• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,077 orang
  • Kandungan Blog

Judi Seronok hanya sementara

Mohd Rizal Azman Rifin

Islam agama yang memandu manusia untuk menjalani kehidupan di dunia dalam keadaan yang sejahtera. Atas hakikat itulah, setiap unsur yang membawa mudarat, Islam akan melarangnya, begitulah sebaliknya apa sahaja yang mensejahterakan kehidupan maka Islam menggalakkannya.

Hal itu termasuk dalam isu perbuatan judi yang pada masa ini masih berleluasa dilakukan oleh sesetengah golongan dan lebih malang serta menyedihkan apabila terdapat segelintir orang Islam terbabit dalam kancah sosial keji itu.

Kalau dahulu, perbuatan berjudi hanya dilakukan secara bersemuka di premis tertentu, tetapi keadaan semasa kesan kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kewujudan perkakasan peranti gajet menyebabkan perbuatan judi berevolusi secara mendadak menerusi pelbagai jenis permainan.

Perbuatan dan permainan berunsurkan perjudian sentiasa berkembang sejajar dengan revolusi ICT dengan pelbagai bentuk dan cara. Malang yang amat malang kerana keterlibatan orang Islam yang masih sanggup menggadaikan maruah dan imej agama sendiri demi mencari keseronokan serta keuntungan dunia.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 219, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya…”

Dalam ayat itu Allah menjelaskan kepada kita berkenaan kemudaratan dua gaya hidup iaitu minum arak dan berjudi. Ya benar sekali, berdasarkan laporan pihak penguat kuasa keselamatan jalan raya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), terdapat kes kemalangan yang membabitkan mereka yang memandu dalam pengaruh alkohol.

Demikian juga dengan perbuatan berjudi kerana banyak timbul kekecohan dalam kehidupan berkeluarga kesan permainan judi. Seorang ulama tersohor, Imam Ibn Jarir al-Tabari ada menyatakan bahawa meskipun terdapat manfaat daripada kedua-duanya (iaitu arak dan judi), namun dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.

Hal itu seperti yang berlaku kepada orang yang minum arak dengan berasakan kelazatan diteguknya, namun akibat mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan menjanjikan kekayaan yang belum pasti, namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada, namun ‘mafsadah’ yang timbul daripadanya lebih besar.

Bagi Imam al-Alusi pula dalam menyatakan tafsiran terhadap wahyu Allah Surah al-Baqarah ayat 219 itu dengan menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi antaranya memakan harta secara batil, boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi, mencederakan jiwa, mensia-siakan keluarga, melakukan perkara yang keji dan hina serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan.

Terdapat seorang lagi ulama yang turut sama membahaskan isu judi iaitu Imam Fakhruddin al-Razi yang antaranya beliau menegaskan: “Judi boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan serta suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil di samping melalaikan manusia daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat.”

Justeru, berdasarkan wahyu Allah dalam Surah al-Baqarah dan banyak lagi ayat Allah dalam surah lain berserta beberapa ulasan ulama, menjelaskan kepada kita betapa buruk yang ketara akibat perbuatan berjudi.

Aktiviti berjudi bukanlah satu jalan halal mencari kekayaan mahupun mencari keseronokan hiburan dalam hidup, sebaliknya Islam menggalakkan umatnya memilih jalan yang suci dengan berusaha sendiri, menggigihkan kudrat demi memperoleh nikmat rezeki di atas muka bumi ini.

Budaya judi akan mencetuskan permusuhan dan perasaan kebencian antara kedua-dua pihak yang menang dan kalah kerana perkiraan untung serta rugi berlaku tanpa rela, penipuan serta segala peraturan lain yang dicipta sendiri. Judi akan mendorong kepada timbulnya pelbagai perilaku jenayah, pergaduhan dan malah tidak mustahil sehingga ke tahap sanggup membunuh insan lain itulah bahan judi.

Rasulullah SAW pernah memberikan perkhabaran gembira buat umatnya yang rajin dan cekal dalam berusaha mencari rezeki hidup yang halal. Sabda baginda: “Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua-dua tangannya sendiri maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Hadis diriwayat Imam at-Tabrani)

Di samping itu, baginda juga menjelaskan bahawa: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan pada malam purnama.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Kita sebagai umat baginda sewajarnya membina kehidupan khasnya dalam aspek mencari rezeki mahupun dalam bentuk mencari keseronokan hiburan yang benar-benar menepati kehendak agama. Usah kita larikan diri daripada tuntutan agama kerana natijahnya amat sengsara di akhirat kelak. Buat apa seronok dan kaya di dunia, tetapi di alam sana kita bakal terseksa.

Ingatlah apa yang difirmankan Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisa ayat 29)

Janganlah biarkan judi menjadi satu ketagihan sehingga menyebabkan kesan buruk menimpa diri baik di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Bersamalah kita berusaha menjalani alur kehidupan duniawi sejajar ajaran Rasulullah dan menepati tuntutan Ilahi.