• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,147 orang
  • Tetamu Online

Usah sia-siakan 10 malam terakhir Ramadhan

Mohd Shahrizal Nasir

Pejam celik, pejam celik, kita telah berada di fasa akhir Ramadan. Rasanya baharu sahaja kita sama-sama menyambut kedatangan awal Ramadan dengan bertukar ucapan serta melaksanakan amal ibadah pada siang dan malam di bulan ini. Walau bagaimanapun, peredaran masa yang pantas ini sepatutnya tidak membuatkan kita alpa terhadap misi utama meraih keampunan daripada Allah SWT. 

Pelbagai peluang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang Muslim agar dapat menerima pengampunan-Nya di bulan Ramadan. Setiap Muslim berpeluang mendapatkan pengampunan Allah SWT serta pelbagai ganjaran pahala yang diperuntukkan dalam bulan Ramadan yang mulia ini. 

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:  “Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan ke atas kalian berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dibandingkan dengan seribu bulan. Siapa yang dihalangi daripada kebaikannya, maka sungguh ia terhalang.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Justeru, meskipun kita semakin menghampiri pengakhiran Ramadan, usah dilupakan misi untuk memperoleh keampunan daripada Allah SWT. Ibadah puasa perlu dilakukan dengan lebih baik bagi mendapat keampunan sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Sepertimana hadis Rasulullah SAW yang menyatakan ibadah puasa yang berkualiti akan menjadi sebab untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. Sabda baginda yang bermaksud:  “Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan ingin mendapat pahala, maka diampuni semua dosanya yang telah lalu.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibadah puasa perlu terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar kita layak menerima keampunan daripada Allah SWT. Puasa bukan sahaja melibatkan perbuatan menahan diri daripada makan dan minum sahaja, lebih daripada itu, sepatutnya diri perlu bebas daripada perbuatan mungkar seperti menyebar fitnah, mengadu domba, menuturkan kata-kata kesat, berbohong, bermusuhan sesama manusia dan seumpamanya. 

Ketika ingin menunaikan ibadah puasa setiap hari dalam bulan Ramadan, kita perlu bersahur. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar tidak meninggalkan sahur kerana pada perbuatan tersebut adanya keberkatan daripada Allah SWT. Waktu awal pagi yang berkat ini juga dikaitkan dengan masa yang terbaik untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. 

Golongan yang akan menjadi penghuni syurga nanti antaranya termasuk manusia yang sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT pada waktu awal pagi. Hal ini sepertimana dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud:  “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon keampunan).”  (Surah az-Zariyat, ayat 18). Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat al-Quran tersebut menunjukkan keutamaan memperbanyakkan istighfar pada waktu sahur. 

Ketika menunggu masa untuk berbuka puasa pula, kita perlu merebut peluang memohon doa keampunan daripada Allah SWT. Waktu tersebut adalah antara waktu yang doa manusia akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Ambillah peluang keemasan untuk berdoa agar Allah SWT mengampuni segala dosa yang pernah dilakukan. Hanya dengan keampunan daripada-Nya, maka hidup akan menjadi bahagia di dunia dan akhirat. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Ada tiga golongan yang doanya tidak ditolak iaitu pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi) 

Selain itu, usaha menghidupkan malam-malam sepanjang bulan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah SWT juga akan dianugerah dengan keampunan daripada-Nya. Waktu malam di bulan Ramadan pastinya berbeza dengan waktu malam pada bulan-bulan lain. Orang Islam berada dalam suasana pelaksanaan ibadah digandakan bagi mendapat ganjaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Nabi Muhammad SAW menjelaskan keistimewaan beribadah pada malam-malam di bulan Ramadan menerusi sabda baginda bermaksud:  “Sesiapa menunaikan solat malam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan ingin mendapat pahala, maka diampuni semua dosanya yang telah lalu.”  (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga telah menunjukkan contoh akhlak mulia apabila baginda dilihat memperbanyakkan amalan sedekah di bulan Ramadan. Sememangnya baginda adalah seorang insan yang pemurah meskipun diri baginda tidak hidup dalam kemewahan. Namun, sifat pemurah baginda menjadi bertambah-tambah sepanjang bulan Ramadan. 

Ganjaran pahala bagi orang yang bersedekah cukup istimewa. Ia turut melibatkan ganjaran keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Maka amalan sedekah sangat hampir dengan keampunan Allah SWT. 

“Mahukah aku (Rasulullah) tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai. Bersedekah itu menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kemuncak kepada tawaran istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan ialah Lailatulqadar. Beribadah pada malam tersebut lebih baik daripada melakukan ibadah selama tempoh seribu bulan. Kurniaan yang sangat istimewa ini tidak datang setiap hari, ia hanya melibatkan satu malam sahaja daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. 

Ketika Saidatina Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang sepatutnya dilakukan jika bertemu dengan Lailatuqadar. Maka dijawab oleh baginda SAW dengan saranan agar dibacakan doa yang maksudnya:  “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah daku.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya Saidatina Aisyah RA jelas membuktikan betapa pentingnya agar umat Islam berusaha memperoleh keampunan daripada Allah SWT. Dalam keadaan Allah SWT memiliki sifat Maha Pengampun, Dia telah menjadikan Ramadan sebagai platform yang sarat dengan peluang keemasan untuk setiap orang berusaha mendapat keampunan daripada-Nya. 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah az-Zumar, ayat 53)

Sekarang kita masih lagi berada dalam bulan Ramadan. Kita perlu terus berusaha untuk meraih keampunan daripada Allah SWT selagi Ramadan masih ada. Ramadan ialah bulan yang menghamparkan peluang cukup luas untuk umat Islam mendapat keampunan-Nya.

Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya  Lata’if al-Ma’arif  menukilkan perkataan salaf yang mafhumnya:  “Sesiapa yang tidak diampuni dosa-dosanya pada bulan Ramadan yang mulia ini, maka dia tidak akan diampuni dosa-dosanya pada bulan-bulan lain.”

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang apabila Ramadan melabuhkan tirainya nanti, segala dosa yang lepas telah mendapat keampunan daripada-Nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: