Keindahan Islam terletak pada adab dan akhlak yang mulia. Antara adab dan akhlak yang dianjurkan dalam Islam ialah menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi sesama Muslim. Menjaga hati orang lain yang dimaksudkan di sini adalah selama mana tidak berkait dengan pelanggaran asas akidah dan hukum syarak.
Etika Islam yang cukup halus ini hakikatnya adalah antara asas penting dalam agenda penyatuan dan perpaduan ummah. Bersatu padu bukan sekadar sedap diucapkan lidah semata-mata, bahkan ia memerlukan jalinan kerjasama yang benar-benar erat antara lidah dan hati. Ini kerana lidah yang tidak dikawal mampu melukakan hati, manakala hati yang luka mampu mengeruhkan suasana menjadi porak-peranda.
Realitinya, keadaan porak-peranda dan huru-hara yang berlaku dalam masyarakat manusia banyak berpunca daripada lidah yang akhirnya disertai tangan atau tindakan.
Ia bukan sahaja boleh berlaku antara suami isteri dalam sebuah rumah tangga, bahkan juga boleh berlaku antara parti politik dalam sebuah negara. Sedangkan jika lidah dapat dijaga dengan baik, banyak punca perpecahan dan persengketaan dapat dielakkan.
Tabiat suka mengaibkan, mencerca atau memburukkan peribadi orang lain ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dihentikan segera.
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencaci, melaknat, bersifat keji mahu pun bermulut celupar.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)
Kita dilarang daripada menghina dan mencaci orang lain, sekalipun dia sudah meninggal dunia. Kerana sekiranya dia masih hidup, kita pasti akan menyakiti hatinya dan sekiranya dia sudah meninggal dunia pula, kita pasti akan menyakiti hati ahli waris, saudara-mara atau kaum kerabatnya.
Al-Mughirah bin Syu’bah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian mencaci orang-orang yang sudah mati sehingga kalian menyakiti mereka yang masih hidup.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Tabarani, dengan semua perawi sanadnya thiqah)
Manakala ‘Aisyah RA berkata: Nabi SAW bersabda: “Janganlah kalian mencaci orang-orang yang telah mati kerana mereka telah pun berserah diri terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Riwayat al-Bukhari)
Menjaga hati orang lain ini amat dititikberatkan oleh Rasulullah SAW. Justeru, apabila menegur seseorang secara umum, Baginda hanya akan menyebut kesalahannya tanpa menyebutkan namanya.
‘Aisyah RA berkata: “Apabila sampai kepada Nabi SAW bahawa ada seseorang yang mengatakan perkara salah, Baginda tidak pernah bersabda: “Mengapa si polan itu mengatakan demikian?” Sebaliknya baginda akan bersabda: “Mengapa orang-orang suka mengatakan begini dan begini?” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad hasan)
Hatta dalam melaksanakan amal ibadah pun, Baginda SAW turut mengambil berat mengenai aspek ganggguan terhadap orang lain. Pernah ketika Rasulullah SAW beriktikaf di masjid, Baginda mendengar sahabat mengeraskan bacaan al-Quran mereka. Kemudian Baginda menyelak tirainya sambil bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya setiap kamu sekalian sedang bermunajat dengan Tuhannya. Justeru itu, janganlah sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) sebahagian yang lain dan janganlah sebahagian kamu mengeraskan suara terhadap sebahagian yang lain dalam membaca al-Quran atau dalam bacaan solatnya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Menjaga perasaan orang lain juga ditekankan walaupun dalam bergurau senda. Kata ‘Abdur Rahman bin Abi Laila: “Para sahabat Muhammad SAW menceritakan kepada kami bahawa mereka pernah berjalan bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan, lalu salah seorang daripada mereka tertidur. Lantas ada sebahagian mereka mendekati anak panahnya, lalu mengambilnya (dengan tujuan bergurau). Tatkala orang itu terbangun dia terkejut, namun orang-orang tertawa. Maka, Rasulullah SAW bertanya: “Apa yang membuat kamu sekalian tertawa?” Mereka menjawab: “Tidak, kami cuma mengambil anak panah orang ini, lalu dia terkejut.” Rasulullah SAW pun bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan seorang Muslim yang lain.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan sanad sahih)
Justeru, jaga lidah dan jari-jemari kita daripada mudah menyakiti orang lain. Jelasnya, menjaga hati orang lain selama mana tidak berkait dengan pelanggaran akidah dan syariat merupakan asas kepada akhlak mulia serta agenda perpaduan masyarakat. Bagaimanapun, ia tidak akan berjaya jika hanya dilaksanakan oleh sebelah pihak. Mahu atau tidak, semua pihak perlu saling bekerjasama dalam menjaga hati pihak yang lain.
Filed under: Amalan & Doa, Artikel Pilihan | Leave a comment »