• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,151,621 orang
  • Tetamu Online

Cari sahabat bawa ke Syurga

Mohd Shahrizal Nasir

Ada orang meletakkan sahabat lebih dekat berbanding dengan kawan. Kita mungkin mempunyai ramai kawan namun belum tentu semuanya dalam kategori sahabat. Sahabat itu sentiasa berada dekat dalam kehidupan. Ketika senang, dialah bersama meraikannya dan ketika susah dia tetap bersama dengan menghulurkan bantuan.

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan perancangan hijrah untuk menyebarkan dakwah di Madinah dibantu oleh sahabat baginda yang sentiasa berada di sisinya. Pengorbanan sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar banyak membantu dalam mengembangkan Islam di luar Makkah.

Sahabat Rasulullah SAW memainkan peranan yang besar dalam membantu baginda menjalankan amanah sebagai seorang Rasul. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Muhammad ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).”  (Surah al-Fath, ayat 29)

Begitulah besarnya peranan yang dimainkan oleh sahabat Rasulullah SAW. Hidup mereka dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyebarkan Islam bersama-sama Rasulullah SAW. Saat suka dan duka diharungi bersama dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia. Akhirnya, Allah SWT menjanjikan syurga buat sahabat Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan orang terdahulu yang lebih awal masuk Islam iaitu Muhajirin dan Ansar dan golongan yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Allah serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.”  (Surah at-Taubah, ayat 100)

Sahabat Rasulullah SAW adalah generasi terbaik dalam sejarah umat Islam. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah SAW ketika menjawab soalan seorang sahabat yang mengajukan soalan: “Siapakah antara golongan manusia yang paling baik?” Jawab Rasulullah SAW: “Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu. Kemudian datang satu kaum yang mana penyaksian mereka mendahului sumpah dan sumpah mendahului penyaksian.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sebenarnya Islam sudah menjelaskan acuan persahabatan sesama manusia. Malah, Islam menggunakan istilah ‘persaudaraan’ iaitu jauh lebih rapat berbanding ‘persahabatan.’ Hal ini kerana persaudaraan sesama Muslim didasari oleh asas akidah Islamiah yang menjadikan hubungan tersebut sentiasa dalam keadaan harmoni dan diberkati.

Orang Islam tidak boleh menganiya saudara seislam yang lain. Sebaliknya umat Islam perlu saling mengasihi antara satu sama lain. Ini kerana umat Islam perlu bersatu dan berpadu bagi menyerlahkan keindahan Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda:  “Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih-sayang dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai keletihan dan tidak sihat.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Peranan seorang sahabat amat penting iaitu perlu membawa sahabatnya ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membawa sahabatnya kepada mengingati Allah SWT pada setiap masa.

Selain itu, seseorang insan dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya.  Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat.”  (Hadis riwayat Abu Dawud). Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi pengaruh yang besar dalam penilaian keperibadian seseorang.

Jangan silap memahami intisari hadis tersebut. Saranan hadis itu tidak bermakna kita hanya boleh bersahabat dengan orang yang baik sahaja dan menjauhi orang yang kurang baik. Ini bersalahan dengan konsep dakwah dalam Islam. Kita boleh bersahabat dengan semua golongan. Namun, jika kita mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, kitalah yang bertanggungjawab untuk membawanya ke arah kebaikan. Sekiranya kita tidak mampu mengubahnya, jadi pastikan diri sendiri tidak terjebak dalam kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat tadi.

Jalinan persahabatan perlulah didasari tujuan yang betul. Sekiranya sesuatu ikatan persahabatan itu terjalin atas sebab duniawi atau bagi tujuan kemungkaran, maka ikatan tersebut tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT, malah akan mencetuskan perbalahan di kemudian hari.

Allah SWT menjelaskan hal ini dalam firman-Nya bermaksud: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).”  (Surah al-Zukruf, ayat 67)

Lebih beruntung lagi  apabila hubungan persahabatan di dunia ini bakal menguntungkan kehidupan akhirat. Seseorang manusia yang menerima rahmat Allah SWT akan diberi peluang menyelamatkan sahabatnya yang berada dalam neraka.

Rasulullah  SAW  bersabda tentang kebaikan memiliki sahabat: “Setelah orang Mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan nasib saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon: ‘Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang masih tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat, dan juga haji.”

Maka dijawab oleh Allah: ‘Keluarkan (dari neraka) orang yang kalian kenal.” Sehingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka. Mukminin ini pun mengeluarkan ramai saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya.

Kemudian orang Mukmin itu menyatakan kepada Allah: ‘Wahai Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak ada yang berbaki.”

Maka Allah berfirman: ‘Kembali lagi (ke neraka), keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.’ Maka dikeluarkanlah orang Mukmin dalam jumlah ramai sekali yang diseksa di neraka. Kemudian mereka menyatakan kepada Allah: ‘Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun orang yang Engkau perintahkan agar dibebaskan.‘”  (Hadis riwayat Muslim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: