• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,151,622 orang
  • Tetamu Online

Nabi Muhammad s.a.w pembawa rahmat

Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

ANTARA luahan rasa kasih dan cinta kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah sentiasa berselawat ke atas Baginda serta keluarganya.

Malah, saranan supaya kita sentiasa memperbanyakkan bacaan selawat juga diingatkan menerusi khutbah Jumaat pada setiap minggu.

Berkat komitmen yang tinggi Baginda SAW bersama-sama sahabat pada awal penyebaran dakwah Islam, akhirnya agama Islam mula bertapak di serata benua dunia termasuk di rantau Nusantara.

Kini, umat Islam di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 1.3 bilion. Walaupun masyarakat bukan Islam khususnya di Barat berusaha mencipta pelbagai persepsi negatif terhadap agama Islam dan penganutnya, ia tetap berkembang mekar.

Benarlah bahawa Nabi Muhammad SAW pembawa rahmat ke atas seluruh alam ini. Baginda SAW diutuskan bukan untuk bangsa Arab di tanah kelahirannya sahaja, tetapi Baginda adalah utusan Allah buat rahmat seluruh manusia dan alam ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.” (Surah An-Anbiya’, ayat 107)

Apabila kita teliti sirah perjalanan hidup Baginda SAW, maka kita pasti temui pelbagai kisah menarik.

Rahmat yang dibawa Rasulullah SAW bukan setakat ke atas manusia semata-mata, tetapi terangkum juga makhluk tidak bernyawa sekalipun.

Buktinya, dikisahkan pada satu hari Baginda SAW memanggil seorang Badwi datang kepadanya dan Baginda menawarkannya memeluk Islam.

Lelaki Badwi itu tidak terus menerima ajakan Rasulullah SAW, sebaliknya dia menguji dahulu Baginda dengan berkata: “Kalau kamu boleh panggil pokok ini datang kepada kamu dan bersaksi bahawa kamu adalah Rasul, maka aku akan beriman.”

Rasulullah SAW tidak langsung menunjukkan rasa panik dengan permintaan lelaki Badwi itu, sebaliknya Baginda SAW memanggil pokok itu lalu bertanya siapa Baginda. Tidak semena-mena pokok itu menjawab: “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi sesungguhnya kamu adalah Rasul Allah.”

Akhirnya, lelaki Badwi itu beriman dan segera kembali ke kampung halaman dan menemui kaumnya untuk memberitahu perihal agama Islam yang baru dia beriman itu.

Begitu juga dengan kisah haiwan yang turut menerima rahmat yang dibawa Rasulullah SAW. Ada satu kisah di mana seekor unta digunakan pemiliknya sejak sekian lama dan ia sudah tua.

Apabila unta itu semakin lemah, tuannya tidak lagi memberikan perhatian terhadapnya. Makan minum sudah tidak lagi dihiraukan oleh tuannya.

Tidak seperti ketika unta itu masih kuat. Ketika Baginda SAW sedang merentasi satu kawasan, Baginda bertemu dengan unta itu.

Keadaan unta itu menarik perhatian Baginda kerana dilihat sedang menanggung kesusahan berdasarkan kesan air mata pada matanya.

Baginda SAW menghampiri unta itu sambil mengusap perlahan tubuhnya dengan tangannya yang mulia.

Baginda SAW berbicara dengan unta tua itu: “Di manakah tuan punya unta ini?”

Tiba-tiba seorang lelaki kaum Ansar muncul dan mengaku unta tua itu miliknya. Baginda memberikan nasihat kepada pemi-lik unta itu bahawa untanya mengadu mengenai sikap tuannya yang sudah lama menggunakannya untuk bekerja, tetapi kurang memberikannya makanan.

Lelaki itu insaf dan sedar kesalahannya. Benar apa yang Baginda SAW sabdakan: “Sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Justeru, umat Islam perlu berusaha menguatkan diri untuk patuh dan taat kepada setiap ajaran yang dibawa Baginda SAW.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Apa sahaja yang aku larang terhadap kamu, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kamu, maka kerjakanlah semampu kamu. Sesungguhnya faktor yang membinasakan umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya (yang tidak berguna) dan bersikap menyelisihi nabi-nabi mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah SWT juga mengingatkan supaya menerima ajaran Rasulullah SAW dengan sepenuh hati dan tidak sesekali mengabaikannya.

Hal itu jelas seperti apa yang terkandung dalam Surah Al-Hasyr, ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”

Umar al-Khattab pernah berkata: “Kami adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, maka jika kami mencari kemuliaan dengan selain cara-cara Islam, nescaya Allah akan menghinakan kami.”

Nabi Muhammad s.a.w Pembawa khabar gembira

Bersama Fatimah Syarha Mohd Noordin

NABI Muhammad SAW sangat sayang kepada umatnya. Namun, masih ada orang tergamak menghinanya.

Pepatah Arab menyatakan, manusia suka memusuhi apa yang dia tidak kenal.

Rasulullah SAW sentiasa menjadi ikutan. Baginda SAW bukan sahaja diiktiraf bumi, bahkan di langit.

Terdapat orang bukan Islam yang membuat kajian mengenai Rasulullah mengakui ketokohan Baginda SAW.

Seorang ahli sejarah dan penulis buku tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Michael H Hart meletakkan Baginda sebagai individu nombor satu paling berpengaruh di dunia mengalahkan 100 tokoh lain.

Ini kerana Baginda SAW adalah individu berpengaruh dan diikuti ramai dalam urusan dunia dan juga agama.

Ajaran Baginda dalam masa singkat saja menguasai dua pertiga dunia dan kekal berpengaruh sehingga kini.

Orang yang mengikuti ajarannya akan terkesan dengan cara hidupnya.

Bermula daripada bangun tidur sehingga tidur semula. Selain itu, perkara sekecil memotong kuku, cara menyembelih haiwan ternakan serta saat bayi dilahirkan sehingga mereka dikembalikan ke perut bumi.

Pengikut Baginda sanggup hidup dan mati demi agama yang dibawa. Ia seimbang dan berada di pertengahan.

Itulah kunci keindahan ajarannya. Baginda SAW serius menjalani kehidupan. Baginda juga ‘tokoh senyuman’ sehingga sahabat Baginda menjadi saksi, “Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah.” (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Dalam bersahabat, Baginda mengingatkan dahsyatnya neraka dan muhasabah diri sehingga sahabat sering menangis setelah bertemu Baginda.

Baginda juga membawa berita gembira mengenai keindahan syurga sehingga mengundang hiburan di jiwa semua.

Ketika bersendirian pada sepertiga malam, Rasulullah SAW melaksanakan solat dengan asyik dan khusyuk sambil menangis sehingga pernah kedua-dua kakinya bengkak.

Baginda fokus saat bersama Allah SWT.

Namun, dalam kehidupan bersama-sama orang lain dan sahabat, Baginda adalah seorang yang manusiawi, menyukai kebaikan, berwajah cerah, tersenyum, bergurau dan tidak mengatakan sesuatu melainkan yang benar. (Al-Halal wa Al-Haram, Dr Yusuf Al-Qardhawi, halaman 272)

Diriwayatkan daripada Simak bin Harb, beliau berkata: “Aku berkata kepada Jabir bin Samurah, “Adakah tuan pernah duduk bersama Rasulullah SAW?”

Dia menjawab, “Ya, Baginda lebih suka diam. Sahabat bersyair di sampingnya, mereka menyebut pelbagai peristiwa pada masa jahiliah, mereka ketawa dan Rasulullah SAW tersenyum.” (Hadis Sahih Muslim – 670), Kitab Al-Masajid wa Mawadhi’ Ash-Shalat)

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, daripada Jabir bin Abdillah Al-Bajali, beliau berkata: “Rasulullah tidak pernah melarangku untuk menemuinya sejak aku masuk Islam dan Rasulullah tidak pernah melihatku melainkan Baginda tersenyum kepadaku. Aku pernah mengadu kepadanya bahawa aku tidak pandai menunggang kuda, lalu Baginda menepuk tangannya ke dadaku sambil berdoa, “Ya Allah, teguhkanlah dia dan jadikanlah dia pemberi petunjuk dan diberi petunjuk.” (Muttafaq Alaih: Al-Bukhari (3036), Kitab Al-Jihad wa As-Siyar, Muslim (2475), Kitab Fadha’il As-Sahabah)

Antara karakter Rasulullah SAW paling memberi kesan kepada hati sahabat adalah wajah Baginda selalu berseri-seri sambil menguntum senyuman penuh ikhlas.

Hal itu disebut oleh sahabat Nabi yang menjadi saksi Baginda adalah seorang yang selalu menampakkan wajah berseri sambil tersenyum setiap kali bertemu dengan mereka.

Seorang sahabat mendatangi Rasulullah SAW dan meminta agar membantunya mencari unta bagi memindahkan barangnya.

Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu kamu pindahkan barang-barangmu itu ke anak unta di seberang sana.”

Sahabat hairan dan berfikir bagaimana seekor anak unta dapat memikul beban yang berat.

Dia bertanya, “Ya Rasulullah, apakah tidak ada unta dewasa yang boleh memikul barang-barangku ini?”

Rasulullah SAW pun menjawab, “Aku tidak mengatakan anak unta itu masih kecil, yang jelas dia adalah anak unta.

“Tidak mungkin seekor anak unta lahir daripada ibu selain unta,” sahabat itu tersenyum dan dia mengerti gurauan Rasulullah SAW. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi)

Suatu ketika, seorang wanita tua bertanya Rasulullah SAW, “Wahai utusan Allah, apakah perempuan seperti aku layak masuk syurga?” Rasulullah menjawab, “Ya Ummi, sesungguhnya di syurga tidak ada perempuan tua.”

Mendengar jawapan itu, wanita tua itu menangis mengenangkan nasibnya. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan dengan mengutip salah satu firman Allah dalam Surah al-Wa-qi’ah, ayat 35-37: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umur.” (Riwa-yat al-Tirmidzi)

Antara sifat mulia Rasulullah SAW adalah Baginda suka bergaul dengan segenap lapisan masyarakat sama ada masyarakat di kota atau di kawasan pedalaman.

Rasulullah SAW tidak pernah membezakan warna kulit atau status sosial dalam bersahabat.

Dalam satu riwayat daripada Anas, terdapat seorang lelaki Badwi bernama Zahir. Ketika datang ke Madinah, dia sering mengunjungi Rasulullah SAW sambil membawa pelbagai hadiah dari kawasan desa.

Ketika hendak pulang, Rasulullah SAW juga membekalkan hadiah kepadanya. Terjalin satu ikatan kasih sayang antara mereka.

Sahabat bernama Zahir itu daya fikirnya agak lemah. Wajahnya agak buruk dan kulitnya sangat hitam.

Zahir sering menyendiri menghabiskan hari-harinya di gurun pasir sehingga Rasulullah SAW berkata, “Zahir ini adalah lelaki padang pasir dan kita semua tinggal di kota.”

Suatu hari ketika Rasulullah SAW ke pasar, dia melihat Zahir sedang berdiri sambil menjual barang dagangannya.

Tiba-tiba Rasulullah SAW memeluk Zahir dari belakang dengan erat. Tanpa mengetahui orang yang memeluknya adalah Rasulullah SAW, Zahir berkata, “Lepaskan aku! Siapa kau?” Zahir cuba meronta dan menoleh ke belakang.

Rupa-rupanya orang yang memeluknya adalah Rasulullah SAW. Zahir segera menyandarkan tubuhnya ke arah Nabi SAW supaya pelukan Rasulullah SAW lebih erat.

Rasulullah berkata: “Wahai umat manusia, siapa yang mahu membeli budak ini?” Kata Zahir, “Ya Rasulullah, kalau demikian aku tidak bernilai.”

Rasulullah SAW berkata, “Tetapi pada pandangan Allah, engkau sungguh bernilai.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Buktikan Kecintaan Kepada Nabi Muhammad s.a.w

ORANG yang menyintai Rasulullah SAW akan mendapat kesempurnaan iman. Hal itu berdasarkan sabda Nabi SAW dalam Riwayat Muslim: “Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga saya lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya.”

Sebagai seorang Muslim, wajib kita mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi diri kita dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 6 yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.”

Sebaliknya, jika meletakkan diri, keluarga atau harta kekayaan lebih dicintai berbanding kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya mereka akan mendapat kemurkaan Allah.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah, ayat 24 bermaksud: “Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Seseorang mencintai Nabi SAW akan semakin mentaati dan mengikuti petunjuk Nabi. Antara kelebihan orang menyintai Baginda berbanding yang lain ialah mereka dianugerahi kemanisan iman.

Orang yang merasai kemanisan iman mudah beribadat serta melalui kehidupan dengan penuh keceriaan dan ketenangan. Sekiranya mendapat kesusahan, dia mampu bersabar.

Seandainya mendapat nikmat, dia bersyukur.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah kekasih Allah dan mempunyai kedudukan paling tinggi di akhirat. Selain itu, kelebihan orang mencintai Nabi SAW akan bersama Baginda di sana.

Seorang sahabat bernama Anas bin Malik bercerita, ada seorang bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, bila berlakunya kiamat?”

Baginda menjawab: “Apa yang kamu persiapkan untuk menghadapinya?”

Orang itu menjawab: “Saya tidak mempersiapkan untuk menghadapi hari itu dengan banyak melakukan solat, banyak berpuasa dan banyak bersedekah. Tetapi yang saya siapkan ialah cinta Allah dan Rasul-Nya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Anta ma’a man ahbabta. (Kalau begitu kamu akan bersama orang yang kamu cintai).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Anas berkata, saya tidak pernah berasa gembira sebagaimana rasa gembira mendengar sabda Nabi SAW: “Anta ma’a man ahbabta.” Anas pun berkata: “Jika begitu, saya menyintai Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar.

Saya berharap dapat bersama dengan mereka kerana cintaku kepada mereka, walaupun saya tidak mampu beramal seperti amalan mereka.”

Untuk membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW, kita hendaklah mengikut ajarannya dan beramal dengan sunahnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud: “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”

Begitu juga hendaklah beradab dengan cara memuji dan berselawat ke atas Baginda sebagaimana perintah Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Seterusnya, jangan lupa sebarkan ajaran Baginda sepertimana sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” (Riwayat al-Bukhari)

Jangan hina Nabi kami!

JUMAAT 16 Oktober 2020, Samuel Paty, seorang guru subjek Sejarah sebuah sekolah di pinggir kota Paris, Perancis telah dibunuh dengan kepalanya dipenggal. Pembunuhnya adalah seorang pemuda Islam yang berasal dari keturunan Muslim Chechnya. Pembunuhan tersebut telah mengejutkan seluruh warga Perancis.

Beliau melakukan perbuatan itu sebagai respon balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW kepada pelajar-pelajarnya di dalam bilik darjah untuk berbincang di atas dasar hak kebebasan bersuara.

Kejadian ini menggemparkan dunia dan mendapat reaksi dari pelbagai pihak namun ramai yang mengutuk tindakan tersebut. Namun beberapa hari lalu, dua wanita Muslim ditarik tudungnya, dihamburkan kata-kata rasis dan ditikam bertubi-tubi berdekatan Menara Eiffle oleh dua wanita Perancis. Insiden tersebut menghangatkan lagi ketegangan agama dan perkauman di Perancis.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberi anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan pada 21 Oktober 2020 yang lalu di Universiti Sorbonne dan menganggapnya sebagai ‘hero’ kerana mempertahankan dasar kebebasan.

Emmanuel Macron dalam ucapannya menganggap kematian mangsa adalah akibat sikap kebodohan, penipuan, kekeliruan dan kebencian malah beliau juga berjanji untuk memerangi golongan radikal Islam habis-habisan.

Presiden Chechnya, Ramzan Kadyrov dalam satu kenyataan mengecam pembunuhan tersebut dan dalam masa yang sama memberi amaran jangan sekali-kali membuat provokasi terhadap umat Islam. Beliau mengkritik masyarakat Perancis dengan menggambarkan apa yang berlaku terhadap umat Islam di sana sebagai satu manifestasi terhadap provokasi melampau ke atas Islam.

Syeikh Al-Azhar, Syeikh Prof Dr Ahmad Muhammad al-Tayyeb pula menyifatkan kebebasan untuk menghina ugama lain itu sebenarnya satu ‘keganasan’. Beliau juga menyatakan bahawa tindakan menghina agama juga sebagai intellectual double standard dan ‘jemputan terbuka’ kepada kebencian dan tindakan-tindakan lain.

Persoalannya di sini, mengapa pembunuhan itu berlaku? Adalah sangat malang apabila Presiden Perancis bertindak mempertahankan tindakan guru tersebut dan mengangkatnya sebagai ‘hero’ kerana mempertahankan prinsip kebebasan.

Tidak dinafikan pembunuhan tersebut begitu tragis, bahkan kejadian bunuh seperti itu bukan satu perkara pelik yang berlaku di serata dunia termasuk di kota Paris sendiri. Akan tetapi meletakkan kesalahan ke atas ‘Islam Radikal’ tanpa mencari punca pembunuhan tersebut adalah satu kesilapan.

Sikap Barat yang prejudis terhadap Islam antara salah satu punca kejadian-kejadian seperti ini berlaku. Malah propaganda buruk dan kebencian oleh media Barat terhadap Islam memburukkan lagi keadaan dan prejudis yang timbul ketika ini.

Kebebasan bukan bererti memberikan kebebasan atau ruang untuk sewenang-wenangnya menghina dan mengeji ugama lain namun kebebasan atau free speech yang dipraktikkan oleh Barat ketika ini langsung tidak mempedulikan nilai kemanusiaan, agama mahupun tatasusila kehidupan.

Dalam erti kata lain, Barat mempergunakan ‘kebebasan’ mengikut kehendak mahupun kemahuan mereka terutamanya apabila membabitkan kepentingan mereka ataupun memberikan kelebihan kepada mereka.

Jika sekiranya kebebasan yang diagung-agungkan oleh Barat itu tiada batas dan sempadan, mengapa menghina orang Yahudi dianggap sebagai satu jenayah di Eropah sehingga boleh dihukum dengan begitu berat sekali?

Anti semitic law atau undang-undang anti yahudi dikuatkuasakan boleh dikatakan hampir kesemua negara-negara besar Eropah. Undang-undang ini bertujuan untuk melindungi orang-orang Yahudi dari provokasi, penghinaan, kecaman atau apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan orang Yahudi.

Namun apabila terdapat provokasi atau penghinaan membabitkan orang Islam, its a free speech atau kebebasan bersuara. Itukah keadilan versi Barat atau kebebasan bersuara yang sangat diagungkan oleh mereka? Seperti yang dikatakan tadi, kebebasan bersuara sebenarnya hanya untuk kepentingan mereka.

Islamofobia ialah perasaan takut dan benci terhadap Islam sehingga melahirkan permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Islamofobia kini sudah menjadi ideologi sehingga menyebabkan penyisihan berlaku terhadap Islam dan penganutnya sehingga kepada tahap mendiskriminasikan individu, masyarakat, pertubuhan, parti politik dan negara yang menjadikan Islam sebagai agenda mahupun tonggaknya.

Ia adalah satu fenomena yang lahir dari persepsi yang dimainkan oleh media massa Barat yang memberikan gambaran yang tidak adil terhadap Islam bahkan sampai tahap menanamkan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain khususnya Barat.

Ia bertambah buruk apabila sikap ini disokong oleh ahli-ahli politik Barat sama ada kiri atau kanan, tokoh-tokoh ugama, akademik mahupun artis-artis. Akibat daripada sokongan dan propaganda, Islamofobia sudah seperti menjadi tradisi betapa prejudisnya masyarakat Barat terhadap Islam.

Dunia Islam masih lagi tidak dapat melupakan kenyataan Pope Benedict ke-12 yang melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas kerana menyebarkan ugama Islam dengan pedang.

Begitu juga karikatur-karikatur dari artis-artis Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam sebagaimana karikatur keluaran majalah Charlie Hebdo yang menjadi topik utama sehingga terjadi pembunuhan baru-baru ini.

Akhirnya fenomena ini terbentuk sehingga menjadi satu ketetapan di Barat untuk menolak Islam dari semua aspek agar ianya tidak berakar umbi kerana jumlah umat Islam yang semakin bertambah di Eropah dan Amerika Utara saban tahun.

Umat Islam bukan sahaja memuliakan Nabi Muhammad SAW bahkan semua anbiya mesti dimuliakan termasuk Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasara. Ia adalah satu akidah yang mesti disemat kerana mereka adalah manusia mulia yang dipilih oleh Allah SWT untuk memandu manusia kepada jalan-Nya yang betul.

Islam mendidik umatnya supaya menghormati dan memuliakan para nabi dan rasul, begitu juga para alim ulama, pejuang mahupun pendakwah yang menginfakan diri dan kehidupan mereka kepada Islam. Namun dalam masa yang sama, Islam juga mengajar umatnya untuk menghormati agama, bangsa, kaum dan kebudayaan yang lain.

Untuk meletakkan semua kejahatan dan kesalahan terhadap Islam dan umatnya adalah satu kesalahan mahupun perbuatan yang amat dangkal dan tidak langsung memaparkan sikap manusia yang bertamadun. Seharusnya di era ini, umat manusia semakin bijak dan bertamadun serta tidak lagi mengamalkan diskriminasi atau provokasi terhadap mana-mana agama, bangsa dan kaum.

Persoalan saya, jika berlaku kejadian sama seperti mana yang berlaku di Perancis baru-baru ini tetapi membabitkan orang Yahudi, apakah pemimpin Barat berani mengatakan ianya adalah kebebasan bersuara dan pelakunya adalah ‘hero’?

Pengamatan saya, ianya amat mustahil untuk berlaku dan segala jenis tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pelakunya.

Selagi mana umat Islam tidak bangkit mempertahankan Islam dan umatnya, selagi itulah Islamofobia akan terus berlaku dan umat Islam akan terus ditindas, dizalimi, diperlakukan sewenang-wenangnya dan berterusan dilanda provokasi mahupun kontroversi.

Kekuatan Islam dan umatnya berada di tahap yang paling lemah saat ini. Kesatuan dan kesepaduan umat Islam perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan supaya Islam mampu bangkit dan menyinar kembali sebagai satu umat mahupun kuasa yang disegani dan dihormati dekad ini.

Islam Memimpin Perpaduan

YB USTAZ MUHAMAD KHALIL ABDUL HADI

Menghina Rasulullah s.a.w, selamanya tetap mencalar hati kami!

Gambar sekadar hiasan

MINGGU ini dalam euforia kegembiraan menyambut dan memperingati kelahiran insan teragung, Nabi Muhammad SAW, kita dihangatkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Samuel Paty seorang pendidik yang tolol di negara Perancis. Tanah Eropah yang semakin menjadi-jadi dalam merobek maruah Nabi SAW atas nama kebebasan berekspresi dan kebebasan bersuara seperti sengaja memancing kemarahan umat Islam.

Kejadian 16 Oktober lalu di negara bekas penjajah Algeria, Tunisia, Syria, Mauritania, Chad itu menimbulkan respon luar jangka seorang pemuda Islam berketurunan Chechnya. Samuel Paty yang berkelakuan jelek dengan menayangkan beberapa karikatur menghina Nabi Muhammad kepada anak-anak didiknya, kononnya seputar perbincangan tentang hak asasi kebebasan bersuara. Guru ini dipenggal kepala dan memancing perhatian masyarakat antarabangsa, di tengah menggelegak isu ini hati umat Islam ditoreh lagi dengan tindakan biadap Presiden Perancis Emmanuel Macron yang memberikan anugerah khas Legion d’Honneur kepada sang penghina Rasul, Samuel Paty.

Mengkultuskan ketololan dan kejelekan pasti mengundang perbalahan panjang, apatah lagi oleh sebuah kerajaan yang memerintah pelbagai etnik dan agama dan reputasi ini tidak pernah gagal disandang oleh Perancis. Anugerah khas itu diadakan di kampus perdana negara penjajah itu, kampus Sourbonne yang elegan dan lumayan dengan sejarah kajian para orientalis dunia. Tindakan ketua kerajaan Perancis itu pasti menyuburkan Islamophobia, merangsang secara berterusan penghinaan terhadap nabi SAW, memicu pergeseran antara agama dan pasti ada harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Perancis.

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Samuel Paty dan seterusnya disokong secara rasmi oleh Emmanuel Macron ini juga telah mengingatkan kita bagaimana maruah Rasul yang mulia sentiasa menjadi perlecehan musuh Islam. Di zaman Rasulullah, An Nadhar bin al Harith, Uqbah bin Abu Muit antara sosok tegar yang sentiasa menghina nabi di Mekah, manakala Kaab bin Ashraf seorang bangsawan Yahudi adalah penghina Rasulullah SAW di Madinah. Ketiganya mati bergeletakan di tangan para sahabat Nabi SAW.

Penghinaan terhadap Nabi SAW tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam dalam sejarah, apatah lagi umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan tumbangnya Khilafah Islam yang terakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga kepada maslahat umat Islam. Pada tahun 1989 Salman Rushdie telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya The Satanic Verses. Protes demi protes umat Islam tidak menggerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Islam dan Nabi SAW kerana tanpa kekuasaan pemerintahan Islam, mereka tahu tempikan itu hanya akan dibawa angin lalu. Salman, bahkan mendapat gelaran sir daripada istana England kerana sikap konsisten beliau menyerang Islam.

Kenyataan ini mempunyai kewajarannya kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Nabi SAW berlaku berterusan malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent. Karya wanita jalang ini diulang cetak di negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di negara Barat.

Di negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis keturunan Syria iaitu Haidar binti Haidar yang bermastautin di negara Mesir. Beliau telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memasukkan watak Nabi SAW, Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemontrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah di mana telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Serikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi SAW di Nigeria dalam bulan Ramadhan hampir 10 tahun lepas. Nigeria merupakan sebuah negara yang pernah tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebagai Khalifah Sokoto di mana seorang ulamak besar Afrika iaitu Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan kedatangan penjajah British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam, dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan Syariah Islam apabila Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada seorang wanita yang telah berkahwin namun melakukan perzinaan.

Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia telah memilih Nigeria untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksanaan Syariah Islam di Nigeria Utara) bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan sederhana lain supaya penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.

Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu Nigeria This Day telah menulis dalam kolumnya, “Jika sekiranya Nabi Muhammad masih hidup, Nabi Muhammad pun membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan dan Nabi Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isteri Nabi Muhammad“. Kebiadaban sang penghina ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalan raya bagi menyatakan sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar Nigeria This Day telah dibakar oleh penunjuk perasaan.

Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria. Sehingga tulisan ini ditulis sebuah akhbar pun tidak berani mengulang siar karikatur yang menghina Rasulullah SAW walaupun sebanyak 146 penerbitan di seluruh dunia telah menerbitkan kembali karikatur yang menghina Nabi SAW. Nigeria memahami nilai harga menghina Nabi Muhammad!

Baginda ar Rasul SAW terus diperleceh maruah, dikritik dan dihina lagi oleh tokoh-tokoh pendusta dan pengkhianat barat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan pencinta-pencinta Rasulullah SAW tercetus lagi, setelah akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Islamophobia juga merangkumi pakej kebencian kepada ar Rasul, membenci tanpa alasan benar dan menebar falasi terhadap kehidupan baginda yang mulia.

Umat Islam wajib bermuhasabah hari ini, sejauh manakah tahap kecintaan mereka terhadap ar Rasul SAW. Tidak cukup kita berselawat sebagai manifestasi kecintaan di musim memperingati Maulid ini. Hidupkan kempen menyintai ar Rasul SAW yang berterusan, memberdaya kefahaman awam tentang latar sirah ar Rasul manakala bukan Islam harus diingatkan menghina Nabi Muhammad bukanlah kebebasan bersuara dan manifestasi hak asasi manusia. Dengan nyawa dan darah kami pertahankan kemuliaan ar Rasul!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Boikot produk Perancis tanda protes sentimen anti-Islam

DOHA – Gesaan untuk memboikot produk Perancis semakin meningkat di rantau Arab dan negara Muslim beberapa hari selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan angkuh menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Hashtag #BoycottFrenchProducts turut menjadi trending di Twitter sebagai tanda protes terhadap sentimen anti-Islam yang kembali meningkat di Paris susulan kejadian seorang guru dipenggal kerana tindakan biadabnya menunjukkan karikatur Nabi.

Pengguna media sosial turut menukar gambar profil mereka dengan sepanduk ‘Muhammad pesuruh ALLAH’ sebagai bantahan terhadap kenyataan Macron yang mempersendakan Rasulullah pada Rabu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Paris telah memanggil semula Duta Perancis ke Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan Macron perlu melakukan pemeriksaan mental kerana berikrar untuk mempertahankan nilai sekular dan memerangi radikal Islam.

Sementara itu, gerakan Hamas dalam satu kenyataan menyifatkan perbuatan menghina agama dan Nabi bukan satu bentuk kebebasan bersuara sebaliknya ia mempromosikan budaya kebencian terhadap Islam.

“Pendirian Macron yang menggalakkan penerbitan karikatur Nabi Muhammad adalah cubaan untuk menghidupkan semula Perang Salib yang pernah dicetuskan Perancis sebelum ini,” kata jurucakapnya, Sami Abu Zuhri.

#Sumber : – Agensi 

Kisah al-Quran papar panduan integriti terbaik

Oleh Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin 

MENELITI sorotan media satu persatu isu berlaku dalam negara. Penangkapan individu tertentu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hinggalah isu penajaan kelab bola sepak, tidak boleh dipandang remeh kerana babit isu integriti. Kemunculan tamadun Islam sangat dibanggakan bermula zaman Rasulullah SAW, sahabat dan khalifah kerana ketinggian akhlak dan budi pekerti pemimpin dan rakyat.

Jatuhnya empayar Uthmaniyyah akibat kejatuhan akhlak dan nilai moral. Al-Quran papar pelbagai kisah kebangkitan dan keruntuhan tamadun, pemerintahan, kerajaan dan ummah. Hampir 1,500 ayat atau satu perempat kandungan al-Quran mengandungi sejarah sebagai peringatan, antaranya:

* Seorang lelaki menolak pelawaan seorang perempuan jelita untuk berkhalwat semata-mata takutkan Allah. Itulah yang terjadi kepada Nabi Yusuf AS yang digoda isteri pembesar Mesir. Dikisahkan dalam Surah Yusuf ayat 23-24.

* Zulqarnain menolak tawaran harta satu kaum untuk bina dinding pemisah menutup sudut di antara dua gunung supaya dapat mentutup jalan keluar terakhir bagi Ya’juj dan Ma’juj, kerana sudah mencukupi harta dianugerahkan Allah SWT. (Surah al-Kahfi ayat 95).

* Penilaian puteri Nabi Syuaib terhadap Nabi Musa AS yang dapat dipercayai kerana keterjagaan pandangan Nabi Musa AS terhadap mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. (Surah al-Qasas ayat 26).

* Jin meskipun dikonotasi sebagai makhluk durhaka, tetapi al-Quran merakamkan sebahagian jin beriman kepada Allah SWT, bahkan ‘Ifrit antara golongan jin hidup pada masa Nabi Sulaiman AS mencadangkan kepada Baginda membantu memindahkan singgahsana Ratu Balqis. ‘Ifrit berjanji memindahkan dalam masa singkat serta menjamin dia dapat dipercayai melaksanakan tugas itu termasuk menjaga permata dan berlian yang kemungkinan ada pada singgahsana, tetapi Baginda menggunakan kepakaran seorang hamba soleh. (Surah al-Naml ayat 39-40).

Kisah tentera Talut

Tentera Talut ketika melalui padang yang panas terik dan tidak berair. Mereka gelisah bagaimana boleh menentang musuh kerana kehausan. Mereka merayu Talut berdoa kepada Allah SWT. Talut beri amaran supaya tidak minum air sungai yang akan dilalui kecuali secedok sahaja. Diriwayatkan dalam kalangan 70,000 tentera, hanya sekitar 300 askar mematuhi perintah Talut.

Tentera yang minum hanya secedok, hilanglah haus mereka, binatang tunggangan mereka juga cergas dan dapat menyeberangi sungai meneruskan perjuangan, sementara yang banyak minum lemah, pucat dan kecut hati sehingga tidak berani berperang. (Surah al-Baqarah ayat 249-251).

Al-Quran turut merakam watak pemimpin korup tidak berintegriti – Firaun, Haman dan Qarun. Firaun adalah pemerintah diktator, mempunyai kuasa mutlak menghukum musuh, mendakwa dirinya tuhan serta meyakini tiada kuasa lain boleh gugat pemerintahan. Haman pula sentiasa berlegar dekat Firaun menjalankan tugas ampu-mengampu memperkukuh kekuasaan Firaun.

Qarun tokoh korporat yang dapat manfaat daripada pemerintah, membantu pemerintah, sekali gus mengaut habuan lumayan tanpa pedulikan kesengsaraan orang lain. Begitu juga disebut beberapa kaum rosak integriti kemanusiaannya, lalu dihapuskan Allah SWT seperti kaum Thamud (umat Nabi Saleh), kaum Aad (umat Nabi Hud) dan umat Nabi Lut. Ia berkait rapat pencemaran integriti paling tinggi, iaitu mensyirikkan Allah SWT selain sifat keji lain.

Model terunggul kepemimpinan

Sunnah merakam Rasulullah SAW model terunggul kepemimpinan, memenuhi fitrah manusia melalui sifat amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Pemimpin Arab Quraish memberi gelaran ‘al-Amin’ kepada Baginda kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

Gelaran ini membangkitkan rasa kasih berterusan ramai orang Quraisy kepada Rasulullah SAW. Tetapi, cabaran dihadapi Baginda cukup hebat. Abu Jahal, pemimpin kanan Quraisy, menawarkan jawatan raja, perempuan cantik dan harta kekayaan supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, Rasulullah SAW menolak tawaran itu.

Seterusnya, Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA meletakkan asas integriti kukuh pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, dengan berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu; jika aku berbuat baik, bantulah aku, jika aku berbuat salah, betulkanlah aku. Jujur itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Taatlah aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhaka terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.”

Ini diteruskan Saidina Umar al-Khattab RA. Diriwayatkan isterinya Ummu Kalsum membeli pewangi berharga satu dirham dan dihadiahkan kepada Maharani Byzantin. Sebagai balasan, maharani memberi batu permata diisi dalam bekas pewangi dihadiah isteri Umar. Apabila Umar tahu, beliau jual batu permata itu dan hasil jualan dimasukkan ke dalam baitulmal negara. Hanya satu dirham diberi kepada isterinya.

Perkataan hampir sama diucapkan Khalifah Umar Abdul Aziz ketika diangkat menjadi khalifah. Umum membayangkan, tatkala diangkat ke jawatan tinggi memiliki kuasa, tentu berhati riang dan berpesta ria, sebaliknya diriwayatkan Umar memasukkan kepala ke celah dua lututnya, menangis teresak-esak kerana takut ujian Ilahi, meliputi kuasa dan tanggungjawab. Pada hari kedua pemerintahan, beliau berkhutbah:

“Aku bukan orang yang paling baik dalam kalangan kamu, sedangkan aku orang yang paling berat tanggungjawabnya dalam kalangan kamu.”

Sepanjang pemerintahan, Khalifah Umar Abdul Aziz menolak segala kemewahan, malah menjual kenderaan dan peralatan diperuntukkan kepada beliau, lalu menyerahkan hasil jualan kepada baitulmal negara. Inilah sikap diperlihatkan dalam menghayati sifat amanah dan akauntabiliti.

Tadabbur al-Quran, selami sunnah Rasulullah SAW dan fahami sejarah sebagai ibrah kepada kebangkitan dan keruntuhan tamadun, pemerintahan, kerajaan serta ummah sebagai rujukan dan panduan. Lazimi amar makruf, nahi mungkar, tetapkan iman demi membina masyarakat berintegriti.

Tawaduk audit diri elak takbur

Oleh Norhayati Paradi

Tawaduk bermaksud rendah diri, tidak angkuh dan patuh kepada perintah Allah. Bukan mudah untuk memandang ke bawah di kala berada di atas dengan penuh rasa patuh selaku hamba Allah. Usrah Nurani yang bersiaran setiap Jumaat, jam 5.15 petang, berkongsi ilmu memupuk sifat tawaduk bersama Ustaz Basir Mohamed.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunungganang.” (Surah al-Israa’, ayat 37) Sejauh mana penjelajahan atau setinggi mana pendakian,dengansegalateknologiyang dimiliki, tiada satu pun yang membuktikan semua sudut di atas muka bumi ini telah dicapai, diketahui dan dirungkai segalagalanya.

Jaga hati elak takbur

Menerusi kebijaksanaan Allah SWT mendidik kita untuk melihat bumi yang didiami dan diambil manfaat daripadanya pun masih belum mampu diterjemah dan dikaji setiap satu penciptaan- Nya. Itulah cara terbaik untuk menjaga hati daripada sifat lawan bagi tawaduk iaitu takbur.

Allah SWT mendidik Rasulullah SAW iaitu hamba yang paling tawaduk menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Rendahkan sayapmu (rendahkan martabat dan jangan sombong) kepada orang beriman yang mengikutmu.” Manusia yang punya sifat merendah diri dalam hatinya tidak akan menampakkan kehebatan dirinya malah sentiasa menampakkanorang lain yang bersamanya sangat memberi manfaat dan menambahkan keimanan buat dirinya.

Allah SWT juga mengajar mengenai tawaduk menerusi akhlak ulama dalam urusan nasihat. Mereka tidak melihat kepada individu yang bertutur, tetapi mendengar butir diperkatakan. Ulama akan menerima dan menyematkan setiap nasihat bukan berdasarkan status pembicara, tetapi bahan dibicarakan yang membangkit serta menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Ustaz Basir menerusi Usrah Nurani menceritakan kisah Imam Abu Hanifah yang sangat alim pada zamannya. Pada suatu hari Imam Abu Hanifah berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba terserempak seorang kanakkanak sedang berjalan dengan memakai kasut terompah kayu.

Beliau menegur budak itu: “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti”. Budak itu mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya lalu bertanya: “Wahai Tuan, siapakah nama tuan?”Imam Abu Hanifah lantas menjawab: “Namaku Nu’man”.

Lalu disambut budak itu: “Oh, rupa-rupanya tuanlahyang digelar al-Imam al-A’dzam (Imam Yang Sangat Hebat) itu?” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: Bukan aku yang meletakkan gelaran itu. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku telah meletakkannya.” Budak itu pun berkata: “Wahai Imam, apa yang telah engkau tegurkan kepadaku tadi mengenai berjaga-jaga supaya aku tidak tergelincir masuk ke dalam parit sangatlah baik, cuma izinkan aku memperkatakan sesuatu kepadamu.

“Jika aku yang tergelincir, sekurangkurangnya aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi jika Tuan Imam tergelincir, bukan masuk ke dalam parit tetapi ke dalam neraka Allah. Usahlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia sematamata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah SWT lantaran angkuh dan berbangga-bangga, maka berhatihatilah wahai Tuan Imam.”

Nasihat buat Imam Abu Hanifah menangis

Menangis Imam Abu Hanifah mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil itu. Hebatnya akhlak dan sifat tawaduk Imam Abu Hanifah, sehinggakan nasihat daripada seorang budak pun diambil kira kerana ia meningkatkan rasa takwa ke jalan Allah SWT.

Lawan sifat tawaduk adalah takbur. Digambarkan manusia yang dihinggapi takbur seumpama seseorang yang berdiri di atas bukit atau di tempat tinggi seterusnya melihat kepada orang di bawah, semua akan kelihatan kecil dan kerdil. Hamba ciptaan Allah SWT pertama yang miliki sifat takbur adalah iblis yang takbur apabila melihat satu lagi hamba Allah SWT yang penciptaannya tidak sehebat dirinya, tetapi diperintahkan untuk dia sujud pada ciptaan itu.

Iblis menjadi sangat takbur saat itu kerana berasakan dirinya lebih hebat daripada hamba Allah SWT yang lain. Begitu takbur dan angkuhnya iblis peroleh kemurkaan Allah SWT. Dinyatakan juga, sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad Nabi Allah Adam, iblis telah memijak jasad itu dan berkata: “Telah aku selongkar dan lalu di segenap jasad ini dan tidak kelihatan sebarang kehebatan yang melebihiku.”

Tatkala Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?

Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30) Allah SWT mengetahui di sebalik penciptaan khalifah yang bakal dicipta- Nya, banyak perkara di luar pengetahuan malaikat. Antaranya, sifat takbur dan hasad iblis. Moga dijauhkan dengan sifat takbur ini yang memperlihatkan kehebatan diri dengan memandang rendah orang lain

Nilai diri sendiri

Terdapat beberapa cara untuk audit diri sama ada miliki sifat takbur atau tidak. Perumpamaan burung merak menggambarkan manusia yang ada sifat takbur dan berbangga diri. Burung merak mengembangkan ekornya yang cantik pada ketika ada orang melihatnya dan menguncup tatkala tiada yang melihat. Berbanding pokok semalu, apabila disentuh akan menguncup dan merendahkan diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan takbur walaupun sebesar zarah, dan tidak masuk neraka seseorang yang ada di dalam hatinya iman walaupun sebesar zarah.” (Riwayat Muslim) Oleh itu, hindarilah daripada sifat yang ingin perhatian orang lain, dahagakan pujian, sebutan dan sanjungan. Secantiknya, ambillah resam Rasulullah SAW dengan sikap suka memberi salam sehingga sahabat berlumba-lumba untuk mendahului memberi salam kepada Baginda.

Sebaliknya, pemilik hati takbur akan ternanti-nanti salam diucapkan padanya terlebih dahulu. Saidina Umar al-Khatab berjalan laju semata-mata ingin mengelak daripada bertembung dengan orang yang akan memujinya.

Diperdaya nafsu, pentingkan harta

Oleh Norhayati Paradi

DEFINISI kecemerlangan berbeza bergantung kepada pemahaman seseorang terhadap istilah itu dalam kehidupan mereka. Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu menerangkan, sesetengah individu mengukur kecemerlangan berdasarkan kekayaan dan kemewahan.

Namun ada juga menafsirkan kecemerlangan melalui sahabat yang didampingi. Tidak kurang menafsirkan kecemerlangan dengan menggarap tujuan hadir di bumi Allah SWT dan mengakhirinya dengan memperoleh keredaan-Nya.

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitab karangannya memetik pengalaman tokoh besar kalangan zahid iaitu Imam Hatim al-Asham atau nama lengkapnya Abu Abdirrahman Hatim ibn Alwan al-Asham. Menurut Syaykh Abu Ali ad-Daqaq, Hatim mendapat julukan al-Asham (yang tuli) bukan kerana beliau tuli tetapi beliau pernah berpura-pura tuli demi menjaga kehormatan seseorang.

Dikisahkan, berlaku dialog di antara Hatim al-Asham dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi yang bertanya kepada beliau: “Berapa lama kamu berguru denganku? Lalu dijawabnya: Sudah 33 tahun. Gurunya bertanya lagi: Apa yang kamu pelajari dariku selama itu? Hatim menjawab: Ada lapan perkara. Gurunya lantas berkata: Aku habiskan umurku bersamamu selama itu dan kamu tidak belajar kecuali lapan perkara? Hatim menjawab: Guru, aku tidak belajar selainnya. Sungguh aku tidak bohong. Syaqiq kemudian berkata lagi: Cuba jelaskan kepadaku apa yang sudah kamu pelajari.”

Hatim menjelaskan, perkara pertama menurut perhatian beliau, manusia dilihat kebiasaannya memiliki sesuatu yang amat dicintai dan dikasihi baik manusia ataupun harta benda. Kasih itu akan terserlah ketika mereka sakit sehingga meninggal dunia.

Tetapi apabila sudah sampai di kubur, kekasih akan berpaling kerana tidak sanggup bersama di kubur maka si mati ditinggalkan. Mereka yang hidup akan kembali kepada rutin harian mereka. Justeru, Hatim memilih kekasih yang sanggup bersamanya walaupun di alam kubur dan memilih amal kebaikan sebagai kekasihnya.

Kedua, beliau mendalami firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya).” (Surah an-Nazi’at, ayat 40-41)

Beliau melihat manusia sanggup bersegera dalam memenuhi kehendak hawa nafsu lalu mengukurnya dengan meneliti firman Allah SWT yang benar maka meneguhkan diri menolak hawa nafsu sehingga mampu mentaati Allah SWT.

Sentiasa bimbang hilang harta

Seterusnya, diamati sifat manusia yang sentiasa diselubungi kebimbangan kehilangan barang berharga yang dimiliki sehingga mendorong beliau memahami firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah kekal.” (Surah an-Nahl, ayat 96)

Apabila Hatim memiliki sesuatu yang berharga, maka segera saja diserahkan kepada Allah SWT supaya harta milik dan kesayangannya terjaga bersama-Nya dan tidak hilang. Kehidupan sebagai manusia sememangnya tidak pernah terduga dan terjangka.

Saban pagi keluar rumah untuk melakukan tugasan sebagai isteri, suami atau ibu bapa dan anak, tetapi petang hari kembali ke rumah sebagai jenazah. Maka, apakah bekalan yang dibawa? Maka banyakkan sedekah dan berinfak harta yang paling disayangi di jalan Allah SWT.

Selain itu, diamati firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian.” (Surat al-Hujurat, ayat 13)

Kelima, Hatim memerhatikan manusia mencela dan mencaci antara satu dengan yang lain. Jelas, masalah utamanya adalah sifat iri hati. Kemudian beliau membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami sudah menentukan pembahagian nafkah hidup di antara mereka dalam kehidupan dunia.” (Surah az-Zukhruf, ayat 32)

Sifat iri hati

Justeru, ditinggalkan sifat iri hati dan menghindar daripada manusia kerana beliau tahu pembahagian rezeki itu daripada Allah SWT. Sifat itu menjadikannya tidak memusuhi dan iri kepada orang lain.

Keenam, tabiat saling menganiaya dan memerangi antara satu sama lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kalian, maka anggaplah ia musuh (kalian).” (Surah Fatir, ayat 6)

Oleh itu, beliau menghindar daripada memusuhi orang lain sebaliknya berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan.

Ketujuh, diperhatikan juga manusia suka menghina diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan, ada yang berani menjerumuskan diri kepada hal tidak halal. Kemudian diteliti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak ada satu binatang melata pun di bumi ini melainkan Allah SWT yang menanggung rezekinya.” (Surah Hud, ayat 6)

Maka beliau menyibukkan diri dengan apa yang Allah SWT anugerahkan kepadanya serta meninggalkan perkara yang bukan miliknya.

Terakhir, manusia dilihat menyerahkan diri kepada makhluk lain seperti sawah ladang, perniagaan, hasil karya produksi dan kesihatan badannya. Maka beliau menghalusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa bertawakal kepada Allah nescaya Ia akan mencukupi (keperluannya).” (Surah al-Thalaq, ayat 3)

Lalu beliau menyerahkan diri kepada Allah SWT kerana Dia yang akan mencukupi segala keperluan.

Mendengar pernyataan Hatim, gurunya Imam Syaqiq al-Balkhi mendoakannya: “Semoga Allah memberi pertolongan kepadamu.”

Malu, hina bila banyak dosa

Oleh Ahmad Shukri Yusoff –

FIRMAN Allah SWT: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (Surah as-Sajdah, ayat 12)

Rezeki orang berdosa

Allah SWT memberi pelbagai gambaran dalam al-Quran bagaimana reaksi orang yang berdosa ketika berhadapan dengan Allah SWT. Antaranya ialah mereka menundukkan kepala di hadapan Tuhan dalam keadaan malu dan hina sambil membuat rayuan.

Perkataan ‘menundukkan kepala’ ini juga disebut Allah ketika Nabi Ibrahim menghancurkan berhala serta menggantungkan kapak di atas berhala yang paling besar.

Firman Allah SWT: “Kemudian mereka menundukkan kepala lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?” (Surah Al-Anbiya, ayat 65)

Orang yang berdosa menundukkan kepala kesan daripada kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Orang yang angkuh dan sombong di dunia akan ditundukkan kepalanya di akhirat dan sesiapa yang bersifat tawaduk serta rendah diri di dunia akan diangkat kepalanya di akhirat kelak.

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata: (Wahai manusia, hendaklah kamu merendah diri kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya.” (Riwayat Abu Nuaim)

Orang yang berdosa di akhirat kelak akan diperlakukan seperti mana tabiat dan kelakuan mereka di dunia. Mereka yang Allah SWT tundukkan kepala mereka di akhirat kesan daripada apa yang mereka pernah lakukan di dunia.

Tunduk muka sembunyi perbuatan buruk

Firman Allah SWT: “Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Surah Hud, ayat 5)

Mereka menundukkan kepala mereka supaya mereka tidak memandang Rasulullah SAW kerana enggan mendengar sesuatu pun daripada Nabi. Sedangkan Rasulullah SAW tidak menyampaikan sesuatu melainkan perkara yang membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan azab yang mereka akan terima di akhirat, sesuai dan serupa dengan apa yang mereka pernah lakukan di dunia umpama orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak menginfakkan ke jalan Allah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang yang me-nyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah At-Taubah, ayat 34-35)

Tak hirau perasaan si fakir

Perhatikan ia seakan-akan gambaran yang dilakukan sebahagian manusia di dunia. Seseorang yang apabila didatangi seorang miskin dia memasamkan mukanya dan berpaling. Setelah itu, dia memberi si fakir itu wang seringgit dan berpaling sekali lagi tanpa menghiraukan perasaan si fakir itu.

Justeru, orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah sudah pasti akan menghindarkan dirinya daripada kesalahan seperti itu.

Ayat 12, surah as-Sajdah ini satu-satunya ayat yang mendahulukan penglihatan daripada pendengaran kerana bila tibanya kiamat dan kedahsyatannya, kita akan melihat huru-hara sebelum mendengar apa yang yang kita saksikan.

Gambaran orang berdosa

Apakah yang dilihat dan didengari oleh golongan berdosa ini? Jawapannya ialah mereka melihat Allah SWT yang tiada sekutu bagi-Nya dan tidak akan ada penolong serta tiada pemberi syafaat selain daripada Allah. Dan ketika itu, apa juga pengakuan mereka sudah tiada gunanya.

Hal ini juga berlaku seperti pengakuan Firaun sebelum dia ditenggelamkan seperti firman Allah SWT: “Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah).” (Surah Yunus, ayat 90)

Lalu Allah SWT menjawab “Mengapa baru sekarang (kamu beriman), pada hal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk dalam orang yang membuat kerosakan.” (Surah Yunus, ayat 91)

Kesimpulannya, apabila Al-Quran memberi gambaran dan suasana bagaimana orang berdosa bertemu Allah, kita terasa betapa sukarnya jika pertemuan itu tanpa iman dan tanpa amal soleh. Setiap kelakuan jahat yang dilakukan di dunia akan dibalas setimpal.