• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,345,187 orang
  • Kandungan Blog

Suburkan hati dengan kasih sayang

Dr Mohd Khafidz Soroni

Rasulullah SAW menegaskan agar umatnya bersifat kasih sayang dan belas ihsan kepada makhluk lain dalam banyak hadis. Antaranya, daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Maksud mengasihi ‘siapa yang di bumi’ mencakupi semua manusia, jin dan juga haiwan. Namun, ulama berselisih pendapat tentang maksud ‘siapa yang di langit’. Imam at-Tibi dalam kitabnya al-Kasyif menukilkan daripada Imam al-Muzhiri bahawa terdapat dua tafsiran.

Pertama, maksudnya ialah Allah SWT dengan makna ‘nescaya kalian akan dikasihi siapa yang kerajaan dan kekuasaan-Nya terletak di langit.’ Dinisbahkan kepada langit kerana ia lebih luas dan lebih besar daripada bumi atau kerana ketinggian dan kemegahannya atau kerana ia kiblat doa dan tempat sekalian roh yang suci lagi bersih.

Kedua, maksudnya ialah malaikat dengan makna ‘nescaya malaikat akan menjaga kamu sekalian daripada musuh dan perkara yang menyakitkan dengan perintah Allah SWT serta memohon keampunan bagi kamu dan memohon untuk kamu rahmat daripada Allah SWT.’

Kemudian Imam at-Tibi mengulas: “Kemungkinan kedua-dua pendapat ini boleh diharmonikan iaitu dengan makna ‘nescaya kalian akan dikasihi oleh Allah SWT dengan perintah-Nya kepada malaikat agar menjaga kamu sekalian.”

Kebanyakan ulasan ulama seperti Imam Ibn al-Malak dalam Syarh Masabih al-Sunnah, Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih dan Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir yang mensyarahkan hadis ini adalah sebagaimana penjelasan di atas.

Pendapat kedua dengan maksud malaikat juga bertepatan lafaz lain bagi hadis itu yang berbunyi: “Kasihilah ahli penduduk bumi, nescaya kalian akan dikasihi ahli penduduk langit.”

Secara jelas, kedudukan malaikat seperti Jibril, Mikail, Israfil, pemikul Arasy dan lainnya berada di langit.

Mereka akan mengasihi kita, namun dengan satu syarat, iaitu kita perlu berkasih sayang terlebih dulu kepada yang lain. Malah, mereka turut berdoa dan memohon ampun bagi umat manusia.

Firman Allah SWT: “Dan para malaikat bertasbih dengan memuji Tuhan mereka serta memohon ampun bagi siapa yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah asy-Syura: 5)

Dalam hadis itu, Nabi SAW menyuruh kita berkasih sayang sehingga ulama hadis menjadikan pembacaan riwayat hadis ini sebagai adat kebiasaan pada awal majlis mereka dengan tujuan supaya kita sentiasa memulakan sesuatu pertemuan dengan kasih sayang dan tidak mudah merendah, menghina, mencaci atau mengeji orang lain. Kita perlu menarik manusia ke arah kebaikan dan mendoakan mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Inilah sifat sejati orang Mukmin, lebih-lebih lagi mereka yang menuntut ilmu.

Dengan niat mulia ini, mudah-mudahan semuanya kelak akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam kalangan orang yang berkasih sayang kerana Allah, sebagaimana hadis: “Firman Allah: ‘Orang yang berkasih sayang kerana kebesaran-Ku akan memperoleh mimbar daripada cahaya, yang nabi dan syuhada pun berasa cemburu terhadap mereka.'” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: hasan sahih)

Orang yang bersifat kasih adalah mereka yang mempunyai rasa kasih dan belas terhadap makhluk Allah di dalam hatinya terutama sesama Muslim, sebagaimana sifat sahabat Nabi SAW yang digambarkan dalam al-Quran: “Bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).” (Surah al-Fath: 29)

Rasulullah SAW juga menegaskan: “Sesungguhnya yang Allah kasihi daripada kalangan hamba-Nya ialah orang yang bersifat kasih sayang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini jelas menegaskan kepada kita bahawa Islam adalah agama rahmat dan kasih sayang. Ia menyeru umatnya supaya berkasih sayang, merealisasikannya dan menyebarkannya. Sesiapa yang bersifat kasih sayang akan dikasihi dan disayangi oleh Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, malahan dikasihi oleh seluruh penghuni langit serta bumi.

Dengan sifat kasih sayang juga, Allah SWT mengutuskan Rasul-Nya SAW sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Baginda SAW bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dianugerahkan (oleh Allah untuk seluruh alam).” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Tinggalkan komen