Mempertahankan Kemerdekaan Negara

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pada bulan Ogos setiap tahun, khususnya pada 31 Ogos, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengingati tarikh keramat yang sentiasa diraikan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat negara, negeri, daerah atau jabatan-jabatan dan syarikat-syarikat. Ini bagi menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957. Peristiwa bersejarah ini sentiasa diulang-ulang saban tahun.

Begitu juga dengan aktiviti penerangan, ceramah, siaran TV, radio dan akhbar-akhbar akan menyebut sambutan hari kemerdekaan dan juga sejarah bagaimana rakyat di negara ini bermandikan darah, keringat dan air mata untuk menjadikannya benar-benar mendapat kemerdekaan sehingga kemanisan merdeka dihayati dengan sepenuhnya.

Justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami kemukakan dengan tajuk Kemerdekaan: Marilah Kita Mempertahankannya. Semoga pencerahan yang dikemukakan ini menjadikan kita memahami erti kemerdekaan negara kita ini dan sanggup mempertahankannya agar kenikmatan hidup aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat sentiasa subur. Kami lafazkan dengan ucapan yang diajar oleh Rasulullah SAW sempena menyambut kemerdekaan ini dengan: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ”

Semoga Bayan Linnas kali ini menambahkan rasa kecintaan dan sayang kita kepada negara demi untuk mempertahankannya. Amin.

Definisi Merdeka

Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

Erti Kemerdekaan

Setiap orang mempunyai pengertian yang tersendiri apabila disebut merdeka. Anggota polis merasakan amat penting memahami erti kemerdekaan. Apatah lagi perajurit dan wira tanah air dan askar yang cukup terkesan dalam hati mereka akan makna sebuah kemerdekaan. Mereka yang hidup pada dua zaman, sebelum kemerdekaan dengan penindasan dan kezaliman serta selepas kemerdekaan yang membawa kebebasan dalam serba-serbi kehidupan akan dapat merasai perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya.

Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan. Mereka titipkan ruh dan semangat perjuangan mereka kepada generasi dan anak-anak mereka. Inilah ucapan singa padang pasir, Umar Mukhtar[1] yang penuh bermakna dan semangat. Kami nukilkan ringkasan kisahnya.

Pada tanggal 12 September 1931, adalah tarikh hitam bagi pasukan tentera Islam di Libya apabila Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar. Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya.

Namun, Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:

سَوْفَ تَأْتِي أَجْيَالٌ مِنْ بَعْدِي تُقَاتِلُكُمْ، أَمَّا أَنَا فَحَيَاتِي سَوْفَ تَكُوْنُ أَطْوَلَ مِنْ حَيَاةِ شَانِقِي

“Kamu pasti bertembung dengan generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban dan keangkuhanmu. Adapun kehidupanku yang akan kulalui jauh lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”

Menteri Pertahanan Itali, Rodolfo Graziani (1882 M – 1955 M) pernah bertanya kepada Umar Mukhtar tentang mengapa masih berjuang sedangkan secara zahirnya negara-negara umat Islam pada waktu itu di ambang kejatuhan. Lantas Umar Mukhtar menyatakan yang perjuangannya dibina atas dasar agama dan atas rasa tanggungjawab terhadap generasi umat Islam akan datang. Biarpun pada waktu itu tiada pilihan lain yang boleh dilakukan Umar Mukhtar, kalimah-kalimah yang benar terus disuarakan, menuntut hak dan kemerdekaan Libya. (Lihat Kisah Umar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ oleh Mohd Azmir bin Maideen)

Bagi memahami erti dan konsep kemerdekaan dengan lebih jelas, kami nukilkan di sini beberapa pendapat tokoh berkenaan dengannya.

PertamaPendapat Tokoh Berkenaan Kemerdekaan

Antaranya seperti berikut:

  • Pendeta Za’ba[2]

Beliau menyebut bahawa kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

  • Malik Bennabi[3]

Beliau menjelaskan bahawa perjuangan membebaskan tanah air harus segera disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda (Istiqlal al-‘aql). Beliau menyedari apalah erti kemerdekaan bumi pertiwi, jika rakyat peribuminya masih tetap berminda anak jajahan. Membangkitkan jiwa merdeka adalah agenda terpenting yang tidak boleh dikompromikan.

Dalam bukunya bertajuk Falsafah Hidup, beliau menjelaskan berkenaan pengertian kemerdekaan seperti berikut: “Kemerdekaan, ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu engkau ketahui, dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipan kepada orang lain.

Engkau merdeka dan bebas mengembangkan sayap, menurutkan kemahuan hati, untuk membuktikan bahawa engkau berhak.

Engkau boleh mengeluarkan apa yang terasa di hatimu, asal engkau hormati pula kemerdekaan orang lain dan engkau bayarkan kewajipan yang diminta oleh masyarakat kepada engkau.”

  • Syed Muhammad Naquib al-Attas[5]

Menurut beliau, apabila disebut “kebebasan” dalam tradisi Islam ianya merujuk kepada ikhtiyar dan bukan hurriyyahIkhtiyar adalah memilih sesuatu untuk yang lebih baik. Oleh itu, menurut beliau kebebasan adalah berbuat menurut tuntutan sifat-dasarnya yang benar dan selari dengan fitrah insani dan tuntutan ilahi.

KeduaUcapan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Berkenaan Kemerdekaan

Kami lampirkan di sini, beberapa siri ucapan YAB Perdana Menteri sempena Hari Merdeka. Kata beliau:

  • “Anggapan kemerdekaan sebagai perkara biasa yang tidak perlu kita agung-agungkan adalah amat merbahaya. Kita mesti sedarkan generasi yang beranggapan demikian sebelum kemalangan menimpa kita. Sebenarnya kemerdekaan adalah satu nikmat yang istimewa. Kerana kehilangan kemerdekaanlah hari ini rakyat Palestin, Afghanistan dan Kampuchea berperang bermati-matian. Kita bersimpati dengan mereka kerana negara mereka ditakluk orang. Kita hulurkan derma dan kita sanjung tinggi mereka yang menawar diri untuk pergi berperang bersama dengan pejuang-pejuang negara-negara ini. Tetapi, apakah maknanya simpati dan kesedihan kita jika nikmat yang kita rasai di negara sendiri tidak kita hargai. Oleh itu sedarlah dan bersyukurlah.” (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 25, 30 Ogos 1982)
  • Tanggungjawab memelihara kemerdekaan dan kehormatan negara bukanlah tanggungjawab pihak-pihak tertentu, seperti para pemimpin, atau pegawai kerajaan, ataupun pihak tentera dan polis semata-mata. Tugas ini merupakan tugas bersama, dan tidak seorang pun yang cintakan negara boleh menganggap dirinya dikecualikan. (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 26, 30 Ogos 1983)
  • “Kemerdekaan ialah satu nikmat kerana kita dapat memerintah dan menentukan nasib kita sendiri, Insya-Allah.” (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 27, 30 Ogos 1984)
  • “Kemerdekaan bukan suatu keadaan semula jadi dan penjajahan bukan sudah lesap sama sekali. Hakikatnya ialah penjajahan jenis baru telah dicipta dan penjajahan ini telah berjaya menakluk semula negara dan bangsa yang telah mencapai kemerdekaan. Penjajahan yang dimaksudkan ialah penjajahan ekonomi, penjajahan ideologi dan penjajahan kebudayaan.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan Perdana Menteri, 30 Ogos 1987)
  • “Sebagai sebuah negara yang telah merdeka kita perlu menjaga maruah dan kedaulatan negara kita. Negara yang miskin bukan sahaja membebankan rakyatnya, tetapi juga kurang dihormati. Negara yang miskin juga tidak berupaya untuk bertindak dengan bebas kerana terpaksa bergantung kepada bantuan dan belas kasihan orang lain.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan Perdana Menteri, 30 Ogos 1992)
  • “Saya yakin jika kita semua sentiasa ingat dan sedar akan liku- liku dan pahit-maung perjuangan menuntut kemerdekaan; betapa semangat kerjasama yang erat terjalin antara pemimpim-pemimpin berbagai-bagai kaum semasa itu serta pengorbanan dan tolak-ansur yang dibuat oleh semua kaum, saya pasti kita tidak akan membangkitkan perkara-perkara yang boleh menyakiti mana-mana kaum.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan, 30 Ogos 1997)
  • “Kenapakah kita menyambut Hari Kemerdekaan? Sebabnya ialah makna kemerdekaan sudah semakin kurang difahami dan dihargai oleh ramai daripada kita. Ramai daripada kita dilahir di zaman selepas merdeka dan kita tidak berpengalaman hidup dijajah dan dihina. Jika tidak ada satu usaha untuk memperingati kita, kita akan lupa terus akan sejarah terhina kita dan kita tidak lagi akan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara kita.” (Lihat Perutusan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke 45, 30 Ogos 2002)
  • “Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati semangat jiwa merdeka itu dengan menyayangi negara sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk negara ini dengan apa cara sekalipun.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan, 4 Ogos 2018)

