• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,350,913 orang
  • Kandungan Blog

Belanja ikut kemampuan, jangan turuti hawa nafsu

Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi 

Punca utama yang menyebabkan timbulnya keinginan tidak terbatas ini kerana jiwa manusia dipengaruhi oleh nafsu yang mendorong kepada sifat mazmumah (terkeji), seperti ‘ammarah (nafsu yang rendah dan jahat. Berani melakukan kejahatan dan sukar mengambil iktibar), lawwamah (nafsu yang sudah sedar, tetapi masih lemah. Sering terpengaruh dengan dorongan nafsu) dan mulhamah (nafsu yang kedudukannya tidak tetap. Ia berada antara nafsu lawwamah dengan nafsu mutma’innah). 

Akibatnya, kemahuan manusia menjadi tidak terbatas dan sukar dikawal. Apabila kemahuan sudah tidak terhad, maka tanpa rasa bersalah mereka berbelanja secara boros atau berlebihan. Dalam perkataan lain, semuanya dibuat berdasarkan kemahuan besar dan bukan sekadar memenuhi keperluan. Misalnya, mengadakan majlis perkahwinan secara berlebihan dengan hasrat dapat menandingi majlis yang dilakukan oleh orang lain; dan berkeinginan untuk ‘berumah dan berkereta besar’ bagi menyaingi rakan-rakan. Bagi orang yang sebegini, jika sesuatu kemahuan itu tidak dapat dipenuhi, jiwa mereka akan menderita, berdukacita dan memberontak.

Lebih-lebih lagi pada ketika ini, kecintaan terhadap dunia yang sementara ini sudah melebihi kecintaan mereka terhadap akhirat yang kekal abadi. Jelaslah di sini bahawa mereka belum memahami hikmah Allah SWT menyebut perkataan al-mawt (kematian) mendahului perkataan al-hayah (kehidupan) dalam ayat ke-2 daripada Surah al-Mulk (67) yang bermaksud “(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia (Allah) menguji kami, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

Menurut al-Qurtubiy dalam Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an atau lebih dikenali dengan Tafsir al-Qurtubiy, terdapat beberapa tujuan dan hikmah Allah SWT mendahulukan perkataan ‘kematian’ daripada perkataan ‘kehidupan’ dalam ayat ini. Antaranya adalah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa matlamat kehidupan sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sahaja, tetapi ia akan disoal di hadapan Allah SWT pada hari harta benda, saudara-mara dan anak-pinak tidak boleh memberi sebarang manfaat dan bantuan. Pada ketika ini (hari kiamat), semua manusia akan menghadap Allah SWT dalam keadaan furada (personal atau bersendirian). 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu segala apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu para penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa-apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah, manfaat dan kebanggaan kepada kamu).” (Surah al-An’am ayat 94)

Mereka memahami firman Allah SWT ini, akan lebih mengutamakan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Ia bukanlah bermakna meninggalkan terus kehidupan dunia ini, namun mereka akan menyeimbangkan kehidupan dunia dengan akhirat.

Untuk mengawal dan mendidik diri, kemahuan tidak terhad ini perlu dihadkan dan dikawal terlebih dahulu. Caranya dengan menghapuskan nafsu jahat (‘ammarah, lawwamah dan mulhamah) dan menggantikannya dengan sifat terpuji (mahmudah), seperti nafsu mutma’innah (nafsu yang tenang), radhiyah (nafsu yang menerima dengan rela apa-apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT, sama ada hukum-hakam atau syariat), mardhiyah (kedudukan mereka yang reda-meredai, iaitu Allah SWT reda ke atas mereka dan mereka reda dengan segala ketentuan Allah SWT) dan kamilah (nafsu yang sempurna. Keinginan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Ia dimiliki oleh para Rasul dan Nabi).

Ia boleh dilakukan dengan sentiasa menyucikan hati. Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Ia akan membawa kepada sikap berjimat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup.  

Islam tidak melarang umatnya membelanjakan harta dimiliki, asalkan ia berfaedah serta mengikut etika dan peraturan ditetapkan syarak. Antara etika dan peraturan itu ialah membelanjakan harta mengikut keperluan bukannya kemahuan.

Perkara inilah yang dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan ayat 67).

Sifat bersederhana dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan harian amat penting. Ketika berbelanja dalam situasi ini, kita perlu memikirkan keperluan masa depan. Islam mahukan penganutnya pandai dan bijaksana dalam mengatur perbelanjaan, tidak boros, membazir serta tidak juga kedekut dan bakhil.

Berjimat cermat dan sentiasa bersederhana banyak mendatangkan faedah terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Antara faedah itu:

Pertama, kehidupan seseorang itu pada masa hadapan akan lebih terjamin, terutama ketika berdepan kesusahan dan kecemasan. Biasanya orang yang boros akan menghadapi masalah kewangan di kemudian hari. 

Kedua, seseorang itu akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT kerana kesederhanaan itu adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Sebaliknya, pembaziran akan meninggalkan kesan yang buruk dalam kehidupan kerana pembaziran itu diasaskan dan didorong oleh syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Beriman lah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman antara kamu serta membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah) mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid ayat 7). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’ ayat 27)

Ketiga, seseorang itu juga berpeluang menambahkan pahala melalui ibadah zakat dan sedekah di jalan Allah SWT. Sebagai contoh terbaik dalam bersedekah ini adalah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda sering memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar. Rasulullah SAW sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit sahaja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Demi memastikan amalan sedekah ini diteruskan, Baginda sanggup berlapar dan memakai pakaian yang diperbuat daripada bahan kasar dan berharga paling murah.

Abu Dzar RA pernah menceritakan bahawa suatu hari sewaktu beliau berjalan bersama-sama Rasulullah SAW, dan tiba di sebuah tanah lapang di Madinah yang jelas terlihat Bukit Uhud, Baginda bersabda: “Sesungguhnya harta itu hijau dan manis. Sesiapa mengambilnya dengan kedermawanan hati, maka akan diberkati; sesiapa yang mengambilnya dengan keserakahan, maka tidak akan diberkati. (Jika tidak diberkati, maka dia) seperti orang yang makan, tapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas (memberi dengan cara bersedekah atau berzakat) lebih baik daripada tangan di bawah (penerima).” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, bersederhana dalam perbelanjaan dituntut dalam Islam dan hendaklah dilakukan mengikut keperluan dan tidak mengikut hawa nafsu. Biarlah setiap sen wang yang dibelanjakan bukan setakat memenuhi keperluan, tetapi matlamat yang ingin dicapai adalah untuk mendapat berkat dan keredaan Allah SWT.

Tinggalkan komen