• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,346,365 orang
  • Kandungan Blog

Berlapang dada terima teguran

Amran Zakaria

 

Golongan miliki sifat rendah diri lebih mudah dengar nasihat

Tegur menegur adalah amalan baik dan digalakkan agama. Namun, kaedah dan caranya yang perlu diberi perhatian supaya teguran tidak bertukar menjadi permusuhan yang berakhir dengan pertelingkahan.

Apa yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab boleh dijadikan panduan. Suatu hari, seorang peminum arak menegur sesuatu kepada Saidina Umar dan khalifah dengan berlapang dada menerima teguran itu.
Orang yang melihat keadaan itu berasa pelik dan hairan lalu bertanya kepada Khalifah: “Wahai Amirul Mukminin, kenapakah tuan menerima teguran dia, sedangkan dia peminum arak? Saidina Umar menjawab: Ya, dia berdosa kerana meminum arak tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”

Ada orang sensitif apabila ditegur tetapi ada juga yang berterima kasih kerana ada orang sudi memperbetulkan kesilapan. Oleh itu, seboleh-bolehnya apabila kita ingin menegur hendaklah mengelak daripada menegur secara menyindir dan sinis supaya pihak yang ditegur tidak terluka.

Hakikatnya, ada yang tidak suka kepada teguran kerana dalam diri manusia itu memiliki benih kesombongan dan keangkuhan. Biasanya manusia yang merendah diri dan mengakui kelemahan diri lebih mudah menerima teguran.

Allah berfirman: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun teguran itu ada asas kebenarannya. Semua pihak hendaklah berlapang dada untuk menerima teguran hatta mereka ini tergolong dalam golongan ulama dan ilmuwan agama yang dihormati masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah SWT dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama lain dan mengasihi saudaranya (yang memerlukan).” (Riwayat al-Dailami)

Hakikatnya, Islam memberi panduan jelas untuk memberi teguran dan sikap yang sepatutnya dipamerkan apabila ditegur. Kita tidak seharusnya melatah apatah lagi bertindak balas secara emosional hingga sanggup menyerang melalui kata-kata.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran iaitu pertama, tidak bersifat merendah-rendahkan seseorang yang ditegur. Kedua, mencari situasi yang sesuai dan ketiga, memahami kedudukan orang yang ditegur.

Kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik akhirnya menyebabkan hilang kawalan emosi boleh membawa kepada berlakunya pertikaman lidah. Jika tidak kena gaya, boleh mendorong ke arah bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Begitu juga dengan pujian, elakkan daripada memuji terlebih. Imam al-Ghazali dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus kepada dusta, memuji dengan berpura-pura dan menyatakan sesuatu untuk menggembirakan orang yang dipuji tanpa berniat membetulkan kesilapan dibuat.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong dan bangga diri, kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati. Keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah bekerja kuat untuk mencapai maksud serta tujuan.

Apa juga yang kita lakukan berkaitan lidah, harus berhati-hati tidak kiralah sama ada ia teguran atau pujian kerana setiap yang diperkatakan akan dihitung di akhirat kelak.

Tinggalkan komen