• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Ummul Mukminin Juwairiyah binti Al-Hariths

ALHAMDULILLAH, ini adalah sebuah kisah seorang wanita bangsawan yang menjadi tawanan Perang Muraisi’ antara kaum Muslimin dengan dan Bani Musthaliq yang terjadi pada tahun ke-5 Hijrah dan ada yang mengatakan tahun ke-6 Hijrah dan akhirnya wanita ini menjadi pendamping setia Rasulullah S.A.W.

Nama asal beliau ialah Burrah binti Hariths tetapi selepas perkahwinannya dengan Baginda Rasulullah S.A.W, namanya ditukar oleh Rasulullah S.A.W kepada Juwairiyah binti al-Hariths kerana Nabi S.A.W tidak suka kalau beliau balik dari berjumpa Juwairiyah dikatakan, ‘Beliau keluar dari rumah Burrah (Kebaikan).’Juwairiyah berasal dari keluarga bangsawan Bani Musthaliq.

Ayahnya, Hariths bin Abu Dhirar bin Habib bin Ha’idh bin Maalik bin Al-Musthaliq bin Sa’id bin Amr bin Rabi’ah bin Haarithah bin Khuzaa’ah. Beliau seorang ketua Bani Musthaliq, yang sangat memusuhi Islam.

Sebelum berkahwin dengan Baginda Rasulullah S.A.W, Juwairiyah adalah seorang tokoh di tengah kaumnya dan beliau adalah anak perempuan ketua Bani Musthaliq, Hariths bin Abu Dhirar. Juwairiyah seorang yang sangat cantik, jelita dan baik budi pekertinya sehingga apabila Aisyah, isteri Rasulullah S.A.W melihatnya buat kali pertama, Aisyah mengatakan Juwairiyah bagaikan bidadari. 

Beliau dibesarkan dengan limpahan kemewahan sebagai seorang puteri yang terhormat, seorang yang bijak, luas ilmunya dan cerdik, beliau juga menguasai bahasa dan kesusasteraan Arab pada masa itu dan fasih berbicara. Juwairiyah berkahwin dengan Rasulullah S.A.W ketika Rasulullah S.A.W berumur 58 tahun dan beliau berumur 20 tahun dan wafat ketika berumur 65 tahun.

Sebelum bernikah dengan Rasulullah S.A.W

Sebelum menjadi Ummul Mukminin isteri Rasulullah S.A.W, Juwairiyah menjadi rebutan pemuda Khuza’ah yang akhirnya berjaya dinikahi oleh seorang pemuda Khuza’ah bernama Musafi’ bin Shafwan al-Musthaliq, anak bapa saudaranya.

Ayah Juwairiyah adalah ketua kabilah Bani Musthaliq. Sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W bahawa Bani Musthaliq hendak menyerang kaum Muslimin di bawah pimpinan al-Hariths sendiri. Rasulullah S.A.W terus bertindak menyusun kekuatan bersama para Sahabat menyediakan pasukan perang dan keluar menghadapi mereka dan Rasulullah S.A.W sendiri menjadi panglima perang. 

Kedua pasukan bertemu di sebuah mata air yang dikenali dengan Al-Muraisi’. Pertempuran ini dikenal sebagai perang Muraisi’. Pasukan Bani Musthaliq kalah dan al-Harith dapat dikalahkan. Semua harta dan penduduk yang selamat termasuk kaum wanita dan anak-anak Bani Musthaliq ditawan termasuk Juwairiyah dan semua mereka dibahagi-bahagikan kepada para Sahabat. Juwairiyah merasakan kesedihan yang sangat luar biasa di atas kekalahan Bani Musthaliq, sedih kerana menjadi tawanan perang, sedih dengan terbunuh suaminya dan ayahnya melarikan diri.

Sebagai seorang yang terpelajar dan bijak, Juwairiyah menyatakan tawaran menebus diri untuk membebaskan dirinya dari tawanan di bawah Sahabat Tsabit bin Qais R.A, namun beliau tiada memiliki apa-apa untuk menebus dirinya. Beliau tidak selesa sebagai tawanan perang kerana beliau seorang tokoh di kalangan kaumnya. Lalu beliau pergi menemui Rasulullah S.A.W dengan harapan Rasulullah S.A.W mahu menolongnya membebaskan diri dari menjadi tawanan Tsabit bin Qais dengan sejumlah wang sebanyak sembilan Uqiyah. 

Beliau berkata kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah S.A.W saya Burrah binti Hariths, ayahku ketua Bani Musthaliq. Tuan mungkin tidak tahu apa yang berlaku kepada saya. Saya menjadi tawanan Tsabit bin Qais dan saya bersetuju dengannya untuk menebus diri saya dengan sembilan Uqiyah. Maka bantulah saya membebaskan diri saya.”

Tersentuh hati Rasulullah S.A.W dengan permintaan Juwairiyah dari seorang yang terhormat di kalangan kaumnya akhirnya menjadi terhina kerana menjadi tawanan perang. Lalu Nabi S.A.W bertanya kepada Juwairiyah maksudnya:

“Mahukan engkau mendapat yang lebih baik dari hajatmu itu?

Maka Juwairiyah menjawab dengan penuh sopan, “Apakah yang lebih baik itu Ya Rasulullah?”

Beliau menjawab maksudnya:

“Aku tebus dirimu kemudian aku nikahi kamu.”

Maka Juwairayah sangat bahagia mendengar tawaran Rasulullah S.A.W itu dengan wajah yang berseri-seri, lalu Juwairiyah menjawab, “Saya setuju ya Rasulullah.”

Maka Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

“Aku telah melakukannya.”

Sebenarnya, Juwairiyah mendatangi Rasulullah S.A.W untuk mendapatkan sesuatu yang baik untuk menebus dirinya, akhirnya ternyata beliau mendapat yang lebih baik dari yang diharapkannya iaitu lamaran Rasulullah S.A.W untuk menikahinya. Hal ini sangat memberi kesan mendalam di hatinya, kaum keluarganya dan kaumnya.

Setelah mendengar berita puterinya ditawan oleh kaum Muslimin, Hariths keluar dari persembunyiannya, lalu pergi menemui Rasulullah S.A.W untuk menebus puterinya. Harith bin Abu Dhirar ingin menyerahkan unta-untanya kepada Rasulullah S.A.W sebagai penebus anaknya tetapi dia telah menyembunyikan dua ekor untanya yang terbaik di Makkah. Ketika menemui Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam, Hariths telah ditanya oleh Rasulullah mengenai untanya yang disembunyikan di Makkah. Hariths terkejut sebab tiada siapa yang tahu yang dia menyembunyikan untanya yang terbaik itu.

Hariths terus melafazkan, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan lain yang aku sembah melainkan Allah S.W.T, tiada yang memberitahukan perbuatanku itu kepadamu, kecuali Allah S.W.T.” Beliau melafazkannya di hadapan Rasulullah S.A.W dan diikuti oleh seluruh pengikutnya yang belum Islam. Setelah itu Rasulullah S.A.W melamar Juwairiyah dan berlangsunglah pernikahan Juwairiyah dengan Rasulullah S.A.W dengan mahar sebanyak 400 dirham. Beliau menjadi Ummatul Mukminin dan ditukar namanya kepada Juwairiyah.

Setelah menikah dengan Rasulullah S.A.W

Ummul Mukminin Aisyah berkata, “Kemudian berita mengenai perkahwinan Rasulullah S.A.W dan Juwairiyah sampai ke pengetahuan kaum Muslimin.” Lalu mereka berkata, “Tawanan-tawanan kita ini telah menjadi ipar-ipar dan kaum keluarga Rasulullah S.A.W” Kemudian mereka pun membebaskan semua tawanan Bani Musthaliq. Tawanan yang dibebaskan kerana pernikahan Juwairiyah dengan Rasulullah S.A.W ini berjumlah 100 keluarga Bani Musthaliq. Aku tidak menjumpai wanita yang paling besar berkatnya terhadap kaumnya selain daripada Juwairiyah.”

Setiap pernikahan yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W, pasti mempunyai hikmah yang banyak kerana itulah kehendak Allah S.W.T. Di antaranya seperti kemenangan Islam, tersebarnya dakwah, semakin ramainya orang memeluk Islam dan semakin kuatnya kesatuan umat Islam. Pernikahan Rasulullah S.A.W dengan Juwairiyah bertujuan menyebarkan dakwah dan mengislamkan kaum Bani Musthaliq.

Rasulullah S.A.W tidak berhasrat untuk menawan kaum wanita, memperbudak orang-orang yang merdeka, mengumpulkan harta, menghinakan orang-orang yang mulia dan membuat kerosakan di muka bumi sebagaimana yang dilakukan oleh penjajah dan perompak negara-negara Islam. Rasulullah S.A.W diutuskan semata-mata untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid, dari kesesatan kepada cahaya petunjuk dan membebaskan manusia daripada perhambaan kepada makhluk kepada perhambaan kepada Allah S.W.T.