Inilah sebahagian daripada ucapannya yang perlu diberi perhatian oleh rakyat dan masyarakat Malaysia dalam menghayati erti kemerdekaan negara kita ini yang tercinta.

Kemerdekaan dalam Islam

Banyak sejarah membuktikan pembukaan Islam ke serata pelusuk tanah Arab dan ‘ajam menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman. Sebagai contoh, bagaimana Salahuddin al-Ayyubi[6] buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam. Begitu juga, ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel[7] dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

Pembukaan Kota Mekah

Kami hanya menyebut peristiwa bersejarah pembukaan kota Mekah yang dikenali sebagai Umm al-Qura. Kami menganggap pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan 8 Hijrah sebagai ibu kemerdekaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan toleransi yang amat tinggi, yang patut ditulis dengan tinta emas kerana mengembalikan hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia).

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menyebut peristiwa tersebut dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum seperti berikut: Setelah kota Mekah dibuka dan Rasulullah bersama umat Islam memasukinya, Baginda lalu menuju ke al-Masjid al-Haram. Di sana Baginda kemudian bertawaf mengelilingi Kaabah. Baginda menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil berkata:

جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya“Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.

Surah al-Haj (81)

قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ

MaksudnyaKatakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.”

Surah Saba’ (49)

Pada masa yang sama berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berkecai. Selepas menyempurnakan bilangan tawaf, Baginda lalu masuk ke dalam Ka’bah. Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar serta ukiran kayu seekor burung merpati, lalu Baginda memecahkannya. Manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkan.

Selepas itu Baginda Rasulullah SAW menutup pintu Kaabah dalam keadaan Baginda masih di dalam Kaabah bersama Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. Di situ Baginda berdiri dengan membelakang pintu Kaabah dan bersembahyang. Setelah itu, Baginda berjalan-jalan di dalamnya, bertakbir di setiap penjurunya dan menyebut kalimah Tauhid.

Kemudian barulah Baginda membuka pintu Kaabah. Pada masa itu, kaum Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf sambil menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka.

Rasulullah memegang pintu Kaabah, manakala khalayak Quraisy menunggu di bawah. Baginda lalu bersabda:

لَا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لَا شَرِيك لَهُ صَدَقَ وَعْده وَنَصَرَ عَبْده وَهَزَمَ الْأَحْزَاب وَحْده…

“Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya.”

“Ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah sama ada harta benda atau darah kesemuanya sekarang berada di bawah kakiku ini, kecuali kuasa untuk mengurus Kaabah dan memberi minum kepada orang ramai yang berhaji. Fahamilah, membunuh itu adalah salah sama sekali, sama ada dengan pembunuhan yang disengajakan, dengan menggunakan senjata ataupun kayu pemukul. Jika hal ini berlaku, maka hukuman berat akan dikenakan, iaitu seratus unta, yang mana 40 daripadanya adalah anak yang masih dalam kandungannya.

Wahai orang-orang Quraisy! sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

MaksudnyaWahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah al-Hujurat (13)

Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، مَا تُرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ فِيكُمْ؟ قَالُوا: خَيْرًا، أَخٌ كَرِيمٌ، وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ، قَالَ: فَإِنِّي أَقُول لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوْسُف لِإخْوَتِه : { لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ} ، اذْهَبُوا ، فَأَنْتُمْ الطُّلَقَاءُ

Maksudnya“Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu fikirkan akan kulakukan terhadap kamu semua?”

Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana engkau seorang saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.”

Maka jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu sepertimana Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: “لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ” (Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).

Ayuh beredarlah. Kamu semua bebas.” (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 2/412 dan al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 289-291)

Tanggungjawab Kita Dalam Mempertahankan Negara

Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.

Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan.

Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang dan ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara.

Hal ini sudah pasti menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.

Harapan Kami

Sebagai warganegara Malaysia dan menghayati Hari Kemerdekaan yang penuh bermakna, makanya kami amat berharap agar Malaysia yang kita semua cita-citakan akan dapat mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kami berpendapat, merdeka yang sebenar adalah:

  • Merdeka dari belenggu penjajah.
  • Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri).
  • Merdeka dari penjajahan ekonomi.
  • Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau.
  • Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia.
  • Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina.
  • Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
  • Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
  • Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah.
  • Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara.
  • Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga.
  • Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.

Penutup

Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir sejak dahulu, makanya kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan oleh pemerintah.

Kami mengharapkan keamanan dan keteguhan perpaduan dapat dijelmakan oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat ras majmuknya.

Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan sentiasa mematuhi titah perintah-Nya. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

MaksudnyaIaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Surah al-Haj (41)

Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)

Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Prof Dr Hamka berkata: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”. Ertinya telah Kami tolong dan berhasil perjuangan mereka melawan kezaliman itu, “mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” Dengan susunan ayat seperti ini bukanlah bererti bahawa mereka baru mendirikan sembahyang dan kukuh di muka bumi, atau setelah mereka menang menghadapi musuh-musuhnya, bahkan sejak semula, perjuangan keyakinan dan keimanan kepada Tuhan itulah pegangan teguh mereka. (Lihat Tafsir al-Azhar, 17/177)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan kepada pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia dengan ucapan dan doa, selamat menyambut kemerdekaan kali ke-62. Semoga Allah limpah dan kurniakan kepada kita kebahagiaan hidup dengan afiyat, selamat, taufik, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik dan segala kebaikan. Amin.

