• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,081 orang
  • Kandungan Blog

Kelengkapan diri pelajar untuk masuk pondok

Kelengkapan diri pelajar utk masuk pondok

1. Pakaian solat ( banyakkan kain pelikat dan baju Melayu serta jubah bagi lelaki)
2. Jubah hitam dan purdah bagi muslimat
3. Tilam atau toto, selimut dan bantal (bagi pelajar muslimat tilam dan bantal telah disediakan di asrama cuma bawa sarung bantal dan cadar)
4. Alat tulis
5. Kelengkapan peribadi dan pakaian harian
6. Baldi, gayung

Soalan lazim pasal pondok

Soalan lazim berkenaan pengajian Pondok

1. Jika saya tak ada asas jawi dan al-Quran boleh ke masuk pondok? Jika saya bukan daripada aliran agama bolehkah saya nak belajar kat pondok?
– Boleh asalkan mahu belajar

2. Jika umur saya lebih 20 tahun bolehkah masuk pondok?
– Boleh kerana pondok ni terima pelajar bujang, kelamin dan warga emas selagi mereka mampu berdikari ketika belajar

3. Adakah pihak madrasah sediakan pondok tempat duduk kepada pelajar yang baru masuk?
– Bagi pelajar bujang lelaki dan perempuan maka pihak pejabat akan urus tempat tinggal.
– Manakala bagi pasangan kelamin dan warga emas kena datang cari sendiri pondok sewa sekitar kawasan madrasah samada melalui bantuan ahli keluarga, saudara mara atau kenalan ATAU datang sewa rumah tumpangan yang berhampiran untuk datang cari sendiri pondok sewa kemudian apabila sudah jumpa tempat tersebut maka mereka pulang ambil barang keperluan sebelum menyelesaikan proses pendaftaran

4. Adakah pengambilan pelajar baru dibuka sepanjang tahun?
– Daftar baru dibuka setiap Sabtu dan Ahad dalam tempoh sebulan selepas buka dari cuti penggal

– Cuti penggal madrasah telah ditetapkan sebagaimana berikut :
Penggal pertama – bermula 2 hari sebelum hari raya haji hingga 15 Zulhijjah
Penggal kedua – bermula pada 15 Rabiul Awal hingga 29 Rabiul Awal .
Penggal ketiga – bermula 15 Sya’ban hingga 15 Syawal

5. Boleh ke jika saya hanya nak masuk belajar kat pondok sekadar sebulan atau 2 bulan sempena cuti sekolah/cuti IPT atau tengah tunggu keputusan SPM/STPM/STAM
– Boleh selagi masih ada kekosongan tempat tinggal iaitu terhad 50 lelaki dan 20 perempuan sahaja dalam satu-satu masa

6. Jika saya hanya nak datang belajar hujung minggu sahaja macamana saya boleh lakukan
– Jika ulang alik tak ada masalah dan tak perlu daftar hanya datang belajar sahaja
– JIka rumah jauh boleh sewa bilik penginapan sekitar kawasan madrasah untuk datang belajar

7. Bila sudah bawa semua dokumen yang tertera di albakriah.com adakah saya boleh terus daftar masuk belajar
– Ya boleh daftar dan terus masuk belajar

8. Jika ibubapa saya tak dapat datang adakah boleh saya datang daftar seorang diri sahaja?
– Sebaiknya bawa waris terdekat bersama sebagai penjamin bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah terutama perkara kecemasan

9. Adakah bila cukup syarat dan dokumen masa datang daftar maka terus boleh masuk belajar atau kena balik dahulu?

  • Boleh terus masuk belajar

10. Adakah temuduga yang dibuat nanti akan melibatkan kelayakan pelajar untuk layak masuk belajar?

  • Temuduga bertujuan untuk memastikan pelajar baru cukup syarat dan dokumen serta untuk mengetahui tahap kemampuan terutama baca dan tulis jawi serta pembacaan al-Quran bagi menentukan tahap pengkelasan nanti

Jadikan al-Quran sebagi Teman sejati dunia akhirat

Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

Kecemerlangan ibadah pada bulan Ramadan seharusnya diteruskan ketika Syawal kini serta bulan-bulan seterusnya. Melalui hari-hari yang berlalu pada Ramadan tidak lengkap tanpa menjadikan al-Quran sebagai peneman utama yang menjadi kelaziman seorang Mukmin pada bulan mulia itu.

Bulan mulia ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, di samping mentadabbur setiap isi kandungan dan pengajaran daripada surah-surah di dalam al-Quran.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang menjadi pembimbing manusia ke jalan yang benar. Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam setiap diri umat Islam meletakkan al-Quran sebagai dasar dan matlamat utama bagi tujuan hidupnya. Melalui al-Quran, kita meraih pelbagai faedah serta hikmah daripada kemukjizatan ayat-ayat di dalamnya. Ini termasuklah teras ilmu dan nilai ketakwaan, keadilan, menjaga hubungan sesama insan, bahkan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitulah sifat al-Quran iaitu kalamullah yang mulia menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

Nilai dan panduan yang digagaskan dalam al-Quran sangat sesuai diterapkan pada setiap zaman dan keadaan. Kitab al-Quran yang tiada syak di dalamnya dan menjadi panduan bagi mereka yang beriman. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud: “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”

Sebagai hamba yang diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Pada setiap masa, al-Quran perlu dijadikan teman sepanjang kehidupan, susah mahupun senang, ketika lapang ataupun dihambat kesibukan urusan dunia. Hendaklah kita sentiasa merujuk dan memandu diri ke arah jalan kebenaran melalui panduan al-Quran.

