menanggalkan pakaian luarnya (rida’), lalu memberikannya kepada Jarir dan berkata: “Duduklah di atas bajuku itu!”

Jarir mengambil pakaian Rasulullah SAW, lantas dikucupnya dan dipulangkan kepada Baginda.

“Betapa mulianya akhlak Rasulullah SAW dalam menyantuni tetamu yang berkunjung.

“Jelaslah mengapa melayani dan menyantuni tetamu adalah satu ibadah yang sangat besar,” ujarnya.

Seperkara lagi, jelas Asma’, apabila seseorang menjadi tuan rumah yang menjemput orang kampung, jiran dan rakan-rakan kerana ALLAH, dirinya pasti akan bersabar dengan karenah tetamu.

MELAYANI dan menyantuni tetamu adalah satu ibadah yang sangat besar. -Foto: Canva

MELAYANI dan menyantuni tetamu adalah satu ibadah yang sangat besar. -Foto: Canva

“Ada tetamu yang datang terus ke dapur, anak tetamu buka peti sejuk dan sebagainya. Begitu juga ada orang sudah makan, kemudian sambung lagi menjamah hidangan lain, tidak balik-balik.

“Ingatlah, melayani tetamu yang pelbagai ragam, pahalanya sangat besar,” katanya.

Dari segi kedudukan tetamu, jelas beliau, paling utama ialah ahli keluarga, diikuti oleh jiran dan rakan-rakan waima dekat atau jauh.

“Adakalanya apabila buat majlis rumah terbuka, kawan-kawan lebih diutamakan dan jiran pula tidak dijemput. Kecil hati mereka.

“Jangan abaikan hak jiran tetangga antaranya mengutamakan mereka apabila ada majlis keraian. Betapa banyaknya peringatan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW tentang jiran hinggakan Baginda menyangkakan, jiran boleh mewarisi harta macam keluarga apabila kita meninggal dunia,” titipnya.

Tinggalkan komen