Dalil wajib kita mencintai nabi Muhammad s.a.w

Berbekalkan keyakinan bahawa manhaj risalah dan dakwah Islamiah yang sebenar adalah berteraskan perasaan cinta dan kasih yang mendalam kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, ruangan ini pada minggu lepas telah mengimbau mengenai hakikat kasihnya Rasulullah SAW terhadap umatnya dan pengorbanan yang telah Baginda SAW sembahkan sebagai tanda cinta dan kasih kepada umatnya.

Maka wajarlah pada kali ini, jika kita menyambung bicara tentang kewajipan kita pula sebagai Umat Nabi Muhammad SAW membalas kasih Rasulullah SAW terhadap kita serta mencintai Baginda SAW seperti yang selayaknya.

Hakikat bahawa Rasulullah SAW wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya sangat jelas di sisi syarak. Ia sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis, yang merupakan sumber agama yang wajib dipatuhi oleh setiap orang yang bergelar Muslim.

Di samping perintah yang terang nyata dalam nas-nas wahyu, akal dan fitrah yang sihat juga sangat kuat mendukung keperluan dan kepentingan kita mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW.

Oleh itu, mencintai Nabi SAW adalah suatu yang wajib baik dari sudut naqli (wahyu) mahupun aqli (logik).

Dalil Naqli

Bagi seorang Muslim yang taat, setiap nas wahyu sama ada daripada al-Quran mahupun sunnah yang sahih adalah perintah dan arahan dari Tuhan yang dengan segera dan bersemangat dijunjung dan dipatuhi.

Apatah lagi jika perintah itu datang dalam nada yang tegas dan diiringi amaran. Nada inilah yang jelas dapat kita rasakan pada ayat yang memerintahkan kita mencintai dan mengutamakan Nabi SAW dalam surah al-Taubah, ayat 9 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi ancaman dan menjanjikan balasan azab-Nya bagi orang yang mengasihi keluarga dan harta bendanya melebihi kecintaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Mereka juga ditakutkan dengan gelaran fasiq yang memang sangat dibenci oleh setiap jiwa yang beriman. Ancaman dan balasan azab dalam ayat sepatutnya sudah mencukupi sebagai motivasi, peringatan, dalil yang jelas dan hujah yang kuat bagi menunjukkan thabitnya kewajipan mengasihi Nabi SAW, membesarkan kedudukan Baginda SAW, dan tuntutan melaksanakan hak mengasihinya dengan sempurna.

Jika kita merujuk kepada nas-nas Sunnah pula, walaupun kita mengenali Rasulullah SAW sebagai insan yang paling tawaduk dan paling tidak mementingkan diri, baginda SAW tiada pilihan melainkan menyampaikan dengan jelas dan tegas kewajipan kita menyintai dirinya dan mengutamakannya kerana ia adalah antara inti, rahsia dan pokok ajaran agama ini.

Di antara pesanan dan perintah yang sangat jelas daripada Rasulullah SAW dalam hal ini ialah: Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini penanda aras kesempurnaan Iman itu sendiri turut diukur berdasarkan tahap kecintaan dan kasih terhadap baginda SAW.

Sudah tentu kita tidak reda keimanan kita cacat dan tidak sempurna apatah lagi jika sebabnya adalah kegagalan kita melakukan sesuatu yang seindah dan semulia menyintai insan teristimewa, Nabi kita Muhammad SAW.

Di ketika yang lain, sunnah merakamkan dialog penuh makna antara Rasulullah SAW dan Saidina Umar al-Khattab r.a. Saidina Umar diriwayatkan berkata, “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku”.

Kata-kata Umar RA ini disambut oleh Rasulullah SAW dengan tegas: “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”.

Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar r.a lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain hadis-hadis yang mengikat iman dengan kecintaan terhadap Nabi SAW, kita juga menemukan hadis-hadis yang menjadikan cintakan Nabi SAW sebagai pra-syarat bagi mendapatkan matlamat-matlamat sehebat kemanisan iman dan seagung dapat bersama dengan Nabi SAW dalam syurga Allah SWT.

Rasulullah SAW diriwayatkan bersabda, Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i di dalam Bab Iman)

Diketika yang lain seorang sahabat telah menanyakan baginda SAW, “Bilakah akan berlaku hari kiamat, wahai Rasulullah?” (Dia bertanya sedemikian seolah-olah berasa rindu kepadanya). Jawab baginda SAW, “Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawabnya, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan solat, puasa (sunat) atau pun bersedekah tetapi aku amat kasih kepada Allah dan Rasul-Nya”. Sabda Baginda SAW, “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu kasihi”. (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Melihat nas-nas yang jelas di atas, apakah patut kita masih ragu-ragu atau lemah dalam berusaha membalas cinta kekasih yang unggul ini? Bijakkah kita jika masih menjulang cinta dunia melebihi cinta kita terhadap Nabi SAW?

Dalil Akal dan Fitrah

Selain kalam wahyu Qurani dan Nabawi, kewajipan dan keutamaan mencintai Nabi Muhammad SAW juga sangat selari dengan setiap akal yang salim dan segala fitrah yang sejahtera.

Lazimnya perasaan kasih adalah kecenderungan hati terhadap apa yang disamai atau disepakati sesama manusia sama ada persamaan atau kesesuaian pada fitrah semulajadi manusia ataupun hukum syarak.

Di antara persamaan yang menyebabkan terhasilnya kecenderungan dan kasih ini ialah:

lKelazatan atau tarikan yang dirasai dan ditanggapi oleh pancaindera yang zahir terhadap sifat-sifat luaran orang yang dikasihinya seperti tarikan kepada rupa paras atau gambaran yang cantik, suara yang lunak, makanan dan minuman yang lazat. Semuanya ini, adalah kecenderungan semulajadi pada fitrah yang sejahtera.

Kecenderungan atau tarikan yang dipandu dan dilahirkan oleh akal dan hati yang sejahtera terhadap sifat-sifat dalaman yang mulia dan baik yang dimiliki oleh seseorang yang dikasihi seperti suka atau kasih kepada orang-orang soleh, para ulama, ahli kebajikan yang dikhabarkan tentang perjalanan hidup mereka yang indah dan akhlak mereka yang baik.

Fitrah manusia yang cenderung untuk mengasihi golongan ini mampu menghasilkan rasa keterikatan dan komitmen yang tinggi yang jika disalurkan dengan betul boleh menghasilkan kerja-kerja besar dan hebat.

Perasaan suka dan kecenderungan yang lahir disebabkan oleh rasa terima kasih terhadap kebaikan seseorang dan nikmat-nikmat yang telah diterima daripadanya.

Sesungguhnya menjadi tabiat jiwa manusia, suka dan kasih kepada orang yang berbuat baik terhadapnya.

Jika kita meninjau faktor-faktor timbulnya cinta di atas pada diri Rasulullah SAW yang mulia, ternyata pada diri Baginda SAW terhimpun ketiga-tiga faktor tersebut sehingga mewajibkan secara aqli dan fitri Baginda SAW dikasihi dan dicintai oleh kita semua.

Adapun kecantikan rupa paras dan lahiriah Nabi SAW, kesempurnaan akhlak dan batin baginda SAW, telah dicatatkan dengan tinta emas dalam sejarah dan khazanah ilmu dan tidak dipertikaikan sama sekali.

Sekiranya kita cenderung mengasihi seseorang yang melakukan kebaikan kepada kita di dunia walau cuma sekali-dua pun serta sangat terhutang budi kepada orang yang telah menyelamatkan kita daripada kebinasaan dan kemudaratan semasa kita mengalami kesusahan duniawi barang seketika.

Maka sudah tentu insan istimewa yang telah membuka kepada kita segala pintu nikmat dan kebaikan yang berkekalan serta menyelamatkan kita daripada azab api neraka yang dahsyat adalah lebih patut, lebih utama dan lebih layak mendapat kasih dan cinta kita.

Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur-mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta suatu umat yang mulia kepada Nabinya yang agung, SAW. Wallahu a’lam.

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan
About these ads

4 Respons

  1. Alhamdulillah. artikel yang baik sekali untuk memekarkan cinta dan kasih pada junjungan Rasulullah S.A.W.

    Semoga cinta dan kasih kita mekar pada insan yang mulai ini. Dengan hanya mengamalkan walau satu sunnah Nabi, hati terasa lapang dan semacam ada pengharapan bahawa kita akan mendapat syafaat Nabi di akhirat kelak, Inshaa Allah.

    Sebagai lambang cinta kepada Nabi, andai ada kelapangan dari segi material dan masa, wajar benarlah kita usahakan untuk ziarah maqam Rasulullah S.A.W di Madinah al munawarroh.

    Sukar digambarkan dengan kata-kata bila melihat menara masjid Nabi. Apatah lagi, masuk ke dalamnya. Dan paling mengharukan, menyebakkan adalah ketika ziarah secara langsung depan maqam insan paling mulia itu sambil memberikan salam kepadanya.

    Betapa luar biasa nikmatnya ketika itu. Sungguh luar biasa. Dan kita merasa begitu cinta dan dekat dengan Nabi. Timbul satu keyakinan pada ketika itu bahawa kita pasti datang lagi menziarah Nabi pada masa hadapan.

  2. Alhamdulillah,dengan adanya artikel sebegini dapatlah saya melihat adakah benar apa yang saya mimpikan.pd saat itu saya rasa merindui rasulullah sampai mengalir air mata rindu yg amat mendalam sehinggakan saya tidak ingat langsung akan suami dan anak anak ketika itu.tiba tiba saya di datangi mimpi seorang lelaki berjubah putih senyum dan bercahaya cahaya raut wajahnya.sangat kacak dan belum pernah saya melihat insan sebegini cantiknya.dengan adanya artikal ini dapatlah saya membandingkan dengan apa yg saya mimpikan itu terima kasih sekali lagi.insyaallah selepas ini saya akan cuba menambah dan mengikuti sunnah rasulullah dgn lebih baik sekali.

  3. as salam,afwan,,ana nk mntk editor edit sedikt berkenaan dalil surah at taubah tu,,bkn surah at taubah,ayat 24,,bkn ayt 9,,afwan,
    syukran atas ilmu ini editor,,mmg menyentuh jiwa,,cintailah Allah dan rasulullah melebihi segala apa yg ad,yg kte miliki,,Allahuakbar,,

  4. slp,,bkn ayt 9,,tp ayt 24,,surah at taubah

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 15,559 other followers

%d bloggers like this: