• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,085 orang
  • Kandungan Blog

Hukum sambut Tahun Baru Masihi

Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:

Perkara yang selalu menjadi persoalan bagi masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam, adakah Islam membenarkan sambutan sebegini ataupun tidak. Justeru dalam Irsyad al-Fatwa kali ini, ingin kami mengupas isu ini agar dapat memberikan panduan kepada kita semua. Sebelum kami menjawab pertanyaan berkenaan, suka ingin kami nyatakan beberapa fakta sejarah mengenai sambutan tahun baru.

Sejarah Sambutan Tahun Baru

Dunia merakamkan bahawa kaum yang mula-mula menyambut tahun baru sekitar 4000 tahun dahulu adalah Babylon. Mereka menjadikan sambutan ini dengan sambutan keagamaan yang dinamakan sebagai Akitu[1] yang disertakan bersamanya beberapa ritual . Sambutan ini juga mengenangkan kemenangan mistikal tuhan langit mereka, Marduk mengalahkan tuhan laut yang jahat bernama Tiamat.

1 Januari Sebagai Tahun Baru[2]

Permulaan kalander Roman pada asalnya hanya mempunyai 10 bulan dan 304 hari dan yang memulakannya ialah Romulus, pengasas Rom. Selepas itu, Raja Numa Pompilius telah melengkapkan kalender Roman menjadi 12 bulan dengan menambah bulan Januarius dan Februarius pada abad ke-8 sebelum masihi. Namun calendar yang sedia ada ini mengalami beberapa kekurangan dan akhirnya permasalahan ini telah diselesaikan oleh Julius Caesar dengan menghimpunkan ahli matematik dan astronomi yang terhandal pada zamannya. Dari situ, muncullah pula kalendar Julian yang mana lebih hampir penggunaannya dengan calendar moden Gregory yang mana kebanyakan manusia di seluruh dunia sedang menggunakannya pada waktu ini.

Rentetan dari perubahan tersebut, Caesar kemudiannya mengasaskan 1 Januari sebagai hari permulaan tahun yang mana antara lainnya bersempena dengan nama tuhan permulaan (God of Beginning) Rom, Janus. Pada waktu itu, masyarakat Rom menyambutnya dengan melakukan korban, bertukar-tukar hadiah dan juga menghias rumah-rumah mereka dengan menggunakan dahan dan ranting dari pohon Bay. Mereka juga mengadakan pesta liar bagi menyambut tahun baru tersebut.

Bagi masyarakat Eropah khususnya pada zaman pertengahan (Medieval), paderi-paderi menukarkan tahun baru 1 Januari kepada tarikh-tarikh yang lebih signifikan terhadap keagamaan seperti 25 Disember bersempena dengan hari kelahiran Jesus. Seterusnya pada tahun 1582, Pope Gregory yang ke-13 menukarkan kembali tarikh tahun baru kepada 1 Januari dan sehingga kini, masyarakat dunia mengguna pakai kalendar ini yang mana dikenali sebagai Kalendar Gregorian.

Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi

Ulama’ berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadapt sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:

Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]

Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.

Berdasarkan hadith inilah, sebahagian ulama’ mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.

Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.

Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:

العَادَةُ مُحَكّمَةٌ

Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. [Lihat al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir. hlm.89]

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:

إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت

Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.[Lihat Ali Ahmad al-Nadwi, Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Hlm. 65]

Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:

Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan.Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan.Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut.Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut.Tidak berlakunya pembaziran.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah melihat hujahan dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.

Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:

“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”

Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik. Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah SWT:

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ

Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

(Al-Syu’ara’: 88-89)

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayah-Nya.

Ketahui maksud tersurat kisah dalam al-Quran

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Sod, ayat 29)

Ibnu Masu’d menjelaskan, tujuan penurunan al-Quran dengan ungkapan, “Diturunkan al-Quran kepada mereka untuk diamalkan, maka jadilah pengajiannya untuk beramal. Sesungguhnya seseorang kamu membaca al-Quran dari permulaan al-Quran sehingga akhirnya, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal, apa yang tertinggal hanyalah amalannya.”

