• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,306,920 orang
  • Kandungan Blog

Al-Quran mukjizat agung tiada tandingan

Dr Azlan Shaiful Baharum

Ramadan bulan yang sentiasa dikaitkan dengan kehebatan al-Quran. Allah SWT menurunkan al-Quran sekali gus pada malam al-Qadr ke langit dunia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qadr ayat 1: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr”. Kemudiannya wahyu Ilahi mula turun kepada Rasulullah SAW peringkat demi peringkat berdasarkan pelbagai peristiwa bermula 17 Ramadan di Gua Hira.

Catatan sejarah panduan manusia yang lengkap bermula daripada peristiwa berkenaan. Allah SWT juga menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 185: “Ramadan diturunkan dalamnya al-Quran untuk menjadi pedoman kepada manusia, penjelasan kepada pedoman itu dan pembeza (antara yang baik dan buruk).”

Oleh itu, al-Quran mesti dijadikan sebagai rujukan dan panduan utama yang dapat dijadikan sahabat sejati setiap individu Muslim dalam melayari kehidupan duniawi ini agar sesuai dengan al-Maqasid as-Syariah (tujuan dan matlamat syariah kehidupan manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT).

Al-Quran sebuah kitab universal dan mampu menjawab semua permasalahan manusiawi pada setiap tempat dan waktu serta tidak tertumpu kepada umat atau kaum tertentu. Allah SWT menyatakan peranan kitab suci ini sebagai ‘Dzikru lil-almin’ iaitu al-Quran peringatan untuk seluruh alam (Surah al-An’am: 90) dan sebagai ‘Nadzîrn lil-basyar’ iaitu sebagai amaran kepada manusia (Surah Al-Mudathir :36)

Allah SWT berfirman lagi dalam al-Quran: “Wahai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak daripada isi al-kitab yang kamu sembunyikan dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah dan al-Kitab yang menerangkan. Dengan al-Kitab itulah Allah memberikan petunjuk kepada orang yang memperoleh keredaan-Nya ke jalan keselamatan dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu daripada gelap gelita kepada cahaya terang-benderang dengan izin-Nya serta menunjukkan kepada mereka ke jalan yang lurus.” Surah al-Maidah: 15-16

Oleh itu, kita mesti mendampingi al-Quran kerana ia mukjizat abadi hingga kiamat. Kewujudannya diyakini sepanjang masa dan di seluruh alam sebagaimana kata pepatah Melayu, ‘Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’ dan akan sentiasa relevan pada setiap waktu dan zaman. Untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sejati, kita perlu mendampingi al-Quran dengan cara mendengar nasihatnya, mengikuti panduannya dan selalu berada dekat dengannya. Bahkan, sentiasa kita berasakan tidak ada sesuatu pun yang dapat memisahkan dengannya.

Antara tip yang boleh dilakukan untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang hayat adalah seperti berikut:  

1. Membacanya dan menyebutnya selalu

Amalan membaca al-Quran adalah cara yang paling asas dan mudah untuk kita menjadikan al-Quran sebagai sahabat sejati dalam kehidupan kita.

Aktiviti membaca ayat suci ini dapat dilakukan dengan menetapkan rutin seharian yang disusun dengan baik agar dapat diselitkan sesi membacanya. Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat menjadi pemberi syafaat bagi orang yang mendampinginya.” Riwayat Muslim

Cuba menghafal dan mengingati ayatnya. Menghafal al-Quran adalah langkah kedua yang dapat menjadikannya sebagai sahabat sejati yang tersemat dalam hati dan jiwa hamba Allah yang dekat dengan kitab sucinya. Sebagai pedoman hidup, ternyata al-Quran satu-satunya kitab suci yang mudah dihafal berbanding yang lain. Hal ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qamar ayat 17: “Dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran untuk pengajaran maka adakah orang yang akan mengambil pengajaran itu?”

2. Mentadabbur dan memahami isi kandungannya

Kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menghayati kefahamannya dan cuba menyelami perkaitan satu ayat dengan yang lain atau satu surah dengan surah yang lain. Imam Jalaluddin as-Suyuthi dalam kitabnya Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an mencatatkan bahawa disunatkan membaca Al-Quran dengan tadabbur (berusaha menghayati maknanya) dan tafahhum (berusaha memahami kandungannya). Mentadabbur juga dapat dilihat daripada aspek bagaimana setiap ayat atau surah mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Begitu juga perkataan yang disusun begitu indah dan teliti. Ini semua dipanggil kehebatan mukjizat al-Quran atau I’jaz al-Quran.

