• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,314 orang
  • Tetamu Online

Jangan setakat puasa ikut-ikutan

Mohd Shahrizal Nasir

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah), nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi mendapat keampunan daripada Allah melalui ibadat puasa, maka puasa perlu dilaksanakan mengikut tatacara yang betul. Harapan kita agar puasa yang ditunaikan ini diterima oleh Allah.

Justeru, hal berkaitan pelaksanaan puasa termasuk sahur dan iftar (berbuka puasa) tidak seharusnya dipandang remeh.

Bersahur adalah ibadat yang ada kepentingannya dalam pelaksanaan puasa. Kita dianjurkan bersahur pada waktunya.

Perkara ini perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah membezakan puasa umat Islam dengan yang diamalkan oleh golongan lain.

Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah makan sahur.” (Riwayat Muslim)

Mungkin ramai dalam kalangan kita mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam sebagai ‘sahur’ dan kemudian tidur, tidak bangun pada waktu sepatutnya. Perkara ini adalah tidak tepat dalam erti kata sebenar sahur.

Bersahur bukan sekadar makan, tetapi ia adalah satu ibadat yang sunat dilakukan pada waktunya. Padanya ada keberkatan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Bersahurlah kalian kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan keperluan untuk bangun sahur sangat penting meskipun hanya dengan beberapa teguk air.

Sabda Baginda SAW, mafhumnya: “Bersahurlah sekalipun dengan seteguk air.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Berkenaan dengan iftar pula, kita dikehendaki untuk menyegerakannya. Hal ini perlu diberi peringatan kerana ada antara kita yang bersikap sambil lewa. Sekiranya yakin masuknya waktu Maghrib, kita perlu segera berbuka.

Kelewatan berbuka berbanding orang lain tidak menyebabkan kita mendapat pahala tambahan daripada puasa dilakukan, malah dikhuatiri mengurangkan pahala puasa kerana kejahilan ilmu mengenainya.

Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadat dengan tepat.

Ibadat dalam Islam perlu mengikut garis panduan ditetapkan. Ia tidak boleh lebih atau kurang daripada apa yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, bersederhana ketika berbuka adalah satu amalan amat dituntut oleh Islam.

Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika tiba waktu berbuka. Jika dilihat daripada sunah Rasulullah SAW, sesungguhnya Baginda SAW amat bersederhana ketika berbuka.

Diriwayatkan Abu Dawud, Ahmad dan at-Tirmidzi bahawa: “Nabi SAW berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar (kurma kering) dan jika tiada dengan meminum beberapa teguk air.”

Begitulah serba sedikit kaedah dalam pelaksanaan ibadat khususnya berkaitan puasa. Janganlah menjadikan puasa sebagai amalan ikut-ikutan, sebaliknya ia adalah satu ibadat yang perlu dilaksanakan dengan ilmu dan pemahaman tepat.

Ramadhan bulan Hapus dosa, tambah pahala

Shahrizal Nasir

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Setiap anak keturunan Nabi Adam banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan dosa adalah orang yang banyak bertaubat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang hidupnya sering melakukan dosa, namun pada suatu ketika dia berasa ada sesuatu tidak kena dan berasa perlu kembali ke pangkal jalan, maka inilah dikatakan satu anugerah daripada-Nya.

Justeru, marilah kita menghitung dan menyesali dosa lalu. Manfaatkan waktu dan kesempatan yang ada untuk memohon keampunan dan melaksanakan tuntutan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari seratus kali.”

Pada Ramadan ini, marilah kita melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan kesempurnaan supaya kita beroleh ganjaran istimewa termasuk keampunan daripada-Nya.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap (pahala), maka dosanya yang lalu diampuni.” (Riwayat al-Bukhari an Muslim)

Dalam kesungguhan kita untuk mendapatkan ampunan daripada-Nya, kita juga perlu tekun melaksanakan ibadat yang lain terutama solat. Jangan hanya berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat.

Ketekunan kita pula tidak terbatas kepada solat wajib lima waktu, sebaliknya turut membabitkan solat sunat.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa melakukan qiam (malam) Ramadan kerana iman dan mengharap (pahala), nescaya dosanya yang lalu diampuni.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah, kita perlu memperbanyakkan amalan kebaikan lain seperti bersedekah dan menjamu orang berbuka puasa. Ambillah kesempatan Ramadan untuk melakukan semua ini kerana ganjarannya sangat besar.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa memberi makan untuk berbuka orang berpuasa adalah baginya seumpama pahala mereka tanpa berkurang pahala mereka sedikit pun.” (Riwayat Ibnu Majah)

Inilah peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Inilah waktu untuk kita memupuk diri agar rajin beribadat dan gemar melakukan kebaikan, sekali gus membuktikan kita adalah hamba yang tahu bersyukur.

Kesibukan kita pada Ramadan mesti terarah kepada ibadat. Kita membaca al-Quran, berzikir, rukuk dan sujud kepada-Nya. Kita memakmurkan masjid dengan solat secara berjemaah.

Usah terbawa-bawa dengan perangai lama pada bulan selain Ramadan seperti banyak tidur dan asyik menghadap televisyen. Sedarlah, waktu bergerak pantas dan usia semakin meningkat.