Justeru, tanpa menafikan kepentingan dibaca dan dihafal, apa yang utama ialah beramal dengan keseluruhan isi al-Quran kitab diturunkan Allah SWT untuk menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman.

Kisah dan iktibar

Ia menjadi mukjizat teragung Rasulullah SAW dan terus menjadi mukjizat terhebat di sepanjang sejarah kehidupan manusia sehingga berlakunya kiamat. Sentuhan al-Quran mampu meruntuhkan segala keegoan serta kesombongan manusia dan jin.

Al-Quran menceritakan kesan kepada jin apabila mendengar al-Quran, mereka beriman kepada Allah SWT dan tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan-Nya.

Begitu juga sikap orang beriman apabila mendengar al-Quran maka gementar hati, khusyuk jiwa dan bergenang air mata di kelopak mata mereka. Iman mereka juga bertambah serta kepada Allah SWT diserahkan segala-galanya.

Apabila al-Quran menceritakan sesuatu, ia dapat menghidupkan kembali abad yang silam sehingga seolah-olah dapat didengar hingar-bingar di hujung telinga pertentangan antara kebenaran dengan kebatilan laksana rakaman mengembalikan peristiwa dalam sejarah umat manusia.

Satu fakta menarik mengenai al-Quran, kisah yang dibawa tidak menerangkan atau menjelaskan mereka yang disebutkan supaya manusia tidak sibuk atau menghabiskan masa mengkaji tokoh itu hingga lupa tujuan lebih penting iaitu untuk mengambil iktibar daripada kisah berkenaan.

Maksud tersirat

Kisah keangkuhan manusia turut dipaparkan dalam al-Quran antaranya kisah pembesar kaum Aad memperlihatkan keupayaan membina istana tinggi dengan benteng kukuh sebagai lambang kemegahan, kesenian, keindahan dan kekuatan mereka.

Isyaratnya jelas, manusia tidak ditegah membina bangunan sebanyak dan setinggi mana tetapi apa yang penting, bangunan itu dibina atas ketakwaan serta keimanan kepada Allah SWT, bukan kerana sombong atau dengan mengambil hak orang lain secara batil.

Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Justeru, bacalah al-Quran dengan membuka mata, telinga dan hati di samping membacanya secara tartil serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT.

Bukan itu sahaja, jangan lupa laksanakan tuntutan dalam al-Quran. Menjadi keperluan kepada kita menjadikan al-Quran sumber motivasi, pengubat kesedihan, penyembuh keperitan ujian, peneguh jiwa serta penunjuk kepada jalan yang lurus.

Musuh Islam licik perdaya pemikiran umat

Melihat zaman jahiliah dahulu, manusia hidup tanpa pedoman dan petunjuk. Cara hidup mereka ketika itu penuh kemaksiatan, kezaliman terhadap golongan lemah dan miskin, perhambaan, penindasan, riba dalam jual beli, telah mewujudkan suasana kehidupan yang jauh dari norma kehidupan sebenar manusia.

Maka, kedatangan Islam telah memberikan satu kesan besar sehingga berjaya menolak corak hidup jahiliah dan mengeluarkan masyarakat Arab dari zaman kegelapan kepada petunjuk, dari kezaliman kepada keadilan serta dari penindasan kepada pembelaan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Perutusan Rasulullah bawa kebahagiaan

Perutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia membawa kebahagiaan yang besar. Baginda SAW menyelamatkan manusia dari kesengsaraan. Baginda menjadi sebab tercapainya pelbagai kebaikan di dunia dan akhirat.

Baginda memberi pencerahan kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kejahilan, membawa hidayah kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata. Inilah rahmat Allah SWT bagi seluruh manusia.

Suatu ketika dahulu umat Islam pernah menguasai dua pertiga dunia yang memimpin dengan iman, berpandukan al-Quran dan sunah. Mereka memerintah dengan penuh keadilan dan telah menunaikan segala amanah dipikulkan di atas bahu mereka.

Mereka juga telah menjadi pembawa obor hidayah dan petunjuk ke jalan kebenaran. Tamadun Islam pernah sampai ke kemuncak ketinggian yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan langit dan bumi, menghubungkan dunia dan akhirat, mempertemukan akal dan hati serta menyeimbangkan hak individu dengan kepentingan masyarakat.

Namun, hari ini keadaan umat Islam bertukar sebaliknya. Kita menjadi umat yang mundur sedangkan suatu ketika dahulu kitalah yang menerajui kemajuan. Lihatlah bagaimana nasib umat Islam di beberapa negara Islam yang sedang bergolak menghadapi peperangan saat ini.

Lebih memeritkan, apabila rakyat di negara-negara itu tidak terbela, mereka menjadi mangsa disebabkan kerakusan manusia berhati batu. Berbeza keadaannya dengan kita di negara bertuah ini, walaupun merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan, namun kita sebenarnya menghadapi serangan musuh Islam.

Antara bentuk serangan ditujukan mereka kepada kita ialah serangan terhadap iman. Hanya dengan iman yang mantap dapat menyelamatkan manusia daripada kebinasaan di dunia sampai akhirat. Musuh Islam sememangnya sentiasa berusaha menghancurkan iman dan akidah kita.

Lihat sahaja bagaimana mereka memesongkan pegangan umat Islam dari petunjuk al-Quran dan al-Hadis. Apabila iman dan akidah semakin lemah, maka umat Islam semakin jauh dari petunjuk jalan hidup yang sebenar.

Akhirnya, mereka akan tersungkur daripada jalan orang Mukmin sejati menuju jalan yang dimurkai. Segala agenda dan dakyah mereka akan mudah meresapi ke jiwa umat Islam. Bahkan umat Islam juga akan dijangkiti penyakit ‘wahan’ iaitu cintakan dunia dan bencikan kematian.

Renungkanlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Ramai di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).” (Surah al-Baqarah, ayat 109)

Kedua, serangan terhadap pemikiran. Musuh Islam telah berjaya mewujudkan aliran pemikiran jelas bercanggah dengan Islam seperti pemikiran liberal yang menyamaratakan dan mencampuradukkan semua agama di dunia ini dan sekular yang memisahkan agama daripada urusan seharian.

Kebanyakan pemikiran itu berjaya mempengaruhi umat Islam. Hakikat yang mesti difahami, hanya pemikiran Islam yang berpandukan kepada petunjuk wahyu Ilahi sahaja wajib dipegang. Jika kita tidak mempertahankan cara pemikiran Islam, maka aliran pemikiran yang terpesong mudah mempengaruhi kita.

Golongan liberal nafi aturan, syariat

Lihat bagaimana golongan liberal berani menafikan aturan dan syariat Allah SWT seperti menganggap perintah menutup aurat salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam. Bahkan menganggap mereka yang mengamalkan cara hidup Islam sebagai jumud dan menentang hak asasi manusia.

Ketiga, serangan terhadap ibadah. Realiti hari ini, aktiviti maksiat telah dimanipulasikan oleh musuh Islam menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Ia semakin mempengaruhi umat Islam sehinggakan tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok.

Apa yang ada di benak mereka hanyalah perkara sia-sia dan melalaikan dalam menghabiskan sisa baki umur mereka. Inilah yang menimpa sebahagian daripada kita kerana nafsu dan syaitan telah berjaya menguasai jiwa.

Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup Barat yang bercanggah dengan Islam. Apa-apa yang dibawa oleh Islam dianggap sebagai kuno dan ekstrem sedangkan setiap yang datang dari mereka pula dianggap sebagai maju dan bertamadun.

Persiap bekalan amalan baik

Lihatlah betapa liciknya musuh Islam, tanpa senjata pun berjaya mengalahkan umat Islam. Justeru, marilah kita bulatkan tekad, beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan Rasul, berusaha mempersiapkan bekalan amalan baik dengan ibadah sebanyak-banyaknya di samping ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Jangan sekali-kali mengabaikan ibadah wajib seperti solat fardu kerana solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

Renungkan pesanan Nabi SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang yang terasingkan itu.”

Setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mulakan dengan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing. Persiapkan senjata ilmu agama yang mantap serta sematkan dalam jiwa dengan iman dan takwa.

Syafaat anak kecil untuk ibu bapa

Bagaimana khabar bayi yang meninggal dunia? Benarkah dia mengingati ibu bapa dan saudaranya di dunia? Benarkah anak itu menghuni syurga dan diasuh Nabi Ibrahim?

Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam syurga.

Antara yang Baginda lihat ialah seorang lelaki tinggi dikelilingi kanak-kanak.

Malaikat menerangkan kepada Nabi, maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Nabi Ibrahim dan disekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang mati pada waktu kecil).

Maka, semua yang dilahirkan pada waktu kecil mati di atas fitrah iaitu Islam dan dimasukkan ke dalam syurga. (Hadis riwayat al-Bukhari – 7047)

Hadis itu menunjukkan anak yang meninggal dunia pada waktu kecil adalah dalam penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga.

Anak kecil itu mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada ibu bapa mereka dengan izin Allah.

Daripada Abu Hassan RA, maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah keadaan dua anak kecilku yang sudah meninggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’

Jawab Abu Hurairah: “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka atau ibu bapa, lalu menarik bajunya atau menarik tangannya seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ibu bapanya ke dalam syurga.’” (Hadis riwayat Imam Muslim – 2435)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” (Rujuk kitab Syarh Muslim – 16/182)

Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (iaitu kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab apabila dengan mereka.” (Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadis wa al-Athar – 2/289)

Usah jadi ejen sebar fitnah

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Jangan jadi ejen penyebar fitnah akhir zaman memperlihatkan manusia akan diselubungi dengan pelbagai fitnah. Jika diperhalusi, perkataan fitnah dalam bahasa Arab merujuk kepada ujian, kufur, pembunuhan, kebakaran dan lain-lain. Ini berdasarkan penggunaan bangsa Arab terhadap perkataan ini mengikut pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Athir.

Masyarakat Melayu merumuskan fitnah merujuk kepada tuduhan yang diadakan bertujuan untuk memburuk-burukkan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat. Situasi ini sering kali berlaku apabila adanya pihak yang tidak sependapat dengannya dalam sesuatu perkara.

Islam menegah perbuatan fitnah ini bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. Nabi SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:  “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis Riwayat al-Bukhari No. hadis 6056)

Fitnah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dalam mensyarah hadis ini adalah pemindahan maklumat daripada percakapan manusia atau orang ramai kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan di antara mereka.

Al-Imam al-Ghazali pula menjelaskan dalam Ihya’nya bahawa sifat fitnah merujuk kepada pemindahan kenyataan seseorang kepada orang lain seperti mana dia berkata ‘si fulan berkata dan mengata kepada kamu itu dan ini.’ 

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana perkembangan teknologi yang rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar hanya dengan jari jemari yang rancak menulis di laman sosial Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain.

Pada hari ini mereka yang menyebarkan fitnah ini mempunyai niat dan berkehendak kepada sesuatu yang bernilai seperti meraih sesuatu jawatan penting, dominasi perniagaan, politik, kedengkian terhadap kejayaan seseorang dan lain-lain.

Dalam satu hadis  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya.” (Hadis Riwayat  Muslim hadis  no. 4482)

Situasi ini apabila diteliti mempunyai kaitan yang rapat dengan soal hati yang tidak dipagari dengan iman yang teguh. Dalam perkara ini, syaitan akan memainkan peranan besar bagi memastikan manusia khususnya orang-orang beriman saling bertelagah antara satu sama lain.

Dalam al-Quran, Allah SWT menempelak mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Allah berfirman maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan (mengapa tidak) berkata: ‘Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.'” (Surah al-Nur ayat 11-12)

Balasan bagi orang yang membuat fitnah

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur ayat 19)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut.

