Amal hanya kerana Allah

Mohd Shahrizal Nasir

Kehidupan di dunia adalah jambatan untuk ke akhirat. Oleh itu, kehidupan di dunia tidak boleh dipersiakan dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Peluang untuk hidup di dunia hanya sekali sahaja kerana tidak ada orang yang mendapat peluang untuk hidup kembali ke dunia setelah benar-benar meninggalkan dunia ini.

Setiap Muslim mempunyai peluang yang sama untuk melakukan kebaikan. Secara logiknya, jika seseorang banyak melakukan kebaikan maka dia akan beroleh ganjaran yang banyak. Orang yang kurang melakukan kebaikan pula, sudah pasti ganjaran yang diterima setimpal dengan usahanya itu.

Namun begitu, ada orang yang melakukan kebaikan di dunia hanya untuk meraih kelebihan di dunia. Orang seperti ini tidak mengambil berat tentang kehidupan di akhirat sedangkan di sanalah kehidupan yang kekal abadi.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah asy-Syura, ayat 20)

Dalam usaha melakukan kebaikan, pasti ada ujian dan rintangan tersendiri. Begitulah lumrah kehidupan yang perlu dihadapi oleh setiap orang. Ada kalanya ujian yang dihadapi cukup mencabar. Orang yang melakukan kebaikan tidak terlepas daripada ujian tatkala melakukan kebaikan. Dengan kata lain, kebaikan yang dilakukan oleh seseorang boleh sahaja menjadi penyebab dirinya tidak mendapat kebahagian daripadanya.

Lumrah kehidupan di dunia sememangnya sarat dengan cabaran termasuk dalam konteks melakukan kebaikan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya tentang ujian kehidupan yang pasti dihadapi oleh orang Islam. “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ujian dalam melakukan kebaikan boleh terjadi disebabkan kata-kata orang lain terhadap perkara baik yang dilakukan. Tidak semua orang senang hati dengan perbuatan baik yang dilakukan apatah lagi sekiranya kebaikan itu menjadi tatapan orang ramai.

Boleh jadi orang yang melihat kebaikan berasa iri hati dan mahu kebaikan berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang mempunyai pelbagai kekurangan. Hasad dengki sememangnya antara racun yang boleh merosakkan hati manusia. Bukan sahaja hasad dengki tersebut merosakkan pelakunya, malah ia juga boleh menyebabkan orang yang terlibat rebah kerana dosa marah terhadap apa yang diperlakukan terhadapnya.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap diri Rasulullah SAW. Dalam usaha baginda melakukan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, baginda menerima pelbagai tohmahan dengan label yang negatif. Baginda adalah insan mulia yang diiktiraf oleh Allah SWT, namun baginda tetap menerima ujian tentangan daripada orang lain.

Rasulullah SAW dituduh pendusta sedangkan baginda menyampaikan kebenaran yang datangnya daripada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan orang yang kafir itu berkata: “(al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain.” Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.” (Surah al-Furqan, ayat 4)

Baginda juga pernah dituduh sebagai orang gila disebabkan kerja dakwah yang dilakukannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila.” (Surah al-Hijr, ayat 6). Begitulah ujian yang dihadapi oleh baginda atas kebaikan yang dilakukannya. Tidak ada ujian lebih besar daripada apa yang dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Selain itu, ada kalanya seseorang yang melakukan kebaikan berdepan dengan ujian yang datang daripada dirinya sendiri. Ada orang melakukan kebaikan sekadar melakukannya sahaja, bukan daripada keikhlasan dan keyakinannya terhadap janji daripada Allah SWT.

Orang yang menunaikan solat juga tidak terlepas daripada ujian amalannya tidak diterima disebabkan dirinya sendiri. Walaupun fizikal diri menunaikan solat, namun disebabkan kelalaian dan niat menunjuk-nunjuk, maka solat tidak diterima oleh Allah SWT dan pelakunya dikenakan kecelakaan.

Ini sepertimana dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).” (Surah al-Ma’un, ayat 4-6)

Jelaslah bahawa ujian dalam pelaksanaan ibadah juga boleh berpunca daripada diri sendiri. Tidak cukup sekadar dilihat melakukan ibadah sekiranya tidak berusaha menjaga kualiti ibadah tersebut. Melakukan ibadah tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan agama akan menjadikan amalam tersebut tertolak.

Selain solat, pelaksanaan ibadah puasa juga berdepan dengan ujian ia ditolak oleh Allah. Ini kerana ada orang yang hanya sekadar menahan diri dengan tidak makan dan minum sahaja, namun tetap melakukan perkara yang diharamkan.

Perkara ini seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat (tidak menerima amalan) orang itu yang meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Semua perkara yang dinyatakan ini perlu diberi perhatian oleh setiap Muslim dalam pelaksanaan ibadah dan apa juga bentuk kebaikan.

Mungkin kita sangka telah melakukan kebaikan, namun rupanya semua kebaikan tersebut tidak ada nilai di sisi Allah. Punca amalan tidak diterima boleh jadi disebabkan diri sendiri, bukan orang lain.

Begitu juga dalam bab mengeluarkan duit pada jalan kebaikan. Sememangnya mengeluarkan duit untuk manfaat orang lain merupakan amalan mulia yang mendatangkan pahala besar. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ada kalanya amalan baik itu ditolak oleh Allah disebabkan perangai buruk sendiri.

“Dan ada seorang lelaki yang Allah kurniakan kepadanya harta, lalu dia menyedekahkan hartanya kepada orang yang memerlukan. Kemudian (di akhirat) dia dibawa menghadap Allah lalu ditunjukkan nikmat-Nya yang telah diberi kepada lelaki itu, lalu dia mengakuinya. Allah bertanya: “Apa yang telah engkau lakukan dengannya (harta)?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak tinggalkan hartaku melainkan aku membelanjakannya pada jalan-Mu.” Allah menjawab: “Engkau berdusta! Sebaliknya engkau menyedekahkan harta itu supaya orang ramai memanggilmu dermawan. Dan engkau telah dapat apa yang diinginkan.” Kemudian lelaki itu diseret wajahnya dan dilemparkan ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitulah dahsyatnya ujian dalam melakukan kebaikan. Ada kalanya ketika kita melakukan kebaikan, orang lain tidak suka melihatnya lantas mengeluarkan kata-kata negatif. Maka sebaiknya kita bersabar. Ada kalanya pula, diri kita sendiri yang menjadi ujian terhadap amalan yang dilakukan sehingga amalan menjadi rosak dan sia-sia. Maka sebaik-baiknya kita berusaha memastikan setiap amal kebajikan dilakukan hanya kerana Allah.