• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,078 orang
  • Kandungan Blog

Bulan Syawal penyubur ukhuwah

Mohd Shahrizal Nasir

Kita masih berada dalam bulan Syawal yang diberkati. Suasana hari raya masih terasa sama ada di kampung mahupun di kawasan bandar. Semua umat Islam menzahirkan kegembiraan setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadan selama sebulan. Dalam Islam, kegembiraan perlu diserlahkan dengan memperbanyakkan ucapan pujian kehadrat Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Selain itu, Islam turut mementingkan hubungan sesama manusia termasuk ketika berada dalam bulan Syawal.

Oleh itu dapat diperhatikan antara sunah Rasulullah SAW ketika 1 Syawal ialah dengan melalui jalan berbeza tatkala menuju ke tempat solat sunat hari raya dan ketika pulang ke rumah.

Jabir bin ‘Abdullah berkata: “Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab Zad al-Ma’ad, Baginda SAW selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Hal ini dilakukan oleh Rasulullah SAW agar dapat menemui orang ramai yang melalui kedua-dua jalan itu.

Terdapat juga pandangan bahawa perbuatan baginda itu bertujuan menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan di kedua-dua jalan tersebut. Menurut pendapat lain pula, perbuatan Rasulullah SAW itu menyerlahkan syiar Islam di jalan-jalan tersebut menandakan umat Islam bergembira pada hari raya dengan mengeratkan ukhuwah Islamiah.

Sesungguhnya bulan Syawal yang padanya terdapat hari raya Aidilfitri merupakan bulan untuk menyuburkan ikatan ukhuwah sesama umat Islam.

Justeru, umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan amal kebaikan sesama manusia.

Rasulullah SAW menjelaskan fadilat besar bagi orang Islam yang berusaha membantu saudara sesama Islam yang lain.

“Sesiapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin daripada pelbagai kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesulitannya di hari Kiamat. Sesiapa yang mempermudahkan urusan orang yang berada dalam kesusahan, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya urusan di dunia dan di akhirat.” (Muttafaq ‘alaih)

Sepertimana sudah menjadi amalan saban tahun di Malaysia, suasana hari raya dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan baik sesama insan. Keadaan ini merupakan satu perkara baik yang perlu disemarakkan agar hubungan kita sesama umat Islam terus erat. Ini bertepatan dengan nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jadilah kalian para hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menyuburkan hubungan sesama Muslim ketika hari raya. Lihatlah hubungan kita di dalam rumah terlebih dahulu.

Suasana hari raya dengan ahli keluarga bertemu dan berkumpul bersama perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ada orang yang kadangkala lebih mengutamakan hubungannya dengan orang lain melebihi hubungannya dengan ahli keluarga sendiri.

Sepatutnya hubungan ahli keluarga perlu dipereratkan terlebih dahulu.

Begitu juga sekiranya kita berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, maka lihatlah keadaan ahli keluarga terlebih dahulu agar dapat dihulurkan bantuan sekiranya ada yang memerlukan.

Hubungan ahli keluarga lebih dekat dalam kehidupan kita kerana merekalah yang akan menghulurkan apa sahaja pertolongan ketika kita memerlukannya kelak. Bagi yang mempunyai masalah dalam hubungan kekeluargaan, ambillah peluang suasana hari raya ini untuk memperbaiki mana yang retak, dan menjernihkan mana yang keruh.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah hubungan silaturahim (antara ahli keluarga)” (Muttafaq ‘alaih)

Begitu juga dengan hubungan sesama jiran tetangga. Jiran adalah individu yang paling rapat dalam kehidupan kita selain ahli keluarga. Jiran akan mendapat tahu lebih awal apa keadaan kita sebelum sesuatu berita sampai kepengetahuan ahli keluarga yang tinggal berjauhan. Oleh itu, dalam suasana raya ini, jiranlah pihak yang utama perlu diziarahi atau dijemput untuk hadir ke rumah bagi meraikan mereka sempena hari raya.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa perbuatan menghormati jiran mempunyai kaitan yang rapat dengan iman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat, maka hendaklahd ia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam apa juga keadaan, menyakiti hati jiran merupakan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Hal ini juga disandarkan kepada hadis Rasululah SAW yang bermaksud: “Demi Allah! tidak beriman. Demi Allah! tidak beriman. Demi Allah! tidak beriman.” Ditanya kepada Baginda: “Siapakah yang tidak beriman, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Orang yang jiran tetangganya tidak merasa aman dengan gangguannya.” (Muttafaq ‘alaih)

Setiap daripada kita juga mempunyai sahabat handai atau rakan sekerja yang perlu disantuni dengan baik. Suasana Syawal ini boleh menjadi wadah terbaik untuk kita mengeratkan hubungan sesama rakan. Apatah lagi dalam semangat setiap Muslim adalah bersaudara, maka wajarlah untuk kita menyemak tahap hubungan kita dengan sahabat selama ini.

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Ada kalanya kita tidak sedar bahawa tindakan kita telah mengguris hati dan perasaan sahabat yang berada di sekeliling.

Justeru, amalan maaf memaafkan antara satu sama lain merupakan perkara baik yang perlu diamalkan.

Memang benar, usaha memohon maaf dan memberi kemaafan sesama insan tidak terhad pada musim perayaan sahaja. Walau bagaimanapun, suasana hari raya boleh dimanfaatkan sebaiknya agar tujuan untuk menjernihkan hubungan yang keruh dapat dicapai.

Sebenarnya bukan sahaja hubungan sesama Muslim perlu dititikberatkan, malah lebih daripada itu, hubungan sesama bukan Islam juga sangat penting untuk dipelihara. Biarpun berlainan agama dan kepercayaan, rasa hormat menghormati perlu dipraktikkan bagi menjauhi sebarang konflik dalam kehidupan.

Umat Islam perlu mempamerkan akhlak yang baik setiap masa. Pada banyak keadaan, orang bukan Islam boleh tertarik dengan Islam apabila umatnya mempamerkan akhlak yang mulia sesama insan.

Contohilah akhlak Rasulullah SAW yang amat indah. Terdapat sebuah hadis yang maksudnya: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu Baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada Baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah dia juga jiwa (insan)?” (Muttafaq ‘alaih)

Islam adalah agama yang sangat mementingkan hubungan sesama manusia. Kehadiran Syawal sebagai bulan yang diberkati perlu dimanfaatkan untuk menyuburkan ukhuwah sesama umat Islam serta menyerlahkan keindahan Islam menerusi hubungan baik dengan orang bukan Islam.