• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,151,622 orang
  • Tetamu Online

Apabila binatang berbicara Tanda hampir qiamat

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Menghampiri kepada akhir zaman, banyak perkara pelik dan ajaib berlaku sehingga benda yang tidak hidup mampu untuk berbicara dengan manusia. Keadaan ini juga merujuk kepada binantang buas yang turut berkata-kata dengan manusia. Gambaran ini merujuk kepada hadis Baginda Nabi SAW: Daripada Abi Sa’id al-Khudriy RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, tidak akan terjadinya kiamat sehingga binatang buas berbicara dengan manusia dan sehingga hujung tongkat serta tali kasut berbicara dengan manusia dan pahanya memberitahu apa yang dilakukan oleh keluarganya semasa ketiadaannya.” (Hadis  Riwayat al-Tirmidzi, Hadis  no, 2181)

Hadis  ini menjelaskan terdapat perubahan dan perkembangan yang besar melibatkan ilmu pengetahuan yang belum pernah ditemui dan dibayangkan sebelum ini. 

Petanda ini berkemungkinan mempunyai perkaitan dengan kemajuan sains dan teknologi sehingga banyak perkara yang luar daripada ilmu pengetahuan manusia zaman dahulu timbul dengan begitu pesat pada hari ini.

Kemungkinan juga, keadaan ini berkait dengan suasana yang luar biasa yang berlaku pada akhir zaman tertutama ketika binatang liar dan buas berbicara dengan manusia.

Ada pandangan menyatakan bahawa situasi ini tidak tepat dan releven kerana binatang tidak mempunyai peti suara yang mempu untuk bertutur dengan manusia. Tetapi, apabila merujuk kepada hadis yang dinilai sahih ini, sudah tentu tiada penentangan terhadap isi kandungan tersebut walaupun gambaran yang dijelaskan melaluinya adalah diluar daripada adat kebiasaan manusia.

Allah SWT berfirman:  “Pada waktu itu, Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (surah Yasiin ayat 65)

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: ‘Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nya kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).” (surah Fussilat, ayat 21)

Berdasarkan ayat ini, secara logiknya tangan, kaki, kulit tidak mempunyai peti suara untuk berbicara dan berkata-kata. Situasi ini juga berlaku kepada peralatan seperti radio, televisyen, komputer dan lain-lain yang juga tidak boleh berbicara secara logiknya. Namun, semua perkara itu di bawah kekuasaan Allah SWT.

Pada hari ini, benda yang tidak hidup seperti telefon, televisyen, radio, jam, kereta dan lain-lain semuanya mampu berbicara dan mengeluarkan suara yang berbeza. Walaupun perkara ini secara asasnya dikatakan perkembangan teknologi yang hebat pada zaman ini, namun tidak pada zaman sebelum ini.

Jika mereka yang hidup pada zaman tanpa teknologi, hadir pada hari ini, mungkin semua daripada mereka akan terkejut dan pengsan dengan situasi dan keadaan yang berlaku pada hari ini. Mungkin binatang mengeluarkan suara adalah perkara yang boleh diterima kerana ia makhluk hidup yang mempunyai peti suara.

Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seorang penggembala kambing melihat secara tiba-tiba serigala datang melarikan kambingnya. Melihat keadaan itu, penggembala terus mencari kambingnya yang hilang. Maka, serigala itu menoleh dan berkata: ‘Di hari yang penuh dengan kebuasan ini, siapa lagi yang menjadi penggembala selain aku? Kemudian ada seekor lembu yang memuatkan barang-barang dan dipaksa untuk memikul barang-barang itu, maka lembu itu berpaling dan berkata: ‘Bukan tujuan pekerjaan ini aku diciptakan, tetapi aku diciptakan untuk membajak ladang’…mendengar perbualan tersebut, sahabat berkata, ‘Subhanallah.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ketahuilah, aku mempercayai kisah ini. Demikian juga Abu Bakar dan Umar turut mempercayainya.'” (Hadis  Riwayat al-Bukahri, Hadis  no, 3663)

Dalam hadis  ini, terdapat satu kisah yang luar biasa namun di sahkan oleh Baginda Nabi SAW. Keadaan serigala dan lembu berbicara adalah sesuatu yang sangat ajaib dan di luar daripada kebiasaan manusia.

Kewujudan binatang yang boleh berbicara dengan manusia mungkin menjadi sesuatu yang di luar daripada kebiasaan, namun ada pada ketika ini, binatang yang mampu memahami arahan dan juga bertutur dengan bahasa manusia seperti burung kakak tua.

Binatang secara umumnya tidak boleh bercakap kerana tidak mampu untuk memproses maklumat. Mereka hanya mendengar, tetapi tidak memahami maksud atau makna perkataan tersebut. Mereka hanya mengeluarkan bunyi tertentu sebagai isyarat.

Bagaimanapun, burung kakak tua sebenarnya tidak boleh bercakap, tetapi ia boleh menyebut perkataan yang sering didengari. Ia menyebut tanpa memahami makna. 

Dalam hal ini, sirah rasul menjelaskan Nabi Sulaiman AS boleh bertutur dan memahami bahasa binatang. Mukjizat ini bukan cerita dongeng, tetapi kisah benar daripada al-Quran.

Allah SWT berfirman: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.” (An-Naml ayat 18)

Nabi Sulaiman yang mampu mendengar kata-kata semut itu tersenyum mendengar perbualan mereka. Menyedari besarnya kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya kerana memahami bahasa binatang, Nabi Sulaiman lantas berdoa dan berkata:  “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (An-Naml ayat 19)

Begitu juga dengan perbualan yang terjadi antara Nabi Sulaiman dan pasukan burung.

Maksudnya: “Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia daripada mereka yang tidak hadir?” (An-Naml ayat 20)

Perbualan ini terdengar sangat istimewa kerana ia bukan penceritaan daripada pihak ketiga, tetapi catatan perbualan yang disimpan sendiri oleh Allah dan diberitahu semula kepada Nabi Muhammad SAW melalui ayat al-Quran.

Pada saat itu, hanya Nabi Sulaiman manusia yang mampu memahami bahasa binatang. Tetapi pada akhir zaman, sebagai tanda hampirnya kiamat, binatang akan mampu berbicara dengan manusia sehingga manusia memahami apa yang dibicarakan.

Oleh itu, kekuasaan Allah yang menjadikan jenis haiwan yang bijak dan mampu membaca gerak manusia. Ada yang menjadi peliharaan manusia dan sangat rapat dengan manusia sehingga meratapi kesedihan apabila tuannya meninggal.  Ada juga haiwan liar yang mudah menghidu kehadiran manusia dan kewujudan manusia. Maka begitu hebatnya penciptaan haiwan adalah sebagai pedoman buat manusia dan seterusnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.