Menjadikan Al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, mendekati, mendampingi dan tidak mudah lupa dengannya. Teman atau sahabat yang kita rapati ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia fana malah akan menjadi teman setia kita ketika berada di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Sekiranya kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap perbuatan dan tindakan yang kita lakukan. Jiwa kita yang kosong pastinya akan diselubungi dengan hasutan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, dekatkanlah diri dengan al-Quran dan jauhilah diri kita daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia musuh utama manusia. Ini selaras dengan peringatan Allah SWT melalui firmannya dalam surah al-Zukhruf ayat 36 yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya Syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”

Al-Quran sebagai teman sejati mencerminkan manifestasi ubudiyyah sangat mendalam bagi diri mukmin. Teman sejati adalah penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan Allah SWT. Teman atau sahabat yang baik akan memberi nasihat dan galakan untuk terus berada di jalan takwa. Sekiranya tiada teman sejati yang memandu ke arah kebenaran, mana mungkin kita dapat menzahirkan kecintaan dan kasih sayang kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk memastikan al-Quran hadir dalam diri kita dan hidup kita sentiasa dipandu oleh-Nya, terdapat beberapa kaedah untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sejati. Pertama, sebagai umat Islam, kita perlu mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari al-Quran, belajar membacanya, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan. Al-Quran adalah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat segala penyakit jiwa dan hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya Allah SWT. Sesungguhnya dengan menjadikan al-Quran teman yang sentiasa didekati, kita dijanjikan Allah dengan tempat yang terbaik di syurga.

Orang yang membaca al-Quran diumpamakan sebagai buah yang berbau harum dan wangi disisi Allah SWT. Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang Mukmin yang selalu membaca al-Quran seperti buah utrujah, bau dan rasanya enak. Orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran seperti raihanah, baunya harum tetapi pahit rasanya. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah hanzalah, tiada bau dan pahit rasanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Kedua, umat islam wajib meyakini akan mukjizat al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan Allah SWT menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Untuk mempunyai hubungan rapat dengan al-Quran, seseorang itu perlu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum hakamnya yang bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti. Bahkan apa yang lebih utama adalah dapat menghindarkan diri kita daripada kesesatan yang nyata. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 123 yang bermaksud: “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.”

Ketiga, bagi membuktikan persahabatan kita dengan al-Quran, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghafaz ayat-ayatnya agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani segala cabaran dalam kehidupan. Yakin dan percayalah bahawa bait-bait ayat yang dihafal itu bukanlah kata-kata syair atau pujangga yang sia-sia tetapi ia adalah kalamullah yang tinggi nilainya dan mampu membimbing kita ke arah kebenaran dan ketakwaan kepada-Nya. Segala ayat-ayat yang kita tekuni untuk membaca dan menghafaznya adalah kalam yang sangat mulia yang dijanjikan syurga dengan membacanya, bahkan dijanjikan syafaat yang pasti akan membantu kita di akhirat nanti. Daripada Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT menjanjikan al-Quran akan memberi ketenangan kepada jiwa yang kosong dan bermasalah. Suasana tertekan dan kepayahan akibat bala dan ujian yang melanda pastinya memberikan kesan kepada sebahagian daripada kita. Maka solusi terbaik kepada sesiapa yang menghadapi kecelaruan jiwa dan merasa tidak tenang, dekatilah al-Quran tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Tekunilah membacanya dan berusahalah untuk memahaminya, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan hati-hati yang dibelenggu keresahan dan masalah. Begitu juga dengan mendengar dan menghayati bacaan ayat-ayat al-Quran itu, nescaya akan dapat menghiburkan perasaan yang sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta memperoleh petunjuk daripada Allah SWT. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.”

Setiap manusia pastinya mengalami pelbagai perasaan seperti gembira, teruja, sedih, resah, dan sebagainya. Sepayah mana pun kehidupan yang dihadapi, dan seberat apapun masalah yang ditanggung, pastinya terasa lebih ringan dan damai jika ada teman yang setia bersama. Panduan daripadanya akan membimbing kita mencari jalan keluar yang terbaik selari dengan tuntutan syarak. Demikianlah juga hidup ini akan jadi lemah jika sebatang kara bersendirian tanpa saudara dan sahabat, maka teman yang setia hendaklah dicari untuk kebaikan hidup. Maka sudah tentu al-Quran layak menjadi teman kita di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan bagi membimbing manusia ke jalan kebenaran dan ketakwaan kepada-Nya. Wajib menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dengan membacanya, memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya.

Kesinambungan amalan pasca Ramadhan

Fadly Samsudin

Besar harapan kita semua semoga Aidilfitri yang dirayakan kali ini lebih bermakna selain dapat mengekalkan tahap disiplin hasil tarbiah yang berjaya dibentuk sepanjang Ramadan lalu.

Jika ketika ini kita merasakan ada perubahan berlaku dalam diri selain amalan yang dituntut pula kita lakukan dengan istiqamah, maka rentak hebat itu perlu terus dikekalkan.

Meskipun hak penilaian amalan kita itu milik Allah SWT, namun kita pastinya dapat merasakan kesannya jika amalan itu diterima.

Amat rugi bagi mereka yang berjaya mengawal nafsu ketika Ramadan tetapi akhirnya kembali menjadi hamba yang kalah dan tunduk layu kepada hawa nafsu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan janganlah kamu batalkan (merosakkan) amal-amal kamu.” (Surah Muhammad ayat 33)

Sama seperti kita fokus beramal sepanjang Ramadan, begitu juga diharap momentum itu dapat menghidupkan suasana kita untuk beribadat pada bulan-bulan seterusnya.

Ketika ini juga, pastinya kita menerima banyak undangan jemputan rumah terbuka terutama diadakan pada hujung minggu.

Namun, dalam kegembiraan menikmati pelbagai juadah itu jangan kita lupa merebut tawaran Allah SWT untuk menunaikan puasa sunat enam pada bulan Syawal.

Antara hadis yang menerangkan perkara itu ialah Abu Ayyub meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan kemudian menyambungnya lagi enam hari pada bulan Syawal, ia diibaratkan berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim)

Galakan berpuasa sunat enam hari pada Syawal itu adalah isyarat bahawa berakhirnya Ramadan bukanlah penamat kepada proses mendidik diri kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (ke arah mendapatkan) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Imran, ayat 133)

Seperti yang kita ketahui, semua amalan sunat yang dilaksanakan adalah penampung kepada kekurangan amalan fardu.

Walaupun puasa sunat masih boleh diteruskan pada Syawal, namun keseronokan melaksanakan solat sunat Tarawih dan memburu Lailatul Qadar tidak dapat lagi dinikmati sehinggalah kita dipertemukan dengan Ramadan akan datang.

Justeru, biarlah sambutan Aidilfitri ini kita raikannya secara sederhana tetapi dalam suasana cukup meriah.

Tidak salah untuk bergembira kerana itu memang perlu wujud dalam sambutan Aidilfitri. Nabi Muhammad SAW menerangkan saat kegembiraan bagi orang berpuasa ketika di dunia adalah ketika berbuka dan berhari raya manakala kegembiraan kedua ketika bertemu Allah SWT.

Begitu juga dengan perubahan diri, biarpun berdikit-dikit tetapi diharap dapat memberi kesan mendalam dan perubahan itu berkekalan.

Sambutan Aidilfitri mestilah selari dengan semangat mensyukuri kejayaan mendidik diri dan nikmat doa yang dipanjatkan diterima dan diampunkan Allah SWT.

Untuk kekal istiqamah dengan amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan, umat Islam perlu sedar mereka hamba Allah SWT, bukannya hamba Ramadan.

Segala ketaatan terhadap perintah Allah SWT itu perlu dilakukan sepanjang masa. Sebab itu, ia berkait rapat dengan kefahaman bahawa kehidupan ini hanya bermatlamatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.

Apabila menganggap Ramadan yang disambut setiap tahun itu sebagai bulan atau musim ‘menjadi baik’ maka penghayatannya tidak berkekalan.

Lafaz niat puasa enam

“Sahaja aku berpuasa sunat esok hari dalam bulan Syawal kerana Allah Taala.”

Cara puasa sunat enam

Boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli.

Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai 2 hingga 7 Syawal.

Berpuasa secara berselang-seli sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sebanyak enam hari dalam bulan Syawal mengikut kemampuan diri masing-masing.

Meraikan graduan Ramadan

Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah syukur kerana Allah masih memberi kita hayat untuk mengecapi kehidupan di dunia ini. Alhamdulillah juga kerana kita sudahpun berada pada bulan Syawal. Pada 1 Syawal lalu adalah hari teristimewa buat kaum Muslim selepas berjaya menunaikan ibadat puasa penuh sepenuh dalam bulan Ramadan.

Satu Syawal adalah hari lebaran atau Hari Raya Aidilfitri sudah tentu disambut penuh keriangan dan kesyukuran. Hidangan juadah dan kuih-muih sudah menjadi perkara wajib pada perayaan itu.

Ada eloknya kita sama-sama meninjau berkenaan pengertian bulan Syawal agar setiap amalan pada hari lebaran menepati kehendak agama.

 Dalam bahasa Arab, Syawal memberi maksud meningkat. Besar kemungkinan kosa kata meningkat itu terarah kepada peningkatan iman dan takwa setelah berjaya menamatkan ‘pengajian’ di ‘Madrasah Ramadan’. Pengajian secara intensif selama sebulan yang dilengkapi dengan pelbagai modul kurikulumnya banyak mendidik setiap Muslim agar menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

 Ibadat puasa di siang hari ibarat subjek teras yang mesti diambil oleh setiap Muslim, manakala subjek pilihan pula terdiri daripada amalan solat sunat Tarawih, berinfak sedekah, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid. Meskipun kesemua itu hanyalah subjek pilihan, tetapi Allah akan memberi ‘markah bonus’ yang cukup besar kepada setiap Muslim yang berjaya melaksanakannya. Setelah merentasi setiap ujian semasa Ramadan, maka setiap peserta madrasah Ramadan dianugerah dengan ijazah khas menandakan pengiktirafan Allah kepada hamba-Nya. Jadi, Satu Syawal Aidilfitri merupakan ibarat segulung ijazah yang dianugerahkan oleh Allah.

 Kalau di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, ilmu yang dimiliki semasa bertungkus lumus selama tiga atau empat tahun itu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan peringkat semester atau akhir tahun pengajian sahaja. Sebaliknya ilmu di dada itu perlu diguna pakai dalam kehidupan. Demikianlah juga halnya dengan madrasah Ramadan yang menyediakan pakej pengajian dan kursus yang serba lengkap secara komprehensif itu juga mengharapkan lulusannya akan mampu menjadikan apa yang dipelajari selama sebulan itu untuk kehidupan di bulan-bulan yang lain.

 Dengan sebab itulah, maka kita sewajarnya meraikan hari lebaran ini sebagai simbol kita bersyukur atas kejayaan merangkul ijazah madrasah Ramadan. Apakah gred ijazah yang kita peroleh selepas tamat pengajian Ramadan tidak dapat untuk dikenalpasti kerana ia tetap dirahsiakan Allah. Hanya di akhirat kelak barulah kita mengetahuinya sama ada ijazah kita dalam kategori kelas pertama atau kelas kedua atapun kelas ketiga. Segala terletak kepada kesungguhan dan komitmen yang telah kita tunjukkan sepanjang sebulan di bulan Ramadan.

Kemungkinan besar kita memperoleh ijazah kelas pertama dan dikurniakan pula dengan Anugerah Dekan kerana kejayaan dan keikhlasan membulat semasa kita lakukan latihan. Kemungkinan juga kita sekadar lulus pada peringkat cukup makan sahaja akibat sikap sambil lewa kita. Itu analoginya antara pengajian kursus di IPT dengan pengajian di madrasah Ramadan.

Berbalik kita semula kepada Aidilfitri. Perkataan Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah dan kesucian semula jadi. Di sini kesucian itu mencakupi aspek kesucian lahiriah dan batiniah. Mudahnya, dapatlah kita fahami bahawa Aidilfitri menjurus kepada pengertian yang seseorang Muslim itu kembali kepada fitrah dan kesucian yang melambangkan seseorang itu bersih daripada segala dosa. Ya bersih daripada dosa bak kelahiran seorang bayi di dunia. Baginda SAW ada menjelaskan: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan akan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampuni segala dosanya seumpama bayi yang baru lahir daripada Rahim ibunya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis tersebut memberi kita pemahaman bahawa Allah akan menghapuskan setiap dosa orang berpuasa yang benar-benar menepati aturcara dan tatasusila yang digariskan-Nya. Selain itu, kesucian turut merangkumi aspek sosial kerana ibadah puasa Ramadan telah melatih dan membimbing kita untuk menjadi insan yang sentiasa menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan bersikap prihatin sesama manusia.

Hal ini dididik melalui amalan sedekah dan zakat fitrah. Dua amalan itu jelas mengajar kita bahawa orang-orang Muslimin itu bersaudara dan seharusnya sentiasa bersikap peka dengan apa juga permasalahan pihak lain. Dalam konteks sosial, madrasah Ramadan sebenarnya sarat dengan kursus yang memuatkan elemen sikap saling membantu dan mengutamakan ikatan ukhuwah ummah.

Justeru, dalam bulan syawal inilah sebenarnya medium terbaik untuk kita buktikan bahawa kita benar-benar seorang yang telah lulus di madrasah Ramadan. Kalau di bulan syawal perangai dan tabiat lama yang kita tunjukkan bermakna kita bukan sebenar-benar ‘pelajar’ yang berjaya. Aidilfitri mesti ditunjukkan dengan kehebatan kita selaku lulusan madrasah Ramadan yang berjiwa penyayang dan pengasih. Kalau di bulan Ramadan, kita sehabis usaha mahu menjadikan tangan kita yang di atas dan bukannya tangan yang menadah.

Maka, sikap baik itu seharusnya terus dipertunjukkan semasa bulan-bulan selepasnya khasnya semasa meraikan hari lebaran ini. Kalau di bulan Ramadan kita sentiasa memohon ampun bukan sahaja kepada Allah, tetapi juga sesame Muslim yang lain. Tangan dan jari jemari kita begitu lancar dan aktif untuk bersalaman selbaik sahaja selesai mendirikan solat berjemaah di masjid, maka amalan dan sikap itulah yang sebenarnya perlu kita terus istiqamah amalkan.

Dengan itu bermakna kita telah berjaya menghayati sepenuhnya pendidikan Ramadan dan menepati dengan pengertian sebenar tentang Aidilfitri. Begitulah juga andainya kita seorang peniaga mahpun seorang awam yang menjadi pengguna, maka makna Aidilfitri yang membawa kesucian itu perlu dizahirkan dengan amalan yang bersih seiring dengan tuntutan syarak. Tidak melakukan sesuatu manipulasi harga, penyeleweng dalam etika penjualan dan pembelian dan lain-lain amalan niaga dan belian yang terlarang.

Hari Raya Aidilfitri seharusnya kita terjemahkan cara sambutannya menurut kehendak agama. Usah sesekali kita raikannya sehingga tersasar jauh yang mengakibatkan kita hilang keberkatannya.

Rebut peluang untuk puasa 6 hari bulan Syawal

PESTA ibadah di bulan Ramadan tidak berakhir dengan tibanya Syawal. Bahkan selari dengan maksud Syawal itu sendiri, ia adalah bulan yang meningkatkan amal kebaikan kita setelah menjalani tarbiyah diri sebulan penuh di sepanjang bulan Ramadan.

Di antara ibadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W di bulan mulia ini adalah ibadah puasa enam hari di bulan Syawal. 

Berikut adalah beberapa catatan penting berkaitan ibadah puasa enam di bulan Syawal untuk manfaat kita bersama:

1. Imam Syafie Rahimahullah menghukumkan ibadah puasa enam di bulan Syawal sebagai sunat muakkad iaitu perkara sunat yang sangat digalakkan dilakukan berdasarkan kepada perbuatan Nabi S.A.W yang tidak meninggalkannya.

2. Pahala bagi mereka yang mencukupkan puasa Ramadan lalu menambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dengan pahala orang yang berpuasa sepanjang tahun. Dari Abu Ayyub Al Ansori, Rasulullah S.A.W bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun”

3. Umat Islam diharamkan berpuasa enam atau apa jua puasa pada tanggal 1 Syawal.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ

“Dari Abu Hurairah R.A berkata “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang puasa pada dua hari kebesaran iaitu pada hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri (1 Syawal)””

 (Hadis Riwayat Muslim)

4. Ibadah puasa enam hari boleh dilakukan secara berturutan ataupun dengan dipisahkan turutan harinya selagi berada di dalam bulan Syawal. Ia juga boleh dilakukan di awal Syawal, pertengahan atau penghujung Syawal. Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Al Majmu’ mengatakan;

“… dan disunatkan untuk berpuasa (puasa enam Syawal) secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa enam hari berturut-turut) ataupun diakhirkan puasa tersebut di bulan Syawal, maka ianya dibolehkan.”

5. Mengenai menghimpunkan niat puasa qadha dan puasa enam, adalah lebih afdhal seseorang itu mengasingkan puasa qadha dengan puasa enam di bulan Syawal. Namun, menyatukan puasa qadha dan puasa enam di bulan Syawal itu dibolehkan mengikut pandangan sebahagian fuqaha Mazhab Syafie dan akan diberi pahala.

6. Bagi mereka yang ingin mengambil pandangan yang utama, maka adalah lebih afdhal menyegerakan atau mengutamakan puasa qadha berbanding puasa enam sekiranya mereka berbuka puasa di bulan Ramadan bukan disebabkan keuzuran. 

Sekiranya mereka berbuka disebabkan keuzuran, maka adalah lebih wajar mendahulukan puasa enam hari di bulan Syawal kerana kewajiban qadha bagi orang yang berbuka disebabkan keuzuran adalah bersifat muwassa’ iaitu mempunyai tempoh waktu yang dipanjangkan.

Hal ini berpandukan kepada pandangan Syeikh Daud Bin Abdullah Al Fathani di dalam Bughatut Tullab mengatakan;

“(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqadha Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qadha Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qadha dahulu.”

7. Bagi mereka yang berhalangan untuk menyelesaikan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah disunatkan mengqadha puasa tersebut di bulan Zulkaedah atau bulan-bulan lain selepasnya. Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Raudhah Al Tholibin mengatakan;

“Sesiapa yang mengerjakan puasa sunat, atau solat sunat (yang) tidak wajib baginya untuk menyempurnakannya, tetapi ia disunatkan. Dan jika seseorang meninggalkan kedua-dua daripada ibadat tersebut, maka tidak wajib qada, tetapi ia disunatkan ganti”.

Semoga beberapa catatan ringkas ini memberi manfaat dan semangat kepada kita semua untuk beriltizam menunaikan ibadah puasa enam di bulan Syawal yang sangat dituntut pelaksanaannya di dalam Islam seterusnya mengekalkan kita di landasan taqwa yang menjadi matlamat pensyariatan ibadah puasa kepada kita semua. 

Selamat menjalani ibadah puasa enam di bulan Syawal buat semua Muslimin Muslimat.

NURHAFIZUL BADRUL HISHAM 

Jangan cemari Aidilfitri dengan pembaziran

Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Aidilfitri ini menandakan Ramadan bulan pentarbiahan dan pembersihan jiwa umat Islam telah pun berakhir.

 Menurut Ibn Rajab al-Hanbaliy dalam Kitab Lata’if al-Ma’arif, pada waktu sebegini para salaf al-soleh (para pendahulu kaum Muslimin daripada kalangan para sahabat Nabi SAW, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in) akan sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah SWT agar segala amalan yang mereka telah lakukan di sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT. Di samping itu, mereka juga sentiasa berdoa agar Allah SWT memberikan lagi kesempatan dan peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun berikutnya.

 Sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam, hasil daripada mujahadah (usaha kuat) mereka selama sebulan melawan hasutan hawa nafsu. Di samping umat Islam bergembira dengan kedatangan Aidilfitri, mereka juga sepatutnya merasa sedih dan sayu dengan pemergiaan Ramadan untuk tahun ini.

 Dalam keghairahan umat Islam membuat berbagai-bagai persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggari etika berbelanja sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam. Disebabkan terlalu gembira yang tidak bertapak atas keimanan yang kuat, barangkali membuatkan segelintir umat Islam tidak menyedari bahawa mereka telah melanggar etika murni yang ditetapkan oleh Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.