Ramadhan Fasa penting mendidik diri

Mohd Rizal Azman Rifin

Memang unik dan berlainan sekali. Masuk saja Ramadan, kita tidak makan dan minum pada siang hari tetapi cergas beramal ibadat. Kita menjadi seakan-akan manusia yang jauh beza berbanding bulan lalu.

Sebelum ini, kita mungkin jarang ke masjid. Namun, apabila Ramadan dengan tidak semena-mena hati kita terpaut untuk turut sama memakmurkannya. Dalam banyak waktu, kita selalu berjemaah.

Mungkin pada bulan lain hanya sekali dalam seminggu kita ke masjid iaitu pada Jumaat. Namun, pada Ramadan boleh dikatakan setiap hari kita ke masjid. Boleh pula kita berbuat begitu!

Sebelum Ramadan kita jarang membaca al-Quran, melainkan apabila ada kematian dan itu pun sekadar surah al-Fatihah.

Namun, dengan kehadiran Ramadan kita tergerak hati untuk mendapatkan al-Quran. Setiap kali ada waktu terluang, kita membelek helaian demi helaian. Kita membacanya tanpa rasa jemu.

Barangkali juga sebelum ini kita sangat berkira untuk bersedekah. Namun, pada bulan yang mulia ini kita terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan susah dan anak yatim.

Kita menjadi ringan tangan menghulurkan sumbangan kepada tabung masjid. Kita menderma kepada tabung kebajikan. Kita turut menghulurkan sumbangan kepada pihak yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa ataupun kita sendiri menajanya.

Demikianlah gambaran sepintas lalu mengenai anjakan sikap kita pada Ramadan. Sekiranya kita mampu mengubah sikap selari dengan tuntutan agama, bermakna kita berjaya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk mendidik diri.

Persoalannya, sejauh mana kita dapat mengubah sikap kita kepada yang sepatutnya? Mampukah kita menjadikan ibadat puasa sebagai satu cara untuk membuang segala sikap buruk dan menyemai sikap terpuji?

Sebelum teragak-agak memberikan jawapan, mari kita perhatikan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Imam al-Bukhari, mafhumnya: “Sesiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengamalkannya, maka tiada hajat bagi Allah pada meninggalkan makan dan minumnya.”

Begitu juga Sayidina Umar al-Khattab RA berkata: “Bukanlah puasa itu terbatas pada menahan diri daripada makan dan minum saja. Malah, puasa itu menahan diri daripada perkataan dusta, perbuatan batil, sia-sia dan sumpah yang tiada gunanya.”

Kemudian, kata-kata daripada Sayidina Ali bin Abi Talib RA: “Sesungguhnya puasa tidaklah terbatas daripada menahan diri daripada makan dan minum saja. Malah, puasa itu menahan diri daripada perbuatan dusta, sia-sia dan keji.”

Nampak jelas di sini, faedah puasa dan kaedah penerimaannya oleh Allah. Jadi, usahlah teragak-agak untuk berpuasa dengan seluruh pancaindera.

Kita kunci mulut daripada berkata dusta, mencerca dan mengungkapkan perkataan yang sia-sia.

Ambillah peringatan melalui sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga belaka!” (Riwayat Ibnu Majah dan Nasai)

Semoga Ramadan yang kita lalui serta puasa kita jalani kali ini menjadi lebih baik dari sebelumnya. Teguhkan tekad dan kuatkan semangat untuk meraih pahala dan reda-Nya.

Puasa pencetus taqwa

Alhamdulillah seluruh umat Islam hampir 2 minggu berada di bulan Ramadan. Oleh itu, saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz mengenai kesan golongan yang berpuasa tetapi mereka masih mengumpat dan berbohong. Adakah sah puasa mereka itu?

Amirul, Sepang

Puasa yang diterima Allah SWT adalah yang dapat membersihkan jiwa, menguatkan diri ke arah kebaikan, seterusnya membuahkan sifat takwa.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Wajib bagi setiap orang Islam yang berpuasa menahan diri mereka daripada mengeluarkan kata-kata dan perbuatan yang dapat mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa sehinggakan puasanya itu hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.

Dalam satu hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim dinyatakan: “Puasa itu perisai, maka apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah berkata kotor dan berbuat bodoh dan apabila ada seseorang yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar, maka hendakdaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa.”

Dalam hadis lain riwayat an-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada solat ma- lamnya itu kecuali tidak tidur.”

Sebuah lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan yang buruk, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.”

Ibn Arabi berkata bahawa hadis itu mengandungi makna orang itu tidak diberi pahala atas puasanya.

Itu menunjukkan pahala puasanya hilang disebabkan ucapan dusta dan dosa lain yang dilakukannya.

Ibn Hazm berpendapat, hal itu akan membatalkan puasa sebagaimana makan dan minum.

Menurut ulama juga, kemaksiatan dapat meghilangkan ‘buah’ puasa dan merosakkan maksud disyariatkan berpuasa itu sendiri.

Sebab itulah golongan salaf dahulu menaruh perhatian untuk menjaga puasanya daripada perkataan serta perbuatan sia-sia dan sebagaimana mereka memeliharanya daripada makan dan minum.

Umar berkata: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada minum dan makan tetapi juga daripada ucapan dusta, batil dan sia-sia.”

Jabir berkata: “Apabila anda berpuasa makan, hendaklah pendengaran, penglihatan dan lisan anda juga berpuasa daripada dusta dan dosa-dosa. Janganlah anda menyakiti pekerja anda, hendaklah anda bersikap merendah diri dan tenang pada hari anda berpuasa. Dan janganlah anda samakan hari berbuka anda dengan hari berpuasa anda.”

Abu Dzar pernah berkata kepada Thaliq bin Qais, “Apabila engkau berpuasa, maka jagalah dirimu semampu mungkin.”

Oleh kerana itu, jika sedang berpuasa Thaliq tidak keluar rumah kecuali untuk menunaikan solat.

Abu Hurairah dan sahabatnya apabila berpuasa mereka duduk di masjid dan mereka berkata: “Kami menyucikan puasa kami.”

Maimun bin Mahran berkata: “Puasa yang paling ringan ialah puasa daripada makan dan minum.”

Tingkat produktiviti ummah

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Menurut al-Quran, salah satu daripada hikmah ibadat puasa diwajibkan kepada umat Islam ialah untuk menjana ketakwaan agar bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim. Ironisnya, takwa adalah sebahagian daripada terminologi al-Quran apabila ia bukan hanya sekadar slogan yang begitu mudah dituturkan oleh lidah yang tidak bertulang, sebaliknya takwa adalah teras yang mendasari seluruh ruang lingkup kehidupan seharian manusia.

Dalam erti kata lain, takwa itu bukan sekadar khusus kepada amalan ibadat kerohanian dan keagamaan semata-mata, malahan takwa adalah satu manifestasi kepada seluruh aktiviti kehidupan manusia sejagat.

Sehubungan itu, Allah Taala berfirman maksudnya: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa; iaitu orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 2 – 3)

Jelas dari maksud ayat suci di atas mengisyaratkan betapa menyeluruhnya makna takwa dalam seluruh detik kehidupan manusia sehingga Rasulullah SAW pernah menyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa takwa adalah himpunan segala kebajikan.

Dalam konteks puasa untuk takwa, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mencatatkan dalam kitabnya Zad Al-Ma’ad betapa seluruh aktiviti kehidupan Rasulullah SAW dalam berpuasa sarat dengan makna yang cukup mendalam daripada yang berbentuk ibadat kepada Allah hinggalah aktiviti intelektual, sosial, jihad dan seterusnya.

Seorang ulama sufi tersohor, Fudhail bin ‘Iyadh selalu bekerja dan beramal dua kali ganda dari biasanya bila sahaja datangnya bulan Ramadan. Ketika hal ini ditanyakan kepadanya, lantas beliau menjawab: “Bukankah Rasulullah SAW melalui hadis qudsinya pernah menyatakan bahawa Allah Taala akan melipatgandakan pahala kebajikan dari 10 hingga 700 kali ganda kecuali ibadat puasa sebab puasa itu khusus untuk Allah Taala di mana Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda lagi. “

Lanjut Fudhail lagi: “Tidak ada alasan lagi bagiku untuk bermalas-malasan. Inilah bulan ganjaran dan pahala. Aku berpuasa, aku mendapat pahala. Aku bekerja sambil berpuasa, aku mendapat pahala. Kemudian hasil kerjaku itu sebahagiannya aku dermakan kepada orang yang memerlukan. Dengan demikian, aku mendapat keutamaan dan ganjaran pahala tiga kali ganda.”

Demikianlah persepsi Fudhail terhadap ibadat puasa di dalam bulan Ramadan di mana ia amat jauh berbeza dengan persepsi berpuasa di kalangan umat Islam kini yang begitu mudah mengaitkan puasa itu dengan malas bekerja, tidur di siang hari, tidak produktif dan lain-lain lagi sifat negatif. Sedangkan, persepsi Fudhail mencerminkan betapa ibadat puasa itu adalah satu aktiviti ibadat yang sarat dengan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dan sekali gus juga aktiviti yang penuh produktif dan bermakna kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Serentak dengan itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menegaskan bahawa bukanlah takwa kepada Allah itu dengan melaksanakan puasa sunat di siang hari atau solat sunat di malam hari atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi takwa kepada Allah ialah kemampuan untuk meninggalkan apa-apa yang diharamkan Allah Taala dan juga melaksanakan segala kewajipan-Nya. Kemudian, jika itu sudah dilakukan dan ditambah lagi dengan kemampuan melaksanakan amalan sunat, maka itu adalah kemuncak kebajikan di atas segala kebajikan.

Ini bermakna umat Islam bukan sahaja dituntut meningkatkan kualiti dan kuantiti amalan ibadat yang dianjurkan Islam sepanjang Ramadan, bahkan dalam masa sama umat Islam dituntut menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan dan juga yang mencacatkan kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Dalam istilah fiqah, amalan menahan diri itu lebih dikenali sebagai imsak.

