• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,090 orang
  • Kandungan Blog

Elak label orang canggah agama

Muhammad Saufi Hassan

Melabelkan wanita lain dengan ‘perampas’ malah lebih teruk apabila dinamakan sebagai ‘penyondol’. Itu antara gelaran yang sering digunakan oleh segelintir masyarakat terhadap wanita yang mengahwini lelaki sudah beristeri.

  Hujung minggu lalu, penulis sempat mendengar kupasan daripada pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias al-Hafiz berhubung melabelkan orang sesuka hati khususnya dengan penggunaan perkataan yang kian popular pada ketika ini iaitu ‘penyondol’.

  Mohd Kazim menegur tindakan segelintir pihak yang melabelkan wanita berkenaan sebagai penyondol sedangkan di sisi syarak, keadaan itu dibolehkan (berpoligami).

  Ia sebenarnya membuka pemikiran penulis betapa mudahnya kita terikut-ikut dengan emosi serta amarah sehingga menafikan sesuatu perkara yang dibolehkan dalam Islam, jika itu terjadi, bagaimana dengan iman kita sebagai orang Islam.

  Dalam kupasan isu berkenaan, pendakwah terkenal berkenaan menyatakan bahawa pelabelan wanita dengan perkataan seumpamanya adalah tidak tepat malah seolah-olah memberi gambaran buruk terhadap perkara yang dibolehkan dalam Islam.

 Paling menjentik hati penulis apabila Datuk Mohd Kazim (Mohd Kazim Elias al-Hafiz) membawa konteks Rasulullah SAW, Baginda mempunyai lebih daripada seorang isteri dan apakah isteri-isteri Baginda kita mahu gelar dengan gelaran sedemikian. Nauzubillah.

  Jika seseorang lelaki itu berkemampuan daripada segenap aspek iaitu fizikal serta material, maka di mana kesalahannya untuk berpoligami sedangkan perkara berkenaan dibenarkan dalam Islam, apakah kita pula yang mahu meletakkan hukum ‘haram’ tatkala Allah SWT membenarkan perbuatan itu.

  Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6018)

  Daripada Abu Zar RA dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6045)

  Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani: “Barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.

  Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan.

  Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya maka ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah.

  Selain itu, selagi seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu.” (Fath al-Bari, 466/10)

  Islam sangat menganjurkan umatnya berkata baik, berpandangan baik kepada sesiapa saja dan mengelakkan sebarang bentuk pelabelan terutamanya pada sesuatu perkara yang dibenarkan dalam Islam.

  Isu poligami ini adalah jelas dan ia dibenarkan dalam Islam jika lelaki berkenaan mempunyai kemampuan fizikal serta material, namun, jika lelaki berkenaan bimbang untuk berlaku adil, maka mengahwini seorang wanita sudah memadai.

  Memetik kata-kata Mohd Kazim, pendakwah berkenaan menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah gelaran kepada orang lain khususnya tentang perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam seperti isu poligami berkenaan.

  “Jika lelaki berkenaan berkemampuan daripada aspek material serta fizikal, poligami berkenaan tidak menjadi masalah untuknya, kenapa pula kita perlu label wanita yang dikahwininya dengan gelaran yang tidak sepatutnya.

  “Ini tindakan yang tidak betul, malah memberi gambaran yang salah. Kita harus berhati-hati dan mengawal emosi kita jangan sampai melangkaui perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam, kita pula yang ‘mengharamkan,” katanya.