• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,151,614 orang
  • Tetamu Online

Jawatan bukan untuk dimegah

Mohd Shahrizal Nasir

TIDAK dinafikan wujud sesetengah orang yang suka menjadi pemimpin. Golongan ini suka untuk memimpin orang yang berada di bawahnya. Bagi yang berusaha melaksanakan tugas dengan amanah dan bersungguh-sungguh, pastinya mereka akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. 

Semua orang sedar tanggungjawab kepemimpinan bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi selain perlu berusaha menjadikan kebajikan orang dipimpinnya sentiasa terbela. Pemimpin yang baik juga perlu mendahulukan orang lain melebihi kepentingan dirinya sendiri.

Oleh itu, untuk menjadi pemimpin yang adil ia memerlukan pengorbanan besar. Pengorbanan ini kelak akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran. Antaranya  golongan pemimpin yang adil adalah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan istimewa Allah SWT di hari akhirat kelak. 

Keadilan dalam kepemimpinan dapat difahami dalam pelbagai sudut kerana ia sifat yang melatari prinsip seorang pemimpin unggul. Adil bukan dilihat sebagai satu juzuk kecil dalam keperibadian seorang pemimpin soleh, sebaliknya ia terpancar dalam segenap aspek kepemimpinannya. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW dalam hal berkaitan pelaksanaan hukuman yang ditetapkan oleh pemimpin kepada orang dipimpinnya.

Rasulullah SAW bersabda dalam khutbahnya yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kalian adalah jika ada orang yang mulia (memiliki kedudukan) di antara mereka yang mencuri, maka mereka biarkan (tidak dihukum), namun jika yang mencuri adalah orang yang lemah (rakyat biasa), maka mereka menegakkan hukuman ke atas orang tersebut. Demi Allah, sungguh jika Fatimah binti Muhammad (iaitu anak Rasulullah) mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya.”  (Muttafaq ‘alaih)

Hadis ini jelas menunjukkan keadilan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan dan jika didapati bersalah, maka dia patut menjalani hukuman meskipun daripada kalangan ahli keluarga pemimpin. Tidak ada sebarang keistimewaan yang diberikan kepada seseorang pemimpin termasuk ahli keluarganya jika benar mereka melakukan kesalahan.

Di sudut yang lain pula, Rasulullah SAW amat mengambil berat soal pengurusan harta yang berada dalam pengetahuannya. Sebagai pemimpin yang adil, Rasulullah SAW tidak pernah mengambil mudah perihal pengurusan harta, jauh sekali mengambil peluang untuk mengambil manfaat daripadanya.

Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Abu Hurairah yang maksudnya:  “Hasan bin Ali (iaitu cucu Rasulullah SAW) mengambil sebiji kurma daripada kurma sedekah lalu meletakkan ke dalam mulutnya. Maka Rasulullah SAW lantas bersabda:  Kih! kih!  (isyarat kepada Hasan agar mengeluarkan kurma itu daripada mulut) buangkannya, apakah kamu tidak mengetahui bahawa keturunan kita tidak makan harta sedekah (zakat).”  (Hadis riwayat Muslim)

Keunggulan akhlak Rasulullah SAW dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin mesti dicontohi oleh semua. Baginda SAW tidak akan sesekali menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri dan keluarganya. Mungkin sesetengah orang melihat bahawa dengan memperoleh jawatan tertentu, maka banyak peluang dapat dimanfaatkan untuk mengumpul harta dunia. Inilah sikap yang mesti dijauhi oleh semua pemimpin daripada kalangan umat Islam.

Jelaslah Rasulullah SAW adalah seorang pemimpin yang wajib dicontohi. Allah SWT memberi pengiktirafan terhadap kepemimpinan unggul yang ada dalam diri Rasulullah SAW menerusi firman-Nya bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susahdan senang).”  (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kepemimpinan Rasulullah SAW bukan sahaja perlu dicontohi apabila seseorang Muslim memegang jawatan rasmi tertentu. Malah, seorang suami yang beriman juga sebenarnya adalah pemimpin yang patut mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Baginda menunjukkan contoh kepemimpinan terbaik bermula dari rumah sehingga melibatkan urusan pentadbiran negara. Semua ini menunjukkan Rasulullah SAW adalah ikon kepemimpinan paling unggul.

Ingatlah setiap daripada kita bertanggungjawab ke atas semua perkara yang dilakukan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Setiap kamu merupakan pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah kepemimpinannya.”  (Muttafaq ‘alaih) 

Seorang pemimpin beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya tidak akan sesekali mengkhianati tanggungjawab yang dipikulnya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”  (Surah al-Anfal, ayat 27)

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab pemimpin. Manusia juga sentiasa memerhatikan tingkah laku pemimpin yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh adil. Tibalah masanya untuk pemimpin sedar bahawa menjalankan tugas dengan cara yang terbaik adalah satu amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).”  (Surah al-Qasas, ayat 36)

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya. Malah, dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Pemimpin perlu sedar pelantikannya sebagai pemimpin adalah satu pertanggungjawaban, dan bukan satu kemuliaan untuk dimegahkan.

Ini antara perkara yang menjadi tonggak kepada keunggulan kepemimpinan Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menjadikan kapasitinya sebagai seorang pemimpin untuk mengaut keuntungan bagi diri dan keluarganya. Baginda SAW sentiasa mengutamakan kebajikan manusia di bawah kepemimpinannya kerana setiap tanggungjawab pasti akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Rasulullah SAW turut mengingatkan pemimpin tentang bahaya tanggungjawab yang tidak dilaksanakan menerusi sabda baginda yang bermaksud:  “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sekiranya pemimpin memiliki sifat terpuji seperti mana yang ditunjukkan Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni. Benarlah bahawa kepemimpinan melalui teladan akan menjadikan hubungan antara pemimpin dengan rakyat bertambah akrab. 

Negara yang berkat terdiri daripada pemimpin dan rakyat yang saling sayang-menyayangi, hormat-menghormati, serta sentiasa ingat-mengingati dalam doa. Rasulullah SAW bersabda:  Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu.”  (Hadis riwayat Muslim)