Ummul Mukminin Juwairiyah, selepas perkahwinan dengan Baginda Rasulullah S.A.W telah menghabiskan masanya dengan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Beliau rajin mengerjakan amalan sunnah seperti berpuasa, berzikir dan bersolat. Ummul Mukminin Juwairiyah melaksanakan semua yang diajarkan oleh suaminya. Rasulullah S.A.W setiap hari mengajar beliau mengenai al-Quran dan sunnah. Beliau menyerap semua yang beliau lihat dan dapat daripada Rasulullah S.A.W sehingga beliau menjadi teladan kepada kaum wanita dan beliau semakin dekat dengan Allah S.W.T. Di samping itu, Ummul Mukminin Juwairiyah, seorang yang berhati bersih, jati diri yang baik, bertakwa, bersikap wara’, faham mengenai ad-Din dan banyak ibadahnya.

Jawariyah menjadi seorang yang sangat tenang, bahagia dan penuh kasih sayang dalam hidupnya kerana menjadi pasangan kepada manusia yang paling dicintai Allah S.W.T iaitu sebaik-baik manusia yang Allah S.W.T ciptakan di muka bumi ini. Allah S.W.T telah melepaskan beliau dari penghinaan dan diperbudakkan sebagai tawanan perang. Kerana perkahwinannya dengan Baginda Rasulullah S.A.W, telah terbebasnya seluruh kaumnya dari terus menjadi tawanan perang dan semua mereka telah memeluk Islam. Betapa berkatnya kehidupan Ummul Mukminin Juwairiyah. 

Kebiasaannya, setelah selesai solat Subuh, Ummul Mukminin Juwairiyah akan duduk di masjidnya, memenuhi masanya dengan berzikir dan solat sehingga matahari meninggi. Pada suatu hari, Juwairiyyah meriwayatkan, “Rasulullah S.A.W datang ke rumahku ketika aku sedang solat dan berzikir di suatu pagi, waktu fajar. Kemudian Baginda pergi semula menyelesaikan urusannya. Di waktu Dhuha Rasulullah S.A.W datang semula dan mendapati aku masih duduk di situBaginda bertanya yang bermaksud:

“Apakah kamu masih duduk mengerjakan solat dari Aku meninggalkan kamu tadi?”

Lalu aku menjawab, “Ya.”

Terus Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

“Sungguh!, aku telah membaca empat kalimat ini sebanyak tiga kali selepas Aku meninggalkan kamu. Kalau ditimbang berat zikir ini, nescaya sama beratnya dengan berat timbangan ibadah yang kamu lakukan:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

“Subhanallahi Wa Bihamdihi, ‘Adada Khalqihi, Wa Rida Nafsihi, Wa Zinata ‘Arsyihi, Wa Midada Kalimatih.” 


“Maha suci Allah. Aku memuji-Nya sebanyak bilangan makhluk-Nya, menurut keredaan-Nya, seberat timbangan ‘Arasy-Nya, dan sebanyak dakwat tulisan kalimat-Nya.””

(Hadis Riwayat Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ummul Mukminin Jawairiyah tidak lama menjalani kehidupan berumah tangga bersama Rasulullah S.A.W. Beliau kehilangan suami buat kali kedua, kehilangan kekasih hatinya, kehilangan Rasul tercinta dan kehilangan seorang guru yang mulia. Beliau menerima semua takdir ini dengan bersabar kerana beliau ingin memperolehi pahala orang-orang yang sabar. Setelah Kewafatan Rasulullah S.A.W, Ummul Mukminin Juwairiyah banyak mengasingkan diri dan memperbanyakkan beribadah, bersedekah dan menyampaikan ilmu kepada orang-orang yang ingin mencari keilmuan mengenai Islam.

Ummul Mukminin Juwaiyah wafat pada masa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sofwan. Beliau wafat di usia 65 tahun dan dikuburkan di Baqi’, bersebelahan dengan makam isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lain. Yang mengimamkan solat jenazahnya adalah khalifah Marwan bin al-Hakam.

Semoga menjadi pengajaran berharga bagi kita umat akhir zaman. Umat yang dirindui oleh Rasulullah S.A.W semasa hayat Baginda. Aamiin.

Wallahua‘lam.

FARIDAH KAMARUDDIN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: