• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,350,033 orang
  • Kandungan Blog

Zulhijjah Bulan haram penuh pancaran rahmat Allah

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bulan Zulhijah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam dan termasuk antara empat bulan haram yang dinyatakan Allah dalam al-Quran.

Kehadiran bulan Zulhijah juga amat dinanti-nantikan umat Islam terutama mereka yang sudah bersedia dalam segala segi untuk menyahut seruan Ilahi dalam melaksanakan ibadat haji.

Di samping itu, bulan Zulhijah juga menyaksikan tiga kemuliaan dalam satu bulan yang sewajarnya menjadi bahan renungan dan pengajaran bagi setiap Muslim yang bertakwa.

Ketiga-tiga kemuliaan yang terhimpun dalam bulan Zulhijah yang mulia itu ialah kemuliaan waktu, kemuliaan tempat dan kemuliaan musim haji.

Kemulian waktunya ialah kerana kita berada dalam bulan haji iaitu bulan haram yang setiap detiknya amat berharga di sisi Allah.

Detik-detik keemasan yang terhampar sepanjang Zulhijah adalah antara waktu yang paling afdal beribadat untuk mendekatkan diri ke hadrat Allah.

Dalam bulan mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari paling afdal di sisi Allah selain daripada Jumaat iaitu Hari Arafah.

Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan haji di Tanah Suci.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji, mereka dianjurkan pula berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat lain pada hari tebabit sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya. (Hadis Riwayat Muslim)

Kemuncak daripada itu, Hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari terbabit daripada api neraka.

Oleh kerana itu, hari keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah Taala.

Kemuliaan tempatnya pula ialah kerana jemaah haji yang melaksanakan ibadat haji kini berada di Tanah Suci iaitu Makkah dan Madinah.

Sejak dunia mengenal peradaban, Baitullah berdiri tegak sebagai benteng akidah kukuh yang tidak mudah digugah, apatah lagi dihapuskan.

Sebaliknya segala propaganda dan perancangan musuh Islam sentiasa gagal dan tidak kesampaian.

Justeru, Makkah dengan Baitullahnya diangkat sebagai simbol keimanan dan akidah. Pusat penyebaran akidah dan markas dakwah Islam yang pada asalnya dibangunkan atas tanah daratan gurun yang tandus dan kering-kontang akhirnya berupaya merubah perjalanan sejarah, menghancurkan kepercayaan keberhalaan, merobohkan masyarakat jahiliah dan menggugat sendi-sendi peradaban dunia sedia ada ketika itu sehingga Makkah muncul sebagai pusat pancaran Islam yang menyinari kegelapan dunia.

Sehubungan itu, setiap jemaah haji ataupun umrah yang berada di Tanah Suci wajib memelihara kesucian tempat mulia ini dengan mentaati semua perintah dan larangan Ilahi serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa di sana.

Oleh sebab itu, Allah memberi peringatan keras terhadap sesiapa yang cuba melakukan kerosakan secara zalim dalam Masjidil Haram lewat firman-Nya yang bermaksud: Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Hajj, ayat 25)

Manakala kemuliaam musimnya ialah kerana bulan Zulhijah adalah bulan yang terkandung di dalamnya amalan ibadat yang besar ganjarannya di sisi Allah iaitu ibadah haji.

Ibadah haji ini sebenarnya mempunyai banyak pengertian suci terutama dalam mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khaliq dan Pencipta kepada alam semesta ini dan manusia sebagai makhluk-Nya dan ciptaan-Nya yang menghuni di alam ini sebagai khalifah-Nya.

Allah menyediakan ganjaran yang cukup besar bagi Muslim yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan terbabit melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: Daripada satu umrah kepada umrah yang berikutnya adalah penghapus semua kesalahan dan dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kemuliaan musim haji ini pada hakikatnya tidak dapat dinilai kebesarannya, kelebihannya dan keistimewaannya kerana di dalamnya terlihat banyak manfaat yang dapat dipetik dan banyak kesempatan yang dapat dimanfaatkan, sekali gus merupakan saat-saat indah dan keemasan yang dilalui jemaah haji dengan penuh keinsafan dan keikhlasan demi meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak.

Segala hikmah dan pelbagai pengajaran yang terhimpun dalam musim haji sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap jemaah haji bermula daripada kesatuan umat Islam yang datang dari berbagai-bagai bangsa dan negara, mempereratkan hubungan ukhuwah dan menghapuskan segala bentuk perpecahan atau persengketaan meskipun negeri mereka berjauhan, bahasa mereka berlainan dan warna kulit mereka yang berbeza.

Namun, kini umat Islam di Tanah Suci sudah dipersatukan oleh akidah yang satu, tempat dan musim yang satu, musim yang penuh cucuran rahmat Ilahi kepada Muslim yang benar-benar bertakwa.

Dari tempat suci turunnya wahyu dan terbitnya risalah Islam ini akan terpancar akidah tauhid yang mapan, ikatan ukhuwah yang kukuh, risalah perdamaian yang konkrit, dengan demikian diharapkan melalui pertemuan dan perhimpunan bersejarah sesama Muslim di tempat dan waktu yang sangat mulia, segala masalah, krisis dan kemelut yang dihadapi umat Islam dari serata dunia dapat diatasi selain menemui titik-titik penyelesaian dan permuafakatan yang jitu dalam menghadapi arus globalisasi pada era pascamoden ini yang tidak banyak memberi erti dan manfaat apabila dibandingkan dengan kemuliaan musim haji yang tersingkap di dalamnya makna yang luhur.

Perlu diinsafi bahawa risalah Islam adalah risalah yang sungguh agung dan amanah yang cukup besar. Oleh itu, umat Islam dewasa ini sangat memerlukan kepada satu kesatuan dan perpaduan ummah yang utuh dalam menghadapi ancaman dan cabaran pascamodenisme ini di bawah naungan satu panji, bersandar pada satu kiblat, maka warna kulit, bahasa, tempat tinggal, semuanya akan terikat menjadi satu syiar Islam.

Hanya di bawah naungan panji Islam dengan suluhan wahyu al-Quran dan sunnah Rasulullah, baru umat Islam dapat bangkit berperanan sebagai umat terbaik dan contoh kepada sekalian alam.

Demikian kemuliaan yang terhampar sepanjang bulan Zulhijah yang sewajibnya diambil iktibar bukan sahaja oleh setiap jemaah haji, bahkan juga umat Islam yang berada di luar sempadan Tanah Suci untuk sama-sama mengambil inisiatif dan mengorak langkah untuk menjana akidah tauhid yang ampuh dan menjalin ikatan ukhuwah yang utuh dalam usaha menobatkan kembali kecemerlangan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.

Tinggalkan komen