Imsak itu sebenarnya adalah hakikat ibadat puasa Ramadan di mana ia secara terminologi fikah membawa maksud menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat puasa bermula dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari dengan niat ibadat penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi. Dalam erti kata lain, menahan diri yang dimaksudkan itu bukanlah sekadar tidak makan dan tidak minum, bahkan juga seluruh perkataan dan perbuatan yang boleh merosakkan pahala dan nilai ibadat puasa itu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Hakim)

Jelas di sini menahan diri secara total dan menyeluruh itulah yang bakal menghasilkan takwa yang sebenarnya bagi orang yang berpuasa selaras dengan objektif utama pensyariatan ibadat puasa oleh Allah Taala kepada umat Islam di mana natijahnya akan terbias menyinari dalam setiap detik kehidupan sehariannya, baik ketika berada di bulan suci Ramadan mahupun sesudahnya.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menyeru umatnya supaya meninggalkan apa yang jelas diharamkan dan dilarang Allah Taala. Di antara larangan itu ialah berkata dusta, perbuatan ghibah iaitu menyebut sesuatu yang ada pada orang lain sedangkan orang berkenaan tidak begitu senang bila hal itu diungkapkan dan perbuatan namimah iaitu menyebarkan perkataan seseorang mengenai peribadi orang lain sehingga mencetuskan pergaduhan dan merosakkan perhubungan dua orang yang bersahabat atau mengadu domba.

Dalam hal ini, sahabat Nabi SAW iaitu Jabir bin Abdullah RA pernah berkata: “Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu dari perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa.”

Orang yang berpuasa itu ialah orang yang berpuasa dari perbuatan dosa dan maksiat. Lidahnya tidak melafazkan perkataan bohong, tidak berbicara dengan bicara yang kotor, palsu atau sia-sia. Perutnya berpuasa dari makan dan minum. Kemaluannya berpuasa dari bersetubuh. Kalau lidahnya berbicara, dia hanya akan berbicara yang benar dan berunsurkan nasihat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Bicaranya baik dan lembut, amal perbuatannya pula luhur dan salih. Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menganjurkan umatnya yang melaksanakan ibadat puasa bulan Ramadan supaya menghiaskan diri mereka dengan budi luhur dan amal soleh, menjauhkan diri dari berkata dusta dan keji yang terlarang.

Dengan demikian, takwa adalah satu kesedaran moral dan keinsafan spiritual yang sangat tinggi yang hanya diperoleh dari satu bentuk latihan atau amalan yang menuntut kesungguhan dan pengorbanan. Dengan itu, ibadat puasa berupaya melahirkan peribadi yang terbilang, jujur dan bertanggungjawab serta bersemangat waja dalam menelusuri pentas kehidupan yang penuh liku.

Kesimpulannya, hasil puasa bukan hanya diukur dengan sekadar menahan lapar dan dahaga selama sebulan penuh Ramadan. Malahan nilai ibadat puasa yang sebenarnya dilihat pada aplikasinya pada 11 bulan yang seterusnya.

Sebab itulah seseorang itu dianggap berjaya dalam ibadat puasanya apabila sikap dan perilakunya merasai kehadiran pengawasan Allah Taala sehingga dia tidak berani berlaku dusta, rasuah, bahkan mengkhianati seseorang pun, dia tidak akan tergamak melakukannya kerana selama berpuasa Ramadan, dia berpuasa dengan sepenuh jiwa raganya yang akhirnya membentuk dirinya sebagai seorang hamba yang hanya menurut kepada kehendak Ilahi semata-mata.

Tingkat kualiti puasa

Mohd Shahrizal Nasir

Puasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang sangat istimewa. Terdapat banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan. Keistimewaan ibadah puasa dapat difahami apabila ia merupakan ibadah yang akan dikurniakan ganjaran oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: “Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku. Dan Aku (Allah) sendiri yang akan mengurniakan ganjarannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan keistimewaan ibadah puasa yang dikurniakan pahalanya oleh Allah SWT sendiri. Ternyata penilaian terhadap ibadah puasa hanya diketahui oleh-Nya.

Dalam keadaan ramai orang berpuasa, perlu diketahui bahawa kualiti pelaksanaan ibadah ini berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya bergantung kepada empunya diri yang sepatutnya menjaga setiap perlakuan sepanjang berpuasa. Puasa bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum sahaja.

Ada orang mungkin memahami bahawa puasa itu cukup sekadar tidak makan dan tidak minum di siang hari di bulan Ramadan. Pemahaman sebegini perlu diperbetulkan bagi menyedarkan diri untuk menjaga tingkah laku semasa berpuasa.

Bahkan Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang wujudnya golongan manusia yang berpuasa, namun tidak mendapat sebarang ganjaran daripada ibadahnya. Orang sebegini hanya dapat merasai lapar sahaja tanpa memperoleh ganjaran pahala.

“Berapa ramai orang yang berpuasa dengan hasil daripada puasanya (hanya) lapar dan dahaga.” (Hadis riwayat Ahmad)

Peringatan Rasulullah SAW tentang kerugian yang menimpa orang berpuasa namun tidak mendapat sebarang pahala ini perlu diambil perhatian serius oleh semua umat Islam. Keadaan ini pasti mempunyai perkaitan dengan tingkah laku sepanjang berpuasa.

Antara perkara yang boleh merosakkan ibadah puasa ialah berdusta dalam pertuturan seharian. Mungkin ada orang yang sudah menjadi sebahagian daripada perilakunya ialah berkata dusta. Maka dengan berpuasa sepatutnya ia dapat menjauhkan diri seseorang daripada berdusta.

Boleh jadi pendustaan dibuat dalam suasana gurauan. Namun perlu disedari bahawa perbuatan berdusta tetap dihukumkan haram di sisi Islam meskipun dalam gurauan. Jelaslah bahawa ibadah puasa bukan sahaja melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT sahaja, tetapi juga hubungan manusia sesama manusia. Orang yang berdusta sebenarnya tidak mengasihi orang lain kerana sanggup menutup kebenaran dan membiarkan orang lain berada dalam kekeliruan.

Allah SWT tidak memandang amalan puasa orang yang berdusta. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta, dan mengamalkannya, maka Allah tidak mengurniakan ganjaran atas usahanya menahan rasa lapar dan dahaga (berpuasa).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Saidina Umar al-Khattab menyebut: “Bukanlah puasa itu hanya menahan diri daripada minum dan makan sahaja, tetapi puasa juga menahan diri daripada pendustaan, kebatilan dan perkara yang sia-sia.”

Pelaksanaan ibadah puasa juga perlu disekalikan dengan ibadah fardu yang lain. Dalam konteks ini, ibadah solat fardu wajib ditunaikan oleh orang yang berpuasa. Solat adalah tiang agama. Sudah pasti orang yang berpuasa tanpa menunaikan solat tidak akan mendapat pahala sepertimana orang lain yang berpuasa dan menunaikan solat fardu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Orang yang berpuasa juga diwajibkan mematuhi perintah Allah SWT sepertimana dituntut di luar daripada bulan Ramadan. Contohnya suruhan agar setiap orang Islam memelihara aurat masing-masing. Perintah ini masih berjalan apatah lagi ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa.

Bayangkan jika di luar bulan Ramadan, ada kalanya diri tidak langsung berada dalam keadaan beribadah. Namun sepanjang siang hari di bulan Ramadan, seseorang yang berpuasa sedang melakukan ibadah. Ditambah pula dengan ibadah sunat yang lain pada waktu malam. Justeru, orang yang sedang berpuasa perlu sedar tentang keperluan mematuhi setiap perintah Allah SWT.

Perintah menutup aurat dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang lain turut perlu diawasi daripada melakukan perkara yang diharamkan. Orang yang berpuasa perlu menjaga tangannya daripada mengambil hak orang lain. Tangan juga perlu diawasi daripada menulis perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa terutama menerusi media sosial. Bukan sahaja mulut perlu ditutup daripada menuturkan perkara dosa, tetapi tangan juga perlu dijaga daripada menulis perkataan-perkataan yang mengundang dosa dan sia-sia.

Mata juga perlu dijaga agar tidak melihat perkara-perkara dosa. Dengan adanya telefon pintar, amat mudah untuk setiap orang melihat apa sahaja yang dihidangkan dalam internet. Inilah peranan puasa yang sebenarnya dapat mengawal diri daripada terjebak dalam maksiat mata.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 30)

Begitu juga dengan kaki yang boleh digunakan untuk pergi ke mana sahaja. Jangan gunakan kaki kurniaan Allah SWT untuk menuju ke tempat yang dilarang oleh Allah SWT ataupun tempat yang boleh menyebabkan diri terjebak dalam kemaksiatan. Sebaliknya, gunakanlah kaki untuk menuju ke tempat yang boleh mendatangkan pahala ketika diri sedang berpuasa.

Bulan Ramadan adalah masa yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita menggandakan amalan pada waktu siang dan malam. Peluang ini hanya datang sebulan dalam tempoh setahun. Allah SWT mensyariatkan ibadah puasa dalam bulan Ramadan dengan garis panduan yang cukup jelas.

Puasa tidak hanya berkaitan larangan makan dan minum di siang hari, tetapi ia turut menuntut agar diri terus melaksanakan ibadah fardu yang juga satu keutamaan iaitu solat. Puasa juga tidak boleh dicemari dengan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana ia akan menjejaskan kualiti ibadah.

Peranan hadis daif bahas kelebihan ramadan

Dr Mohd Khafidz Soroni

Secara asas, hanya hadis sahih dan hasan dapat dijadikan sandaran hukum manakala hadis daif tidak diterima untuk dijadikan hujah. Bagaimanapun, majoriti ulama bersepakat menyatakan harus beramal dengan hadis daif selama tidak berkaitan dengan aspek hukum dan akidah. Selagi hadis itu tidak disepakati palsu dan masih tertakluk di bawah lingkungan syarak, harus beramal dengannya menurut syaratnya.

Antara skop yang diharuskan ialah berkaitan kelebihan amalan (fadha’il al-a’mal), memberi galakan atau ancaman (at-targhib wa at-tarhib), sirah nabawiyyah, doa, zikir, sejarah dan seumpamanya.

Oleh itu, ulama sejak dahulu tidak melarang umat Islam daripada beramal dengan hadis daif. Malah, hadis daif dari segi istilah bukanlah bermaksud hadis lemah, tetapi hadis yang tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan. Disebabkan itulah, ulama turut meriwayatkan dan mencatatkan hadis daif ini di dalam kitab mereka.

Terdapat banyak karya yang membincangkan di dalamnya kelebihan ibadat puasa dan amalan di sekitarnya seperti kitab at-Targhib wa at-Tarhib oleh Qawwam as-Sunnah al-Asbahani (wafat 535H) dan at-Targhib wa at-Tarhib oleh Imam al-Munziri (wafat 656H).

Namun, yang hendak dibicarakan kali ini ialah karya yang dikarang khusus mengenai kelebihan puasa terutama puasa Ramadan dan semua yang berkaitannya seperti solat sunat Tarawih.