3. Mengamalkan semua hukum dan pengajarannya

Langkah yang terbaik untuk kita memastikan sentiasa bersahabat dengan al-Quran adalah dengan berusaha mengamalkan setiap ayat yang terkandung di dalamnya dari segenap aspek akidah, syariah dan akhlak. Hukum-hakam daripada solat, puasa, zakat, haji, perwarisan harta, faraid, hutang piutang, aurat, perkahwinan, perceraian, jenayah, urusan muamalat hinggalah urusan berkaitan pentadbiran masyarakat serta negara semuanya terkandung dengan jelas dan komprehensif dalam al-Quran.

Hukum-hakam dalam al-Quran tidak pernah dianggap lapuk atau ketinggalan zaman. Ia sentiasa relevan sejak zaman Rasulullah SAW, pada zaman moden ini hinggalah hari kiamat. Rahsia yang menyebabkan al-Quran tidak akan usang dan ketinggalan adalah kerana ia satu bentuk pensyariatan (at-tasyri’i) sesuai dengan fitrah serta tabii manusiawi yang juga sebuah bentuk penciptaan (at-takwini). Fitrah manusia pula tidak akan mengalami perubahan dan penggantian. Manusia pada zaman apa jua mempunyai naluri, keperluan dan kehendak yang sama. Ini terbukti dalam pelbagai paparan kisah sejarah manusia yang termaktub dalam al-Quran sejak zaman Nabi Adam AS hinggalah zaman Nabi Isa AS. Semuanya dinukilkan satu persatu untuk panduan umat Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT meletakkan satu perlembagaan yang syumul terhadap kandungan dan pengetahuan al-Quran sehingga ia mampu menjawab seluruh keperluan manusia sepanjang perjalanan kehidupan. Sejarah membuktikan manusia dapat memanfaatkan segala fakta yang malar segar dari al-Quran. Ia umpama pelita terang yang bersinar menerangi perjalanan kehidupan manusia dengan cahaya petunjuknya yang bersinar dan bergemerlapan.

Oleh yang demikian semua proses ini akan membawa kepada penghayatan al-Quran bukan sahaja pada Ramadan malahan diaplikasikan dengan cara menjadikan setiap perbuatan dan tutur kata kita sepanjang masa sesuai dengan tuntutan al-Quran, baik dalam urusan duniawi ataupun ukhrawi. Moga semua anggota masyarakat akan terus bersemangat untuk melahirkan generasi al-Quran yang hebat!

3 Dimensi hikmah puasa Ramadan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBADAT puasa pada Ramadan disebut dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah-ruah seluas samudera raya. Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perut dan memimpin nafsu ke arah darjat kesucian serta fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan padanya al-Quran. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu puasa. Puasa senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulainya dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Puasa Ramadan asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah serta perintah Ilahi Yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya adalah suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik.

Lebih penting daripada itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah. Ini kerana puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud beribadat tanpa bekerja. Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan. Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apa pun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat dan haji sebaliknya ibadat puasa pula tidak dapat diketahui apatah lagi diperlihatkan dengan gerakan lahiriah. Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa satu-satunya ibadat yang tidak boleh dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain: Sabar itu separuh daripada iman.”

Selanjutnya, puasa Ramadan kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik. Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah sahaja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan merefleksikan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim, meringankan beban dan kesusahan golongan yang memerlukan serta membela golongan yang tertindas.

Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan serta ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi. Dalam hidup yang penuh liku, setiap Muslim dianjurkan bersifat positif dan optimis di samping berusaha menampilkan nilai keperibadian terpuji semasa berhadapan cabaran berkenaan. Bulan inilah peluang keemasan dan terbaik untuk umat Islam mengatur langkah dan menyusun strategi untuk memulihkan kembali maruah serta kedudukan mereka sebagai umat cemerlang dalam segala lapangan hidup.

Tidak hairanlah ada sebahagian ulama menyebut ibadat puasa sebagai al-Riadhah al-Sanawiyyah yang bermaksud latihan kerohanian yang bersifat tahunan dan ada juga menyebut Madrasah Ramadhaniyyah yang bererti tempat didikan Ramadan. Ini kerana Ramadan satu bulan yang menumpukan aspek pembinaan insan dalam pelbagai dimensi kehidupan agar seusainya Ramadan akan lahir insan bertakwa, berjiwa kental, berakhlak terbilang dan beristiqamah yang berupaya memacu upaya menuju kecemerlangan dunia serta kebahagiaan abadi di akhirat.