• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,085 orang
  • Kandungan Blog

Cebisan azab di akhirat

Nor Asree Mohd Noh

Fenomena cuaca panas di Malaysia terus terasa sehingga kini. Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan terdapat beberapa kawasan dengan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Status cuaca panas pada tahap ini dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Peningkatan suhu ini sedikit sebanyak memberikan kesan fizikal dan mental pada diri seseorang. Lebih menyedihkan, dilaporkan sebelum ini beberapa kes kematian disebabkan strok haba.   

  Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia disyaki disebabkan strok haba.

  Dikatakan anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami  simptom demam  tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, sebelum meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

  Sebagai Muslim, seharusnya kita melihat keadaan yang berlaku ini dengan mata hati, di mana Allah SWT sentiasa menguji hambanya untuk terus bersabar demi mengharungi kehidupan yang bersifat sementara ini. Kita turut disuruh untuk mengingatkan diri kita tentang kehidupan kekal abadi adalah ‘di sana’ yang tiada jalan kembali lagi selepas itu.

  Allah SWT berfirman: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.” (Surah Ghafir: 39)

  Selain itu, Allah SWT menjadikan kita yang berakal supaya merenung dengan mengaitkan cuaca panas begini dengan keadaan akhirat yang begitu dahsyat bermula sahaja seseorang berada di dalam kubur, kemudian menuju ke Mahsyar dan destinasi terakhir buat seseorang pendosa dan kafir kepada-Nya, iaitu neraka. Ia sinonim dengan panas, terik, haba, bahang dan sifatnya membakar.

  Oleh sebab itu, terdapat nama-nama neraka tersebut sendiri yang merujuk kepada sifatnya yang panas, contohnya seperti Jahim, Saqar dan Lazha.

  Jika diamati ayat al-Quran mengenai azab dan panasnya seksaan dalam neraka, pasti akan menginsafkan diri kita untuk terus patuh pada perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Allah berfirman: “Inilah dua golongan (Mukmin dan kafir) yang bertengkar mengenai Tuhan mereka. Maka bagi orang kafir akan dibuatkan pakaian-pakaian daripada api neraka untuk mereka. Air yang mendidih akan disiram ke atas kepala mereka (19) Dengan air yang mendidih itu akan menghancurluluhkan apa yang ada di dalam perut dan kulit mereka (20) Dan azab bagi mereka sebatan daripada cemeti daripada besi (21) Setiap kali mereka hendak keluar darinya (neraka) kerana terseksa, mereka akan dikembalikan lagi ke dalamnya.  Dikatakan kepada mereka: “Rasakanlah azab yang membakar ini.” (Surahal-Hajj: 19-22)

  Ayat-ayat ini sungguh menakutkan. Sehingga disediakan pakaian khas bagi ahli neraka. Ulama tafsir antaranya Imam Ibn Kathir dan Imam al-Baghawi menukilkan riwayat-riwayat, mengatakan pakaian ini diperbuat daripada nuhas bererti tembaga, yang mana apabila ia dibakar, tidak terperi kepanasannya. Imam al-Sa’adi menafsirkan bahawa pakaian yang diperbuat daripada tembaga cair ini adalah untuk memberikan rasa kesakitan pada seluruh bahagian badan. Ahli neraka akan dicurahkan ke atas kepala mereka dengan air yang menggelegak, iaitu hamim.

  Menurut Imam al-Tabari, bahawa kepanasan air ini akan menembusi tengkorak dan melubangi seluruh badan mereka. Ungkapan yusharu bihi bererti dengan air yang panas tersebut, sifatnya mencairkan tubuh, perut dan kulit ahli neraka. Mereka turut diazab dengan pukulan sebatan oleh malaikat dengan maqami’ atau cemeti-cemeti yang daripada besi. Dalam riwayat Imam Ahmad mengatakan, jika cemeti ini digunakan untuk memukul gunung, nescaya ia akan lebur dan berkecai. Malaikat yang ditugaskan pula begitu kasar dan tidak menderhakai Allah SWT. Sekiranya ahli neraka ingin keluar darinya kerana tidak tahan, mereka akan dikembalikan semula untuk diazab sebagaimana asal.

  Panas dunia ini hanya 1/70 sahaja daripada api di akhirat. Nabi SAW bersabda: “Api dunia yang kamu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api nereka.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, meskipun semua dikumpulkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Ia lebih panas 69 kali (ganda).” (HR Tirmizi)

  Justeru itu, kita diperintahkan oleh Allah untuk menjaga diri dan keluarga kita daripada terjerumus ke dalamnya atau walaupun merasai hawa bahangnya, sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim: 6)

  Apa yang dapat kita ambil pengajaran dan iktibar di sini ialah bandingan dua kehidupan, iaitu dunia dan akhirat adalah tidak sama. Dunia hanya tempat persinggahan sahaja, tetapi akhirat merupakan matlamat terakhir, sama ada menuju ke syurga mahupun neraka. Nikmat atau azab yang diberikan bersifat kekal dan berganda. Keperitan seseorang apabila disebat sama ada dengan rotan atau kayu atau apa sahaja objek keras, ia sudah pun menyakitkan, apatah lagi cemeti besi yang digunakan di dalam neraka kelak. Kegelapan dunia, boleh dicari lampu untuk meneranginya, tetapi di alam barzakh tiada sebarang cahaya yang mampu menyuluh seseorang. Kepanasan dan api dunia sudah tidak tertahan, walaupun ia cebisan sahaja, apatah lagi api akhirat. Kalau di dunia, seseorang yang berasa panas, dia boleh minum, berteduh atau berlindung di tempat yang selesa dan ada kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan, tetapi tidak di akhirat, ia lebih dahsyat dan derita daripada apa yang dirasai di dunia sekarang.