• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,078 orang
  • Kandungan Blog

Jadual Umumi di Masjid Pondok Pasir Tumboh 2023

5 panduan kekal istiqamah pasca Ramadhan

Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

Syawal diraikan dengan penuh kesyukuran dan kemenangan menelusuri tarbiyah Ramadan selama sebulan diterjemahkan dengan bertakbir memuji Allah SWT, solat sunat Aidilfitri, bersedekah serta saling bermaafan sesama keluarga dan sahabat handai.  Madrasah Ramadan meninggalkan kesan yang mendalam kepada Mukmin yang memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan amalan soleh, manakala hasil daripada tarbiyahnya diharapkan mampu membimbing kita mengharungi sebelas bulan akan datang sebelum bertemu kembali Ramadan pada tahun hadapan.

Keghairahan pesta ibadah Ramadan masih berbekas di hati dan mempengaruhi seluruh jiwa raga orang yang beriman dan itulah kesan bagi mereka yang benar-benar rindukan Ramadan yang telah pergi. Momentum amal ibadah ini tidak terhenti begitu sahaja, bahkan bakal diteruskan dengan ibadah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahalanya amat besar disisi-Nya. Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Suatu ganjaran yang sangat tinggi nilainya apabila Allah SWT menawarkan tambahan ganjaran kepada sifat pemurah dan penyayang-Nya di bulan Ramadan. Hanya dengan menambahkan lagi enam hari berpuasa di bulan Syawal, Allah SWT menganugerahkan ganjaran besar seolah-olah kita berpuasa selama setahun penuh. Ini menunjukkan isyarat jelas bahawa kehidupan seorang Mukmin itu perlu sentiasa  istiqamah  atau konsisten dalam zon ibadan dan amal soleh tanpa terputus.

Ramadan yang berlalu merupakan madrasah dan pusat latihan bagi memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan spiritual. Secara zahirnya, fizikal orang yang berpuasa adalah lebih baik dari keadaan fizikal orang yang perutnya sentiasa kenyang. Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Ini kerana Baginda menyatakan bahawa perut yang kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu. 

Segala kerosakan dan kebinasaan kepada kehidupan manusia di dunia ini banyak didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal. Allah SWT menegaskan dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud: “Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Seringkali berlaku apabila Ramadan berlalu, segala rutin ibadah yang dahulunya sebati dalam diri bertukar kembali seolah-olah Ramadan ini tidak pernah kunjung tiba. Solat berjemaah kini menjadi asing pada diri, kitab al-Quran mula ditinggalkan tersusun rapi, silaturahim di kalangan jiran tetangga tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi.

Persoalannya, mengapakah nafsu yang dididik sepanjang Ramadan yang baru sahaja berlalu gagal untuk kita terjemahkannya di luar Ramadan? Sewajarnya tarbiyah Ramadan itu mampu meninggalkan kesan berskala besar kepada umat Islam yang melalui pendidikan Ramadan dengan penuh keimanan dan beramal dengan penuh keikhlasan. 

Jika di bulan Ramadan kita melazimkan diri berzikir, berwirid dan mengingati Allah SWT dengan membaca al-Quran sehingga khatam, maka kenapa kita tidak mampu untuk membaca al-Quran dan mentadabburnya walau hanya 5 minit sahaja dalam sehari? Andai di bulan Ramadan kita bingkas bangun bertahajud di sepertiga malam, maka mengapakah berat bagi kita untuk bangun bertahajud walau sekadar 2 rakaat di luar Ramadan? Sekiranya di bulan Ramadan rutin harian kita tidak putus-putus bersedekah, menderma dan memberikan makan kepada fakir miskin, justeru mengapa kita tidak mampu meneruskan amalan bersedekah kepada fakir miskin atau menderma pada bulan-bulan berikutnya? Kalaulah di bulan Ramadan kita konsisten solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengapakah di luar Ramadan, kita mengabaikannya?

