• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,137 orang
  • Tetamu Online

Amalan terbaik akhir Ramadhan

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

SEKELIP mata Ramadan sudah berada di penghujungnya. Masha Allah begitu pantas masa berlalu. Sudah tentu kenangan Ramadan 1442 Hijrah sangat berbeza dengan tahun yang sebelumnya. Walaupun kita masih dalam jihad menentang pandemik Covid-19 yang masih belum reda, tetapi sekurang-kurangnya kita semua sudah membiasakan diri dalam norma baharu ini. Apa jua yang kita hadapi dan alami dalam kehidupan ini semuanya hanya bertujuan mencari keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT. 

Tiada siapa yang hidup di muka bumi ini terutama seorang Muslim dan benar-benar menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, hidup tanpa matlamat ukhrawi yang jelas. Walaupun siapa kita, semuanya sama di sisi Allah SWT.

Allah berfirman dalam al-Quran: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku semata-mata kerana Allah Tuhan Sekalian Alam.” (Surah al-An’am: 162

Allah SWT berfirman lagi: “Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka beribadah dan menyembah-Ku.” (Surah Ad-Zariyat: 56)

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab) atau ‘ajam ke atas Arab atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Mencari keredaan Allah bererti kita mencari sesuatu amalan untuk mengisi jiwa dan hati nurani kita dengan keimanan dan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada sang Pencipta. Kita akan menghadapinya pada Hari Perhitungan dengan ketenangan dan ketenteraman. Allah SWT berfirman: “Adalah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d: 28)

Allah SWT berfirman lagi: “Pada hari yang mana tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak melainkan sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang tenang dan sejahtera.” (Surah as-Syu’ara: 88-89)

Tingkat ketakwaan. Salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berpuasa adalah merealisasikan pengertian sebenar takwa. Sesiapa yang berpuasa dengan penuh kesempurnaan, keikhlasan dan mengharapkan ganjaran yang terbaik daripada Allah SWT maka tiada tempat lain yang selayak untuknya melainkan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang tidak tergambar kehebatannya. Ganjaran yang diperoleh oleh mereka tidak pernah putus. Allah SWT menggambarkan orang yang bertakwa ialah penghuni tetap syurga-Nya. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya bagi orang bertakwa itu tempat menuai kejayaan (Syurga).” (surah an-Naba: 31)

Antara lubuk pahala yang agak meluas ketika musim pesta ibadah ini adalah memperbanyak sedekah, infaq dan wakaf. Pelbagai inisiatif yang diwujudkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan kebajikan dan pihak yang lain semata-mata membuka ruang untuk umat Islam melakukan amal jariah dan sedekah bagi menambah pahala dan kebaikan sebagai saham akhirat. Allah SWT berfirman: “Kamu tidak akan sekali-kali mencapai darjat kebaikan sehinggalah kamu membelanjakan sebahagian daripada harta yang kamu sukai.” (Surah Ali Imran: 92)

Daripada Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda: “Jika mati anak Adam maka semua amalan akan terputus kecuali tiga perkara, anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melazimi qiamullail. Amalan sunah Nabi SAW yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda adalah bangun dan menghidupkan malam hari dengan beribadah serta bermunajat kepada Allah SWT. Amat beruntunglah orang yang sanggup meninggalkan nikmat istirehat dan tidur pada malam hari Ramadan semata-mata menghadapkan wajahnya ke kiblat dan sujud kepada yang Maha Esa Rabbul Jalil.

Allah SWT berfirman dalam surah Ad-Dzariyat ayat 15-18: ” Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, sambil menerima segala pemberian Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam dan selalu memohon keampunan pada waktu pagi sebelum fajar.”

Memburu malam al-Qadr. Dalam baki terakhir, malam yang indah bulan Ramadan ini, sudah tentu tiada apa lagi yang mahu dikejar oleh orang yang berpuasa melainkan malam yang penuh kemuliaan, penghargaan, keistimewaan dan penghormatan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, lambang manifestasi betapa Allah SWT Maha Memahami fitrah naluri hamba-Nya, yang sangat teruja dengan ganjaran yang berlipat ganda, meskipun hanya melakukan beberapa amalan yang kelihatan biasa, tetapi luar biasa impaknya dalam kehidupan abadi seperti yang termaktub dalam surah al-Qadr: 1-5.

Mengeratkan ukhuwah silaturahim. Selain memelihara hubungan dengan Allah SWT, jangan diabaikan hubungan sesama manusia terutama keluarga dan orang sekeliling. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sabda Baginda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturahim).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Silaturahim ialah menjaga pertalian keluarga yang mempunyai hubungan (Rahim) atau dipanggil sebagai darah daging, manakala ukhuwah ialah persaudaraan sesama Muslim yang perlu dipelihara agar ia mekar dalam kasih sayang kerana Allah. Bertemu kerana-Nya dan berpisah juga kerana-Nya.

Berdoa terhindar daripada wabak dan bala. Amalan berdoa yang dipetik dari al-Quran dan hadis adalah perkara terbaik yang kita lakukan sepanjang Ramadan. Nabi SAW bersabda: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Ibn Majah). Doa yang terbaik adalah doa yang dimulakan dengan pujian kepada Allah SWT dan diikuti dengan selawat serta salam kepada junjungan Nabi SAW. Selain itu doa keampunan, doa kesejahteraan ibu bapa, doa hindarkan wabak, doa kebaikan dunia akhirat, doa diperkuatkan iman dan ditambahkan amalan. Antara doa yang termaktub dalam al-Quran: “Wahai Tuhan kami, janganlah Kau pesongkan hati kami setelah Engkau memberikan hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah rahmat kepada kami, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha memberikan kurniaan.”  (Surah Ali Imran: 8)

Mengubah diri kepada yang lebih baik. Peluang dalam bulan Ramadan ini telah dimanfaatkan oleh ramai orang untuk menjadi yang lebih baik sama ada daripada aspek ibadah, akhlak, pakaian, tingkah laku dan gaya hidup yang lebih Islamik dan dekat dengan agama. Allah SWT  berfirman dalam al-Quran surah Ar-Ra’d: 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan ia mengubah dirinya sendiri.”

Akhirnya di hujung Ramadan, kita semua sebagai umat islam haruslah menilai semula dan bermuhasabah diri untuk melihat sejauh mana peningkatan prestasi amalan kita pada tahun ini, sama ada sama dengan tahun lalu, ada peningkatan atau yang lebih parah penurunan prestasi dan kualiti secara mendadak. Semoga Allah SWT menerima apa jua amalan yang kita lakukan walaupun sekecil mana pun, tetap dikira sebagai amalan yang memberatkan timbangan mizan di sana kelak. Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: