Berhati-hati dengan nikmat lidah

Dr Mohd Khafidz Soroni

Kemunculan media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, Instagram, WhatsApp, Telegram dan sebagainya banyak merubah gaya kehidupan manusia pada masa kini. Melalui media sosial, informasi dapat disebarkan dengan lebih pantas dan produk jualan dapat diiklankan secara lebih berkesan.

Media sosial juga boleh menjadi sumber meraih populariti dan keuntungan, meskipun hanya menggunakan modal ‘air liur’ semata-mata. Perkara ini jika dilihat daripada aspek positif tidaklah mengundang masalah besar. Namun jika ia melangkaui batasan syarak, penggunaannya boleh memberi kesan yang negatif terhadap masyarakat.

Ini kerana media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan keburukan, fitnah, cacian dan umpatan terhadap orang lain selain boleh digunakan untuk memainkan persepsi masyarakat terhadap pelbagai isu termasuk politik. Permainan persepsi turut berlaku dalam isu agama, perbezaan fahaman dan aliran pemikiran.

Kepetahan dan kefasihan seseorang amat memberi pengaruh dalam aspek ini. Lebih membimbangkan jika ia sanggup untuk membelakangi hukum agama. Terdapat sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah azza wajalla membenci orang yang berbicara dengan petah daripada kalangan lelaki yang mampu memutar belit dengan lidahnya sebagaimana lembu meragut makanan dengan lidahnya.” Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: hasan gharib

Maksud ‘memutar belit dengan lidahnya’ adalah bagi menunjukkan kefasihan dan kepetahannya dalam berbicara, namun dia tidak mengambil peduli dengan tutur katanya sama ada berlebih-lebihan ataupun tidak asalkan dia dapat mencapai hajat atau kepentingan dirinya. Orang sebegini dinyatakan sebagai orang yang dibenci oleh Allah SWT.

Dalam hadis lain daripada Saad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah keluar satu golongan manusia yang akan makan dengan lidah mereka sebagaimana lembu makan dengan lidahnya.” Riwayat Ahmad dengan status hasan li-ghairih

Menurut Imam al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir: “Makna hadis ini ialah mereka menggunakan lidah mereka sebagai perantara kepada sumber rezeki mereka sebagaimana lembu mengambil makanan dengan lidahnya.”

Perumpamaan kepada lembu yang disebut dalam hadis ini mengandungi maksud yang cukup dalam. Ini kerana biasanya perkataan ‘tangan’ digunakan bagi menggambarkan daya usaha manusia untuk mencari rezeki. Namun dalam hadis ini, perkataan ‘lidah’ digunakan bagi menggambarkan tujuan yang sama.

Sama ada kepetahan lidahnya anugerah semula jadi yang diberikan oleh Allah SWT atau diperoleh melalui latihan yang bersungguh-sungguh.

Apa-apa pun, ia menunjukkan peranan yang dimainkan olehnya. Hanya berbekalkan air liur sahaja dia mampu meraih keuntungan atau mencapai tujuan peribadinya. Dengan perkembangan media sosial, kita dapat memahami maksud hadis itu secara lebih luas dan tidak hanya terbatas dalam konteks mahkamah semata-mata.

Berdasarkan realiti yang berlaku, Syeikh Waliyullah an-Nadwi dalam kitabnya Nubu’at ar-Rasul SAW: Ma Tahaqqaq Minha wa Ma Yatahaqqaq berkata: “Apa yang diberitakan oleh Nabi SAW ini telah pun terjadi, apabila telah wujud dan akan terus wujud golongan manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT lidah yang petah serta kata-kata yang fasih, namun mereka menjadikannya sebagai perantara kepada punca pendapatan dan rezeki mereka melalui cara yang tidak diakui oleh syarak. Mereka berusaha sedaya upaya melalui kefasihan dan kekuatan bicara mereka untuk menghapuskan yang benar serta membenarkan yang batil. Sebagaimana mereka juga tidak akan berlengah-lengah untuk membantu orang yang zalim dan mampu menzahirkannya melalui kepetahan mereka dalam rupa keadaan orang yang dizalimi pula, jika orang zalim itu menawarkan kepada mereka sedikit habuan duniawi.”

Kefasihan dan kepetahan seseorang tidak menjadi lesen untuk ia berbicara secara melampau, mengumpat, memfitnah, mencaci dan perbuatan lain yang dibenci Allah SWT. Ringkasnya, lidah adalah satu anggota kecil yang cukup berkuasa. Jika digunakan pada kebaikan, nescaya banyak pahala yang akan diperoleh seperti berzikir, menyampaikan ilmu, membaca al-Quran, memberi nasihat dan sebagainya. Jika digunakan pada keburukan pula, banyak dosa yang akan diperoleh olehnya.

Imam al-Ghazali di dalam kitab Bidayah al-Hidayah, mengingatkan kita agar memelihara lidah daripada lapan perkara iaitu berdusta atau berbohong, mungkir janji, mengumpat, berbalah dan berdebat, menyucikan diri sendiri (bersifat ujub), melaknat, mendoakan keburukan terhadap orang lain serta bergurau dan mempersendakannya. Lapan perkara ini punca utama kebinasaan dan kerugian seseorang akibat perbuatan lidahnya di akhirat nanti. Kelak baru dia berharap, diam itu lebih baik daripada berkata-kata.