 Pemborosan ialah mengeluarkan wang atau menggunakan barang-barang secara berlebih-lebihan dengan cara yang membazir. Amalan membazir ini amat dilarang oleh Allah SWT, sehinggakan Allah SWT melabel orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan. Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’ ayat 27)

 Pelabelan yang diberikan oleh Allah SWT terhadap orang-orang yang melakukan pembaziran dalam ayat ini amat keras, kerana syaitan itu merupakan makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah SWT.

 Berhubung larangan pembaziran ini juga, al-Mughirah bin Syu’bah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekah) miliknya, tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Riwayat al-Bukhari)

 Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini, jelas bahawa pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan oleh orang-orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman.

Pemborosan yang seringkali dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri adalah dari aspek pakaian. Maksudnya membeli atau menempah pakaian yang berlebih-lebihan. Meskipun ia adalah hak golongan kaya-raya, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

 Walaupun Baginda Nabi SAW menggalakkan kita berpakaian baharu dan cantik pada hari perayaan Aidilfitri, tetapi janganlah sampai terlalu boros sehinggakan membawa kepada pembaziran. Baginda SAW sendiri melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas.

 Selain pakaian, pemborosan juga berlaku dari aspek pembelian peralatan dan perhiasan rumah seperti langsir dan perabot. Tidak salah jika kita ingin menjadikan Aidilfitri masa untuk menukar peralatan dan perhiasan rumah, tetapi tidak perlulah dilakukan apabila setiap kali Aidilfitri, kerana Aidilfitri adalah masa untuk mengeratkan silaturahim. Paling penting adalah layanan mesra sewaktu menerima kunjungan tetamu.

 Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak-anak. Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun atau bunga api demi menggembirakan anak-anak pada malam Aidilfitri. Selain aspek pembaziran, bermain mercun juga boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada tubuh badan anak-anak.

 Kita perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui itu banyak mendidik kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan yang diterima sepanjang Ramadan ini, kita perlu berusaha untuk memanfaatkannya bagi mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang.

 Sebenarnya harta kekayaan adalah antara nikmat kurniaan Allah SWT kepada seseorang. Secara tidak langsung, Allah SWT juga menjadikan kekayaan itu sebagai ujian bagi hamba-Nya. Oleh itu, kita seharusnya membelanjakan harta kekayaan dengan baik tanpa dicemari dengan unsur pemborosan yang membawa kepada pembaziran.

 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak (terlalu) berlebih-lebihan dan tidak (pula terlalu) bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil).” (Surah al-Furqan ayat 67)

 Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan al-Quran dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah SWT harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang.” (Riwayat al-Bukhari)

 Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini, Islam sama sekali tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi Islam hanya mengajar umatnya tata cara berbelanja dengan betul, iaitu berbelanja secara sederhana dan tidak boros. Ketika berbelanja menyambut Aidilfitri, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama, yang menyambut Aidilfitri dalam serba kedaifan dan kekurangan. Mereka juga inginkan kegembiraan seperti orang lain.

Oleh itu, alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan merasakan kita sentiasa mengingati mereka. Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar perayaan Aidilfitri, seterusnya melahirkan sebuah masyarakat penyayang dan berwawasan.

 Berhubung perkara ini, Allah SWT menjelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanja-belanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’ ayat 26)

 Dalam ayat ini, Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan amat melarang amalan berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah sama-sama kita meninggalkan amalan yang keji dan mengamalkan sesuatu yang baik lagi terpuji di sisi Allah SWT.

Teruskan tarbiah Ramadan pada bulan lain

Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Ramadan bulan ibadah yang memberi peluang kepada seluruh umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada siang hari, umat Islam diperintah berpuasa menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada malamnya pula, umat Islam melaksanakan ibadah solat sunat Tarawih, bertadarus dan menghidupkan malam (qiyamullail) dengan mengerjakan solat sunat.

Kesemua pensyariatan ibadat sepanjang Ramadan dilakukan dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Setiap amal ibadah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kerana baginda diutus sebagai pembawa petunjuk menuju jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: ‘Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.’ Tetapi (sepatutnya ia berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Surah ali Imran ayat 79)

Menurut Tafsir as-Sa’di ayat itu berkaitan jawapan terhadap golongan Nasrani dari negeri Najran yang berada dalam kesesatan serta menolak perintah mentauhidkan Allah SWT. Mereka berkata dengan penuh angkuh dan sombong: “Apakah kamu menyeru kami wahai Muhammd untuk menyembahmu?” Sedangkan Rasulullah SAW diperintahkan agar menyeru manusia agar beribadah hanya kepada Allah dan taat kepada-Nya. Lalu Allah SWT menjelaskan perihal kesalahan perkataan mereka dan bahawasanya perkataan mereka adalah sangat batil.

Secara jelas, perintah melaksanakan ibadah hanya untuk Allah SWT dan bukan selain daripada-Nya. Hatta Rasulullah SAW juga beribadah serta tunduk kepada keesaan Allah SWT meskipun dikurniakan kedudukan istimewa dengan menerima wahyu al-Quran dan tanggungjawab sebagai seorang rasul. Keadaan itu tidak sama sekali boleh memesongkan manusia daripada tunduk akur mengagungkan Allah SWT.

