• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,350,383 orang
  • Kandungan Blog

Usah lepaskan peluang puasa Hari Arafah ( 9 Zulhijjah)

Mohd Rizal Azman Rifin

Hati siapa yang tidak berhajat untuk bergelar duyufurrahman, selaku jemaah haji di Tanah Suci. Mungkin masa ini kita masih belum ditemukan dengan takdir untuk ‘dijemput’ sebagai tetamu Allah bagi melaksanakan ibadah Rukun Islam Kelima itu. 

Apapun situasi kita masa ini, niat, azam dan usaha ke arah merealisasikan impian suci itu mesti terus dicongak dan digerakkan secara bersungguh. Tidak berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji bukan bermakna Allah menutup rapat pintu keberkatan di bulan Zulhijah ini. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. 

Pelbagai pintu keberkatan dan pahala besar masih dibuka ruang dan diberikan peluang oleh Allah untuk diraih. Misalnya, berpuasa sunat awal Zulhijah khususnya pada Hari Arafah. Jika semasa di bulan Ramadan, kita amat bersungguh untuk mengimarahkan 10 malam terakhir bulan Ramadan kerana menemui Malam Lailatur Qadar, maka demikianlah juga sepatutnya kita menjadi kuat semangat untuk merebut ganjaran pahala besar dengan beramal dan berpuasa di 10 hari awal di bulan Zulhijah ini. 

Jika pada 10 malam terakhir, Allah kurniakan Malam Lailatur Qadar, tetapi pada 10 hari pertama bulan Zulhijah, Allah kurniakan puasa Hari Arafah untuk kita manfaatkan. Puasa Hari Arafah bukan puasa yang rendah wibawa pahalanya kerana Allah menyajikan fadilat yang banyak. 

Puasa Hari Arafah menghapuskan dosa. Sahabat Nabi SAW, Abi Qatadah ada melaporkan bahawa Rasulullah SAW apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah, maka dijawab oleh Baginda: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim)

Kenyataan dalam jawapan Baginda itu seharusnya menyuntik hati kita untuk merebut peluang terhidang yang disediakan oleh Allah. Dalam usaha pencarian untuk memperbanyakkan koleksi pahala sebagai bekalan akhirat, kita tidak sewajarnya bersikap berpuas hati dengan sekadar melakukan ibadah puasa wajib semasa bulan Ramadan sahaja. 

Hal ini kerana selagi kita diberikan nafas untuk hidup, maka hati kita perlu diinsafkan bahawa peluang masih hidup di atas muka bumi memberi makna yang Allah mahu memberikan peluang untuk menambah koleksi pahala dan berusaha ‘memadamkan’ dosa-dosa yang lalu. 

Jadi, dengan berpuasa sunat Hari Arafah adalah antara kaedah dan cara bersungguh kita untuk ‘pergi meninggalkan dunia’ dengan berbekalkan koleksi pahala yang besar. Dalam setahun yang lalu, marilah kita renungkan secara jujur betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan, baik dosa-dosa mazmumah zahir mahupun mungkar hati. Jadi, puasa hari Arafah satu peluang Allah bagi untuk kita ‘delete’ karat-karat dosa kita.

Doa Hari Arafah doa paling dimakbulkan. Dalam satu laporan yang diberitahu oleh Abdullah bin Amru bin al-Asr yang katanya Baginda Nabi SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Bayangkanlah betapa ‘powernya’ doa seseorang yang memohon kepada Allah, sedangkan di waktu itu juga dia sedang mengerjakan ibadah puasa sunat Hari Arafah. Tidakkah ini satu peluang besar yang dianugerahkan oleh Allah untuk kita rebut? Perihal mustajabnya doa pada Hari Arafah tidak seharusnya kita lepaskan begitu sahaja. Meskipun jasad tubuh badan kita tidak berada di lembah bukit Arafah yang para jemaah berwukuf, kita yang di kampung halaman sendiri pun tidak sepatutnya sekadar menatap di paparan media kesungguhan saudara-saudara kita di sana memunajatkan doa. 

Kita juga perlu mengiringi jejak mereka dengan berpuasa sunat dan berdoa pada Hari Arafah yang agung ini. Doa hari Arafah memang sangat sesuai untuk kita yang belum diizinkan Allah untuk mengecapi gelaran duyufurrahman ini untuk berdoa dengan bersungguh agar Allah memakbulkan doa kita untuk menjejakki tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji. Jadikan doa Hari Arafah kita itu sebagai ‘rayuan’ dengan setulus hati kerana Allah Maha Mendengar isi lubuk hati kita. 

Sambil kita sedang jalani ibadah puasa Hari Arafah, ada eloknya hati dan fikiran kita juga dibawa untuk menghayati sirah padang Arafah dan kawasan persekitarannya termasuklah Padang Arafah yang sangat memberikan kita ibrah berhikmah. 

Antaranya, kita sewajarnya mengingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT yang terakhir kepada Nabi SAW. Jabal Rahmah sebenarnya berada dalam geografi berlingkungan dengan Padang Arafah dan di sinilah juga baginda mendapat wahyu yang cukup ‘memilukan hati’ sahabat-sahabat Nabi SAW, khususnya Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Ini kerana mereka mengerti makna tersirat di sebalik turunnya wahyu tersebut iaitu petanda bahawa baginda akan meninggalkan mereka menemui Allah SWT. 

Turunnya ayat tiga Surah al-Ma’idah yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Itu bukanlah ayat Allah SWT yang terakhir sebagaimana yang lazim kita ketahui. 

Syeikh Muhammad Ra’fat Said menyatakan ayat ini bukan ayat terakhir yang diturunkan kerana ia diturunkan di Arafah pada tahun ke-9 hijrah dan baginda Rasulullah SAW wafat jam 9 malam selepas turunnya ayat 281 Surah al-Baqarah. Kemudiannya, Imam al-Alusi memberi pencerahannya dengan berkata, selepas ayat ini tiada lagi ayat yang diturunkan berkenaan hukum halal dan haram dan inilah maksud mereka yang mengatakan ayat ini yang terakhir yang diturunkan dalam erti kata ayat terakhir tentang hukum halal dan haram. 

Jadi, ibadah puasa Hari Arafah itu selain untuk kita merebut fadilat ganjaran besar pahalanya, kita juga sebenarnya berpeluang untuk menghayati kembali sirah demi meraih ibrah. 

Selamat berpuasa Hari Arafah. Semoga ibadah kita diterima, dan doa kita ‘diangkat’ kepada Allah. Insya-Allah.

Tinggalkan komen