Mohd Rizal Azman Rifin
Kata Hasan al-Basri, “Pertanyaan itu separuh daripada ilmu.” Ini bermakna proses mendapat ilmu dapat dijayakan menerusi pertanyaan kepada mereka yang lebih arif. Jadi, tidak menghairankan sikap anak kecil yang sedang membesar begitu aktif bertanyakan pelbagai hal.
Pernah anda diasak dengan pelbagai pertanyaan oleh anak? Kalau pernah malah sering mengalaminya, saya ingin lanjut soalan, apakah anda berasa rimas dan menganggap yang anak itu banyak mengganggu anda?
Pada diri saya sendiri pun ada ketikanya selalu juga berasa begitu rimas dan naik berserabut apabila anak bertanyakan sesuatu. Apatah lagi soalan itu ditanya semasa sedang menguruskan sesuatu urusan yang kritikal seperti sedang memandu. Semasa kita sedang memandu tentu kita memberikan fokus terhadap pemanduan dan apabila anak asyik mengajukan aneka soalan, ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kita.
Tetapi kemudian, saya sedar bahawa sebagai bapa atau ibu, melayan anak yang bertanya sesuatu perlu diberikan perhatian penuh. Ketahuilah bahawa apabila anak aktif bertanya maka ia petanda kepada pertumbuhan akalnya yang sihat. Perasaan ingin tahu sesuatu adalah perkara biasa pada diri seseorang anak khususnya mereka yang di bawah 12 tahun. Serba-serbi mereka ingin tahu.
Layan pertanyaan mereka dan jangan sesekali memadamkan semangat ingin tahu yang sedang berkocak dalam minda mereka. Cuma, ketika kita berada dalam situasi yang memerlukan tumpuan penuh seperti semasa memandu kenderaan, kita perlu memberitahu mereka supaya ajukan soalan pada waktu lain. Terangkan kepada mereka yang kita sedang memandu dan akan jawab soalannya apabila sampai di destinasi nanti. Insya-Allah mereka akan faham dan tidak merajuk atau beranggapan yang kita tidak sudi melayan.
Penulis teringat juga kepada beberapa kisah sahabat Nabi SAW dulu yang mereka terdiri daripada insan yang produktif dalam mengajukan pertanyaan apabila tidak mengetahuinya. Mereka ajukan bermacam-macam soalan kepada baginda untuk mendapatkan pemahaman yang sebenar dan sejelasnya. Dengan sikap mereka yang selalu bertanyakan itulah lahir tokoh Islam yang mahir dan kaya dengan pelbagai ilmu. Jejak sahabat Rasulullah SAW kemudian dicontohi pula oleh umat Islam selepas era mereka.
Sebenarnya, dalam masyarakat kita sudah pun ada pepatah yang mengatakan, ‘Segan bertanya, sesat jalan.’ Pepatah ini nyata bertepatan dengan ajaran Islam kerana dalam memperoleh apa juga ilmu dan kemahiran, seseorang itu perlu bertanya dan tidak boleh berasa malu atau segan.
Baiklah, sekarang saya ingin memetik kisah yang berlaku pada diri Abdullah bin Abbas atau lebih dikenali sebagai Ibnu Abbas. Sejak masih kecil, dia sangat cerdas dengan kematangan dan keluasan ilmunya melangkaui kebanyakan sahabat Rasulullah SAW sendiri.
Hal itu bukan dongengan berunsurkan mitos yang sengaja dimomokkan untuk menyedapkan selera khalayak umat Islam. Ini kerana Ata’ bin Abi Rabah ada memberikan perakuannya tentang Ibnu Abbas itu. Kata beliau, “Aku tidak pernah melihat majlis ilmu yang lebih mulia, penuh ilmu dan berwibawa seperti majlis Ibnu Abbas.”
Majlis ilmu yang dikelolakan oleh Ibnu Abbas sering menjadi kunjungan mereka yang pakar al-Quran, ahli bahasa dan juga kalangan penyair. Mereka semua datang untuk satu niat, iaitu menuntut ilmu dengan Ibnu Abbas dan sering kali majlis itu dipenuhi pelbagai soalan daripada khalayak yang hadir. Ibnu Abbas tetap melayan apa sahaja persoalan yang ditimbulkan tanpa sedikit pun berasa rimas mahupun menganggap mengganggu perjalanan majlis ilmunya.
Bagaimana Ibnu Abbas mampu menjadikan dirinya seorang yang disegani dan berilmu tinggi? Tidak lain, semasa masih kecil, dilanjutkan kemudian ketika menginjak zaman remaja, beliau adalah penanya yang aktif bukan bertanyakan kepada Rasulullah SAW, tetapi juga kemudian selepas baginda SAW wafat apabila sering menjadikan sahabat Rasulullah SAW tempat mencungkil ilmu sebanyak termampu. Jadi, tidak hairanlah mengapa beliau akhirnya menjadi seorang ilmuwan unggul untuk umat Islam.
Umar al-Khattab juga pernah memuji sikap dan kehebatan yang dimiliki oleh Ibnu Abbas. Umar memberitahu, Ibnu Abbas seorang pemuda yang matang. Dia memiliki lisan yang rajin bertanya dan hati yang cerdas. Kata-kata Umar itu bukan dikeluarkan tanpa sebarang bukti kerana Ibnu Abbas sering dilihatnya dalam majlis sahabat dan Umar sendiri selalu menjadikan Ibnu Abbas sebagai tempat rujukan dalam hal tertentu. Tentunya Umar tidak memilih Ibnu Abbas seandainya beliau tidak yakin dengan keutuhan ilmu dan kematangan minda Ibnu Abbas itu.
Kenyataan tokoh tabiin popular, Hasan al-Basri bahawa pertanyaan adalah separuh daripada ilmu. Jadi, yang separuh lagi di mana kita hendak dapatkannya? Tidak lain, separuh lagi ialah apabila memahami jawapan yang diberikan kepada kita. Maka lengkaplah pemerolehan sesuatu ilmu. Tanya dan dengar sahaja jawapan tidaklah secara mutlaknya kita sudah dianggap berilmu. Ini kerana ia memerlukan kita ‘kunyah’ isi jawapan yang diberikan dengan pemahaman dan penghayatan sejelas-jelasnya.
Seorang lagi tokoh yang meninggalkan pesanan agar kita aktif bertanya demi memperoleh ilmu ialah Abu Sulaiman al-Ghanawi. Beliau berkata, ‘Tanyalah kepada orang yang pandai maka engkau akan menjadi pandai seperti dirinya.’
Jadi, sebagai ibu bapa yang selama ini sentiasa mengimpikan anak cerdas dan pintar, selalulah melayan dan seterusnya memupuk minda mereka dengan selalu bertanya. Jangan padamkan ‘mood’ anak kita untuk bertanyakan sesuatu. Ingatlah, anak rajin bertanya petanda mindanya sedang berkembang mantap.
Filed under: Amalan & Doa, Artikel Pilihan | Leave a comment »