Berdamai dengan takdir

Ustaz Hafiz Za’farani

Beriman kepada takdir adalah tuntutan asas yang merupakan rukun iman keenam iaitu beriman kepada qadak dan qadar. Qadak dan qadar adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai kaitan antara satu sama lain. Di sisi ulama Asy’ariyyah qadak ialah kehendak Allah terhadap sesuatu pada azali yang bersesuaian dengannya serta tidak akan berubah pada masa akan datang. Manakala takrif bagi qadar pula ialah mewujudkan sesuatu oleh Allah sesuai dengan ketentuan yang khusus dan cara yang tertentu yang dikehendaki Allah. Pendek kata, qadak ialah ketentuan daripada Allah dan qadar ialah pelaksanaan bagi ketentuan tersebut.

Oleh yang demikian, jika kita pelajari lebih lanjut dalam hal ini kita akan dapati qadak ialah penentuan berdasarkan kehendak Allah iaitu daripada sifat-Nya iradah. Lalu, qadar pula ialah pelaksanaan yang dilakukan oleh kekuasaan Allah iaitu daripada sifat-Nya qudrah. Rentetan daripada itu, ulama mengatakan tidak terhasil suatu pun daripada alam ini melainkan daripada iradah (ketetapan) dan qudrah (kekuasaan) Allah.

Analoginya, jika dirujuk kepada manusia iradah ialah kemahuan dan qudrah ialah kemampuan. Lalu, jika seseorang itu mempunyai kemampuan untuk mengangkat sehelai kertas, tetapi dia tidak mahu melakukannya maka tidak terhasil juga. Demikianlah jika seseorang berkeinginan untuk mengerjakan haji di Makkah, tetapi tidak berkemampuan maka tidak tercapai juga. Justeru, setiap yang terjadi adalah hasil daripada kesepakatan antara qudrah dan iradah Allah.

Berdasarkan kefahaman itu, kita perlu imani bahawa sama ada perkara baik atau buruk itu adalah hasil daripada kehendak Allah. Kita mesti beriman dengan qadak baik ataupun buruk, nikmat atau musibah kerana Nabi bersabda:  “Bahawa (mesti) beriman kepada qadar-Nya yang baik atau yang buruk.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Amat mudah bagi sebahagian daripada kita untuk reda dengan qadak yang baik seperti nikmat harta, anak, kesenangan dan ketenangan. Namun, tidak ramai yang mampu reda kepada qadak yang buruk sedangkan ia datang daripada Tuhan sama yang memberikan nikmat pada kita. Hakikatnya dalam 99 nama Allah yang indah lagi mulia, tiada satu pun yang menunjukkan Allah zalim atau suka menganiayai hamba-Nya. Sebaliknya Allah itu bersifat Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Bijaksana, Maha Adil dan lain-lain.

Oleh itu, ujian yang diturunkan kepada kita bukan untuk menyusahkan kita, tetapi ada hikmah di sebaliknya yang kita akan ketahui selepas menempuhinya dengan sabar dan penuh kebergantungan kepada Allah. Oleh yang demikian kita perlu mendalami sebaik mungkin firman Allah SWT maksudnya:  “Tiada yang menimpa daripada mudarat musibah melainkan dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia membimbing hatinya. Dan Allah itu berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghabun: 11)

Sebagai hamba, kita sentiasa akan berurusan dengan takdir daripada Allah sama ada ia disukai atau tidak digemari. Oleh itu, amat penting untuk kita menjaga sikap kita dalam berinteraksi dengan takdir Allah kerana risau secara tidak sedar kita mempertikai qadak dan qadar yang menjadi rukun iman orang Islam. Disebabkan itu, kita dituntut untuk syukur atas segala nikmat yang dilimpahkan dan bersabar atas segala musibah yang mendatang. Seorang Mukmin yang berjaya mengawal nafsunya dalam berinteraksi dengan qadak Allah maka ia dipuji oleh Nabi kerana ia merupakan suatu sifat yang terpuji.

Nabi bersabda:  “Sungguh hebat urusan orang Mukmin kerana semua hal baik baginya. Hal ini tidak berlaku melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Sekiranya terjadi perkara yang bergembira baginya maka ia bersyukur dan itu baik untuknya dan sekiranya ditimpakan musibah, maka ia bersabar dan ia baik untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Cara kita berinteraksi dengan takdir Allah adalah pengukur tahap keimanan kita kepada Allah. Oleh itu, berdamailah dengan segala takdir Allah. Kita perlu sedar, kita hamba Allah yang lemah. Ada batasan terhadap ikhtiar dan kemampuan kita. Oleh itu, sentiasalah berdoa dan bergantung harap kepada Allah.

Jika kita memilih sebaliknya dan mempertikai takdir Allah maka ia dicela oleh Allah seperti dalam hadis Qudsi:  “Barangsiapa yang tidak reda terhadap qadak Ku serta tidak sabar terhadap ujian Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku.” (Hadis Riwayat Thabrani)

Tidak bersabar dan tidak reda terhadap ujian yang Allah berikan adalah sifat tercela yang dibenci oleh Allah sehingga Allah menyuruh mencari Tuhan lain sedangkan Allah sahaja Tuhan dan kita semua dijadikan oleh Allah.

Oleh itu, sebagai hamba kita mestilah taat dan tunduk terhadap takdir Allah walaupun ia suatu perkara yang tidak kita gemari seperti musibah dan bala kerana ada pengampunan daripada Allah di sebaliknya seperti firman Allah:  “Dan apa yang ditimpakan ke atas kamu daripada musibah, maka ia adalah daripada apa yang kamu usahakan dengan tangan-tangan kamu dan (sebaliknya) Allah mengampunkan sebahagian besar (daripada dosa-dosa kamu).” (Surah Ash-Shura: 30)

Demikian juga Nabi SAW bersabda:  “Tidaklah seorang Muslim ditimpa penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti daun yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Di saat kita ditimpa musibah maka ingatlah Allah sedang mengampunkan dosa-dosa kita yang sering kita lupa untuk bertaubat dan beristighfar kepada-Nya. Sedangkan Allah Maha Pengasih yang sangat kasih kepada kita, oleh itu Allah mengampunkan dosa kita dengan cara ditimpa sedikit musibah. Maka kalau kita sedar akan hal ini, nescaya kita akan reda dengan segala musibah yang diturunkan kepada kita.

Di samping itu, kita perlu sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah agar musibah itu diangkat dan diberikan kekuatan untuk kita menghadapinya kerana Nabi bersabda:  “Sesungguhnya doa itu bermanfaat bagi musibah yang telah diturunkan dan yang belum diturunkan. Maka berdoalah kalian wahai hamba-hamba Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, kini di seluruh dunia menghadapi bala Covid-19 yang mendorong pelbagai ujian dalam kehidupan kita sehingga ada yang diuji dengan dibuang kerja, diuji dengan jangkitan Covid-19, perceraian, tekanan perasaan, kemiskinan dan banyak lagi. Oleh itu, sebagai seorang Mukmin jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah.

Ujian itu hadir hanya beberapa bulan berbanding dengan nikmat yang Allah berikan bertahun-tahun. Maka penawarnya ialah berdamai dengan takdir itu dengan cara reda, sabar dan sentiasa berdoa agar diberikan petunjuk untuk menghadapi ujian itu. Yang penting yakin setiap ujian ialah pengampunan dosa daripada Allah dan mengangkat darjat kita untuk kesenangan di akhirat.