• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,081 orang
  • Kandungan Blog

Keberkatan dalam melaksanakan pekerjaan

Terdapat beberapa panduan dan motivasi yang diberikan oleh Islam kepada setiap Muslim untuk bekerja mencari rezeki bagi menyara dan meneruskan kehidupan seharian.

Pertama, ikhtiar dan berusaha mendapatkan pekerjaan. Islam mendidik setiap Muslim agar sentiasa menjadikan pekerjaan yang dilakukan sebagai ibadah kerana akan dilihat dan dinilai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara ghaib serta nyata kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah: 105)

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat: 56)

Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan daripada segi fizikal serta mental dituntut untuk bekerja. Islam sangat memuji individu yang bekerja, bahkan akan diampunkan dosa.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha dilakukan dengan kedua-dua tangannya sendiri, dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Riwayat at-Tabrani)

Walaupun Islam menganjurkan bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan kehidupan, namun perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan benar-benar tawakal nescaya Allah rezekikan kamu seperti Dia rezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Ahmad)

Kedua, mencari rezeki yang halal dan tidak bercanggah dengan syariat. Penekanan terhadap punca rezeki yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam kerana kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari kiamat hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu) tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan serta apa sahaja yang dia lakukan daripada ilmu yang dimilikinya.” (Riwayat at-Tirmizi: no 2416)

Galakan dan motivasi untuk berusaha mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri daripada meminta-minta dan usaha untuk keluarganya serta untuk baik dengan tetangganya akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga serta sombong akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.” (Riwayat al-Baihaqi: no 9890)

Ketiga, tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan pekerjaan. Islam menuntut setiap Muslim supaya melaksanakan pekerjaan dengan sifat ‘itqan’ (tekun) dan penuh komitmen.

Sifat ‘itqan’ bermakna melaksanakan kerja, tugasan, amalan dengan bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan serta disiplin yang ditetapkan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mengasihi apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan yang dilakukan secara tekun.” (Riwayat at-Tabrani: no 897)

Demikianlah panduan dan bimbingan yang diberikan oleh Islam kepada setiap individu supaya melaksanakan pekerjaan sebaik-baiknya bagi mendapatkan keberkatan dalam kehidupan.

Pekerjaan tidak sekadar untuk mendapatkan gaji semata-mata, bahkan sebagai ladang untuk memperoleh ganjaran pahala jika benar-benar dilakukan menurut jalan yang diredai Allah SWT.