• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,090 orang
  • Kandungan Blog

Rasa diri sentiasa di awasi

Mohd Rizal Azman Rifin

Dalam apa jua aspek kehidupan termasuklah dalam politik kita tidak seharusnya meminggirkan unsur nilai agama dan akhlak. Seandainya kita mengetepikan segala nilai agama yang murni pastinya akan menimbulkan senario yang mengeruhkan hubungan sesama ummah. Begitulah dengan ucapan berbaur memfitnah yang meninggalkan kesan buruk sehingga menjerumuskan anggota masyarakat kepada berpecah-belah yang serius. Hal sebegini amat ditegah Allah. 

Orang yang kental darjat keimanan dan ketakwaannya tentu berasa amat sukar mengizinkan lidahnya untuk berbicara yang buruk-buruk terhadap sesiapa sahaja, apatah lagi menghamburkan tutur kata yang berbaur fitnah. Ini kerana dia sentiasa berwaspada agar anugerah Allah berupa lidah itu kepadanya tidak disalahpakai dalam perkara terlarang yang akan mengundang dosa. Nikmat kurniaan Allah berupa lidah yang boleh berkata-kata bukannya untuk dinegatifkannya dengan unsur mungkar, sebaliknya kita pergunakannya dalam kebaikan yang berpahala. 

Lidah amat mudah menggamit pahala dan menerusi lidah juga seseorang itu akan menjadi seorang pendosa. Karakter orang teguh mengikuti sunah Rasulullah SAW dan tegas berpegang kepada roh agama dalam jiwa, tidak akan membiarkan segala nikmat Allah dikufuri dengan apa jua kemungkaran sekalipun. Apabila kita ‘melihat Allah’ dalam segenap kerja yang dilakukan pastinya sukar untuk kita membiarkan diri ‘terbabas’ ke jurang maksiat. Demikianlahlah halnya dengan nikmat lidah itu. 

Rasulullah SAW begitu kerap memperkatakan kepada kita agar menjalinkan hubungan silaturahim sesama ummah dan jangan menimbulkan sebarang gejala negatif yang boleh memudaratkan dan mencacatkan keakraban interaksi sosial. Antara yang sering kita dengar, masih ada dalam kalangan kita begitu juga ahli politik yang mencaci maki pihak ‘lawan’ yang berbeza aliran. Sebenarnya, perkara sedemikian juga termasuk dalam jurang maksiat yang terlarang. 

Allah dengan tegas sudahpun mengingatkan kita dengan Firman-Nya: “Dan orang yang menyakiti lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman tanpa sesuatu kesalahan yang tidak mereka perbuat, sesungguhnya mereka memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang nyata.” (Maksud Surah al-Ahzab ayat 58). Ini satu amaran kepada kita sebenarnya agar tidak mudah lidah menutur ucap bicara yang berunsurkan kata nista dan fitnah yang keji. 

Rasulullah SAW telah memperingatkan kita supaya elakkan diri daripada terjerumus ke kancah maksiat dan mungkar menerusi perantaraan lidah itu. Antara pesanan Baginda ialah elakkan diri daripada mencaci sesama Islam, menegah menyakiti insan lain melalui lidah dan tangan, usah kita saling membenci, jangan biarkan jiwa diselaputi unsur hasad dengki, usah biarkan hati kita dibelenggu emosi marah melampau terhadap orang Islam yang lain dan juga Baginda ada berpesan supaya bersihkan hati daripada berburuk sangka. Dilihat dalam hal ini, nyata sekali Baginda SAW begitu cakna dan bersikap proaktif terhadap kelangsungan kehidupan umatnya semasa Baginda hidup mahupun yang akan datang selepasnya.

Tetapi, selepas lebih 14 abad sesudah wafatnya Baginda SAW, kita semakin terhakis segala nilai murni yang menjadi koleksi khazanah Rasulullah SAW yang sepatutnya kita pusakai dengan pemeliharaan yang rapi dan amalikan dalam kehidupan duniawi ini. Sahabat kanan Baginda, Abdullah bin Mas’ud ada memberitahu kita bahawa Rasulullah saw pernah berpesan: “Mencaci orang Islam adalah perbuatan fasik dan membunuh orang Islam pula seolah-olah menjadi kafir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Renungilah betapa tegasnya nada peringatan Rasulullah SAW dalam hal yang bersangkut-paut urusan membina hubungan ukhuwah ummah. Sayang, semakin hari segala amaran dan pesanan Baginda SAW kita abaikan dan pandang remeh.

Satu pesanan Baginda SAW ini yang juga masih berkisar kepada membentuk hubungan sosial yang padu bersatu. Seorang sahabat Baginda, Abdulllah bin Amru bin Al-As melaporkan kepada kita bahawa dia ada mendengar Rasulullah SAW berpesan: “Sesiapa yang hendak selamat daripada api neraka dan masuk syurga, dia hendaklah mati dalam keadaan betul-betul yakin kepada Allah dan Hari Akhirat serta berurusan secara baik dengan orang lain seperti yang dia harapkan orang lain berurusan dengan baik dengannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, dalam apapun situasi kita seharusnya bertindak matang, berakal budi yang tinggi sekali gus sentiasa menerapkan adab dan akhlak Islam. Usah dek kerana sesuatu kepentingan segala adab dan akhlak Islam digadai bagi mencapai hajat duniawi.