• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,188 orang
  • Kandungan Blog

Memahami falsafah politik Islam

Muhamad Khairi Asyraf Basri

Politik adalah suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada agama kerana itu salah satu bentuk sekularisme. Islam adalah agama yang lengkap mencakupi seluruh soal kehidupan ukhrawi dan duniawi. Politik memang ada dalam Islam, cuma ia bukan termasuk dalam perbahasan usul akidah sepertimana pegangan Syiah menerusi doktrin Imamah dan Khawarij menerusi doktrin Hakimiyyah. Bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah, perbahasan politik termasuk dalam perkara ijtihadi Fiqh.

Umat Islam perlu menguasai medan politik. Jika orang baik menjauhi politik, maka kuasa politik itu akan direbut oleh penjahat. Gunalah politik untuk memartabatkan agama, janganlah guna agama untuk kepentingan politik. Dakwah memperjuangkan Islam ini ada pelbagai ruang antaranya menerusi pengajian ilmu, kebudayaan, hiburan, kuasa politik dan sebagainya. Kesemua ruang perjuangan ini penting belaka, tetapi yang paling penting adalah penerapan kefahaman Islam melalui pengajian ilmu.

Jika perjuangan Islam hanya melalui pemaksaan kuasa politik atau semangat kosong semata-mata tanpa kefahaman ilmu, ia tidak akan kekal lama. Bahkan ia akan memburukkan wajah Islam. Contohnya, kumpulan teroris seperti Daish juga menggunakan sentimen Islamik seperti perjuangan mengembalikan Khilafah dan menegakkan hukum syariah bagi menjustifikasikan jihad palsu mereka. Slogan mereka benar, tapi dilaksanakan dengan cara dan tujuan yang salah. Teroris yang wujud zaman kini evolusi daripada fahaman Khawarij.

Memperjuangkan Islam tidak terbatas kepada mana-mana parti politik, NGO atau gerakan jemaah dakwah tertentu. Tiada mana-mana pihak berhak memonopoli dan mendakwa bahawa kelompok mereka sahajalah yang memperjuangkan Islam manakala orang yang tidak menyertai kelompok mereka akan dituduh tidak memperjuangkan Islam sehingga wujudnya gejala Takfiri iaitu menuduh orang lain sebagai kafir, munafiq, taghut dan sebagainya.

Dalam dunia demokrasi kini, wujud pelbagai parti politik di seluruh dunia yang memperjuangkan pelbagai agenda dan ideologi. Tidak ketinggalan, wujud juga parti-parti bercitrakan perjuangan Islam sama ada dengan memakai nama parti Islam atau tidak memakainya atas rasional ingin memelihara kesucian perkataan Islam. Ini hanyalah perkara ijtihadi kerana hakikatnya perjuangan Islam sememangnya bukan sekadar atas nama sahaja, tetapi yang mustahaknya urus tadbirnya mesti mengikut prinsip Islam.

Sesungguhnya Islam itu tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Semua pihak boleh memperjuangkan Islam mengikut platform dan uslub masing-masing. Apa yang penting, intipati Islam yang hendak diperjuangkan itu wajiblah berlandaskan manhaj yang benar iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepertimana yang dikumpul dan disusun secara sistematik oleh Imam Abu Hassan al-Asyaari serta Imam Abu Mansur al-Maturidi. Tradisi kefahaman dari gagasan dua imam muktabar ini adalah manifestasi as-Sawadul A’zam kerana berpegangkan prinsip jumhur, syumul dan wasatiyah.

Al-Quran turut menyentuh soal pentadbiran sama ada pada peringkat kekeluargaan, kemasyarakatan ataupun kenegaraan. Antara nabi yang terlibat dalam pentadbiran kenegaraan ialah Nabi Yusuf, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Nabi Muhammad sendiri tokoh politik yang menguasai jazirah Arab dan memimpin masyarakat majmuk. Model kenegaraan zaman Rasulullah sudah semestinya berbeza dengan model kenegaraan kini dek kerana perubahan zaman. Namun, intipati pentadbiran yang ditunjuk oleh Rasulullah adalah kekal relevan untuk dihurai dan diteladani. 

Selepas kewafatan Rasulullah, umat Islam dipimpin Khulafa’ ar-Rasyidin selama 30 tahun dengan kaedah pelantikan yang berbeza-beza. Saiyidina Abu Bakar dibaiah sebagai khalifah selepas dilantik secara syura oleh para sahabat. Saiyidina Umar dibaiah sebagai khalifah selepas dilantik secara wasiat oleh Saiyidina Abu Bakar dengan persetujuan sahabat juga. Saiyidina Uthman dibaiah sebagai khalifah selepas dilantik secara syura dengan memilih seorang daripada enam calon yang diwasiatkan oleh Saiyidina Umar. Saiyidina Ali dibaiah sebagai khalifah selepas dilantik secara terbuka oleh sahabat sebelum digantikan oleh anakandanya Saiyidina Hassan. Inilah Khalifah dalam erti kata sebenar iaitu pengganti Rasulullah dalam memimpin umat dari sudut politik dan spiritual. 

Dunia Islam kemudian diperintah oleh Khilafah Umayyah yang mula mempraktikkan sistem pemerintahan warisan (monarki) secara tetap. Maka berlaku pertikaian kuasa antara Khilafah Umayyah dengan pihak Saiyidina Hussein serta pihak Saiyidina Ibn al-Zubayr. Namun, Khilafah Umayyah berjaya memadam persaingan itu dan terus memayungi seluruh empayar Islam secara berpusat. Empayar Islam ini dibahagi menjadi beberapa wilayah dan ditadbir oleh Amir (gabenor) iaitu wakil pemerintah pusat. 

Kemudian, pemerintahan Khilafah Umayyah diganti oleh Khilafah Abbasiyyah yang turut menggunakan sistem warisan. Ketika zaman ini, umat Islam mula memiliki raja atau sultan tempatan berkuasa separa autonomi yang memerintah secara regional di wilayah masing-masing, tetapi masih lagi bernaung di bawah payung atau sekurang-kurangnya mengiktiraf Khilafah Abbasiyyah sebagai kuasa induk. Namun, ada juga wilayah yang memisahkan diri secara total daripada pengaruh Khilafah Abbasiyyah. Bahkan wujud juga kuasa lain yang mencabar legitimasi Khilafah Abbasiyyah di Baghdad seperti Khilafah Umayyah II di Andalusia, Khilafah Fathimiyyah di Mesir dan Khilafah Muwahiddun di Maghribi. 

Khilafah Abbasiyyah di peringkat pusat itu sendiri pula kadangkala terpaksa berkongsi kuasa dengan Wazir (menteri) atau dinasti tertentu antaranya seperti Parsi Buwaih, Turki Seljuq dan Kurdish Ayyubiyyah. Khilafah Abbasiyyah pernah juga sekadar menjadi pemerintah boneka. Pasca serangan Mongol, pusat pemerintahan Khilafah Abbasiyyah di Baghdad berpindah ke Mesir. Di Mesir, Khilafah Abbasiyyah hanya sekadar bersifat ceremonial tetapi kuasa pemerintahan sebenar ada di tangan Mamluk Mesir. 

Selama 64 tahun selepas penawanan Konstantinople, kesultanan Turki Uthmaniyyah mula menundukkan Mamluk Mesir dan menguasai Haramain. Maka Khilafah Abbasiyyah diganti oleh Khilafah Uthmaniyyah yang kemudian menjadi salah satu daripada tiga empayar utama Islam selain Kesultanan Mughal di India dan Kesultanan Safawi di Iran. Khilafah Uthmaniyyah juga pernah melalui fasa berkongsi kuasa dengan para menteri di parlimen melalui sistem Raja Berperlembagaan sebelum institusi Khilafah ini dimansuhkan pasca Perang Dunia. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengembalikan institusi Khilafah, namun tidak berjaya. Usaha-usaha ini melahirkan pelbagai bentuk teori dan gerakan politik Islam bagi mengharungi waqi’ politik dunia semasa. 

Sepanjang sejarah, ada ramai khalifah yang baik. Namun, ramai juga khalifah yang fasiq. Kadangkala, seorang khalifah yang baik itu juga ada membuat kekerasan. Ini semua adalah muslihat politik untuk mengatasi pihak lawan. Politik bukanlah sekadar binari baik melawan jahat. Kadangkala, dua orang pemimpin yang baik juga bertelagah dalam ijtihad politik mereka. Kadangkala juga, umat tersepit antara dua pemimpin yang jahat sehingga terpaksa memilih salah satu daripadanya yang kurang mudarat. Dunia politik ini penuh sepak terajang yang kadangkala menjijikkan. Seorang pemimpin itu bukan sekadar harus alim dan soleh, tetapi juga perlu bijaksana serta mampu mentadbir dengan adil dan amanah.

Tiada satupun sistem pemerintahan yang sempurna dalam dunia ini. Al-Quran sendiri tidak mewajibkan apa-apa sistem pemerintahan tertentu. Khalifah adalah gelaran yang menjadi simbol konsep institusi kesatuan ummah, bukan mengenai apa-apa bentuk sistem pemerintahan khusus tertentu. Masalah pentadbiran bukanlah hanya terletak kepada sesuatu sistem yang diguna semata-mata, masalah utama yang sebenarnya adalah diri manusia itu sendiri. Jika diri manusia itu baik, maka dalam apa jua bentuk sistem pemerintahan pun akan menghasilkan kebaikan. Sebaliknya, jika diri manusia itu sendiri yang keji, maka guballah apa jua bentuk pentadbiran sekalipun, tetap akan berlaku kerosakan juga.

Memang pemerintah yang baik, dapat membentuk rakyat yang baik. Namun sering juga berlaku, pemerintah yang jahat, lahir daripada rakyat yang jahat. Apatah lagi pada zaman demokrasi kini, para pemimpin adalah cerminan rakyat kerana diangkat daripada kalangan rakyat. Renunglah kalam hikmah Saiyidina Ali ketika golongan Khawarij menyoalnya, mengapa zaman pemerintahan beliau berlaku huru-hara, tidak seperti zaman khalifah sebelum ini yang aman. Maka jawab Saiyidina Ali: “Zaman pemerintahan khalifah terdahulu aman kerana rakyatnya seperti aku manakala zaman pemerintahanku menjadi huru-hara kerana rakyatnya seperti kamu.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: