• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,346,628 orang
  • Kandungan Blog

Ramadhan Bulan pentarbiahan lisan

Amirulhakim Ahmad Nadzri

Memelihara lisan perkara yang sangat dituntut dalam agama. Setiap kalimat yang dibicarakan dari mulut setiap insan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Oleh kerana itu, sebaik-baik manusia adalah orang yang cermat untuk memperhitungkan dan memerhatikan setiap perkataan yang akan diucapkan.

Ketika kita membahaskan mengenai memelihara lisan, ia bukan sahaja mengenai pertuturan, namun lebih daripada itu ia meliputi tulisan di media sosial, buku, akhbar dan sebagainya.

Terdapat banyak dalil mengenai memelihara lisan, antaranya dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu pihak (daripada lelaki) mencemuh pihak lelaki yang lain, (kerana) mungkin pihak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu pihak daripada perempuan mencemuh perempuan yang lain, (kerana) mungkin pihak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah sebahagian kamu menyatakan keaiban sebahagian yang lain dan janganlah pula kamu saling memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) setelah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang yang zalim.”

Selain itu terdapat banyak hadis nabi yang menyuruh untuk menjaga lisan, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” Imam asy-Syafii menjelaskan makna hadis ini adalah ‘jika engkau hendak berkata-kata maka berfikirlah terlebih dahulu, jika yang nampak adalah kebaikan maka ucapkanlah perkataan tersebut, namun jika yang nampak adalah keburukan atau bahkan engaku ragu-ragu maka tahanlah dirimu (daripada mengucapkan perkataan itu).’

Berbalik kepada tajuk artikel ini, Ramadan adalah pentarbiahan yang baik kepada diri merangkumi pelbagai aspek termasuk lisan. Bulan ini yang akan disambut kurang seminggu lagi adalah istimewa kerana di dalamnya terdapat kefarduan berpuasa seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud; “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.”

Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara yang membatalkan puasa, malah jauh daripada itu adalah tetap menjaga anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa.

Berpuasa ketika Ramadan pelindung daripada lisan yang tidak baik. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: “Puasa itu adalah pelindung, dan jika seseorang daripada kalian sedang puasa maka janganlah berkata kotor serta berteriak. Jika seseorang menghinanya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan: ‘Sesungguhnya saya sedang puasa.'”

Tambahan pula, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Dailami yang bermaksud: “Lima perkara yang boleh membatalkan pahala orang yang berpuasa: membicarakan orang lain, mengadu domba, berbohong, melihat dengan syahwat dan sumpah palsu.”

Daripada dalil yang diutarakan, dapat kita ambil pengajaran mengenai etika lisan yang berakhlak mulia. Pertama, tidak bercakap perkara sia-sia, kedua jika ditohmah dan sebagainya, hendaklah bersabar dan menjawab bahawa dia berpuasa; ketiga tidak mengumpat iaitu menyatakan sesuatu perkara yang tidak disukai olehnya dan yang keempat meninggalkan cakap kosong, bertengkar dan aktiviti tidak berfaedah.

Secara kesimpulannya, Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk mentarbiah diri terutama lisan kerana lisan mudah untuk mengeluarkan sesuatu pertuturan yang kadangkala ia akan membawa kepada hilangnya pahala puasa, namun jauh dari itu akan membawa kepada malapetaka yang besar kepada diri, masyarakat dan negara.

Justeru, mengambil pedoman daripada saranan Nabi berkaitan dengan menjaga lisan ketika berpuasa, kita perlulah sehabis baik memelihara lisan supaya tidak mensia-siakan ganjaran berpuasa Ramadan yang Allah SWT sudah janjikan, sekali gus menanam amalan menjaga lisan ini untuk terus dihayati dalam kehidupan sebagai seorang Muslim supaya kita tergolong dalam golongan orang yang bertakwa.