• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,134 orang
  • Tetamu Online

‘Sampaikan walau satu ayat’

Mohd Shahrizal Nasir

Seluruh umat Islam perlu menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Baginda melaksanakan tanggungjawabnya menyebarkan Islam sehingga manusia hari ini menerima Islam sebagai  ad-Din. Kewujudan agama Islam yang kekal sehingga ke hari ini menjadi bukti baginda berjaya membimbing manusia agar mengakui keesaan Allah SWT. Sesungguhnya hanya dengan mengesakan Allah SWT, manusia dapat keluar daripada kegelapan menuju kepada jalan yang benar.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”  (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini tidak mampu dibalas oleh umatnya. Rasulullah SAW menerima banyak ujian dan rintangan sepanjang melaksanakan amanah menyebarkan Islam. Meskipun baginda SAW disayangi oleh Allah, baginda tetap menempuhi cabaran tersebut agar umatnya dapat meneruskan kesinambungan dakwahnya.

Oleh itu, amat wajar bagi umat Islam sentiasa mengingati Rasulullah SAW. Lihat sahaja seperti mana yang ditetapkan oleh syarak, seluruh umat Islam akan menyebut nama dan mendoakan baginda SAW dalam solat. Ini membuktikan setiap umat Islam pasti akan menyebut nama baginda dan mendoakan kesejahteraan untuknya.

Kita menyebut nama Rasulullah SAW dalam bacaan tahiyat ketika menunaikan solat fardu mahupun sunat. Begitulah gambaran jelas betapa sepatutnya umat Islam patut sentiasa rasa dekat dengan Rasulullah SAW. Begitu juga dengan pesanan baginda SAW agar umatnya memperbanyakkan selawat untuknya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat (mengurniakan kebaikan) kepadanya sepuluh kali.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, ganjaran besar yang akan dinikmati oleh orang yang banyak berselawat kepada baginda SAW ialah dapat berada bersamanya di hari akhirat nanti. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak hanya menerusi amalan berselawat ke atasnya sahaja. Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, wujud pihak yang tidak bertanggungjawab menghina Rasulullah SAW. Penghinaan kepada Rasulullah SAW sebenarnya perlu dirasakan sebagai satu penghinaan kepada umat Islam seluruhnya.

Orang yang tidak beriman kepada Rasulullah SAW sememangnya akan terus berusaha menafikan kedudukan baginda sebagai insan paling mulia di sisi Allah SWT. Malah Allah SWT telah pun menjanjikan balasan yang setimpal terhadap perbuatan jahat itu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud:  “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang Mukmin dan dia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu. Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.'” (Surah at-Taubah, ayat 61)

Dari sudut yang lain pula, umat Islam perlu menutup perkara yang boleh menampakkan kerapuhan cinta terhadap Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dizahirkan berlandaskan ketetapan yang dinyatakan oleh baginda sendiri. Apakah yang menjadi ketetapan baginda itu?

Ia tidak lain dan tidak bukan, umat Islam perlu menyahut seruan baginda yang dibuat secara jelas tanpa memerlukan sebarang takwilan. Antara perkara yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah agar berusaha menyebarkan ajaran Islam yang dibawanya.  Sabda baginda SAW  bermaksud:  “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya hanya dengan meneruskan kesinambungan usaha dakwah Rasulullah SAW, ia akan dapat menangkis tohmahan terhadap baginda dan agama Islam. Umat Islam tidak boleh mempertahankan Rasulullah SAW dengan emosi dan tindakan yang boleh mengaitkan Islam dengan keganasan.

Sebaliknya, tohmahan terhadap Rasulullah dan agama Islam perlu ditangkis dengan menyemarakkan lagi usaha menyebarkan keindahan Islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menerusi keindahan budi pekertinya.

Tiada makna jika emosi untuk mempertahankan Rasulullah SAW ditunjukkan kepada dunia sedangkan usaha dakwah semakin layu. Hentikanlah perbalahan sesama umat tentang perkara yang tidak pun disentuh oleh Rasulullah SAW. Kita semua cintakan baginda SAW dan bukankah saling mencemuh, saling menyalahkan, saling tuduh-menuduh sesama Muslim itu perbuatan yang dilarang oleh baginda SAW sendiri?

Orang yang mencintai Rasulullah SAW akan sentiasa akur dengan nasihat dan amanat baginda. Oleh itu, janganlah ada dalam kalangan umat Islam yang sanggup menjadikan Rasulullah SAW sebagai modal untuk berselisihan, bercakaran dan bermusuhan sesama umat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Janganlah kalian terlalu berlebih-lebihan kepadaku sebagaimana orang Nasrani telah berlebih-lebihan kepada Isa bin Maryam, sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah maka katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semarakkanlah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dengan melaksanakan tuntutan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Baginda mengingatkan umatnya agar terus menyebarkan ajaran yang dibawa oleh baginda SAW. Maka orang yang memahami hasrat baginda SAW tidak akan membiarkan dirinya hanyut dengan isu-isu yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat.

Sepatutnya umat Islam menjadi bertambah kuat, saling bekerjasama dan berganding bahu bagi mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.  Inilah yang membuktikan kecintaan sebenar kita kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan sekalian manusia.”  (Muttafaq ‘alaih).

Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW adalah atas sebab kedudukan baginda SAW yang dimuliakan oleh Allah SWT. Kecintaan kita kepada baginda SAW juga disebabkan pegangan baginda yang mentauhidkan Allah SWT. Kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak akan sesekali membuatkan kita jauh daripada Allah SWT, sebaliknya semakin dekat dengan-Nya. Sebab itulah sesiapa yang mengakui dirinya mengasihi Allah SWT, maka ikuti dan sayangilah pembawa risalah-Nya iaitu Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.'”  (Surah Ali ‘Imran, ayat  31)