Kembalilah kepada al-Quran

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Al-Quran al-Karim adalah mukjizat teragung dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Penurunan al-Quran dalam masa 23 tahun memenuhi segala keperluan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam dan menangani segala perkara yang dihadapi sepanjang dakwah baginda. Al-Quran bukan sahaja menjadi hidayah (petunjuk) semata-mata, tetapi sebenarnya membawa penyelesaian kepada segala masalah dihadapi manusia. Ini jelas daripada penggunaan nama yang pelbagai merujuk kepada al-Quran. Antara nama digunakan Allah SWT merujuk kepada al-Quran adalah seperti al-Kitab, al-Furqan, al-Huda, al-Ruh, al-Haq, al-Mau’izah, al-Zikr, al-Nur, al-Burhan, al-Busyra, al-Syifa’ dan al-Rahmah.

Sebagai contoh, al-Quran adalah kitab mukjizat yang menunjukkan hidayah, membawa rahmat, menjadi nasihat dan penawar kepada penyakit rohani dan jasmani.

Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” Surah Yunus ayat 57

Allah SWT juga berfirman: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi penawar serta rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” Surah al-Isra’ ayat 82

Al-Quran menjadi kitab teragung sepanjang zaman. Generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW digelarkan sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’. Keunikannya adalah kerana mereka mengamalkan segala apa yang ada dalam al-Quran. Dalam aspek akhlak, mereka berpandukan kepada al-Quran. Mereka mengikut qudwah (ikutan) yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Apabila Saidatina Aisyah RA ditanya tentang akhlak Nabi SAW, jawapannya: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Musnad Ahmad

Sunah ini diteruskan oleh sahabat baginda. Maka, janganlah kita meninggalkannya. Ingatlah firman Allah SWT: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan (mahjur), tidak digunakan.” Surah al-Furqan ayat 30

Dalam dunia yang semakin mencabar ini kita amat dituntut kembali mengkaji khazanah al-Quran khususnya untuk menghadapi keadaan dalam masyarakat yang sudah hilang pedoman. Al-Quran tidak lagi menjadi pegangan dan ikutan sebaliknya hawa nafsu serta fikiran yang diutamakan.

Sedangkan Allah SWT berpesan: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah serta kepada ‘ulil amri’ (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah serta hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah al-Nisa ayat 59

Namun, realiti yang berlaku pada hari ini masyarakat semakin jauh daripada al-Quran. Semakin mereka menghadapi masalah, semakin mereka menjauhkan diri daripada petunjuk al-Quran. Ini terbukti apabila ada segelintir masyarakat yang mempertikaikan kesesuaian ayat al-Quran.

Peluang dan ruang masa yang banyak sepatutnya diisi dengan pengajian kitab suci ini, tetapi banyak dihabiskan dengan hiburan melalaikan. Situasi pandemik ini sebagai contoh, sepatutnya mengembalikan masyarakat kepada pemilik segala ujian ini, tetapi tidak berlaku.

Sepatutnya kita berusaha sedaya upaya dan kembali menghayati firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang yang beriman.” Surah Fussilat ayat 44

Allah SWT yang menurunkan penyakit dan Dialah juga yang menyediakan penawarnya. Kita diperintahkan berusaha mencegah supaya tidak ditimpa sebarang musibah. Apabila menghadapi musibah atau ujian Allah, kita dituntut bersabar dan ingat kepada-Nya (zikir).

Firman Allah SWT: “(Iaitu) orang (yang sabar) apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah, ayat 156

Allah SWT juga menjanjikan ketenteraman hati dan ketenangan jiwa bila kita mengingati-Nya. Firman-Nya lagi: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah al-Ra’d ayat 28

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT tidak nenurunkan sesuatu penyakit melainkan Allah SWT menurunkan juga baginya ubat (penawar) yang menyembuhkan.” Riwayat Bukhari. Kita mesti yakin kuasa penyembuhan sebenarnya adalah milik mutlak Allah SWT dan semua yang berlaku adalah mengikut ketentuan-Nya.

Allah SWT berfirman: “Tuhan yang menciptakan daku (daripada tiada kepada ada) maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan serta memberi minum dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” Surah al-Syu’ara ayat 78-82

Segalanya daripada Allah SWT. Begitu juga dengan kisah Nabi Ayub AS. Allah SWT berfirman: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani maka Kami perkenankan doa permohonannya lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya serta Kami kurniakan kepadanya keluarganya dengan seganda lagi ramainya sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).” Surah al-Anbiya ayat 83-84

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berpegang kepada dua jenis ubat iaitu madu dan al-Quran.” Riwayat Ibnu Majah

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Al-Tibb al-Nabawi berpendapat di dalam dua cara pengubatan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ini sebenarnya menggabungkan antara pengubatan manusiawi dan pengubatan Ilahi, antara pengubatan jasmani dan rohani, antara pengubatan samawi (langit) serta pengubatan dunia. Oleh itu, gabungan antara kedua-duanya pasti akan memberikan impak yang sempurna. Al-Quran tetap mukjizat dan penawar bagi penyakit rohani serta jasmani.