• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,093 orang
  • Kandungan Blog

Tiada taubat saat nyawa sudah di kerongkong

Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: ‘Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini’ (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya” Surah an-Nisa’: 18

Assalamualaikum, saya ingin bertanya adakah benar memang terdapat hadis sebegini? – Nabi SAW bersabda: Jibril memasukkan tanah ke dalam mulut Firaun kerana risau Firaun akan mengucap ‘La ilaha illallah.’ Terima kasih.

Jawapan

Berkenaan status hadis ini ulama berbeza pandangan apabila al-Hakim menghukumkan hadis ini sebagai sahih dan menepati syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi kedua-duanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka.

Riwayat ini diriwayatkan dalam pelbagai kitab hadis bersanad. Lafaznya bermaksud: “Jibril AS memasukkan tanah ke dalam mulut Firaun kerana bimbang Firaun akan mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah.'” Musnad al-Imam Ahmad

Riwayat ini juga diriwayatkan oleh al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra al-Bazzar dalam Musnad al-Bazzar Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Abu Daud al-Tayalisi pula dalam musnadnya dengan lafaz matan yang sedikit berbeza iaitu:

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: Jibril AS berkata kepadaku: Kalau engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur berkenaan ke dalam mulut Firaun kerana bimbang dia akan mendapat rahmat Tuhan.” Musnad Abi Daud

Al-Hakim mengatakan hadis ini adalah sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi kedua-duanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka. Bahkan, kebanyakan ashab (murid) Syu’bah mengkategorikan hadis ini mawquf ke atas Ibn Abbas RA.

Dalam hal ini, al-Tabari meriwayatkan hadis ini dengan beberapa jalur sanad, namun terdapat satu jalur yang sedikit berbeza iaitu al-Tabari meriwayatkan bahawa al-Muthanna menceritakan kepada kami, beliau berkata Hajjaj menceritakan kepada kami, beliau berkata Hammad bin Salamah menceritakan kepada kami, beliau berkata daripada Ali bin Zaid, daripada Yusuf bin Mihran, daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: “Ketika Allah SWT menenggelamkan Firaun, dia berkata “Aku beriman bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang diimani oleh Bani Israel. Maka Jibril AS berkata: Wahai Muhammad seandainya engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut Firaun kerana takut dia mendapat rahmat Tuhan.”

Al-Tirmizi juga meriwayatkan hadis ini dengan lafaz yang sama seperti al-Tabari dan beliau menghukumkan hadis ini sebagai hasan.

Namun, pada sanad tersebut terdapat perawi yang bernama Ali bin Zaid bin Jud’an yang dianggap sebagai daif oleh sebahagian ulama hadis seperti Ibn ╩╗Uyainah yang mendaifkan beliau.

Oleh itu, ulama berbeza pandangan tentang status hadis ini apabila al-Hakim menghukumkan hadis ini sebagai sahih dan menepati syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi kedua-duanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka.

Sementara al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan dengan sedikit perbezaan pada matannya iaitu tanpa disebutkan lafaz ‘Tiada tuhan melainkan Allah’.

Hadis malaikat Jibril AS memasukkan tanah ke dalam mulut Firaun menceritakan bagaimana Allah SWT menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya terhadap Bani Israel yang enggan beriman dengan ajaran Nabi Musa AS. Lalu ketika Allah SWT menenggelamkan Firaun dan kaumnya, maka dia hendak beriman dengan mengucapkan kalimah tahlil maka Jibril AS menyumbat ke dalam mulutnya lumpur dari lautan kerana bimbang ia akan mendapat rahmat Allah SWT.

Peristiwa ini menggambarkan kepada seluruh umat Islam bahawa taubat seorang hamba tidak akan diterima saat nyawa sudah di kerongkongan. Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah an-Nisa’ : 18

Wallahualam.