Pada ayat 79 daripada Surah ali Imran itu dinyatakan ayat ‘kunu rabbaniyyin’ yang bermaksud “Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin’. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘rabbaniyyin’ atau kata tunggalnya ‘rabbani’? Ia perkataan yang dikaitkan dengan ‘rabb’ yang merujuk kepada Tuhan yang mencipta iaitu merujuk kepada Allah SWT.

Imam al-Qurtubi dalam tafsir Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an menjelaskan bahawa ‘al-Rabbani’ merujuk kepada orang yang memiliki pengetahuan ilmu agama serta mengajarkan ilmu itu secara tertib bermula daripada asas hingga ilmu yang bersifat mendalam. Orang yang termasuk sebagai ‘rabbaniyyin’ juga golongan ulama atau ahli ilmu agama yang mengamalkan ilmunya.

Beradasarkan pemahaman tentang istilah ‘Rabbaniyyin’ ini, setiap umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah diri tentang pelaksanaan ibadah sepanjang Ramadan. Lebih-lebih lagi apabila kini Ramadan berada di penghujungnya. Pelaksanaan ibadah tidak boleh terhenti dengan berakhirnya Ramadan. Ini kerana umat Islam bukan menyembah Ramadan, tetapi sebenar-benarnya seluruh umat tunduk beribadah menyembah Allah SWT.

Oleh sebab itu, terdapat salaf as-soleh yang mengungkapkan ‘Kun Rabbaniyyan wa la takun Ramadaniyyan’ yang bermaksud: ‘Jadilah kamu hamba Allah yang rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan’. Dengan kata mudah, setiap amal ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan bukan dilakukan kerana berada dalam bulan ini semata-mata, tetapi dilakukan kerana akur terhadap perintah Allah SWT.

Dengan berakhirnya Ramadan, umat Islam sepatutnya meneruskan tarbiah bulan ini kerana yang pergi hanya Ramadan dan bukannya Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT akan kekal menganugerahkan ganjaran pahala serta rahmat-Nya untuk sekalian hamba yang melaksanakan ibadah hanya kerana-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)

Peluang berada dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Hamba yang memiliki ciri-ciri rabbani pasti mengetahui dengan ilmu bahawa keistimewaan dikurniakan oleh Allah SWT adalah sesuatu yang pasti kerana Dia sama sekali tidak akan memungkiri janji-Nya. Penganugerahan Lailatulqadar kepada umat Nabi Muhammad SAW satu kurniaan yang membuktikan hanya Allah SWT selayaknya mengurniakan kelebihan luar biasa kepada hamba-Nya.

Gandaan pahala ibadah yang dikategorikan sebagai lebih baik daripada ibadah selama seribu bulan pasti menguatkan lagi kefahaman hamba rabbani untuk melipatgandakan usaha melakukan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Malah Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh teladan yang unggul sebagai hamba Allah SWT dengan menggandakan amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan. Baginda dijamin masuk syurga dan tiada dosa yang ditanggungnya, namun tetap berusaha melaksanakan ibadah kerana Allah SWT. Inilah antara ciri-ciri hamba rabbani yang dijelaskan dalam al-Quran.

“Rasulullah SAW apabila masuk pada 10 akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (untuk menjauhi isterinya pada waktu malam).” (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda SAW turut menggesa umatnya mencari Lailatulqadar dengan menggadakan amalan agar tidak terlepas peluang mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT. “Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir daripada Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, marilah kita berusaha meningkatkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan seperti dilakukan Rasulullah SAW. Di samping itu, amal ibadah perlu diteruskan meskipun Ramadan berlalu pergi. Tidak ada solat sunat Tarawih selepas berakhirnya Ramadan, tetapi amalan melakukan solat sunat pada waktu malam perlu diteruskan. Mungkin jarang ada orang akan bertadarus al-Quran secara berjemaah pada bulan selain Ramadan, namun usaha membaca al-Quran perlu diteruskan pada bulan lain.

Semua usaha itu akan membuktikan bahawa hamba rabbani tidak menyembah selain Allah SWT. Golongan rabbaniyyin memiliki ilmu pengetahuan tentang agama yang menjadikan mereka hamba Allah SWT yang melakukan ibadah atas dasar ilmu. Mereka turut berusaha mengajar orang lain ilmu agama agar amal ibadah dilakukan sebagaimana tuntutan Islam.

Harus puasa enam secara berturutan atau terpisah

Muhammad Saufi Hassan

Puasa sunat enam hari di bulan Syawal atau lebih dikenali dengan ‘puasa enam’ boleh dilakukan sama ada secara berturutan atau terpisah.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Dr Zamihan Mat Zin Al-Al-Ghari berkata, wujud salah faham dalam kalangan orang awam bahawa puasa enam itu perlu dilakukan secara berturutan dan tidak boleh terpisah.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang sahih ada menyatakan tentang kelebihan berpuasa Ramadhan diikuti puasa sunat enam hari pada bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

Ia merupakan satu-satu keistimewaan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, hadis itu menyatakan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

“Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab ada menyatakan bahawa disunatkan berpuasa secara berturutan di awal Syawal dan sekiranya dipisahkan iaitu tidak berpuasa secara enam hari berturutan maka ianya dibolehkan dan pahalanya tetap sama.

“Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni memberi pencerahan tentang permasalahan ini. Iaitu tidak ada bezanya menjadikan puasa berkenaan dilakukan secara berturutan atau dipisahkan, sama ada ada pada awal Syawal, di pertengahan atau diakhirnya kerana hadis menyebut secara mutlak tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain,” katanya.

Dr. Zamihan berkata, maka dengan pandangan itu, jelas bahawa puasa enam ini boleh dilaksanakan secara berturutan atau terpisah tanpa sebarang masalah. Ia juga boleh diniatkan sekali dengan puasa qadha iaitu puasa fardhu yang ditinggalkan sewaktu jahiliyyah.

Pada masa sama, Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala berkata: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal, tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk enam hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal.” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)

Manakala, Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)

Cuma apabila kita bersegera melakukan ibadat sunat, menghubungkan puasa enam pada Isnin-Khamis atau pertengahan bulan Islam maka dia dikira telah berpuasa dengan mendapat kelebihan yang besar. Ini kerana dia telah menghimpunkan puasa sunat pada waktu yang digalakkan Nabi SAW.

Beraya ikut tuntutan agama!

BERSAMA DATUK MOHD AJIB ISMAIL

TRADISI rumah terbuka mengandungi  amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan silaturahim, ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan tetamu.
TRADISI rumah terbuka mengandungi amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan silaturahim, ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan tetamu.

Ketibaan Aidilfitri pada tahun ini bakal disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia khususnya masyarakat di negara kita Malaysia yang meraikannya. Tradisi kunjung-mengunjung dan acara rumah terbuka Aidilfitri yang menjadi budaya saban tahun dijangka kembali memeriahkan suasana sambutan hari raya.

Lazimnya acara tersebut dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di rumah, pejabat mahupun lokasi yang lain terutama sekembalinya orang ramai ke bandar dan tempat kerja masing-masing selepas pulang menyambut hari raya di kampung halaman. Tradisi berkenaan adalah salah satu cara untuk menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT setelah sebulan umat Islam memberikan tumpuan sepenuhnya bagi melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan. Segala bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam suasana sambutan Aidilfitri adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam selagi bersesuaian dan selaras dengan panduan syariat.

Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila tiba Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA berkata yang bermaksud: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat an-Nasa’i)

Tradisi menganjurkan acara rumah terbuka daripada sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan hubungan silaturahim, ziarah menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara tersebut dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah amalan yang paling baik dalam Islam? Beliau menjawab: Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis berkenaan menjelaskan tentang kelebihan amalan memberikan makanan kerana menjadi tanda kemurahan hati dan akhlak yang terpuji serta dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kelaparan. Selain itu, budaya meraikan dan memuliakan tetamu pula adalah perbuatan yang mulia sepertimana maksud sebuah hadis daripada Abi Syuraih al-K’bi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya di bahagian istimewanya iaitu hari dan malam pertama. Menghormati tetamu itu yang wajib tiga hari, lebih daripada itu adalah sedekah baginya dan tidak boleh seorang tetamu tinggal lama sehingga membebankan tuan rumah (hingga mengeluarkannya).” (Riwayat al-Bukhari)

Amalan menghubungkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat juga mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari). Suasana kemeriahan majlis rumah terbuka juga lebih bermakna apabila orang ramai dapat berjabat tangan dan bersalaman memohon kemaafan. Dalam sebuah hadis daripada Al Bara’ ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali Allah akan memberi ampun kepada kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, beberapa perkara perlu dielakkan ketika kesibukan menerima kunjungan tetamu dan menganjurkan acara rumah terbuka seperti amalan pembaziran, makan secara berlebihan, tidak menghormati tuan rumah, meminta-minta hidangan dan menjalankan aktiviti hiburan yang keterlaluan. Perlu diingat bahawa rumah terbuka bukanlah amalan yang diwajibkan, tetapi digalakkan mengikut kemampuan masing-masing. Justeru tidak perlulah sibuk bertanya jika tidak dipelawa. Namun menjamu orang makan dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang disukai. Adab bertamu ke majlis rumah terbuka mestilah dipelihara pada setiap masa. Hindarilah perbuatan berebut-rebut makanan dan tamak, makan secara berlebihan dan elakkan berada terlalu lama di rumah atau sesuatu majlis. Ingatlah bahawa hidangan yang disediakan adalah untuk dikongsi bersama orang lain.

Selain itu, dalam kesibukan meraikan atau menganjurkan acara rumah terbuka, puasa sunat enam hari pada bulan Syawal jangan pula dilupakan pada penghujung hari yang masih berbaki. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan amalan tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, ia adalah bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Aidilfitri adalah hari bergembira untuk seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang Syawal adalah harus hukumnya. Ia hanyalah sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan sepanjang Syawal yang mulia.

Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan tersebut untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat.

Jadikanlah tarbiyah Ramadan sebagai bekalan untuk menyambut hari raya dalam keberkatan. Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada tahun ini sekali lagi akan mengambil inisiatif menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang menghimpunkan masjid dan surau Jumaat bagi menyediakan gerai jamuan pelbagai juadah untuk disajikan kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan agama.

Penganjuran program itu diharapkan dapat menjalinkan silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya sekitar Wilayah Persekutuan, membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan, menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan, serta memasyarakatkan dan mempromosikan masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat perpaduan dan penyatuan ummah.