Antara kesan tarbiyah di bulan mulia ini mendidik hati supaya sentiasa bersyukur dan mengagumi kebesaran-Nya. Tiada hasad, dengki dan iri hati kecuali bersangka baik sesama ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, mengambil berat dan bantu membantu walaupun tidak diminta. Pandangan mata dan pendengaran telinga sentiasa dijaga, manakala mulut pula dipelihara daripada mengeluarkan kata nista. Alangkah indahnya akhlak peribadi seorang Muslim apabila menerima tarbiah madrasah Ramadan, namun sayang sekali sekiranya cerminan tarbiyah ini hilang begitu sahaja seiring dengan berlalunya Ramadan.

Sesungguhnya, segala amalan baik yang telah dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu menuntut kepada  istiqamah  dalam penerusan pelaksanaanya. Tanamkan azam dan pasakkan niat untuk meneruskan segala amalan yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan yang lalu. Perasaan sedih meninggalkan Ramadan dan harapan untuk bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan merupakan fitrah jiwa orang yang cintakan amal soleh sepertimana dinyatakan oleh Mu’alla bin Al-Fadhl, salah seorang ulama tabi’ tabiin: “Dahulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka di bulan Ramadan yang lalu.”

Sebagai umat Islam, kita perlu bermuhasabah tentang kedudukan kita hari ini. Sewajarnya semangat dan kesungguhan kita dalam mentaati perintah Allah SWT sepanjang Ramadan yang lalu diteruskan di sepanjang hidup kita di dunia ini. Itulah matlamat Ramadan yang sebenarnya iaitu untuk membentuk seorang insan yang bertakwa.

Ulama telah memberikan lima panduan untuk kita terus  istiqamah  dalam beramal soleh.

Pertama, sentiasalah memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan. Muhasabah diri kita mengapakah semangat kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan lebih hebat berbanding dengan keadaan kita di bulan yang lain? Adakah kita beramal hanya kerana disebabkan bulan Ramadhan? Sekiranya amal soleh yang kita lakukan ikhlas kerana Allah SWT, sepatutnya segala kebaikan tersebut kita kekalkan dan dilaksanakan sepanjang masa dalam kehidupan kita. Oleh itu, sucikanlah hati kita dengan sentiasa mengikhlaskan niat dalam setiap amal dan pekerjaan yang kita lakukan.

Kedua, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar kita dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan iblis dan syaitan yang sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat. Rasulullah SAW sering berdoa sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, daripada Shahar bin Haushab RA: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ketiga, berusaha mencari teman-teman dan sahabat yang suka melakukan kebaikan. Teman yang baik amat penting dalam proses perubahan diri kerana mereka akan sentiasa mengajak kita melakukan kebaikan bahkan menegur kesalahan dan dosa yang kita lakukan.

Keempat, hayatilah sirah Nabi SAW dan kehidupan para sahabat Rasulullah SAW. Walaupun ada dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga, namun anugerah yang dikurniakan Allah SWT itu tidak menjadikan mereka bermalas-malasan atau berehat di rumah bahkan mereka tetap bersungguh-sungguh beramal dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Kelima, mulakanlah amal soleh secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan. Bermula dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak ataupun bermula dari peringkat yang rendah hingga ke peringkat yang tinggi secara perlahan-lahan dan berterusan (istimrar). Daripada Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” – (Riwayat Muslim). Mulakanlah amalan membaca al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan. Begitu juga amalan berpuasa sunat, mulakanlah dengan puasa 6 hari di bulan Syawal terlebih dahulu dan puasa sunat pada hari Isnin dan juga Khamis. Lakukanlah secara berterusan tanpa jemu sehingga akhirnya kita dapat melazimi segala ibadah tersebut dengan lebih banyak lagi.

Kesimpulannya, beramal dengan penuh keikhlasan merupakan suatu kewajipan seorang Mukmin kerana ia merupakan syarat suatu amal itu diterima oleh Allah SWT. Segala amal soleh yang telah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan perlu diteruskan dengan konsisten.