• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,347,101 orang
  • Kandungan Blog

Memaknai kerja sebagai satu ibadah

OlehNURULFATIHA MUAH

MASIH terdapat segelintir masyarakat yang kurang jelas bahawa bekerja merupakan suatu perkara ibadah.

Baik kerja mahupun ibadah, Pensyarah Kanan, Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Nik Suhaida Nik Abdul Majid menjelaskan, kedua-duanya mempunyai kesepaduan dari segi definisi dan berhubung kait dengan konsep muamalah.

ADVERTISING

Jelas beliau, keseluruhan agama Islam sebagai ad-Din merupakan konsep umum ibadah terdiri daripada perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

“Menurut ulama masyhur, Dr Yusuf Al-Qaradhawi misalnya membincangkan bahawa kesempurnaan konsep ibadah dalam Islam ini menyebut keseluruhan aktiviti manusia, tidak terbatas kepada syiar ta’abbudi (hukum berhubungan dengan masalah ibadah) sahaja. Sebaliknya ia turut meliputi kemajuan hidup manusia untuk memakmurkan muka bumi ini.

“Apabila ALLAH SWT menyebut ‘AKU hendak menjadikan khalifah di muka bumi ini’, ia salah satu tanggungjawab yang perlu manusia galas dengan memahami kesyumulan konsep ibadah dalam Islam.

“Pendek kata, segala bentuk perbuatan, perkataan, urusan hidup dan hubungan dengan manusia yang berpandukan garis panduan ALLAH itu adalah satu ibadah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Sungguhpun demikian, ahli akademik itu mengingatkan, hubungan antara ibadah dan kerja ataupun muamalah hanyalah bersifat umum.

Ini bermakna, semua kerja atau profesion yang halal adalah ibadah, tetapi bukan semua ibadah adalah kerja atau profesion, terangnya.

“Oleh itu, dalam meletakkan keutamaan antara amalan dan aktiviti hidup, maka kedudukan setiap amalan dalam skema hukum syarak mesti difahami.

“Apabila berlaku pertembungan antara yang wajib dengan sunat apatah lagi dengan harus, maka yang wajib perlu diutamakan.

BEKERJA dinilai sebagai satu ibadah andai kerja dilakukan tidak dilarang oleh ALLAH SWT, mendatangkan kebaikan kepada manusia, dilakukan dengan niat dan cara yang betul hingga tidak melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan asasi sebagai hamba-NYA. -Foto: 123rf

BEKERJA dinilai sebagai satu ibadah andai kerja dilakukan tidak dilarang oleh ALLAH SWT, mendatangkan kebaikan kepada manusia, dilakukan dengan niat dan cara yang betul hingga tidak melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan asasi sebagai hamba-NYA. -Foto: 123rf

“Meskipun ibadah khusus seperti solat, zakat dan puasa perlu diutamakan, tetapi manusia tidak boleh mengabaikan perkara yang bersifat hak kendiri dan hak muamalah dalam kehidupan termasuklah makan, rehat dan seumpamanya sebagaimana Rasulullah SAW juga menasihati kecenderungan Ibnu Umar yang keterlaluan dalam beribadah,” katanya.

Tak abaikan kewajipan hamba ALLAH

Meneruskan perkongsian ilmunya, Nik Suhaida kemudian menyentuh perihal syarat-syarat untuk menjadikan suatu kerja yang kita lakukan dinilai sebagai ibadah.

Jelas beliau, semua kerja tidak dilarang oleh ALLAH SWT, yang mendatangkan kebaikan kepada manusia, dilakukan dengan niat dan cara yang betul hingga tidak melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan asasi sebagai hamba-NYA sebenarnya merupakan suatu ibadah kepada Sang Pencipta.

“Jika diteliti, sememangnya melakukan kerja ataupun mempunyai profesion tertentu dalam mencari nafkah adalah suatu perkara yang ALLAH perintahkan.

“ALLAH SWT bukan sekadar menyuruh hamba-NYA solat, berpuasa ataupun zakat sahaja. Sebaliknya DIA juga memerintahkan kita untuk mencari nafkah dan bekerja yang mana ALLAH gabungkan sekali dengan suatu tuntutan khusus. Inilah cara yang betul untuk kita menjunjung perintah-NYA dalam kita memaknai kerja sebagai satu ibadah,” katanya.

Ia sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam firman ALLAH SWT: “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing).” (Surah al-Jumuah, ayat10)

WALAUPUN seseorang itu bergelar suri rumah yang menguruskan hal ehwal rumah tangga, kerja yang dilakukan itu juga dianggap satu ibadah. -Foto: 123rf

WALAUPUN seseorang itu bergelar suri rumah yang menguruskan hal ehwal rumah tangga, kerja yang dilakukan itu juga dianggap satu ibadah. -Foto: 123rf

Berdasarkan kepada pernyataan itu, jelas Nik Suhaida, peri pentingnya kerjaya yang dipilih itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

“Seperkara lagi, kita mestilah mempunyai niat yang betul dalam bekerja. Pada masa sama, kerja dilakukan tidak melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan Muslim yang disyariatkan dan melakukan tugasan dengan penuh tanggungjawab, amanah dan itqan (sempurna dan bersungguh-sungguh),” katanya.

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Sekalipun seseorang itu bergelar suri rumah yang menguruskan hal ehwal rumah tangga, kerja yang dilakukan itu juga dianggap satu ibadah.

“Sedangkan wanita dalam keadaan haid menyediakan sahur untuk ahli keluarganya mendapat pahala sama seperti anggota rumahnya yang bangun menghidupkan malam pada bulan Ramadan, apatah lagi nilai setiap pengorbanan mereka dalam melunaskan tanggungjawab sebagai suri rumah yang merupakan tonggak dan nadi dalam pembangunan keluarga.”

Ketahuilah bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang seimbang dan sangat praktikal. Malah, segala amal kebaikan dan ibadah tidak sempit dan terbatas dari segi konsepnya, ungkapnya.

“Ingatlah, semua aktiviti manusia yang memberikan kebahagiaan dan kebaikan adalah ibadah yang diberi ganjaran pahala.

“Sempena Hari Pekerja, saya mengajak diri saya dan seluruh masyarakat agar sama-sama melakukan kerja kita dengan memenuhi segala perintah ALLAH dan menjauhi larangan-NYA.

“Insya-ALLAH pekerjaan dilakukan akan menjadi ibadah dan amal soleh yang akan menjadi ganjaran buat bekalan kita kembali ke akhirat, negeri yang kekal abadi,” katanya mengakhiri bicara.

ANEKDOT

Cara tangani ‘burnout’ menurut Islam

‘Burnout’ didefinisikan sebagai keadaan seseorang individu mengalami keletihan secara fizikal mahupun psikologi disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan mereka.

LAKUKANKAH tugasan dengan penuh tanggungjawab, amanah dan itqan (sempurna dan bersungguh-sungguh) serta tangani diri mengikut cara dianjurkan Islam ketika menghadapi 'burnout'. -Foto: Canva

LAKUKANKAH tugasan dengan penuh tanggungjawab, amanah dan itqan (sempurna dan bersungguh-sungguh) serta tangani diri mengikut cara dianjurkan Islam ketika menghadapi ‘burnout’. -Foto: Canva

Adakalanya apabila ‘burnout’ menyerang, kerja yang dilakukan seolah-olah tidak ikhlas dan sekadar hanya menyiapkan tugasan.

1. Cepat-cepatlah beristighfar, bertaubat dan perbetulkan kembali niat dan tindakan.

2. Kenal pasti punca ‘kelelahan’ kita sama ada disebabkan tidak mendapat penghargaan manusia, tekanan daripada majikan, masalah peribadi, gangguan hati dan sebagainya.

3. Usah stres kerana orang lain, cuba berterima kasih dan bersyukur.

4. Jaga kualiti kerja dan realiti, usah mengharapkan pujian.

5. Elakkan tekanan dengan merancang strategi dan persiapan rapi.

6. Sesuaikan diri dengan keadaan semasa.

7. Bersiap sedia hadapi tekanan mental dan fizikal, percaya ALLAH SWT tidak menguji jika tidak mampu.

8. Berlapang dada dan bersedia menerima kritikan kerja.

9. Urus masa dengan baik dan jaga waktu solat.

10. Tenerima hakikat menerusi konsep reda, syukur dan tawakal.

11. Yakin setiap takdir yang hadir itu terbaik untuk kita.

12. Bertenang hadapi ‘burnout’ dan ambil wuduk untuk mengendurkannya. Jangan pandang rendah dengan ‘kuasa’ mengambil air sembahyang kerana air itu sifatnya sejuk dan apabila solat ditunaikan, kita akan mendapat satu ketenangan.

13. Banyakkan bersabar kerana sememangnya sabar dan tenang memerlukan latihan yang sangat panjang.

Tinggalkan komen