Antara kitab terawal dikarang khusus mengenainya ialah kitab Fadha’il Syahr Ramadhan oleh Imam Ibn Abi ad-Dunya (wafat 281H) yang di dalamnya terdapat 63 hadis dan athar.

Kedua, kitab Qiyam Ramadhan oleh Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi (wafat 294H). Kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Maqrizi (wafat 845H) dengan cara membuang hadis yang berulang. Kini hanya ringkasan al-Maqrizi ini yang ada manakala kitab asal tidak dijumpai. Terdapat 299 hadis dan athar yang diriwayatkan di dalamnya.

Ketiga, kitab as-Siyam oleh Imam al-Firyabi (wafat 301H). Terdapat di dalamnya 192 hadis dan athar termasuk bilangan hadis yang berulang.

Keempat, kitab Fadha’il Syahr Ramadhan oleh Imam Ibn Syahin (wafat 385H). Judul penuh kitab ini agak panjang yang terjemahannya: “Kelebihan Ramadan, segala hukum dan ilmu mengenainya, kelebihan orang yang berpuasa Ramadan dan ancaman terhadap orang yang tidak berpuasa padanya secara sengaja tanpa sebarang keuzuran.” Terdapat
di dalamnya 36 hadis.

Kelima, kitab Fadha’il Ramadhan oleh Imam Abd al-Ghani al-Maqdisi (wafat 600H) yang terdapat 66 hadis di dalamnya.

Keenam, Juz’ fihi Ahadith Syahr Ramadhan oleh al-Hafiz Abu al-Yumn Ibn ‘Asakir (wafat 686H) yang meriwayatkan 30 hadis dan athar di dalamnya. Meskipun beliau daripada kalangan ulama abad ke-7H, hadisnya masih diriwayatkan secara bersanad.

Semua karya di atas adalah antara karya klasik yang hadisnya diriwayatkan lengkap secara bersanad dan mencakupi hadis sahih, hasan serta daif.

Adapun karya ulama yang membahaskan ibadat Ramadan tanpa dibawakan hadisnya secara bersanad, bilangannya cukup banyak. Antara yang dapat disebutkan daripada karya ulama mazhab Hanafi ialah kitab Fadha’il Ramadhan oleh Imam Abu al-Laith as-Samarqandi (wafat 373H) dan Fadhilat Ramadhan oleh Maulana Zakariya al-Kandahlawi (wafat 1402H).

Daripada karya ulama mazhab Maliki pula ialah kitab Fadha’il Syahr Ramadhan oleh al-Allamah Ali al-Ujhuri (wafat 1066H) iaitu syeikh ulama mazhab Maliki pada zamannya. Sebuah lagi, kitab Is’af Ahl al-Iman bi Waza’if Syahr Ramadhan oleh al-‘Allamah Hasan al-Massyat (wafat 1399H).

Antara karya ulama mazhab Syafie ialah kitab Fawa’id as-Saum atau Maqasid as-Saum oleh Imam Ibn ‘Abd as-Salam (wafat 660H), kitab Madarik al-Maram fi Masalik as-Siyam oleh Imam Qutb ad-Din al-Qastallani (wafat 686H) dan kitab Ithaf Ahl al-Islam bi Khususiyat as-Siyam oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (wafat 995H).

Antara karya ulama mazhab Hanbali pula ialah kitab Bughyat al-Insan fi Waza’if Ramadhan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (wafat 795H) yang dikeluarkan daripada kitab asalnya, Lata’if al-Ma’arif.

Jelaslah berdasarkan penelitian, semua ulama yang disebutkan termasuk ulama daripada empat mazhab yang muktabar tidak mengetepikan hadis daif di dalam karya mereka. Ini membuktikan mereka cukup memahami hukum dan peranan yang boleh dimainkan oleh hadis daif dalam memberikan keluasan yang dibenarkan syarak serta motivasi berkesan bagi melaksanakan sesuatu amalan atau meninggalkan kemungkaran.

Namun, yang menghairankan, terdapat segelintir orang pada zaman mutakhir ini yang bukan saja menolak hadis daif secara total, malah mengeji mereka yang mengikuti ulama berkenaan dalam mengamalkannya.

Ganjaran istimewa puasa

Mohd Shahrizal Nasir

Kedatangan Ramadan, sematkan keazaman untuk menunaikan ibadat puasa Ramadan dengan penuh kesungguhan serta mengharapkan ganjaran istimewa daripada Allah SWT.

Jangan pula persiakan kehadiran Ramadan dengan menganggapnya sekadar bulan biasa yang akan datang dan pergi.

Rasulullah SAW pernah didatangi malaikat Jibril dengan rupa paras seorang lelaki tidak dikenali oleh sahabat.

Dalam keadaan dirinya sebagai individu asing dalam majlis Rasulullah itu, Jibril mengajukan beberapa soalan kepada Baginda.

Antara soalan yang ditanya: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan? Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya yakinlah Dia melihat engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan, ihsan menjelaskan satu situasi seorang hamba menunaikan ibadat kepada Allah SWT dengan cara terbaik.

Terkeluar daripada definisi ihsan apabila sesuatu ibadat dilakukan secara sambil lewa.

Ilmu amat penting dalam pelaksanaan sesuatu ibadat supaya mutu ibadat itu menepati piawaian ditetapkan Allah SWT.

Dalam al-Quran terdapat 12 ayat mengandungi lafaz ‘ihsan’ atau ‘ihsanan’ yang merujuk kepada perbuatan baik atau kebaikan.

Terdapat kira-kira 38 ayat lagi mengandungi perkataan berkaitan ihsan yang merujuk kepada puji-pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin dan muhsinat.

Ibadat puasa amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Wajar buat kita memastikan ibadat puasa yang akan ditunaikan nanti dibuat dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Tidak ada orang mengetahui sama ada dia berpuasa atau tidak melainkan Allah SWT dan diri orang itu sendiri.

Dengan sifat ihsan, ibadat puasa perlu dilaksanakan dalam keadaan kita yakin Allah SWT sedang memerhatikan tindak-tanduk kita pada setiap saat.

Malang sekali apabila terdapat segelintir orang berpuasa, tetapi masih melakukan perkara dilarang Allah SWT seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, membazir dan mengabaikan tugas atas alasan berpuasa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan rasa lapar.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Antara perkara sering berlaku pada bulan puasa ialah menjadikan puasa sebagai alasan untuk meringankan tugas atau tanggungjawab.

Islam tidak pernah menerima alasan sedang berpuasa sebagai sebab produktiviti kerja menurun.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan pula, kebanyakan tempat kerja khususnya sektor kerajaan menamatkan waktu operasinya lebih awal pada bulan Ramadan.

Maka, tidak timbul soal pengurusan masa, tenaga dan bebanan tugas sepanjang Ramadan.

Sifat ihsan ketika berpuasa akan menjadikan diri sentiasa beringat perlunya menunaikan ibadat puasa serta menjaga kualiti pelaksanaannya.

Sekiranya setiap Muslim memahami konsep ihsan dalam pelaksanaan ibadat puasa, maka perkara salah seperti dinyatakan tidak akan berlaku.

Setiap kita akan sentiasa berwaspada dalam percakapan dan perbuatan kerana sekiranya tidak dipelihara, ia memberi kesan negatif kepada mutu ibadat.

Dengan sifat ihsan, kita yakin semua perkataan dan perbuatan tidak pernah terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.

Allah SWT menyukai orang yang berbuat ihsan dan akan melimpahkan rahmat-Nya kepada golongan itu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” (Surah al-A’raf, ayat 5)

Kita tidak mahu tergolong dalam kalangan orang yang sekadar berpuasa kerana melihat orang sekeliling berpuasa.

Syukur seorang hamba

Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap perintah Allah SWT terhadap hamba-Nya pasti ada hikmah di sebaliknya. Sekiranya diperhalusi, kita akan menemui banyak kebaikan atas segala perintah-Nya itu.

Misalnya dalam ibadat solat, ia mempunyai hikmah dan manfaatnya terutama dari segi kesihatan, dapat menjalinkan ukhwah ketika solat berjemaah bersama-sama serta dari aspek mematuhi disiplin.

Demikian juga dengan amalan puasa. Berpuasa adalah manifestasi untuk menzahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT atas setiap nikmat-Nya.

Menuruti dengan penuh tertib dan ikhlas, maka amalan puasa itu adalah satu bentuk kesyukuran seorang hamba kepada Allah SWT.

Walaupun berpuasa selama sebulan bagi sesetengah golongan begitu memeritkan, dengan mengharapkan reda Allah SWT, semua pahit getir berpuasa itu dapat diharungi.

Firman Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 18 yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengira nikmat Allah, kamu tidak akan dapat menghitungnya.”

Sejak dilahirkan ke dunia sehingga kini, kita sentiasa mendapat kurniaan nikmat Allah SWT.

Ibadat puasa yang sedang kita laksanakan ini juga mampu membentuk sikap amanah dan jujur.

Lihatlah larangan kepada seseorang yang sedang berpuasa, mereka perlu mematuhi setiap larangan ditetapkan Allah dan sebarang pelanggaran menyebabkan amalan puasanya itu boleh terbatal.

Kita sebenarnya sedang dididik oleh Allah SWT bagaimana menjadi manusia bersifat jujur dan amanah.

Penerapan nilai jujur dan amanah sangat baik diasuh kepada anak sejak dari kecil. Mereka boleh menipu ibu bapa untuk makan dan minum.

Namun, atas dasar ketaatan membuatkan si anak terus berpuasa walaupun terpaksa mengharungi keperitan menahan lapar dan dahaga.

Ibadat puasa juga mendidik diri berasa belas ihsan terhadap golongan miskin. Ia ada hubungan secara langsung dengan amalan bersedekah kepada fakir miskin.

Saban tahun apabila tiba bulan Ramadan, aktiviti meraikan anak yatim dan golongan asnaf dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Pelbagai pihak yang berkemampuan berlumba-lumba untuk menganjurkan program meraikan golongan tidak berkemampuan itu.

Ia membuktikan puasa Ramadan menjadi medan buat golongan kaya menjadi insan pemurah untuk merebut ganjaran dan tawaran pahala dijanjikan Allah SWT.

Ibu bapa perlu mendidik anak mereka membiasakan diri dengan amalan bersedekah setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Anak boleh diterapkan dengan prinsip ‘tiada hari tanpa sedekah’ sebagai amalan sepanjang bulan Ramadan ini.

Insya-Allah, lama-kelamaan amalan itu akan tertanam kukuh dalam jiwa mereka.

Ibadat berpuasa juga mendidik hidup dengan prinsip bersederhana khususnya dalam soal makan dan minum.

Pada bulan Ramadan ini sepatutnya membuatkan kita sedar ia bukanlah bulan untuk menuruti nafsu makan semata-mata.

Malang sekali, sepanjang 12 jam pada siang hari kita mampu mengekang kehendak nafsu makan dan minum, namun apabila masuk saja waktu berbuka, kita gagal mengawalnya.

Jika itu berlaku, ibadat puasa kita masih tidak mampu meninggalkan kesan positif mendidik diri bersederhana dalam makan dan minum.

Satu pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah bagi seorang manusia beberapa suapan untuk menegakkan tulangnya, jika ia mesti makan berlebihan, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis diriwayatkan Imam at-Tirmidzi)

Luqman al-Hakim juga pernah mengingatkan anaknya: “Wahai anakku, kalau engkau penuhi perutmu, akan tidurlah fikiranmu dan gelaplah hikmah. Anggota badan akan malas dan tidak mahu beribadah.”

Sekiranya kita berasa berat untuk beribadat, semak semula sikap makan dan minum kita.

Kemungkinan sikap malas beribadat itu berpunca daripada gaya pemakanan yang tidak menepati sunah Rasulullah SAW.

Tunai Solat Sunat Terawih dengan cermat

Mohd Shahrizal Nasir

RAMADAN adalah bulan umat Islam menggandakan ibadah. Ia bukan satu-satunya bulan ibadah kerana setiap umat Islam juga menunaikan ibadah pada bulan lain.

Namun istimewanya pada Ramadan, setiap amalan digandakan pahalanya yang tidak seperti pada bulan lain. Justeru, wajar pada Ramadan setiap umat Islam memperbanyakkan ibadah.

Keistimewaan Ramadan sebagai bulan untuk umat Islam menggandakan amal ibadah dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (Muttafaq ‘alaih)

Imam Nawawi menjelaskan hadis terbabit dengan menukilkan pandangan Al-Qadi ‘Iyad yang mengatakan bahawa Ramadan dijadikan bulan istimewa oleh Allah SWT.

Terbukanya pintu syurga menzahirkan perkenan Allah dalam melancarkan urusan orang Islam melakukan pelbagai ketaatan pada Ramadan dengan ganjaran yang amat istimewa.

Justeru, peluang ketika masih berada dalam Ramadan ini tidak boleh dipersiakan.

Orang yang membiarkan Ramadan berlalu tanpa sebarang usaha untuk menggandakan ibadah akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

Insafi keadaan orang yang rugi di akhirat nanti dan mereka menyesali perbuatan sendiri serta berharap supaya dapat hidup semula di dunia untuk beribadah kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan (Allah) mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (Surah as-Sajdah, ayat 12)

Bagaimanapun, dalam keadaan setiap orang dituntut menggandakan ibadah di bulan Ramadan, jangan ibadah dikerjakan secara tergesa-gesa. Cuba semak semula ibadah yang kita lakukan. Tanya pada diri sendiri, adakah ibadah terbabit dilakukan secara tertib atau sekadar buat.

Perkara ini perlu diperhalusi supaya ibadah yang akan terus dilakukan pada hari Ramadan berikutnya adalah amalan yang berkualiti.

Setiap ibadah seperti solat dan membaca al-Quran mensyaratkan supaya setiap orang berwuduk terlebih dahulu.

Maka wuduk perlu diambil dengan cara betul bagi menjamin penerimaan ibadah solat yang ingin ditunaikan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak diterima solat orang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita tidak boleh sekadar berwuduk, tetapi perlu memastikan perbuatan berwuduk diterima bagi memastikan solat kita diterima Allah.

Pendek kata, orang yang tidak betul ketika berwuduk menyebabkan solatnya tidak diterima. Adakah air mengenai seluruh muka ketika berwuduk? Adakah air sampai siku ketika membasuh tangan? Adakah terdapat benda pada anggota wuduk yang boleh menghalang air? Jangan tergopoh-gapah ketika berwuduk, pastikan air mengenai seluruh anggota wuduk.

Begitu juga ketika menunaikan solat malam. Mungkin ada orang yang menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di rumah bersama keluarga, namun mereka menunaikan solat Maghrib secara bersendirian.

Ia tidak salah, tetapi orang Muslim perlu tahu perbezaan amalan wajib dan sunat serta pahala yang dikurniakan Allah yang pastinya berbeza.

Utamakan ibadah wajib dan jangan tinggalkan ibadah sunat pada Ramadan ini.

Solat Tarawih dilakukan secara dua rakaat sehingga menjadi bilangan lapan atau 20 rakaat, ia satu jumlah yang banyak.

Usah tergesa-gesa dalam melaksanakan solat Tarawih sehingga tiada tamakninah. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sejahat-jahat pencuri adalah yang mencuri daripada solatnya.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mencuri daripada solat?” Rasulullah bersabda: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Firman Allah bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Ramadan ialah bulan latihan untuk melatih diri. Ibadah dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menjadikan ibadah terbabit amalan rutin pada bulan mendatang.