Sempena Hari Merdeka tahun ini  akan dapat direalisasikan terutamanya dari aspek penekanan peri pentingnya perpaduan rakyat serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Insya Allah, Malaysia akan menuju kepada negara yang maju, makmur, aman dan damai sehingga mentahqiqkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Akhukum fillah,

Mufti Wilayah Persekutuan

Nota Hujung:

[1] Beliau adalah Umar bin Mukhtar bin Umar (1862 M- 1931 M) yang lebih terkenal dengan nama julukan Umar Mukhtar. Beliau merupakan ‘simbol’ perjuangan rakyat Libya dalam mempertahankan negara dari penjajahan Itali. Beliau dihukum gantung pada tahun 1931 setelah dia menyatakan menolak untuk menerima syarat-syarat pembebasan dirinya daripada dihukum mati. Sejak itu, Umar Mukhtar terus menjadi simbol perlawanan para pemuda Libya dari generasi ke generasi. Tahun-tahun terakhirnya telah diabadikan dalam filem The Lion of the Desert (1981) arahan Mustafa Akkad. Filem tersebut adalah antara filem yang terbaik tentang gelombang kebangkitan rakyat menentang kebejatan penjajah.

[2] Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia. Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris. (Lihat Zainal Abidin bin Ahmad di Wikipedia)

[3] Malik Ben Nabi dilahirkan di Constantine, sebuah kota di Algeria Timur pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah Madrasah al-Quran di Perancis. Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama dua tahun di sekolah El-Djelis di Constantine. Peranan dan jasa beliau amat berharga kepada dunia Islam. Misi beliau adalah memperjuangkan bangsa mereka daripada belenggu penjajahan. Tokoh pemikir dan falsafah sejarah yang berkaliber dan berwibawa ini meninggal dunia pada 31 Oktober 1973. (Lihat Malek Bennabi oleh Rizhan el-Rodi)

[4] Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka (lahir di Nagari Sungai Batang, Tanjung Raya, Kabupaten Agam, Sumatra Barat), Indonesia pada 17 Februari 1908 – 24 Julai 1981) ialah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia. (Lihat Hamka di Wikipedia)

[5] Beliau ialah Y.M. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas. Beliau lahir di Bogor, Indonesia pada 5 September 1931. Beliau ialah seorang Cendekiawan Muslim, ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011. Kini, beliau menetap di Malaysia. Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia. (Lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas di Wikipedia Ensiklopedia Bebas)

[6] Kejayaan tentera di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi terzahir apabila pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 1187 Masihi, al-Quds telah diserahkan kepada pasukan tentera Islam.

Solat Jumaat yang pertama didirikan di Masjidil Aqsa selepas 88 tahun pada Jumaat berikutnya, 9 Oktober 1187.

Telah lebih 800 tahun selepas Sultan Salahuddin al Ayubi membebaskan kota Baitul Maqdis. Nama beliau tetap terpahat sebagai simbol kekuatan ummah mengembalikan hak yang dirampas tetapi pada masa yang sama membuktikan akhlak muslim yang mengasihi dan sifat Islam yang memayungi seluruh insan dan menjadi rahmat kepada alam.

[7] Pembukaan kota Konstantinopel telah berjaya dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah.

Pembukaan ini menjadi tanda dan mukjizat kenabian yang pada satu hari nanti kota Konstantinopel pasti dibuka. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Maksudnya“Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.”

Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)

Selepas mengisytiharkan kemenangan, Sultan Muhammad al-Fateh menuju ke Gereja Hagia Sophia. Ketika itu, penduduk Konstantinopel yang beragama kristian berserta para pendeta berkumpul. Mereka ketakutan apabila Sultan mendekati pintu gereja. Mereka membayangkan akan dibunuh atau ditindas secara zalim, akan tetapi Sultan Muhammad al-Fateh menitahkan agar mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman dan Baginda juga menjamin kebebasan kepada mereka mengamalkan kepercayaan mereka.

Menghayati erti sebenar kemerdekaan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Sejarah merakamkan ungkapan penuh bermakna daripada seorang tentera Islam bernama Rib’i ibn ‘Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Rom yang menegaskan bahawa: “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Seruan berkenaan  adalah bertepatan dengan maksud kebebasan dan kemerdekaan yang sebenar serta selaras dengan matlamat pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 2 yang bermaksud: “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Justeru pengabdian diri kepada Allah SWT adalah kunci utama kemerdekaan selari dengan tujuan utama manusia diciptakan seperti firman Allah di dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Setiap insan perlu menginsafi tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan cara memperkukuhkan jati diri Muslim meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak bagi mendepani badai kehidupan yang semakin mencabar.

Selain pengabdian diri kepada Allah SWT, amalan mengambil peduli dan prihatin terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain juga menjadi perkara penting di dalam sebuah masyarakat dan negara yang merdeka. Sifat prihatin akan mendorong seseorang untuk mengorbankan kepentingan diri dan mengutamakan keperluan orang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Masyarakat yang merdeka juga sentiasa menghayati erti pengorbanan dalam kehidupan. Jika dahulu pejuang kemerdekaan berkorban menentang penjajah, kini semangat pengorbanan tersebut diperlukan untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk penjajahan baharu termasuklah ketika negara melawan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sepanjang berhadapan dengan penularan wabak tersebut kita menyaksikan pelbagai pihak  berkorban tenaga, masa dan nyawa bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Pemimpin berusaha mencari jalan terbaik untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera serta terhindar dari wabak berbahaya. Petugas barisan hadapan berkorban demi memastikan pesakit mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pesakit yang dijangkiti wabak berjuang bertarung nyawa, ahli keluarga terpaksa berpisah dan berjauhan dari orang yang tercinta, ketua keluarga bergelut mencari rezeki bagi menyara keluarga, bahkan sebahagian orang kehilangan pekerjaan dan terpaksa memulakan pekerjaan baharu. Natijah yang diharapkan dari segala pengorbanan tersebut adalah kemenangan, kebebasan dan kemerdekaan dari belenggu kesukaran dan kesulitan.

Warga negara yang merdeka bertanggungjawab untuk memupuk dan mempertahankan keharmonian dalam masyarakat. Ajaran Islam menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya, bangsa, bahasa dan sebagainya adalah suatu keistimewaan dan tanda kebesaran Allah SWT.

Kepelbagaian tersebut mestilah diterjemahkan sebagai kebaikan untuk saling mengenali dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

Sebarang perbezaan dan pertelingkahan tidak seharusnya diperbesarkan sebaliknya berusaha mencari jalan bagi mempereratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Segenap lapisan masyarakat perlu mengamalkan cara hidup yang harmoni dengan menghargai kemajmukan, hidup dalam kedamaian serta menjaga hubungan antara kaum dan agama. Teras yang paling utama adalah sifat saling menghormati di atas prinsip kemanusiaan, serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian agama serta kepercayaan.

Slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-9 baru-baru ini sesuai dijadikan asas untuk mengorak langkah ke hadapan bagi membina sebuah negara yang inklusif mengambil kira kepentingan semua pihak merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum berasaskan nilai-nilai di dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Setiap warga negara bertanggungjawab untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi sepertimana anjuran di dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.'”

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memelihara dan mengekalkan kemerdekaan negara Malaysia tercinta dengan memberikan sokongan terhadap segala usaha kerajaan yang mengutamakan kemaslahatan rakyat dan selari dengan tuntutan syariat Islam. Mudah-mudahan dengan segala usaha dan sokongan  tersebut kemenangan sentiasa menjadi milik kita dan kemerdekaan pasti dapat terus dipertahankan.

Merdeka dari penyakit hati

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

APABILA memasuki Ogos setiap tahun, kita akan menyambut bulan kemerdekaan. Pepatah Arab ada menyatakan:  “Tiada perkara yang paling berharga dalam hidup ini selain kemerdekaan.” Ini bermakna kemerdekaan memang amat bernilai harganya kerana untuk memperolehnya, ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang banyak, sama ada harta ataupun nyawa sekali pun.

