2 Jihad bulan puasa

Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah syukur setingginya kerana kita masih diberikan ruang dan peluang untuk meniti kehidupan di bulan Ramadan yang barakah ini. Meskipun kehidupan semasa yang sedikit sebanyak mengekang pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang masih belum menemui titik akhirnya setakat ini.

Semoga apa juga halangan, hendaknya kita terus memperagakan diri selaku umat Nabi SAW yang kekal tegar melaksanakan apa yang dititah perintahkan Allah dan meninggalkan apa juga yang dilarang-Nya. Ramadan adalah bulan yang sangat perlu dimanfaatkan sedayanya dengan menggandakannya dengan pengisian kerohanian semaksimum termampu memandangkan fadilat dan ganjaran besar di sisi Allah.

Sejarah awal Islam menunjukkan kepada kita bahawa ia adalah bulan jihad yang di dalamnya banyak siri peperangan yang terpaksa diharungi oleh umat Islam terdahulu. Misalnya, Perang Badar yang tercetus pada tahun kedua Hijrah. Ia adalah perang sulung dan utama yang menentukan keberlangsungan agama suci ini. 

Sejarah Perang Badar  menceritakan kepada kita betapa umat Islam di era Rasulullah SAW itu langsung tidak mengendahkan lapar dan dahaga semasa mara ke medan Badar, demi menegakkan agama Allah.

Ibadah puasa bukan satu alasan buat mereka untuk menerjah tapak medan jihad kerana yang utama bagi mereka ialah menyahut seruan jihad yang dikobarkan oleh semangat tidak takut mati demi mengharapkan syahid di jalan Allah.

Itu sejarah yang menjadi tinta emas buat kita umat Nabi SAW dan seharusnya Perang Badar dan semangat juang tahap tertinggi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya dahulu itu memberikan suntikan inspirasi untuk kita masa kini. Meskipun kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman musuh secara fizikal seperti umat Islam zaman Rasulullah SAW, tidak bermakna kita tiada ruang untuk berjihad di jalan Allah.

Misalnya, bulan Ramadan yang sedang kita sama-sama lalui ini sebenarnya adalah medan jihad fisabilillah yang sangat perlu kita perjuangkan sehabis daya. Maksudnya, kita sedang berjihad dengan kehendak hawa nafsu yang sebelum kedatangan Ramadan pun kita sering tertewas oleh ‘kerakusannya’ menggoda kita agar lalai dan alpa dengan tuntutan agama.

Untuk itu, ada baiknya kita renungkan apa yang pernah diingatkan oleh Baginda SAW dalam sabda: “Setiap Mukmin dihadapkan dengan lima ujian. Mukmin yang menghasadnya, munafik yang membencinya, kafir yang memeranginya, nafsu yang menentangnya dan syaitan yang selalu menyesatkannya.” (Hadis diriwayatkan Ad-Dailami)

Berdasarkan kepada sabda Nabi SAW itu dapatlah kita pecahkan musuh kita yang lima itu kepada dua bahagian iaitu musuh secara zahir seperti Mukmin yang menghasad, orang kafir dan munafik. Sedangkan satu lagi ialah musuh secara batin iaitu syaitan dan nafsu.

Musuh zahir kemungkinan besar kita mampu tangani dengan mengambil pelbagai langkah proaktif, namun musuh batin iaitu syaitan dan nafsu jauh lebih menyulitkan lantaran serangan dua musuh itu menyebabkan kita tertewas jua.

Sabda Nabi SAW lagi:  “Musuh yang paling memusuhi kamu ialah nafsu yang berada di antara dada kamu.”  (Hadis Riwayat Jami’al-Hadis)

Justeru, sesuailah kita jadikan Ramadan ini sebagai platform buat memerangi nafsu yang sebelum ini kita manjakan sehingga tidak kurang mengakibatkan kita sedikit tersasar daripada lunas-lunas jalan Allah. Insya-Allah, kita mampu tangani musuh yang berbentuk nafsu itu dengan jalan yang wajar sekiranya kita mengambil teladan ahli Perang Badar. Ahli Perang Badar dahulu bukan semata-mata berjaya memerangi musuh zahir, iaitu puak kafir musyrikin Makkah, tetapi dalam masa sama mereka berjaya kalahkan musuh dalam selimut iaitu nafsu, sehingga kualiti iman dan takwa yang kental padu berjaya diproses dalam jiwa mereka, lalu memberikan kemenangan dalam peperangan tersebut.

Ibnu Rajab Al-Hambali Rahimahullah menyatakan: “Ketahuilah, bahawa seorang Mukmin melakukan dua jihad di bulan Ramadan. Jihad pertama adalah jihad kepada diri sendiri pada siang hari dengan melakukan ibadah puasa. Sedangkan, jihad kedua adalah di malam hari dengan ibadah solat malam. Sesiapa yang melakukan dua jihad dan menunaikan hak-hak berkaitan dengan kedua-duanya, lalu terus bersabar melakukannya, maka ia akan diberikan ganjaran di sisi Allah dengan pahala tanpa batas (tidak terhingga).”

Apa yang berlaku ke atas ahli Perang Badar itu seharusnya kita titipkan dalam jiwa kita semasa melalui bulan Ramadan ini. Kita bukan semata-mata mengusahakan diri sekuatnya untuk menahan diri daripada makan dan minum semata-mata, tetapi juga menahan diri daripada nafsu yang sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk menggoda kita.

