• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,077 orang
  • Kandungan Blog

Syawal sebagai jalan mengeratkan silaturahim

Amirulhakim Ahmad Nadzri

Syawal, bulan dalam kalendar Hijrah yang kemunculannya adalah selepas Ramadan. Dengan kehadiran Syawal ini, marilah kita bersama-sama menyemarak dan menyuburkan kembali perpaduan serta ikatan silaturahim sesama umat Islam. Perkara ini bertepatan dengan dalil al-Quran Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Oleh itu, bersihkanlah hati daripada sifat mazmumah seperti dendam kesumat, hasad dengki, buruk sangka dan segala perkara keji yang lain. Kemudian hiasilah diri kita dengan akhlak yang mahmudah seperti ikhlas, jujur, pemaaf, sabar, rendah diri dan sentiasa berharap kepada Allah SWT. Kesannya, ego dalam diri dapat diturunkan seterusnya kita akan terlebih dahulu memaafkan orang lain sebelum orang lain memohon maaf daripada kita.

Dalam budaya kita di Malaysia, aktiviti sepanjang Syawal ini adalah kunjung-mengunjung sesama keluarga dan sahabat handai, malah lebih meriah jika menganjurkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di pelbagai peringkat yang inti patinya beramah mesra serta saling bermaafan.

Melalui amalan ini, hubungan sesama manusia akan terbina. Mungkin ada yang bergaduh dan tidak berbaik antara satu sama lain sebelum ini, tetapi kerana nilai yang ada dalam Syawal hubungan mereka dapat dibaiki dan tali silaturahim dikekalkan.

Imam Nawawi pernah menyebut seperti yang dinukilkan dalam al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj: “Adapun maksud silaturahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjungi, dengan memberi salam dan sebagainya.”

Tali silaturahim ini wajib dikekalkan oleh setiap umat Islam, bukan sahaja ketika Syawal, malah setiap masa. Dengan pemeliharaan silaturahim ini, kita akan menjadi manusia mudah didekati kerana kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang sombong.

Tambahan pula, kita hidup dalam sebuah negara yang memerlukan hubungan sesama manusia itu dipelihara kerana Malaysia mempunyai masyarakat terdiri daripada pelbagai suku, kaum, etnik, bangsa dan agama. Oleh itu, semangat silaturahim yang akan melahirkan semangat perpaduan sangat diambil berat oleh Islam dan amat penting kepada manusia untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Syawal adalah satu kesempatan yang diperoleh oleh setiap umat Islam dalam memelihara hubungan dengan keluarga, adik-beradik, saudara-mara dan rakan.

Jika hubungan ini dijaga sebaik-baiknya, ikatan silaturahim yang terbina antara satu sama lain akan kekal dan mungkin lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Kelebihan dalam menghubungkan silaturahim ini adalah akan diluaskan rezeki dan dipanjangkan usia seseorang seperti sabda Rasulullah SAW dalam Riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.”

Kesimpulannya, walaupun terkadang kita sebagai seorang manusia berasakan menjaga hubungan silaturahim sebagai perkara kecil dan remeh, tapi anggapan ini suatu kesilapan. Ini kerana menjaga perkara ini ditetapkan dalam agama sekali gus akan membawa dampak yang besar dalam masyarakat dan negara. Maka dengan itu kita wajar mengambil kesempatan sempena Syawal untuk berdamai dan memelihara silaturahim.