• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,090 orang
  • Kandungan Blog

Didik masyarakat benci arak

Oleh Johari Baharom

TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya mahupun orang lain akibat sesuatu yang dimakan, diminum, diamalkannya mendatangkan mudarat atau kesan yang tidak baik kepada kesihatan seseorang.

Apa lagi sekiranya ia boleh menjangkaui musibah atau bahana kepada individu terbabit atau orang lain di sekitarnya.

Selaku Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), saya terpanggil untuk memperincikan mengenai meminum alkohol atau arak di sisi Islam. Kalau dadah atau penyalahgunaannya haram di sisi Islam, meminum arak juga haram. Yang haram tetap haram, walaupun ada sesetengah peminum arak tidak memabukkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-7 pada sidang 11 dan 12 April 1984, membincangkan dengan mengambil kira pelbagai sudut, antaranya dalil al-Quran dan hadis, implikasi kesihatan, kesan sosial dan akhlak, sudut ekonomi serta kerukunan rumah tangga dan masyarakat.

Muzakarah itu memutuskan bahawa setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol mengandungi arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum.

Selain itu, minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak, sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. Sementara itu, minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses membuat arak adalah halal. Antaranya tapai dan cuka adalah halal dimakan. Maksudnya alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

Ibu segala maksiat

Begitu juga dengan ubat-ubatan, alatan kecantikan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan. Lebih jelas lagi, arak atau dalam bahasa Arab ‘khamar’ yang bermaksud minuman yang memabukkan. Arak menjadi kemegahan kepada mereka yang meminumnya dalam kalangan orang kafir (terlindung daripada seruan Allah SWT atau ajaran agama Islam), fasik dan munafik.

Islam secara tegas mengharamkan arak sejak 14 abad lalu. Nabi Muhammad SAW menyampaikan firman Allah SWT mengenai bahaya dan musibah meminum arak kepada orang kafir Quraish yang hidup dalam keadaan tidak bertamadun ketika itu.

Mereka adalah peminum arak tegar dan menganggap arak adalah minuman berprestij atau terbaik untuk menikmati keseronokan hidup di dunia ini tanpa mengira darjat, keturunan hatta anak sendiri dijadikan hamba seks.

Sesungguhnya, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 – 91, mafhumnya: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya minuman keras, berjudi, berkorban untuk berhala dan menenum nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu beruntung”

Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dan menghalang kamu mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka, tidakkah kamu mahu berhenti?”

Kalau kita pergi lebih jauh, arak sebenarnya adalah ibu segala maksiat. Ia mendatang banyak keburukan kepada sesiapa sahaja yang meminumnya. Ia adalah sama dengan penyalahgunaan dadah. Nabi Muhammad SAW bersabda; “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia maksiat paling mengaibkan.”

Marilah kita sama-sama meneliti kenapa Islam mengharamkan meminum arak? Antaranya, arak boleh merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman kepada Allah SWT kepada seorang manusia yang terjerumus kepada lembah maksiat. Ia boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama insan, meruntuhkan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara. Ketagihan arak menyebabkan penyakit hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan dan gila.

Dorong perbuatan jenayah

Ketagihan arak juga boleh membawa perubahan metabolisme akal fikiran, organ hati dan menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan baik.

Menurut kajian Biro Keadilan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada 1996, didapati purata 2,713 kes rogol, zina, sumbang mahram dan AIDS berlaku setiap hari. Di United Kingdom (UK), angka rasmi akibat meminum alkohol ialah 45-46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir sejuta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.

Justeru, jauhi minuman yang memudaratkan ini. Minuman alkohol iaitu arak adalah haram. Dosanya terlalu besar, sama dengan penyalahgunaan dadah.

Biasanya sesiapa yang ketagihan arak, memudahkan dirinya untuk digoda oleh pengedar dadah untuk terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Pihak berwajib termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendidik masyarakat membenci arak, sama dengan membenci rokok, candu, hidu gam, najis dadah, hisap vape, minum air daun ketum dan berjudi.