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Berkata Malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW: ‘Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.'” (Hadis Riwayat  Ibn Hibban hadis no. 655)

Nabi SAW  juga bersabda maksudnya:  “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat  Muslim hadis no 2670)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut golongan pelampau yang disebut di dalam hadis itu ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. 

Doa mengelakkan diri daripada fitnah

Terdapat beberapa doa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas RA yang bermaksud: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (Hadis Riwayat  Imam Ahmad, hadis no 12107)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi, Hadis no 3233)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis no 1537)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA  maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia. (Hadis Riwayat  al-Bukhari, hadis no 6345)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas RA  maksudnya: “Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi, hadis no 3584)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa’ad bin Abi Waqqas RA  maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada kalangan orang-orang yang zalim. (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Mustadrak, hadis no 1864)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah RA  maksudnya: “Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau.” (Hadis Riwayat Abu Daud, hadis no 5090)

Justeru itu, untuk mengelakkan diri daripada fitnah, maka jangan kita mulakan dengan memfitnah walaupun dengan sekecil-kecil perkara. Fitnah akan tersebar tanpa disedari, akhirnya merebak mencetuskan api membakar diri. 

Ratu cantik: Fatwa tidak dihormati dan ditakuti?

BAHAWA wanita Islam adalah diharamkan menyertai pertandingan ratu cantik telah difatwakan secara rasmi oleh kerajaan. Di Selangor, fatwa berbunyi ‘Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 11 Mei 1995.

Di Wilayah Persekutuan pula, fatwa berbunyi ‘Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 8 Februari 1996.

Dua wanita Islam bernama Fahyu Hanim Ahmad dan Noni Mohamad yang melanggar fatwa ini dengan menyertai pertandingan ratu cantik di Hotel Holiday Villa, Petaling Jaya, pada 13 Jun 1997 juga telah pernah didenda sebanyak RM1,400 atau 4 bulan penjara serta berkelakuan baik selama 6 bulan.

Malangnya, daripada senarai 13 peserta pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini, masih ada lagi nama-nama wanita Islam terpapar.

Boleh semak sendiri nama-nama mereka: Melissa Tyndall, Aleena Shahman, Helenah Abdul Hatta, Jeishwari Balbir Singh, Nicol Gomez, Punitha Peruma, Nadia Rosli, Emilia Josephine Masiun, Abiramy Ramasamy, Dayshendri P Pecquan, Lianne Alychia Hendriks, Belinda Halime dan Maira Tajudin.

Malang sekali bila fatwa sudah tidak lagi dihormati dan ditakuti oleh umat Islam sendiri. Soalnya ialah mengapa?

Di mana suara golongan Feminis, pejuang hak asasi dan Wanita PAN?

Pemuka feminis Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyebut: “Sebagai seorang feminis, saya mempunyai masalah dengan pertandingan ratu cantik – ia mengekalkan eksploitasi wanita sebagai hanya hiasan.” (“As a feminist, I have a problem with beauty contests – they perpetuate the exploitation of women as mere decoration.”)

Pesuruhjaya SUHAKAM, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pula pernah menyebut: “Pertandingan ratu cantik yang menghendaki peserta membuka aurat serta dipertontonkan kepada umum untuk diadili adalah jelas haram dan berdosa. Perlu diingat, wanita Islam bukanlah alat pertandingan. Banyak perkara boleh dijadikan mainan, tetapi bukan wanita Muslimah.”

Angkatan Wanita PAN juga pernah menyelar penganjuran pertandingan ratu cantik yang disifatkan sebagai “jelas bertentangan dengan syariat Islam dan adab ketimuran kerana ianya mendedahkan aurat, tidak memberikan manfaat, mengeksploitasi wanita sebagai bahan hiburan dan sebagainya.”

Malangnya, di mana suara mereka semua tatkala masyarakat sedang panas dengan cerita pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini?

Mengapa hanya suara para pemimpin PAS seperti YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Tuan Haji Kamaruzaman Mohamad dan Ustaz Nasrudin Hassan sahaja yang kedengaran?

Apakah hanya para pemimpin PAS sahaja yang istiqamah dan konsisten mempunyai kepekaan terhadap permasalahan ini?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Siasat Kartel cemari industri daging halal

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu daging yang tiada pengesahan halal tetapi dilabelkan sebagai halal, sepertimana dilaporkan dalam akhbar New Straits Times hari ini. 

Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, pendedahan dibuat itu sangat mengejutkan dan turut mengecewakan umat Islam di Malaysia di atas tindakan kartel pegawai pelulus dan pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. 

“Sangat pedih kita menghadapi isu ini kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk mencari yang halal. Bayangkan telah lebih 40 tahun mereka melakukan kerja ini, tanpa memikirkan kesan dan seakan tidak bimbang langsung terhadap agensi-agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia. 

“Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Muslim atau non-Muslim, turut berusaha untuk mendapatkan status pensijilan halal di mana ianya boleh meningkat kadar permintaan terhadap produk yang mendapat pensijilan halal tersebut. 

“Negara kita juga boleh dikatakan saban tahun mengadakan ekspo halal bagi menarik minat peniaga untuk melakukan perniagaan berasaskan halal ini. Bahkan boleh dikatakan negara-negara di dunia turut membekalkan produk halal ke negara mereka walaupun mereka bukan dalam kalangan negara Islam.

“Kesedaran terhadap produk halal telah tersebar ke seluruh dunia. Namun tindakan segelintir kartel ini telah mencemarkan industri halal. Ini termasuklah tindakan penguatkuasa yang bersekongkol dengan kartel ini,” ujarnya.

Oleh itu PUM katanya, menggesa agar pihak kerajaan melalui agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan segera dan mendedahkan skandal besar yang sangat sensitif kepada umat Islam ini.

“Siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk melakukan siasatan menyeluruh ini. Jangan sampai adanya kempen boikot besar-besaran terhadap produk daging dilancarkan di Malaysia, di mana kesannya nanti akan melumpuhkan aktiviti ekonomi sebahagian rakyat kita. Teruskan siasat dan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” ujarnya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee dalam pada itu berkata, pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen.

“Biar siasatan dibuat dahulu dan apabila ia selesai, tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Maklum beliau, selain akan mengenal pasti pemegang AP yang terlibat berhubung dengan kartel daging import haram itu, siasatan juga turut dijalankan ke atas penjawat awam terlibat atas persekongkolan.

Dr Ronald ditemui media selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 berkata isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara yang serius dan perlu segera dibanteras.

Beliau dalam pada itu menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal.

Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku

Didik hati takut berbuat dosa

Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap dosa tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya yang mengawas dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

 Sebab itu, Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pendidikan kepada sahabatnya supaya mereka sentiasa takut melakukan perbuatan maksiat.

Buku catatan malaikat itu umpama buku rekod peribadi yang kelak akan diserahkan semula kepada setiap individu untuk dibuat penilaian di hadapan Rabbul Jalil.

 Bahkan, perbuatan dosa atau mungkar tidak sekadar dihitung di akhirat, tetapi turut mengundang kemurkaan Allah ketika hidup di dunia lagi.

Ada kalanya apabila bentuk kemungkaran itu semakin berleluasa serta dilakukan sewenang-wenangnya, maka tunggulah bala yang akan menimpa.

Bukan sedikit kaum terdahulu Allah binasakan mereka ketika hidup di dunia lagi. Kisah sedemikian bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi perlu dijadikan iktibar buat diri kita yang hidup pada akhir zaman ini.

Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah Ibnu Mas’ud ada memberitahu situasi hati sahabat Rasulullah SAW berkenaan dosa dan mungkar.

Kata beliau: “Orang munafik akan memandang remeh terhadap dosa. Ia menganggap dosa laksana lalat yang terbang saja. Sebaliknya, orang-orang Mukmin akan melihat dosa seperti gunung yang akan jatuh menimpa dirinya.”

 Kata-kata beliau itu adalah paparan lubuk hati sahabat Rasulullah SAW yang dididik rasa takut melakukan dosa.

Kita sudah melihat bukti sejarah dunia moden hari ini di mana bandar Pompei di Itali pernah diranapkan dan penghuninya dihancurkan lantaran perkara keji yang mereka lakukan.

Malah, tinggalan artifak sejarah bandar itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Tetapi adakah kita belajar daripada kisah ngeri yang menimpa penghuni bandar itu?

Kejadian tsunami di Palu, Sulawesi yang meragut ribuan nyawa juga dianalisis sebagai antara kesan perbuatan mungkar dilakukan manusia.

Adakah ia benar, hanya Allah SWT saja yang Maha Mengetahui segala-galanya. Namun, sebagai umat Islam kita perlu yakin sebarang amalan syirik, mungkar dan maksiat dilakukan pasti ada balasannya.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah ingatkan kita dengan berkata: “Tidak turun suatu bala bencana kecuali disebabkan dosa. Dan tidak diangkat (bala tersebut) kecuali disebabkan taubat.”

Kata-kata Saidina Ali itu selari dengan apa yang Allah SWT firmankan dalam Surah Asy-Syura ayat 30 bermaksud: “Apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dosa daripada dosa-dosa kamu.”

Sebenarnya manusia cepat lupa ketika mereka hidup dikelilingi nikmat dunia. Seolah-olah nikmat yang sedang dikecapi itu akan berlanjutan.

Hal ehwal peribadatan dan agenda hidup tidak seiring dengan lunas yang digariskan Allah SWT. Apa saja dilakukan sesuka hati dan hanya menurut perasaan dan hawa nafsu.

Baca dan hayati bait-bait syair Arab ini: “Jika engkau berada dalam nikmat, peliharalah dengan baik. Kerana dosa dapat menghilangkan nikmat itu. Peliharakanlah nikmat dengan taat kepada Tuhan segenap hamba. Tuhan segenap hamba yang sangat cepat turunkan azab dan seksaan-Nya.”

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 96 bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi), sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkanapa yang mereka usahakan.”

Nikmat pendengaran menuju ke jalan reda Allah

Siri Kitab Qalbun Salim

MINGGU ini, kita akan melihat mengenai kaedah dan kebaikan dalam menjaga salah satu pancaindera iaitu telinga. Sesungguhnya Allah SWT mencipta deria pendengaran menerusi telinga untuk manusia tidak lain dan tidak bukan untuk menambah nikmat kepada hambaNya dengan pendengaran dan sebagai kaedah untuk memahami dalam sesuatu ilmu atau berita atau perkhabaran yang ingin disampaikan.

Dapat kita fahami secara jelas bahawa menerusi deria pendengaran ini, setiap hamba dapat memperdengarkan merdunya bacaan al-Quran, mendengar hadis daripada Nabi Muhammad SAW dan mendengar ilmu yang bermanfaat buat manusia.

Imam Habib Abdullah al-Haddad pernah menyatakan bermaksud: “Telinga juga adalah suatu nikmat Allah SWT yang terbesar. Dan ia diciptakan Allah SWT untuk hamba-Nya supaya dia boleh mendengar kalam Allah SWT (al-Quran) dan kalam nabiNya (hadis) serta kalam semua ulama dan hukama daripada golongan orang yang soleh daripada hamba-hamba Allah SWT. Semuanya itu adalah jalan untuk mendapat pelbagai faedah dan manfaat dalam menempuh perjalanan yang diredai Allah SWT serta menjaga cara hidup yang akan membantunya dalam urusan akhiratnya.” (An-Nasha’ih ad-Diniyah)

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani pula menyatakan bermaksud: “Selalulah mendengarkan nasihat yang baik kerana sesungguhnya hati ketika kosong daripada nasihat itu akan buta.” Ini jelas menunjukkan betapa besarnya nikmat deria pendengaran yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk setiap hambaNya mendengar kalam-kalam yang haq lagi benar.

Kita juga perlu sentiasa mensyukuri nikmat telinga termasuk memelihara pendengaran daripada mendengar kata nista atau umpatan yang boleh merosakkan hati seseorang. Memelihara telinga daripada mendengar sesuatu yang dilarang seperti mengumpat, mengadu domba, mendengar perkataan yang tidak baik, berkelahi, mendengar suara perempun dan orang muda yang boleh menimbulkan fitnah dan bermacam-macam lagi.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Kesan daripada kata-kata yang didengar adalah lebih lama daripada kesan makanan kerana makanan yang ada di dalam usus boleh hilang dengan tidur atau ia mungkin kekal untuk beberapa hari, tetapi ia akan hilang menerusi satu kaedah. Namun, kata-kata yang didengar sebaliknya kadang-kadang ia boleh kekal seumur hidup di dalam hati.

Untuk itu, setiap daripada manusia yang ingin mencari reda Allah SWT perlulah sentiasa memelihara setiap pemberiannya dan menjaga nikmat ini supaya kelak di Mahsyar nanti kita tidak dipertanggungjawabkan atas kelalaian serta kejahilan sendiri.

Lidah utusan hati pancaran akal

Siri Kitab Qalbun Salim

ALLAH SWT menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan kurniaan pelbagai nikmat pancaindera terutama nikmat akal untuk berfikir dan merenung sesuatu. Selain daripada itu, salah satu nikmat dikurniakan adalah lidah yang dengannya kita mampu untuk berkata-kata, membaca atau menyebut dan merasai makanan sebagai salah satu nikmat di atas dunia ini.

Bagaimanapun, nikmat lidah ini juga perlulah dijaga dengan sebaiknya supaya kita tidak melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT sekali gus mengganggu perjalanan seorang hamba kepada pencipta-Nya.

Antara kebaikan pengurniaan lidah adalah mencari harta dengan melakukan akad seperti akad jual beli, sewa dan lain-lain. Paling jelas nikmat lidah membolehkan seseorang hamba membaca al-Quran dan membaca hadis Rasulullah SAW.

Kita juga sangat digalakkan mengingati Allah SWT dengan kaedah membasahkan lidah dengan zikrullah serta selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semua hamba harus mensyukuri nikmat lidah dengan menjaganya daripada sesuatu yang bukan menjadi tujuan lidah dijadikan seperti mengeluarkan kata keji, hinaan, dusta dan mengumpat sebaliknya memperbanyakkan kebaikan dengan zikrullah, selawat dan nasihat.

Saidina Abdullah Al Mubarak berkata: “Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya lidah sangat cepat membunuh seseorang. Lidah adalah utusan hati yang menunjukkan akal seseorang.” Kitab Qalbun Salim karangan Sheikh Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Mandili)

Allah SWT berfirman dengan maksud: “Dan pada hari Kiamat, engkau akan melihat orang yang berdusta terhadap Allah SWT dan yang menyatakan kesedihan itu muka mereka hitam legam, bukankah dalam neraka Jahanam disediakan tempat tinggal untuk orang yang sombong dan takbur? (Surah Az-Zumar, ayat 60)

Dalam menyatakan kepentingan menjaga lidah ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Hendaklah kamu bercakap benar (jujur) kerana sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar dan berusaha untuk selalu jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat dusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada keburukan dan keburukan itu membawa kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kita juga harus menghalusi pesan Rasulullah SAW kepada Saidina Mu’az. Saidina Mu’az bin Jabal berkata: “Wahai Rasulullah, pesankanlah sesuatu kepadaku, ‘Rasulullah SAW lalu mengeluarkan lidahnya yang mulia dan bersabda: “Kamu hendaklah menahan ini..”

Ia bermaksud: “Kamu hendaklah mengawal lidahmu yang seperti lidahku ini daripada berkata sesuatu yang dilarang oleh syarak.

Dapat kita fahami supaya mengawal lidah adalah salah satu kaedah untuk mencapai keredaan Allah SWT daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia yang akan mengundang kemurkaan Allah sekali gus akan diseksa di akhirat kelak.

Perbanyakkanlah zikrullah kerana zikir itu mengingatkan kepada manusia tentang kebesaran Allah SWT dan Allah yang berhak terhadap segala sesuatu.

Jumaat: Berhenti sebelum kenyang