Segala puji bagi Allah Yang Maha Berkuasa, kita telah pun 64 tahun merdeka daripada penjajahan berbentuk fizikal selama berabad-abad lamanya. Ia berlaku sejak 1511 iaitu penjajahan Portugis ke atas Melaka diikuti penjajahan Belanda, Jepun, komunis dan berterusan sehingga penjajahan terakhir iaitu British ke atas tanah air kita sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Akan tetapi adakah kita masih terbebas dan merdeka secara mutlak? Adakah kita benar-benar membersihkan jiwa dan hati kita daripada sifat tercela, keji dan hina? Adakah kita sudah benar-benar merdeka daripada belenggu syaitan dan iblis yang saban hari menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran secara lisan dan perbuatan? Adakah kita benar-benar menghijrahkan diri kita ke arah keredaan Allah secara keseluruhan?

Melalui manhaj rabbani yang suci, kita dapat melihat sama ada kita sudah merdeka atau tidak. Sebagai contoh kemerdekaan jiwa seseorang Muslim terhadap Muslim yang lain. Sebagai seorang Muslim seseorang itu hendaklah memelihara lidahnya dan juga anggota badannya daripada menyakiti saudara Muslim yang lain. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amru  RA,  beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya” – (Hadis Riwayat al-Bukhari). Dalam menerangkan hadis ini, Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Apa yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan dan juga semua perkara yang menyakitkan hati mereka.” (Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)

Oleh itu kita sedia maklum bahawa musuh kekal kemerdekaan ini ialah penjajahan, sama ada berbentuk penjajahan fizikal, penjajahan kedaulatan sesuatu kawasan atau negara, malahan yang lebih dahsyat penjajahan budaya dan hati naluri. Penjajahan hati oleh hawa nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan adalah penjajahan paling berbahaya kerana dapat menyesatkan manusia dari jalan yang benar seperti yang digariskan dalam al-Quran dan sunah walaupun mereka menyedarinya.

Namun demikian, kemerdekaan yang paling bermakna bagi hidup manusia ialah kemerdekaan hati. Ini kerana hati  adalah pusat penentu segala kebaikan dan keburukan dalam kehidupan seseorang Muslim. Dari situlah penilaian kehidupan manusia yang merdeka atau  masih terjajah akan dapat ditentukan.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging. Jika daging itu baik, maka seluruh tubuhnya (perilakunya) akan baik. Sebaliknya, jika ia buruk, maka seluruh tubuhnya (perilakunya) menjadi buruk. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila diimbas misi risalah suci yang dibawa oleh anbia dan rasul pilihan Allah SWT pada dasarnya adalah untuk memerdekakan hati daripada segala bentuk penyakit batiniah dan penjajahan hati.  Ada dalam kalangan manusia ada yang hatinya berpenyakit iri, dengki, bersangka buruk, dendam kesumat, suka mencuri hak orang lain, menganiaya orang yang lemah, berasakan diri hebat dan melakukan rasuah serta penyelewengan.

Namun begitu, penjajahan hati paling berbahaya adalah hati yang bersikap syirik (mempersekutukan) kepada Allah SWT tanpa sedar atau dengan kesedaran mereka sendiri. Hati yang diliputi syirik sentiasa akan menjauhkan manusia daripada  Tauhid  (pengakuan terhadap keesaan Allah SWT). Oleh sebab itulah Allah SWT mengutuskan Nabi-Nya agar memerdekakan hati umat manusia daripada segala bentuk kemusyrikan dan kekufuran. Allah SWT berfirman melalui kisah agung Luqman dan anakandanya dalam Surah Luqman ayat 12 yang maksudnya: “Jangan kamu mensyirikkan Allah kerana sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar (kesannya).”

Di samping itu, al-Quran menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim AS mencari Tuhan yang sebenar (sebagai strategi berdakwah dan mencari kebenaran terhadap umatnya) dan berdialog dengan makhluk yang ada dalam alam sejagat sehingga akhirnya baginda menemukan tauhid sejati. Pada permulaannya baginda melihat bintang serta bulan, dan menganggap kedua-duanya sebagai Tuhan. Namun, disebabkan kedua-duanya lenyap dari pandangan mata, baginda tidak lagi mempercayainya sebagai Tuhan (sebagai perbandingan dan manhaj dakwah). Setelah itu, baginda melihat matahari dan dianggapnya sebagai Tuhan kerana matahari jauh lebih besar dari bintang dan bulan. Akan tetapi kerana semua makhluk itu terbit dan terbenam, baginda telah membuat kesimpulan semuanya bukan Tuhan. Akan tetapi Tuhan yang sebenarnya adalah Allah SWT Maha Pencipta langit dan bumi berikut isinya sepertimana yang tercatat dalam surah Al-An’am  ayat 75-78.

Ketika menemukan kebenaran tauhid yang agung itu, baginda mengisytiharkan diri baginda bebas dan merdeka daripada sifat mensyirikkan Allah SWT melalui firman-Nya: “Sesungguhnya aku merdeka (terbebas) daripada apa yang mereka sekutukan. Maka sesungguhnya aku hadapkan hidupku (aku hadapkan wajahku) kepada Yang Mencipta langit dan bumi dengan penuh kejujuran hati untuk menerima kebenaran dan aku sekali-kali tidaklah termasuk orang  yang menyekutukan Allah.” (Surah al-An’am: 78-79).

Oleh itu, kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan hati dari kemusyrikan terhadap Tuhan Sekalian Alam, seterusnya membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Lihatlah kisah golongan penentang Rasul, seperti kaum Luth, kaum Hud, Fir’aun, Qarun, sehinggalah Abu Jahal dan Abu Lahab memberi pengajaran yang jelas kepada kita bahawa  hati mereka itu telah terbelenggu dan terpenjara oleh penjajahan keegoan, kesombongan diri, kekufuran dan kemusyrikan.

Jika manusia dapat memerdekakan hati daripada penjajahan kemusyrikan,  kedengkian, amarah, kerakusan, ketamakan, kesombongan, pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya, nescaya hidupnya akan penuh kemuliaan, kedamaian, kemerdekaan dan kebahagiaan yang hakiki. Nabi SAW bersabda: “Yang disebut orang yang kaya bukanlah kerana kaya harta, tetapi kaya hati. Dan orang yang kuat bukanlah kerana kuat tenaga fizikalnya, tetapi kuat mengendalikan diri (hati)nya.” (Hadis Riwayat at-Tabrani) 

Justeru, mari kita sama-sama memerdekakan jiwa dan hati kita dengan erti kata yang sebenar dari segala penyakit hati, sehingga kita dapat mewujudkan hidup bahagia yang sejati. Merdeka diri, merdeka peribadi, merdeka daripada penyakit hati.

Rahmat menangis ketika baca ayat al-Quran

BOLEH jelaskan hukum menangis ketika membaca al-Quran terutamanya ketika sedang solat?

Menangis adalah salah satu rahmat yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam jantung hati hamba-Nya yang beriman. 

Ia lambang kesucian jiwa, ketulusan hati serta zahir sifat khasyiatullah seorang hamba.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau menceritakan, ketika anakanda Rasulullah SAW bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanglah kedua-dua mata Baginda SAW. Lalu Abd Al-Rahman bin Auf berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.” (Riwayat Al-Bukhari – 1303)

Perbuatan menangis ketika membaca al-Quran pula adalah sifat golongan salaf serta syiar hamba Allah yang soleh.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abu Waqqas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.” (Riwayat Ibn Majah – 1337)

Demikian juga terdapat sebuah atsar yang menyebutkan secara khusus akan perbuatan menangis ketika membaca ayat al-Quran di dalam solat. 

Ini seperti yang disebutkan oleh Abdullah bin Syaddad, beliau berkata, maksudnya: “Aku mendengar tangisan teresak-esak Umar bin Al-Khattab dalam keadaan aku pada ketika itu berada di saf yang terakhir dalam solat Subuh. Beliau ketika itu membaca ayat daripada surah Yusuf, maksudnya: Sesungguhnya aku mengadu kesedihan dan dukacitaku kepada Allah.” (Lihat Syu’ab Al-Iman, Al-Baihaqi – 3/414)

Berkenaan cara menghadirkan perasaan sedih dalam pembacaan al-Quran, berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: 

Cara untuk mendapatkannya (tangisan) adalah dengan menghadirkan perasaan sedih di dalam hati dengan cara meneliti apa yang terdapat di dalam al-Quran daripada ancaman serta amaran yang keras. Begitu juga (dia mengingati) perjanjian (antara dirinya dengan Allah SWT) dan memikirkan secara mendalam kekurangannya dalam hal berkenaan. Sekiranya dia tidak mampu menghadirkan perasaan dukacita dan tangisan sebagaimana yang berlaku kepada golongan Al-Khawaas, maka hendaklah dia menangis atas ketidakmampuannya (dalam menghadirkannya) kerana hal itu adalah antara sebesar-besar musibah. (Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi – halaman 90)

Beliau juga menyebutkan kata-kata Hujjat Al-Islam, Al-Ghazali Rahimahullah: Menangis itu dituntut berserta dengan bacaan al-Quran dan juga ketika (dibacakan) al-Quran.

Kesimpulannya, kami menyatakan hukum menangis ketika membaca al-Quran adalah dibenarkan. 

Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa dalam mazhab Syafi’e, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu nyata mengeluarkan sebutan dua huruf sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti qi yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. 

Jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal solat seseorang itu.

Kembalilah kepada al-Quran

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Al-Quran al-Karim adalah mukjizat teragung dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Penurunan al-Quran dalam masa 23 tahun memenuhi segala keperluan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam dan menangani segala perkara yang dihadapi sepanjang dakwah baginda. Al-Quran bukan sahaja menjadi hidayah (petunjuk) semata-mata, tetapi sebenarnya membawa penyelesaian kepada segala masalah dihadapi manusia. Ini jelas daripada penggunaan nama yang pelbagai merujuk kepada al-Quran. Antara nama digunakan Allah SWT merujuk kepada al-Quran adalah seperti al-Kitab, al-Furqan, al-Huda, al-Ruh, al-Haq, al-Mau’izah, al-Zikr, al-Nur, al-Burhan, al-Busyra, al-Syifa’ dan al-Rahmah.

Sebagai contoh, al-Quran adalah kitab mukjizat yang menunjukkan hidayah, membawa rahmat, menjadi nasihat dan penawar kepada penyakit rohani dan jasmani.

Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” Surah Yunus ayat 57

Allah SWT juga berfirman: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi penawar serta rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” Surah al-Isra’ ayat 82

Al-Quran menjadi kitab teragung sepanjang zaman. Generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW digelarkan sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’. Keunikannya adalah kerana mereka mengamalkan segala apa yang ada dalam al-Quran. Dalam aspek akhlak, mereka berpandukan kepada al-Quran. Mereka mengikut qudwah (ikutan) yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Apabila Saidatina Aisyah RA ditanya tentang akhlak Nabi SAW, jawapannya: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Musnad Ahmad

Sunah ini diteruskan oleh sahabat baginda. Maka, janganlah kita meninggalkannya. Ingatlah firman Allah SWT: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan (mahjur), tidak digunakan.” Surah al-Furqan ayat 30

Dalam dunia yang semakin mencabar ini kita amat dituntut kembali mengkaji khazanah al-Quran khususnya untuk menghadapi keadaan dalam masyarakat yang sudah hilang pedoman. Al-Quran tidak lagi menjadi pegangan dan ikutan sebaliknya hawa nafsu serta fikiran yang diutamakan.

Sedangkan Allah SWT berpesan: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah serta kepada ‘ulil amri’ (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah serta hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah al-Nisa ayat 59

Namun, realiti yang berlaku pada hari ini masyarakat semakin jauh daripada al-Quran. Semakin mereka menghadapi masalah, semakin mereka menjauhkan diri daripada petunjuk al-Quran. Ini terbukti apabila ada segelintir masyarakat yang mempertikaikan kesesuaian ayat al-Quran.

Peluang dan ruang masa yang banyak sepatutnya diisi dengan pengajian kitab suci ini, tetapi banyak dihabiskan dengan hiburan melalaikan. Situasi pandemik ini sebagai contoh, sepatutnya mengembalikan masyarakat kepada pemilik segala ujian ini, tetapi tidak berlaku.

Sepatutnya kita berusaha sedaya upaya dan kembali menghayati firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang yang beriman.” Surah Fussilat ayat 44

Allah SWT yang menurunkan penyakit dan Dialah juga yang menyediakan penawarnya. Kita diperintahkan berusaha mencegah supaya tidak ditimpa sebarang musibah. Apabila menghadapi musibah atau ujian Allah, kita dituntut bersabar dan ingat kepada-Nya (zikir).

Firman Allah SWT: “(Iaitu) orang (yang sabar) apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah, ayat 156

Allah SWT juga menjanjikan ketenteraman hati dan ketenangan jiwa bila kita mengingati-Nya. Firman-Nya lagi: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah al-Ra’d ayat 28

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT tidak nenurunkan sesuatu penyakit melainkan Allah SWT menurunkan juga baginya ubat (penawar) yang menyembuhkan.” Riwayat Bukhari. Kita mesti yakin kuasa penyembuhan sebenarnya adalah milik mutlak Allah SWT dan semua yang berlaku adalah mengikut ketentuan-Nya.

Allah SWT berfirman: “Tuhan yang menciptakan daku (daripada tiada kepada ada) maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan serta memberi minum dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” Surah al-Syu’ara ayat 78-82

Segalanya daripada Allah SWT. Begitu juga dengan kisah Nabi Ayub AS. Allah SWT berfirman: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani maka Kami perkenankan doa permohonannya lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya serta Kami kurniakan kepadanya keluarganya dengan seganda lagi ramainya sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).” Surah al-Anbiya ayat 83-84

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berpegang kepada dua jenis ubat iaitu madu dan al-Quran.” Riwayat Ibnu Majah

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Al-Tibb al-Nabawi berpendapat di dalam dua cara pengubatan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ini sebenarnya menggabungkan antara pengubatan manusiawi dan pengubatan Ilahi, antara pengubatan jasmani dan rohani, antara pengubatan samawi (langit) serta pengubatan dunia. Oleh itu, gabungan antara kedua-duanya pasti akan memberikan impak yang sempurna. Al-Quran tetap mukjizat dan penawar bagi penyakit rohani serta jasmani.

Cintakan negara sebahagian daripada iman

WALAUPUN tidak termasuk dalam mana-mana perintah syariat atau ibadat, namun menurut mutiara kata-kata hikmah Arab menyifatkan ‘hubbul watan minal iman’ yang bermaksud cintakan negara adalah sebahagian daripada iman.

Hal ini kerana, kewujudan sesebuah negara adalah anugerah daripada Allah SWT kepada sesuatu bangsa dan umat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram serta sejahtera.

Justeru, cintakan negara adalah obor keamanan yang dapat menjamin kelangsungan sesuatu tamadun dengan usaha untuk membangunkan kehidupan secara inovatif berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Sebaliknya, kaum yang cenderung melakukan kerosakan, dalam erti kata lain melanggar perintah, hukum dan larangan Allah, hanya akan membawa mudarat kepada diri serta negaranya sebagaimana dialami kaum terdahulu yang dibinasakan oleh Allah seperti kaum Aad dan Tsamud serta kaum Nabi Lut.

Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka; janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: sesungguhnya kami orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.” (al-Baqarah: 11-12).

PERLU KONSISTEN

Kecintaan pada negara perlu dibuktikan dengan tindakan yang konsisten. Bagi seseorang yang mencintai negaranya akan selalu menjaga persekitaran di mana sahaja berada sama ada darat, laut atau udara daripada sebarang keburukan.

Pada dasarnya mencintai tanah air sudah menjadi fitrah semula jadi manusia. Setiap manusia memiliki kecintaan kepada tanah airnya sehingga merasakan aman menetap di dalamnya, merindui ketika berada jauh, mempertahan ketika diserang dan berasa marah ketika negaranya dicela.

Rasulullah sendiri pernah menzahirkan kecintaan kepada kota Mekah yang merupakan tempat kelahiran Baginda.

Hal ini dapat dilihat dalam hadis daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah bersabda maksudnya: “Alangkah baiknya engkau sebagai sebuah negeri, dan engkau merupakan negeri yang paling aku cintai. Seandainya kaumku tidak mengusirku dari engkau, nescaya aku tidak tinggal di negeri selainmu,” – Riwayat Ibnu Hibban.

Selain itu, Madinah juga merupakan tanah air Rasulullah. Di situlah baginda menetap serta mengembangkan dakwah Islam setelah berhijrah dari Mekah. Di Madinah, Rasulullah SAW berjaya membentuk komuniti Madinah dengan adanya Piagam Madinah.

Diriwayatkan juga bahawa apabila Rasulullah pulang ke Madinah dari sesuatu perjalanan, Baginda akan mempercepat perjalanannya. Hal ini kerana kecintaan dan kerinduan Baginda terhadap tanah airnya.

Berdasarkan tindakan Nabi Muhammad ini, jelas menunjukkan bahawa mencintai negara itu merupakan sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan sangat dianjurkan dalam Islam.

NEGARA ADALAH AMANAH

Negara merupakan anugerah daripada Allah dan amanah yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Keamanan yang dikecapi dan keselesaan dinikmati, semuanya adalah pemberian Allah atas sifat kasih sayang-Nya.

Nikmat ini perlu sentiasa disyukuri dan dipelihara dengan sebaiknya. Lantaran itu, memupuk rasa cinta ini perlu berlaku secara berterusan dan bukan hanya pada tarikh tertentu sahaja.

Kepada generasi muda, lebih-lebih lagi dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini, nilai-nilai cintakan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban dan ketaatan kepada raja dan negara, perlu dipertingkat bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa serta tanah air.

Dalam konteks ini, ibu bapa, pemimpin masyarakat, media massa, institusi pendidikan dan seumpamanya dituntut memainkan peranan dalam memupuk semangat murni itu.

Sehubungan itu, seluruh umat Islam perlu bersama-sama menyuburkan perasaan cinta, semangat perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kerana Allah demi menjaga kedaulatan agama serta negara.

Pada masa sama, kita juga bertanggungjawab untuk menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun 
penindasan.

Bertepatan dengan penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi, setiap individu perlu menzahirkan kecintaan kepada negara dengan bertanggungjawab memelihara dan menjaga persekitaran atau tempat masing-masing daripada sebaran kerosakan serta ancaman.

Kecintaan kepada negara perlu menjadi asas dalam diri setiap rakyat.

Setiap rakyat bertanggungjawab mempertahan negara daripada sebarang anasir jahat yang cuba meruntuhkan kestabilan negara.

Rasulullah SAW sendiri menzahirkan kecintaan kepada kota Mekah yang merupakan tempat kelahiran Baginda.

Kecintaan kepada negara syariat Islam akan lebih mudah terlaksana dalam keadaan negara aman, damai.

Negara merupakan anugerah daripada Allah dan amanah yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin

Doakan orang bersalah agar jadi baik

BOLEHKAH menghebahkan keburukan orang dianggap soleh, tetapi sebenarnya dia pembohong mengenai banyak perkara?

Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikan kepada dua:

1. Memang dia orang soleh kecuali tergelincir dalam beberapa tindakan, tetapi tampak kesan penyesalan dan ingin bertaubat kepada Allah SWT.

Ia termasuk dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” Riwayat Ibn Majah (4251), al-Tirmizi (2499) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420)

2. Sikap kita untuk mengasihi dan mendoakannya. Ia termasuk dalam hadis yang bermaksud: “Maafkanlah ketergelinciran dzawil hai’ah (orang-orang yang baik namanya).” Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud (4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089)

Sekiranya memang dia banyak melakukan kesilapan secara berterusan, sebenarnya dia bukanlah orang soleh.

Makna soleh adalah melakukan amalan baik, beriman serta mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin.

Boleh jadi dalam kalangan mereka ada yang petah berkata-kata dan menyampaikan ucapan di hadapan khalayak ramai, tetapi perbuatan buruknya amat jelas.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setakut-takut apa yang aku takuti ke atas umatku adalah setiap munafik yang pandai berkata-kata.” Riwayat Ahmad (143), Ibn Hibban (80), al-Tabarani dalam al-Kabir (18/227) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1641)

Al-Munawi dalam mensyarahkan makna ‘aliimil lisan’ berkata: “Mereka yang petah berbicara memberi maksud mereka yang mengetahui dan alim serta bijak dalam berbicara pada hujung lidah tetapi hatinya penuh kejahilan, rosak akidahnya dan mampu memperdayakan manusia dengan lidahnya. Ini menyebabkan ia dapat mempengaruhi manusia dan mengumpul pengikut yang ramai sedangkan mereka tergelincir. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/221)

Kami berpendapat apabila nasihat yang diberikan sehingga membawa kepada perubahan ke arah kebaikan dan merasa dosa itu membawa kekesalan dan kehinaan untuk kembali kepada Allah, maka ia menjadi penyebab ke arah kebaikan.

Ibn Atha’illah al-Sakandari berkata: “Sesuatu maksiat yang menyebabkan rasa hina rendah diri (kepada Allah SWT) dan keberhajatan (kepada rahmat-Nya) adalah lebih baik daripada sesuatu amalan taat yang menyebabkan rasa mulia, sombong, ujub dan besar diri.”

Dalam kemelut seperti itu, perlu adanya golongan penasihat untuk menarik kembali mereka yang rebah dengan maksiat dan dosa kembali menjadi hamba yang soleh.

Itulah yang selalu dilakukan salafus soleh kerana mereka mengamalkan ayat akhir daripada surah al-Asr, ayat 3 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam kitab-Nya iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.

Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Rujuk Tafsir al-Tabari, 24/590)

Al-Maraghi berkata: Seluruh manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang memiliki empat sifat berikut iaitu beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.

