• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,181 orang
  • Kandungan Blog

Berpada dalam rasa kasih atau benci

Dr Mohd Khafidz Soroni

Mungkin kita pernah lihat dalam kalangan masyarakat kes orang yang awalnya sangat menyukai atau mengasihi seseorang dengan cara berlebihan dan melampaui batas namun akhirnya bertukar menjadi orang paling membenci dan memusuhi orang berkenaan.

Perbuatan berlebihan atau melampaui batas ini biasanya lahir sama ada daripada hawa nafsu, hasutan syaitan atau dorongan duniawi semata-mata. Ia boleh berlaku dalam pelbagai hubungan sosial daripada hubungan rumah tangga antara suami dan isteri atau lelaki dan perempuan sehingga kepada hubungan antara idola dengan peminat, ketua dan pengikut serta pemimpin dengan yang dipimpin.

Perbuatan sebegini sebenarnya bercanggah dengan akhlak Islam yang menganjurkan keseimbangan dan kesederhanaan dalam segenap aspek. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Kasihilah orang yang engkau kasihi secara sederhana, boleh jadi dia akan menjadi orang yang engkau benci suatu hari nanti dan bencilah orang yang engkau benci secara sederhana, boleh jadi dia akan menjadi orang yang engkau kasihi suatu hari nanti.” (Riwayat at-Tirmizi dengan sanad daif)

Menurut Imam at-Tirmizi, hadis Abu Hurairah RA ini gharib dan diriwayatkan juga dengan sanad daif daripada Ali RA daripada Nabi SAW. Namun, yang sahih daripada Ali RA adalah kata-katanya secara mauquf. Ia turut diriwayatkan daripada Ibn Amru RA dan Ibn Umar RA dengan sanad yang daif.

Sama ada ia hadis Nabi SAW atau kata-kata Ali RA, kandungannya tetap boleh kita jadikan sebagai kaedah atau panduan umum dalam menjalin hubungan sesama manusia. Justeru, janganlah berlebih-lebihan atau melampau sehingga menjadi taasub dalam mengasihi atau membenci seseorang. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan ketidakwarasan dan ketidakseimbangan dalam pemikiran seseorang. Diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Kecintaanmu terhadap sesuatu boleh membuatkanmu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan sanad daif, namun yang sahih adalah secara mauquf daripada Abu ad-Darda’ RA)

Kata Imam al-Munawi dalam mengulasnya: “Ia menjadikan kamu buta daripada melihat dan tuli daripada mendengar keaiban orang yang dikasihi, sehingga kamu tidak dapat lagi melihat perbuatannya yang buruk. Kamu juga tidak akan mendengar larangan orang yang memberikan nasihat tentangnya. Bahkan, kamu melihat keburukan daripadanya sebagai kebaikan dan mendengar kekejian daripadanya pula sebagai ucapan yang indah. Atau bermaksud ia akan membutakan daripada akhirat atau daripada jalan hidayah. Faedahnya adalah sebagai tegahan daripada mengasihi apa yang tidak sepatutnya ia tenggelam dalam mengasihinya.”

Rasa kasih berlebihan boleh mengakibatkan kerugian dan penyesalan yang tiada kesudahan. Bayangkan, seorang lelaki yang memberi secara sukarela hadiah pertunangan yang sangat tinggi nilainya kepada bakal isterinya atau seorang suami yang memberikan dengan rela hati pelbagai hak milik harta benda kepada isterinya disebabkan rasa cinta yang sangat mendalam. Bagaimanakah nanti perasaannya jika perkahwinan terpaksa dibatalkan atau berlaku perceraian yang tidak dapat dielakkan?

Ada juga berlaku pengikut atau orang bawahan yang amat mengasihi dan mengagumi seorang tokoh atau pemimpin sehingga dia sanggup dipukul, disakiti atau dipenjara demi perjuangan kumpulannya. Namun anehnya, tokoh itu akhirnya bertukar menjadi orang yang paling dibencinya. Boleh jadi juga berlaku sebaliknya, tokoh paling dimusuhi dan dibencinya selama ini bertukar menjadi tokoh amat disukai dan dikaguminya pula. Bukankah perubahan semacam ini hanya menunjukkan sikap ketidakmatangan dan keanak-anakan diri seseorang?

Maka, berpada-pada dan bersederhanalah dalam mengasihi atau membenci seseorang. Antara kaedah yang betul ialah rasa kasih atau benci itu mestilah didasari kerana Allah SWT bukannya kerana makhluk. Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Ikatan iman yang paling kukuh ialah kasih kerana Allah dan benci kerana Allah.'” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, at-Tayalisi, Ahmad dan Ibn Abi ad-Dunya)

Abu Zar RA pula berkata: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah azza wajalla ialah kasih kerana Allah dan benci kerana Allah.'” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan sanad daif)

Maka, jika rasa kasih atau benci itu dibuat kerana Allah SWT pasti akan melahirkan keseimbangan dan kesederhanaan dalam segala tindakan yang dilakukan serta tidak akan terjadi sikap berlebih-lebihan atau melampau dalam hal berkenaan. Sekiranya berlaku keterbalikan situasi, kesan tekanan mental pastinya tidak terlalu membimbangkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: