Amalan kebaikan seiring ibadat puasa

Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Bersyukur kerana Allah SWT sekali lagi memberikan kita peluang pada tahun ini untuk berada dalam bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan.

Ramadan adalah bulan berpuasa dan beramal bagi orang Islam.

Puasa adalah satu bentuk ibadat yang tidak asing dalam kalangan pelbagai agama di seluruh dunia.

Faedah kerohaniannya diakui walaupun kekerapan, amalan dan tempohnya berbeza dengan kepercayaan lain.

Islam meletakkan ibadat puasa sebagai amalan yang sangat penting.

Ia adalah salah satu perkara dalam rukun Islam termasuk solat, zakat dan mengerjakan haji.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana yang diperintahkan bagi orang-orang yang terdahulu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Allah SWT mengutus nabi sejak permulaan penciptaan umat manusia termasuk Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW.

Oleh itu, Islam berkongsi nilai teras seperti kepercayaan kepada Tuhan serta komitmen keadilan dan kebajikan seperti dalam agama lain.

Begitu juga puasa sebagai satu ibadat umum kepada ketiga-tiga agama samawi iaitu Islam, Nasrani dan Yahudi malah kepada kebanyakan agama di seluruh dunia.

Dalam Islam, berpuasa adalah satu bentuk ibadat utama sebagai cara menyedarkan kewujudan Allah SWT.

Bersama-sama dengan aspek fizikal berpuasa, dimensi rohaninya dapat memurnikan jiwa, menanamkan refleksi diri serta memberi inspirasi kepada kehidupan yang mulia.

Mengikut kalendar lunar Islam, Ramadan adalah bulan kesembilan bermula dengan kelihatan anak bulan baru.

Sepanjang bulan ini, umat Islam di seluruh dunia wajib menahan diri daripada makan, minum dan melakukan hubungan kelamin dari Subuh hingga ke waktu senja.

Pada waktu berbuka pula, sunah berbuka dengan tamar sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad SAW sebelum diikuti dengan hidangan makanan mengikut amalan budaya masing-masing.

Bagaimanapun, puasa tidaklah diwajibkan ke atas mereka yang menghadapi kesukaran seperti mereka yang sakit dan bermusafir.

Mereka boleh menangguhkan puasa sehingga sembuh atau sudah tamat pemusafirannya.

Orang yang berpuasa diberi ganjaran untuk semua kebaikan yang dikerjakan.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan niat yang murni, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi Muhammad SAW juga mengajarkan umatnya mengenai makna lebih mendalam di sebalik amalan puasa.

Amalan puasa itu adalah berbentuk multidimensi. Selain daripada menahan lapar dan dahaga dalam aspek fizikal, seseorang juga mesti memelihara unsur sosial dan rohani supaya mendapat manfaat puasa yang sepenuhnya.

Pada dasarnya, puasa pada bulan Ramadan adalah peluang tahunan untuk memulihkan diri secara fizikal dan rohani.

Puasa dapat mengalihkan hati daripada hal keduniaan ke arah mengingati Allah SWT.

Pada bulan Ramadan juga umat Islam dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengukuhan hubungan mereka dengan Yang Maha Pencipta.

Pengawalan diri yang dilakukan sepanjang Ramadan menjadikan jiwa sentiasa mengingati Allah SWT dan meningkatkan ketaatan menurut segala perintah-Nya.

Inilah masa terbaik untuk melihat refleksi kerohanian, solat dan segala amalan kebaikan.

Jiwa yang terdidik dan bersih terhasil daripada penghayatan sepanjang bulan Ramadan akan meningkatkan lagi ketaatan kepda Allah SWT.

Menyusun langkah bertemu malam al-Qadar

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

BULAN Ramadan kembali menjanjikan seribu satu keistimewaan dan keberkatan yang tiada tolok bandingnya berbanding bulan-bulan Hijrah yang lain. Kedatangan bulan yang penuh berkat ini sememangnya dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh setiap Muslim bertakwa yang telah difardukan kepada mereka ibadat puasa.

Ibadat puasa yang dilaksanakan setiap Muslim sebenarnya berpaksikan matlamat untuk mencapai makam atau martabat takwa yang lebih tinggi. Dengan lain perkataan, apabila seseorang Muslim melaksanakan ibadat puasa di dalam bulan Ramadan, ini bermakna dia sedang menyusun langkah menuju peningkatan dan pengukuhan iman lebih sempurna lagi mantap seolah-olah iman yang bertapak di sudut hati akan digilap dan diperkukuhkan lagi untuk menjejaki mercu tanda iman yang sebenarnya.

Pada hakikatnya, iman merupakan satu kurniaan nikmat dan juga harta yang tiada ternilai yang dimiliki oleh seseorang Muslim dalam kehidupan ini. Oleh sebab itu, iman itu perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin agar ia tidak berlumuran dengan unsur-unsur kesyirikan dan sifat-sifat mazmumah. Justeru, baginda Rasulullah seringkali memberi peringatan kepada umatnya yang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti iman melalui ibadat puasa yang dilaksanakannya dengan sabdanya yang bermaksud: Betapa ramainya kalangan orang-orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa pun pahala daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Betapa ramainya orang-orang yang berjaga waktu malam hari mereka tidak mendapat apa-apa habuan melainkan kepenatan berjaga malam. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Maksud hadis Nabi tersebut mengisyaratkan betapa nilai dan harga detik-detik yang menghiasi sepanjang Ramadan tiada terhingga nilainya dan juga terlalu agung sehingga ia tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Dengan ini, segala amalan soleh yang dilakukan sepanjang Ramadan tersebut akan dilipatgandakan ganjarannya dan pahalanya oleh Allah sehingga ia mampu memadamkan dosa-dosa yang lalu dengan rahmat Ilahi.

Bagi insan yang masih dilanjutkan usia bertemu bulan Ramadan sewajarnya memanfaatkan saki baki hidup mereka dengan menambahkan koleksi amalan soleh mereka pada bulan Ramadan ini sebagai persediaan dan bekalan sebelum bertemu menghadap Allah taala kelak. Lebih-lebih lagi, di bulan yang penuh berkat ini Allah taala mempermudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju keredaan Ilahi di samping mampu memaksimumkan keagungan dan kebesaran Ramadan tersebut.

Oleh itu, bulan Ramadan bukanlah masanya untuk menurut tuntunan hawa nafsu seperti tidur waktu siang hari dan berehat sepanjang masa. Sebaliknya inilah waktunya yang sesuai untuk mengekang gejolak nafsu yang bergelora dan seterusnya mendidiknya dengan perhiasan sifat sabar dan tabah serta takwa dalam mendepani apa-apa jua cabaran, bukan sahaja daripada ibadat puasa, malahan daripada pancaroba hidup yang mendatang.

Dari sini, puasa bertindak sebagai bengkel latihan untuk membentuk ketahanan diri iaitu memelihara nafsu daripada melanggar batasan yang ditentukan Allah, memelihara lidah dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Natijahnya, jiwa Muslim tersebut akan terisi dengan keluhuran pekerti, kekentalan iman dan ketakwaan yang mantap.

Kemuncak daripada kemuliaan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan ialah Allah menjanjikan kedatangan malam al-Qadar yang merupakan satu malam yang paling mulia dan utama di sisi Allah. Malam tersebut dilipatgandakan nilainya dan keutamaannya sehingga mengatasi seribu bulan yang lain. Ini bermakna bahawa amalan-amalan soleh dan kebajikan yang dilaksanakan pada malam tersebut telah dirakamkan oleh Allah mengatasi seribu bulan yang lain.

Malam al-Qadar adalah satu peluang keemasan terbesar yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Muslim. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melipatgandakan usahanya untuk memperolehi kemuliaan malam tersebut dengan menghidupkan malam sepanjang bulan tersebut terutamanya sepuluh malam yang terakhir dan memperbanyakkan amalan soleh agar dia dapat menempatkan dirinya sebagai insan yang bertakwa kepada Allah.

Pendek kata, terlalu banyak kelebihan dan keistimewaan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini. Jadi, amatlah rugi dan malang jika seseorang Muslim membiarkan sahaja kehadiran bulan mulia itu tanpa sebarang pengisian ibadat dan amalan soleh.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menemui Ramadan sedangkan dia tidak diampuni Allah, nescaya dia dijauhi dari rahmat Allah. (Hadis riwayat al-Hakim dan Tabrani) Kalau tidak dalam bulan Ramadan, bila lagi?