Setelah itu, mereka mengamalkan kebaikan itu dan menyeru ia diamalkan. Mereka tidak menguzurkan diri untuk meneruskan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan meskipun terpaksa menghadapi kesulitan dan bala bencana. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 15/7698)

Berhati-hati dengan nikmat lidah

Dr Mohd Khafidz Soroni

Kemunculan media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, Instagram, WhatsApp, Telegram dan sebagainya banyak merubah gaya kehidupan manusia pada masa kini. Melalui media sosial, informasi dapat disebarkan dengan lebih pantas dan produk jualan dapat diiklankan secara lebih berkesan.

Media sosial juga boleh menjadi sumber meraih populariti dan keuntungan, meskipun hanya menggunakan modal ‘air liur’ semata-mata. Perkara ini jika dilihat daripada aspek positif tidaklah mengundang masalah besar. Namun jika ia melangkaui batasan syarak, penggunaannya boleh memberi kesan yang negatif terhadap masyarakat.

Ini kerana media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan keburukan, fitnah, cacian dan umpatan terhadap orang lain selain boleh digunakan untuk memainkan persepsi masyarakat terhadap pelbagai isu termasuk politik. Permainan persepsi turut berlaku dalam isu agama, perbezaan fahaman dan aliran pemikiran.

Kepetahan dan kefasihan seseorang amat memberi pengaruh dalam aspek ini. Lebih membimbangkan jika ia sanggup untuk membelakangi hukum agama. Terdapat sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah azza wajalla membenci orang yang berbicara dengan petah daripada kalangan lelaki yang mampu memutar belit dengan lidahnya sebagaimana lembu meragut makanan dengan lidahnya.” Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: hasan gharib

Maksud ‘memutar belit dengan lidahnya’ adalah bagi menunjukkan kefasihan dan kepetahannya dalam berbicara, namun dia tidak mengambil peduli dengan tutur katanya sama ada berlebih-lebihan ataupun tidak asalkan dia dapat mencapai hajat atau kepentingan dirinya. Orang sebegini dinyatakan sebagai orang yang dibenci oleh Allah SWT.

Dalam hadis lain daripada Saad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah keluar satu golongan manusia yang akan makan dengan lidah mereka sebagaimana lembu makan dengan lidahnya.” Riwayat Ahmad dengan status hasan li-ghairih

Menurut Imam al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir: “Makna hadis ini ialah mereka menggunakan lidah mereka sebagai perantara kepada sumber rezeki mereka sebagaimana lembu mengambil makanan dengan lidahnya.”

Perumpamaan kepada lembu yang disebut dalam hadis ini mengandungi maksud yang cukup dalam. Ini kerana biasanya perkataan ‘tangan’ digunakan bagi menggambarkan daya usaha manusia untuk mencari rezeki. Namun dalam hadis ini, perkataan ‘lidah’ digunakan bagi menggambarkan tujuan yang sama.

Sama ada kepetahan lidahnya anugerah semula jadi yang diberikan oleh Allah SWT atau diperoleh melalui latihan yang bersungguh-sungguh.

Apa-apa pun, ia menunjukkan peranan yang dimainkan olehnya. Hanya berbekalkan air liur sahaja dia mampu meraih keuntungan atau mencapai tujuan peribadinya. Dengan perkembangan media sosial, kita dapat memahami maksud hadis itu secara lebih luas dan tidak hanya terbatas dalam konteks mahkamah semata-mata.

Berdasarkan realiti yang berlaku, Syeikh Waliyullah an-Nadwi dalam kitabnya Nubu’at ar-Rasul SAW: Ma Tahaqqaq Minha wa Ma Yatahaqqaq berkata: “Apa yang diberitakan oleh Nabi SAW ini telah pun terjadi, apabila telah wujud dan akan terus wujud golongan manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT lidah yang petah serta kata-kata yang fasih, namun mereka menjadikannya sebagai perantara kepada punca pendapatan dan rezeki mereka melalui cara yang tidak diakui oleh syarak. Mereka berusaha sedaya upaya melalui kefasihan dan kekuatan bicara mereka untuk menghapuskan yang benar serta membenarkan yang batil. Sebagaimana mereka juga tidak akan berlengah-lengah untuk membantu orang yang zalim dan mampu menzahirkannya melalui kepetahan mereka dalam rupa keadaan orang yang dizalimi pula, jika orang zalim itu menawarkan kepada mereka sedikit habuan duniawi.”

Kefasihan dan kepetahan seseorang tidak menjadi lesen untuk ia berbicara secara melampau, mengumpat, memfitnah, mencaci dan perbuatan lain yang dibenci Allah SWT. Ringkasnya, lidah adalah satu anggota kecil yang cukup berkuasa. Jika digunakan pada kebaikan, nescaya banyak pahala yang akan diperoleh seperti berzikir, menyampaikan ilmu, membaca al-Quran, memberi nasihat dan sebagainya. Jika digunakan pada keburukan pula, banyak dosa yang akan diperoleh olehnya.

Imam al-Ghazali di dalam kitab Bidayah al-Hidayah, mengingatkan kita agar memelihara lidah daripada lapan perkara iaitu berdusta atau berbohong, mungkir janji, mengumpat, berbalah dan berdebat, menyucikan diri sendiri (bersifat ujub), melaknat, mendoakan keburukan terhadap orang lain serta bergurau dan mempersendakannya. Lapan perkara ini punca utama kebinasaan dan kerugian seseorang akibat perbuatan lidahnya di akhirat nanti. Kelak baru dia berharap, diam itu lebih baik daripada berkata-kata.

Fitnah kian berleluasa di media sosial

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi keperluan kepada masyarakat hari ini. Tidak kira latar belakang dan peringkat umur, penggunaan media sosial menjadi kewajipan kepada semua bagi memperolehi maklumat dan berita semasa dengan pantas.

Lebih-lebih lagi apabila semua urusan pada hari ini berlangsung dalam talian secara maya tanpa bertemu secara bersemuka. Fenomena maklumat di hujung jari semakin luas berkembang sehingga terlalu banyak maklumat yang dikongsi tanpa melihat kepada status sama ada ia benar atau palsu.

Setiap sesuatu digunakan masyarakat, tidak dapat lari daripada unsur negatif terutama apabila berhadapan media sosial yang mudah dan senang diakses oleh semua lapisan masyarakat. Fitnah dalam bentuk penulisan dan hantaran yang disebarkan semakin lama semakin parah dengan banyak maklumat dikongsi adalah pandangan peribadi serta disulami pula kebencian serta kemarahan dizahirkan menerusi media sosial.

Situasi ini menjadi semakin merebak apabila timbul pula komen tidak berasas yang mencetuskan api kemarahan sehingga menyebabkan pergaduhan secara maya berlaku. Hasilnya, cacian dan makian dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Muslim sehingga memberi persepsi buruk oleh masyarakat bukan Islam.

Daripada Ibnu Umar RA, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Sungguh Aku menciptakan makhluk yang lisan mereka lebih manis daripada madu, tetapi hati mereka lebih pahit daripada getah maka Aku bersumpah akan sediakan kepada mereka fitnah yang membiarkan orang berilmu di antara mereka dalam keadaan bingung maka sama ada dengan Aku mereka tertipu atau terhadap Aku mereka menentang.” Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Dr Ahmad Al-Mubyyad dalam Mausuah beliau menjelaskan bahawa manusia akhir zaman tidak boleh dinilai menerusi perwatakan luaran semata-mata. Di hadapan manusia lain, mereka menampakkan ciri-ciri sebagai seorang yang zuhud, lembut tutur kata dan sangat beradab, namun cita-cita mereka adalah kepada dunia semata-mata.

Jika dahulu, fitnah disebarkan secara lisan atau sebaran daripada pendengaran telinga kepada telinga yang lain dan pasti mengambil masa lama untuk tersebar. Namun dengan penggunaan internet dan kemajuan teknologi khususnya telefon pintar, setiap maklumat yang disebarkan hanya mengambil masa selama beberapa saat sahaja untuk tersebar ke seantero dunia.

Dalam hal ini, masyarakat perlu bertindak bijak dengan menapis setiap maklumat yang diterima dan merujuk kesahihannya sebelum disebarkan. Kepentingan untuk tidak mempercayai bulat-bulat sebarang maklumat yang diterima tanpa menyelidik terlebih dahulu amat ditekankan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka bertabayun (selidikilah untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” Surah al-Hujurat ayat 6

Berdasarkan ayat itu, jelas menunjukkan perintah kepada orang beriman untuk menyemak dan menyelidik setiap berita atau maklumat yang diterima. Dengan usaha ini, pasti setiap umat Islam dapat mengelak daripada melakukan dosa menyebar fitnah tanpa sedar.

Bagi mereka yang menyebar berita bohong dan fitnah, Allah SWT memberi amaran yang keras dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat serta (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian).” Surah an-Nur ayat 19

Dalam Surah al-Buruj ayat 10 pula Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap lelaki beriman dan perempuan beriman kemudian mereka tidak bertaubat maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).”

Oleh itu, penyebaran fitnah khususnya melibatkan media sosial menunjukkan bahawa dosa memfitnah dan menyebarkan berita bohong ini amatlah besar azabnya. Walaupun pada hakikatnya, sesuatu maklumat yang diterima nampak jelas kebenaran yang dizahirkan, tetapi dari sisi orang fasik berita berunsur fitnah ini jelas menunjukkan perkara berkenaan adalah dusta dan bohong.

Daripada Huzaifah RA, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pelbagai fitnah ditimpakan pada hati manusia seperti tikar yang dianyam selembar demi selembar. Bagi hati yang diresapi fitnah dengan sempurna maka akan ditoreh dengan satu titik hitam padanya. Bagi hati yang mengingkarinya maka ditorehkan satu titik putih padanya sehingga hati manusia menjadi dua. Hati putih seperti batu halus licin maka tiada fitnah yang dapat menimpa mereka selagi ada langit dan bumi. Sedangkan hati yang lain adalah berwarna hitam keruh seperti belakang tempayan, tidak mengenali kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran kecuali apa yang dirasukkan daripada hawa nafsunya.” Hadis Riwayat Muslim

Isyarat hadis ini jelas menunjukkan banyaknya fitnah yang membinasakan hati Muslimin sebagaimana perumpamaan bilah anyaman tikar yang disiapkan untuk dianyam. Apabila siap satu bilah dianyam maka disusuli dengan bilah yang seterusnya sehingga selesai pembuatan tikar. Begitu ibarat fitnah kepada manusia, apabila fitnah bertubi-tubi meresap masuk ke dalam hati manusia.

Sementelah dalam situasi dalam talian kini, fitnah masuk secara halus menghiris hati orang Mukmin sehingga banyak perpecahan berlaku khususnya membabitkan maklumat dan info palsu yang disebarkan tanpa diselidiki kebenarannya.

Oleh itu, menjadi kewajiban setiap anggota masyarakat untuk memastikan setiap berita yang diperoleh ditapis terlebih dahulu sebelum disebarkan seterusnya mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah dosa menfitnah.

Pemimpin taqwa penyelamat ummah

Datuk Mohd Ajib Ismail

Pada saat dan ketika ini, ramai orang sedang membicarakan perihal kepemimpinan sama ada di peringkat atasan mahupun masyarakat awam di segenap lapisan. Sejauh manakah isu kepemimpinan memberi makna begitu penting dalam kehidupan manusia sehingga sentiasa menjadi polemik sepanjang zaman? Daripada sudut pandangan Islam, kepemimpinan adalah suatu keperluan bagi mencapai maksud dan matlamat untuk memastikan kesinambungan risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan sekalian rasul demi keselamatan serta kesejahteraan umat manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah Sad ayat 26 bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Kepemimpinan adalah sebuah kemuliaan sekiranya dilaksanakan dengan penuh amanah sebaliknya membawa kehinaan jika dilaksanakan dengan pengkhianatan dan pengabaian.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Zar RA dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah apakah tuan tidak melantik aku (menjadi pemimpin). Lalu Rasulullah memegang bahuku dengan tangannya dan bersabda: ‘Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku lihat engkau adalah lemah sedangkan kepemimpinan itu adalah amanah. Dan ia pada hari kiamat nanti adalah satu kehinaan serta penyesalan melainkan mereka yang memegangnya dengan haknya dan menunaikan hak yang terdapat ke atas kepemimpinan itu.” Riwayat Muslim

Dalam sebuah hadis lain pula daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-Nya pada hari kiamat, pada hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu imam yang adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadah kepada Allah, seseorang yang senantiasa mengingati Allah ketika bersendirian sehingga matanya berlinang, seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, seseorang yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan, namun dia menjawab: “Saya takut kepada Allah’ serta seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya.” Riwayat al- Bukhari

Adakah kepemimpinan sebuah pilihan atau paksaan dalam kehidupan insan? Dalam ajaran Islam, kepemimpinan adalah sebuah tanggungjawab dan amanah yang bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas harta itu. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” Riwayat Muslim

Manusia adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dengan keupayaan untuk memimpin yang melayakkannya menjadi khalifah di dunia sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Ahzab ayat 72 bermaksud: “Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Berpandukan al-Quran, pada Surah al-Qasas ayat 26 pula menggariskan ciri-ciri dan syarat utama yang perlu ada pada seorang pemimpin iaitu kekuatan dan amanah sebagaimana firman Allah yang bermaksud ‘Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” Kekuatan adalah meliputi kecergasan fizikal, mental dan spritual manakala amanah pula meliputi komitmen serta mutu kerja. Ciri itu penting ketika melaksanakan apa-apa jua bidang pekerjaan kerana jika dilakukan dengan amanah akan menyenangkan ramai pihak, namun jika sebaliknya akan menyukarkan urusan orang lain. Tanpa kekuatan dan amanah dalam kepemimpinan, rumah tangga bermasalah, keluarga porak-peranda, bahkan negara boleh tergadai kepada musuh.

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk menterjemahkan ciri-ciri kepemimpinan atau menghargai kepercayaan yang diberikan sebagai pemimpin dengan menggunakan kedudukan yang ada bagi memelihara kemaslahatan awam berbanding kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Allah SWT memerintahkan agar pemimpin melindungi kaum yang lemah seperti firman-Nya dalam Surah an-Nisa ayat 75 yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini yang penduduknya (kaum kafir musyrik) zalim dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) serta jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).”

Harapan dan hala tuju kepemimpinan sama ada di peringkat keluarga, masyarakat atau negara perlulah menepati maksud dan matlamat kepemimpinan dalam Islam untuk membawa kebahagiaan hidup di dunia hingga akhirat. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 108 bermaksud: “Adapun orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya) maka di dalam syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.”

Hanya dengan penghayatan terhadap tanggungjawab kepemimpinan dan dokongan daripada golongan yang dipimpin, bahtera kehidupan akan dapat belayar dengan selamat menuju ke pelabuhan.