Bayangkanlah, sekiranya kita gagal dan tewas kepada musuh dalam selimut itu, pastinya kita akan dibelenggu rasa malas untuk beribadah malam, malah, tidak kurang juga kita akan menjadi orang ‘membalas dendam’ kerana tidak makan minum di waktu siang dengan makan dan minum semahunya semasa waktu berbuka.

Tengoklah ketika ke bazar untuk membeli lauk-pauk dan kuih-muih. Tidak kurang ketika itupun kita sering tertewas kepada musuh batin ini yang membuatkan kita dihamburkan dengan keghairahan membeli apa sahaja yang terliur. Bukan kita tidak sedar bahawa perbuatan berlebihan dengan membeli apa sahaja yang dikehendaki nafsu itu terlarang dan dianggap membazir, tetapi kerana kuatnya dorongan dan serangan nafsu menjadikan kita tertewas juga. Haus dan dahaga yang boleh dianggap musuh zahir semasa berpuasa mampu kita kalahkan, tetapi musuh berbentuk nafsu, kita yang dikalahkannya.

Masih belum terlambat untuk kita sedarkan diri sendiri dengan melalui ibadah puasa Ramadan kali ini dengan jalur-jalur kehidupan Mukmin berpuasa yang sebenar. Kita seharusnya isytiharkan perang ke atas kehendak nafsu yang sentiasa mahu merosakkan kita, sebaliknya bertindaklah segagahnya memperisaikan diri dengan rasa insaf untuk mengawal selia nafsu agar selari dengan kehendak agama.

Lailatul Qadar: Malam istimewa 1,000 bulan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah terdapatnya satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan lebih dikenali dengan Lailatul Qadar yang amat istimewa dan amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah Taala.

Rasulullah SAW sendiri memohon kepada Allah Taala agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu berkenaan menemuinya. 

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesugguhnya bulan  ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah Taala.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim) 

Keistimewaan Lailatul Qadar diserikan lagi penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah SAW sewaktu berada di Gua Hira’. Selepas  itu, al-Quran mula diturunkan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun lagi di Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa bersejarah penurunan al-Quran diabadikan Allah Taala dalam al-Quran, antaranya firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”  (Surah al-Qadr, ayat 1 – 5)   https://80b75420475fec5edd7aef55e00c3d4d.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Jelas daripada maksud di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap bulan Ramadan setiap tahun sebagai satu anugerah Ilahi dan rahmat Allah Taala yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Malam yang penuh bersejarah itu telah dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada seribu bulan. 

Para ulama bersepakat Lailatul Qadar terjadi pada bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam tersebut juga berlaku pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadan.

Namun mereka berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa dari sepuluh malam yang terakhir tersebut. Pendapat yang masyhur menyatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam ke-27 Ramadan.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27. (Hadis riwayat Ahmad) Terdapat juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia tersebut terjadi pada malam ganjil sepuluh hari terakhir. 

Walau apapun harinya, yang pentingnya pada malam tersebut, Allah Taala menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan, yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan juga yang sentiasa menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan salih. Kelebihan Lailatul Qadar itu sudah tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja dalam bulan Ramadan. 

Akan tetapi fadilat malam mulia tersebut akan menyinari orang-orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan juga istiqamah dalam mempertahankan nilai-nilai keislaman dalam setiap tutur kata, perilaku, akhlak, ibadat dan aktiviti kehidupan sehariannya. Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang-orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi yang terdiri daripada golongan nabi dan rasul, siddiqin, syuhada’ dan juga golongan orang salih. 

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah SAW ketika baginda SAW sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira’, bermuhasabah dan merenung diri tentang dirinya sendiri dan juga masyarakat sekeliling. Tidak berapa lama kemudian, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa wahyu Ilahi untuk membimbing baginda SAW sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidup baginda SAW, bahkan juga setiap detik dan perjalanan hidup umat manusia sejagat. 

Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Justeru, amal kebajikan yang dilakukan seseorang hamba Allah pada malam tersebut adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan juga umat yang terdahulu, didapati umur baginda SAW dan juga umur umat Nabi Muhammad SAW sangat pendek. Sebagai contohnya, Nabi Nuh AS telah dikurniakan Allah Taala umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan yang sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 80 tahun lebih. Tambahan pula angka tersebut jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar lebih kurang 60 tahun sahaja. 

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan tersebut. Dalam hal ini, memadailah Rasulullah SAW sebagai model ikutan yang telah menampilkan contoh teladan terpuji untuk diikuti oleh umat Islam seluruhnya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarganya agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan baginda SAW juga tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di dalam masjid seperti solat Tahajud, Witir, Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran, berzikir kepada Allah dan lain-lain amalan salih yang dianjurkan Islam. 

Tidak ketinggalan juga, Rasulullah SAW sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan antara doa yang sering baginda SAW baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.” Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat sahaja, malahan doa itu bertujuan untuk memantapkan lagi langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah Taala kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah Taala.  

Selain itu, setiap Muslim juga dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Taala daripada sebarang kesalahan dan dosa selama menelusuri pentas kehidupan yang penuh berliku ini. Tambahan pula, setiap manusia pada dasarnya tidak akan terlepas dari kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah Taala.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi & Ibnu Majah) 

Justeru, amatlah wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah tentang segala amalan dan juga setiap detik kehidupan yang dilaluinya dan seterusnya bertaubat kepada Allah Taala biarpun sekecil mana pun kesalahan tersebut. Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa sahaja. Lebih-lebih lagi bulan Ramadan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka. Peluang keemasan yang disediakan Allah Taala sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal di kemudian hari.